Saturday, 18 June 2016

(Fragmen Memoir – Tak jadi (16) sambungan)

(Fragmen Memoir – Tak jadi (16) sambungan)
Sedangkan pertukaran terawang-awangan menyata kini. Dan aku tidak pula boleh dianggap ketinggalan. Dari segi masa terkelompok antara segelintir yang terawal. Dari segi kekananan melangkau sebahagian besar yang seusia. Ramai lagi yang seangkatan tercorot, memintal idam. Rupa-rupanya terkedepan juga aku di kalangan pegawai selantikan. Jawatan yang dicamkan bukan pula kurang wibawa. Ini jawatan Timbalan Ketua Pengarah. Jabatannya pula ICU. Orang kerajaan ramai tahu letak duduknya. Dalam memoriku pula ia jabatan istimewa. Inilah jabatan pertama kukhidmati ketika memasuki perkhidmatan PTD lebih tiga dekad lalu. Begitu gah namanya dahulu. Ia masih begitu. Tetap menguja minda.
Aku sempat mengalami kepemimpinan Dato' Tunku Shahriman Sulaiman, Dato' Sapian Abdul Majid yang menjadi ketua pengarahnya berturutan ketika tahun-tahun 70-an itu. Timbalan-timbalan Ketua Pengarahnya pun, Clifford F. Herbert dan Dr. Mohd. Iwaz Karim dikenali seluruh perkhidmatan. Sudah dua kali aku masuk dan keluar bertugas di situ. Dan kini, aku pula bakal menjadi orang kedua utamanya, di bawah Ketua Pengarah. Sambil menyandang jawatan Gred Utama B. Aura lama jawatan itu kukira tetap kekal terpelihara. Aku bersyukur ke hadhrat Ilahi.

No comments:

Post a Comment