Thursday 23 May 2019

Umrah 2019 (25): Hotel di Madinah

Umrah 2019 (25): Hotel di Madinah
Apabila waktu Maghrib masuk, ustaz muda mendatangi drebar. Beliau berbincang dengannya menggunakan bahasa Arab memohon berhenti untuk ahli-ahli rombongan bersolat Jamak Takdim Maghrib/Isyak. Waktu Maghrib di Madinah ialah 6.44 petang. Tetapi ketika bas berhenti hari telah lama gelap. Aku agak ketika itu sudah masuk waktu 7.15 malam. Walaupun dikatakan persinggahan itu untuk 10 minit, kami sebenarnya mengambil masa hampir setengah jam.
Bas kemudian bertolak menuju ke Madinah. Ketika telah hampir tiba, ustaz muda diminta mutawif bercakap ringkas sempena ketibaan itu. Beliau bercakap tentang kota Rasulullah S.A.W., tentang bertuahnya kami diberi kesempatan menziarah, dan beliau juga melaungkan salawat diikuti oleh kami semua. Kurang pasti waktu tepat tiba di Al Ansar New Palace Hotel, Madinah, tempat kami bakal menginap. Namun, waktu itu Isyak sudah pun lama masuk. Di hotel inilah juga aku dan R menginap ketika datang berumrah dua tahun lalu.
Bagasi kami, kecil dan besar, telah dikeluarkan dari perut bas oleh sebahagian ahli-ahli yang bertenaga. Mutawif meminta supaya kami naik ke tingkat M, untuk segera makan malam. Selepas itu kami diminta berkumpul di lobi hotel. Beliau akan membahagikan kunci-kunci bilik di situ.
Makanan yang tersedia tidaklah sangat kuharapkan seperti di hotel Mekah. Hotel ini barangkali bertaraf tiga bintang. Tentulah nilai makanan pun sesuai dengan taraf itu. Kalau pengalaman 2017 dikenang semula, aku boleh sebut ia setakat ‘boleh makan’. Tiada apa-apa kelebihan boleh diangkat puji.
Ketika kami di dewan makan itu, jemaah lain yang sedang makan tinggal hanya beberapa meja. Mereka ternyata baharu selesai solat Isyak di Masjid Nabawiah. Hidangan malam itu tidaklah mengecewakan. Ia pun tidaklah baik sangat. Tetapi mujurlah ada bebola daging bersup menjadi sebahagian menunya. Item ini boleh dikira baik. Abang Mie sangat menyukainya. Bersama-sama nasi putih, dia makan sampai kenyang betul. Barangkali untuk keseluruhan rombongan, begitu untukku sendiri, makanan yang tersedia telah dapat mengalas perut untuk dapat tidur dengan lena.
Di hotel ini mutawif tidak menghadapi masalah mendapat bilik untuk kami. Tidak perlu menunggu dan berkeluh-kesah. Sebaik selesai makan malam, dia telah bersedia dengan senarai ahli rombongan berserta dengan kunci-kunci bilik yang diagih-agihkan. Pembahagian bilik tetap berdasarkan kumpulan-kumpulan seperti di Mekah. Ini bermakna aku dan Abang Mie kekal sebilik bersama-sama mutawif, pesara tentera dan ustaz muda. Maknanya, dengkuran-dengkuran selama di Mekah itu berterusan di sini pula.
Abang Mie membawa bagasinya ke bilik. Dia mengekori pesara tentera yang memegang kuncinya. Aku menghantar bagasi R ke bilik penginapannya di tingkat 6. Rakan-rakan sebiliknya ialah isteri pesara tentera dan seorang wanita lain, seperti di Mekah juga. Aku kemudian mengambil bagasiku ke bilik yang ditentukan.
