Memoir 1/2 (21 Mei 2016)
Sudah lebih dari wajar aku mulai menulis. Aku sebenarnya tidak kekurangan bahan untuk melakukannya. Paling kurang aku boleh menulis tentang diri sendiri. Seperti orang lain yang menjalani kehidupan pada zaman kanak-kanak, zaman remaja, zaman dewasa, dan zaman persaraan, aku pun mengalaminya juga. Tiada terkecuali serbaneka. Kehidupan di kampung ada kisah-kisahnya yang menarik. Zaman persekolahan tidak pula kurang peristiwanya. Mengharungi keremajaan di ibu kota, lagilah berpancaroba. Tambahan pula menuntut ilmu di universiti, bukan semua remaja bertuah mengalami. Berpuluh tahun berlalu tetap bererti. Tentu ada seorang dua sahabat handai sedia mendengar cerita. Aku percaya orang lain juga sudi mengetahui. Sementelahan lagi, waktu berkhidmat dengan kerajaan lebih daripada empat dekad seharusnya tidak wajar kendur berkubur bersama umur. Malanglah terbiar hilang bersama kematian. Jadi tidak sesia sedikit pun jika kurakamkan.
Pendeknya, aku mempunyai bahan untuk mengarang. Ia lebih daripada memadai. Hanya aku harus bersabar. Tidak mungkin dengan sekali duduk karya boleh tiba-tiba menjelma. Menulis secara spontan bukan boleh menghasilkan sebuah buku serta-merta. Biarlah kalau selembar sekali duduk pun. Demikian tidak mengapa. Lama-kelamaan menebal juga halaman terkumpul. Dengan syarat tidak terhenti sekerat jalan. Tahan bertahan. Ada orang mengambil masa bertahun-tahun baru menjadi. Ada yang mengunci diri untuk melakukan. Ada pula, bersunyi-sunyi untuk memberi tumpuan. Masing-masing ada cara tersendiri. Tetapi yang penting akhirnya penulisan itu mesti selesai. Teringat aku, seorang teman lama yang sudah diiktiraf karyawan ternama menyatakan, “Kalau menulis pastikan habis.”
No comments:
Post a Comment