Bilik yang kami tinggal ialah di tingkat 3. Ruang bilik setara seperti di Mekah, tetapi tidaklah kelihatan semewahnya. Tilam-tilamnya tidak seempuk dan selebar (saiz bujang) yang di Mekah. Biliknya berhawa dingin serta dilengkapi TV. Ia ada bilik air yang selesa. Tuala disediakan mencukupi.
Ketika aku sampai ke bilik, pesara tentera, kerana paling awal masuk, mengambil katil ‘terbaik’, Abang Mie di katil sebelahnya. Selaku penginap ketiga, aku mengambil katil yang menghimpit dinding, berjendela tetapi ditutupi langsir. Sedikit ‘malang’ saluran pam hawa dingin menuju langsung ke katil itu.
Apabila mutawif tiba, dia bertanya pesara tentera sama ada boleh diberikan katil terbaik itu kepadanya. Ada benda-benda yang perlu diletakkan mewajarkan katil itu ia diami, memberi sebabnya. “Boleh”, kata pesara tentera dengan suara terang! Ustaz muda, oleh sebab terakhir masuk ke bilik, mengambil katil yang terbaki – berdekatan dengan pintu masuk dan pintu bilik air.
Baiknya pembahagian bilik tahun ini, berbanding tahun 2017, ialah pengekalan kumpulan yang sama – yang sebilik di Mekah tetap serupa apabila di hotel Madinah. Dahulu, apa yang berlaku, sebahagian kumpulan di Mekah terpaksa dipecahkan apabila menginap di hotel Madinah. Aku mendapat faham ketika itu ada sedikit masalah mendapat agihan bilik secukupnya.
Mutawif ketika umrah dahulu itu terpaksa ‘menumpang’ di bilik kumpulanku menginap. Aku ingat bilik itu hanya ada tiga tilam/katil. Semua telah teragih kepada tiga ahli rombongan iaitu aku dan dua orang lain. Mutawif sendiri tidak mendapat ‘slot’. Beliau memilih bilik kami untuk mengongsi. Dia terpaksarela tidur di atas lantai (berpermaidani), di hujung katil. Memang ternyata, semenjak di tanah air, di Jeddah, di Mekah pun, dia seorang yang ‘mesra pelanggan’. Bahkan aku puji mutawif itu kerana bijaksana ‘berkorban’ menyelesaikan masalah di luar jangkaan dan bukan pula berpunca daripadanya itu!
Mengimbas kembali pengalaman lepas, pemecahan kumpulan bukan tidak menimbulkan masalah. Terutama masalah penyesuaian semula sesama ahli-ahli sebilik yang baharu. Seseorang yang terpecah kumpulan, yang tiba-tiba dimasukkan ke kumpulan lain, mungkin menghadapi ‘kejutan’. Walaupun tempoh berada di situ beberapa hari/malam sahaja, tetapi oleh sebab ziarah ini adalah sinambungan sesi di Mekah, agensi penganjur tidak boleh menganggap ringan. Sedikit sebanyak kumpulan awal itu telah terkamil dan diterima ‘seadanya’. Apa pun, hanya niat sebenar datang berziarah atau beribadat suci yang mententeramkan keadaan.
Perjalanan yang jauh meletihkan. Peristirehatanlah rawatan yang paling mujarab. Pada awal pagi esok kami perlu bangun. Aku ingatkan Abang Mie agenda rutin – bersama-sama ke Masjid Nabawiah mendirikan solat Subuh. Penggera di telefon dipasangkan. Insya-Allah, besok sehari lagi kami menyambung aktiviti ziarah di Kota Suci kedua ini.

Wednesday 22 May 2019

Umrah 2019 (24): Di Lebuhraya Mekah-Madinah

Umrah 2019 (24): Di Lebuhraya Mekah-Madinah
Perjalanan dari Mekah ke Madinah kali ini adalah yang ketiga bagiku dan R. Jadi ia tidaklah begitu mengujakan berbanding sebelumnya. Aku masih ingat ketika mengerjakan haji dahulu perjalanan adalah menaiki bas dari Madinah ke Mekah, sebahagian besar pada waktu malam. Ia dikira tidak berperistiwa atau bermakna kerana segala yang dilalui – bukit, gunung, muka bumi tidak dapat dipandang mata. Ia suatu kerugian yang besar. Tiada terkesan di ingatan dari segi bentuk alamnya. Sedangkan jarak antara kedua-duanya lebih kurang 440 kilometer!
Pada umrah tahun 2017, perjalanan dari Mekah ke Madinah adalah pada waktu siang, seperti juga pada umrah kali ini, berlepas lebih kurang pada pukul 2-2.30 petang. Ini waktu yang sesuai untuk menumpukkan kepada pemandangan sepanjang lebuhraya yang dilalui. Kita pun tiada hambatan, kerana telah pun bersolat Zuhur dan makan tengah hari sebentar tadi.
Dalam setiap ‘kembara’ perjalanan jarak jauh sebegini sangat kutunggu-tunggu kerana banyak perkara yang dapat diperolehi melalui pemerhatian secara langsung sambil bergerak dari setempat ke setempat dalam keempukan berkenderaan dipandu orang lain. Apalagilah kalau perjalanan ini berunsur ziarah keagamaan. Ada sejarah yang tidak seharusnya dilepas pandang. Peristiwa hijrah, peperangan dan pendakwahan. Inilah masa untuk menghayati hakikat yang tidak dialami sendiri ribuan tahun berlalu pergi.
Dalam kes perjalanan ini, dapat dibayang atau dikaitkan betapa getir perjuangan Rasulullah S.A.W. dan para sahabat dalam mengasaskan negara Islam. Banjaran gunung dan bukit batu yang kering kontan, kesaujanaan pemandangan, kepanasan cuaca siang dan kesejukan suhu dan kegelitaan malam, dengan menunggang unta sambil terdedah kepada pelbagai bahaya di jalanan pastilah akan membangkitkan kesedaran di kalangan penganut Islam yang terkemudian. Segala cerita yang didengar, dibaca sudah tentu muncul menggelumangi minda lantas menimbulkan, tiada lain, kecuali kekaguman atau penghargaan mutlak terhadap pengorbanan Rasulullah S.A.W. dan sahabat-sahabat baginda.
Dalam perjalanan begini, aku tidak akan membiarkan diriku tertidur. Walau ratusan kilometer harus ditempuhi ia sebenarnya sesi pengajaran dan pembelajaran yang seharusnya tidak diketepikan. Maka, aku sangatlah hairan melihat sebahagian ahli-ahli rombongan memilih untuk melenakan diri. Kerugian membiarkan peluang itu terlepas begitu sahaja jauh lebih besar berbanding dengan keenakan melelapkan mata seketika.
Setelah lebih kurang dua jam perjalanan, bas kami berhenti di satu perhentian di sisi lebuhraya. Tentulah tempat ini pada pertengahan antara dua kota suci itu. Aku kurang pasti nama persinggahan ini. Di sini ada kedai-kedai makanan dan lain-lain. Ada juga kemudahan bersolat di premis kedai yang dijadikan surau; bukan bangunan surau yang berasingan atau khusus. Di sini aku dan Abang Mie bersolat Qasar Asar.
Kemudahan tandas sangat tidak memuaskan. Kita perlu beratur panjang untuk melepaskan air kecil dan besar. Kemudahan mengambil wuduk sangat tidak munasabah. Kuperhatikan, para penziarah mengambil wuduk di singki yang ada disediakan pada dinding bangunan restoran, pada bahagian belakangnya. Mereka memasukkan kaki ke singki apabila hendak membasuh kaki. Sudahlah begitu, singki-singki itu hanya enam atau tujuh buah, jauh berkurangan dibandingkan jumlah pengguna yang hampir-hampir serentak tiba singgah di situ. Bagaimana keadaan kemudahan itu untuk kaum wanita?
Aku sendiri memang lebih bersedia untuk menghadapi keadaan sebegini. Seboleh-bolehnya wuduk diambil awal dan dijaga kekal sepanjang perjalanan. Apalagi kalau melibatkan tandas, kucuba elakkan menggunakannya kerana tidak mahu terperangkap dalam penungguan dan kekalutan yang tidak menentu. Dalam pada itu, aku memperhatikan mutawif kami beratur untuk melangsaikan tuntutan alami, dan Abang Mie pun berdiri sabar mengambil giliran di belakangnya!
Selepas meninjau pantas sekitaran, aku beratur membeli Shawarma. Harganya SR5 satu. Kujuga membeli sebiji murtabak, berharga SR4-5 (?). Pembuatnya seperti orang Bangladesh. Pembelian ini bukanlah sangat-sangat kerana hendak mengenyangkan perut, tetapi lebih untuk merasakan sejauh mana keenakannya – satu untukku, satu lagi untuk Abang Mie. Minuman tidak dibeli. Ia telah sedia ada dalam beg sandang. Dibawa dari Mekah.
Di persinggahan itu, ada penjaja kecil-kecilan memperaga produk tempatan atau keperluan orang-orang bermusafir. Betul-betul di depan bas kami berhenti parkir, penjaja gerai madu dan barangan lain galak mengeloi para penziarah supaya singgah membeli dagangannya. Dia (juga rakan seniaganya) menggunakan bahasa Melayu. Seperti biasa, para musafir Malaysia menjadi pelanggan utama. Penjaja itu dikerumuni dan barangan jualannya luak dipunggah, hampir-hampir seperti lakunya pisang goreng panas di Malaysia.
Dari dalam bas, aku dapat memperhatikan, penjaja itu menggantikan barangan yang telah terjual dengan bekalan baru diambil dari kotak simpanan di bahagian bawah gerainya. Maknanya, walaupun petak pameran gerai itu tidak sebesar mana, jangan pula diperlekehkan, kerana jumlah sebenar bekalan bukanlah kecil. Hanya, kalau madulah yang hendak dijadikan bahan bualan, kurang pastilah aku ketulenannya; adakah seperti yang didakwa sebagai asli oleh penjual, atau berupa bahan campuran yang tidak ori lagi! Tetapi, bahan itu laku. Ada pembeli dari kalangan ahli-ahli rombongan kami yang singgah di situ.
Bas kami bertolak setengah jam kemudian.

Umrah 2019 (23): Tawaf Wadak

Umrah 2019 (23): Tawaf Wadak
Selesailah kami berumrah di Masjidul Haram. Kami berada di Mekah bagi tempoh 11 April hingga 16 April. Kami akan berziarah ke Madinah mulai 16 April hingga 21 April 2019. Berbanding umrah pada tahun 2017, ternyata umrah kali ini, iaitu selama 5 ½ hari di Mekah dan 5 ½ hari di Madinah, kekurangan sehari di Mekah sebaliknya bertambah sehari di Madinah.
Aku memang lebih suka, dan memilih untuk berumrah (Mekah) dahulu berbanding berziarah (Madinah). Alasannya jelas, iaitu tidak mahu lagi terikat oleh larangan berihram dalam urusan bertaraf ziarah (Madinah). Sungguhpun kedua-dua kota suci itu menjadi simbol peribadatan, tidak dapat dinafikan bahawa Mekah menghendaki konsentrasi amalan yang lebih tinggi berbanding Madinah. Sekurang-kurangnya, tanggapan inilah yang mempengaruhi intensiti peribadatanku. Aku lebih suka penjadualan umrah 2017 dahulu kerana melebihkan tempoh tinggal di Mekah sehari berbanding pakej kali ini. Namun, kami tertakluk dengan penjadualan yang ditetapkan.
Mutawif mengarahkan bagasi kami diletakkan di lobi lif tingkat 1 pada pukul 9 pagi. Pekerja hotel akan membawanya ke bas. Tawaf Wadak disyorkan antara pukul 9 hingga 11 pagi. Kunci bilik hotel perlu diserahkan kepada mutawif pada pukul 11 pagi. Kami, aku bertiga dan pesara tentera +2, bersepakat untuk bertawaf Wadak bersama-sama. Kami meninggalkan hotel selepas menghantar bagasi. Pada skrin TV di bilik kuperhatikan suasana bertawaf di Baitullah tidaklah sesak. Sesuai benar melakukan tawaf ketika itu jika mahu segera menyelesaikannya.
Lebih kurang pukul 9.30 pagi kami sudah berada di Dataran Kaabah. Ketika itu, para pentawaf tidaklah terlalu ramai. Aku mengetuai pasukan, memulakan tawaf di Penjuru Hajarul Aswad. Setiap pusingan berjalan lancar. Dalam setiap pusingan aku berdoa – seperti dalam risalah di tambah doa-doa yang kulafazkan sendiri dari hati kecilku. Pada tempat-tempatnya, kerana mengkhusyuki doa-doa peribadi itu, air mataku berlinangan, dan suaraku terputus-putus oleh kesebakan yang menunjal-nunjal benak. Barangkali aku terkenangkan segala yang kualami selama hidup di maya – mengenang asal diri, pencapaian hidup, rezeki yang tercurah, cabaran yang dihadapkan dan masa depan yang tidak diketahui – entah bila aku terus bernafas dan menjalani hidup dalam kenikmatan yang dilimpahkan kini.
Dalam tempoh setengah jam Tawaf Wadak kami selesai. Kami bersolat sunat tawaf di Dataran Kaabah. Tiada masalah mendapatkan ruang-ruang solat. Kami bersolat dengan selesa. Dalam tempoh 10-15 minit selesailah. Masa untuk bertolak masih panjang. Terlintas juga di fikiran, seharusnya tawaf itu dilakukan sedikit lewat, katalah pukul 10-10.30 pagi. Tetapi, mungkin juga pada waktu itu para pentawaf lebih ramai. Kami akan terbabit dalam kesesakan! Walau apa pun, kami sudahlah memenuhi syarat-syarat meninggalkan Kota Mekah. Tawaf Wadak kami sempurna. Menyedari syarat-syarat tawaf Wadak, kami tidak berlengah-lengah lagi menuju ke pintu King Fahd, keluar kembali semula ke hotel. Di situ kami akan menunggu bas yang bakal datang membawa kami ke Madinah.
Kami kembali berehat di bilik hotel. Ada sedikit kelebihan menginap sebilik dengan mutawif kerana kunci bilik boleh dilewatkan penyerahannya, jika kita sendiri memilih begitu. Sewajarnya demikian. Mungkin timbul keperluan untuk menselesakan diri di bilik air atau mengambil wuduk. Kami akan bersolat Zuhur pada pukul 12.21 di surau hotel dan restoran dibuka pada pukul 1 tengah hari untuk makan tengah hari. Aku menyerahkan kunci kepada mutawif lebih kurang pukul 12 tengah hari.
Bersama-sama Abang Mie, kami turun ke Tingkat 3, tempat letaknya surau. Di situlah kami ‘mengongsi’ sementara menunggu masuk waktu solat Zuhur. Selepas itu kami makan di hotel dan terus menunggu di lobi Tingkat RE bersama-sama ahli-ahli rombongan senombor (Kumpulan 3).
Bas kami tiba lebih kurang 2.15 petang. Kami turun ke tempat bas menunggu. Semua bagasi telah dipunggah ke perut bas, kami difahamkan. Ahli-ahli rombongan menaiki bas dengan tertib. Aku duduk bersama-sama Abang Mie dan R bersama-sama kawan sebiliknya, di sebelah kiri. Pesara tentera duduk di sisi isterinya, di sebelah kanan. Semuanya di tempat-tempat duduk bahagian depan.
Seseorang dari kalangan jemaah ditugaskan mutawif membilang kehadiran kami. Semuanya 44 orang tidak termasuk mutawif. Bas merah itupun bertolak meninggalkan hotel menuju Kota Suci Madinah. Pemandu kami ialah seorang Arab berkulit hitam. Ustaz muda yang tinggal sebilik denganku, yang berkerja dengan MAIM, telah diminta oleh mutawif memimpin doa. Beliau melakukannya sambil juga bercakap ringkas tentang tujuan rombongan iaitu menziarahi Rasulullah S.A.W.

Umrah 2019 (22): Demam batuk

Umrah 2019 (22): Demam batuk
Kesempurnaan dan ‘keseronokan’ berumrah bergantung kepada persediaan yang cukup. Salah satu aspek penting jangan sekali-kali diabaikan membabitkan kesihatan diri. Peribadatan terjejas apabila kesihatan kita terganggu. Pentingnya aspek ini tidak banyak disedari, kecuali oleh mereka yang sudah berpengalaman. Kami ada pengalaman ini – setelah mengerjakan haji dan berumrah pada beberapa tahun terdahulu. Itulah sebab kami sangat berjaga-jaga semenjak awal-awal lagi, sebelum lagi meninggalkan negara.
Sejauh yang membabitkan orang yang tiada bermasalah kesihatan, cabaran menjaga kesihatan itu lebihnya berusaha mempastikan tidak demam, selsema dan batuk. Inilah jenis gangguan kesihatan yang kerap menyerang orang yang biasanya tiada menghadapi masalah kesihatan serius. Bagi yang berpenyakit teruk – kencing manis, dan seumpamanya – mereka seharusnya tidak meninggalkan peralatan dan ubatan perawatannya.
Maka seminggu dua sebelum bertolak aku dan R ke Kedai Farmasi di Sungai Way, mencari bekalan ubat-ubatan yang perlu. Dalam urusan umrah dua tahun yang lalu kami perhatikan harga ubat-ubatan di Mekah dan Madinah lebih jauh mahal berbanding di Malaysia. Dalam suasana kadar tukaran asing semasa, yang tidak menguntungkan mata wang RM, kukira lebih bijaksana melakukan penjimatan. Lalu kami membeli ubat demam (Panadol), ubat batuk, dan selsema, sekadar mencukupi.
Pada hakikatnya, kami sendiri tidak (belum) menghadapi masalah kesihatan yang serius. Kuanggap sendiri bertaraf okay. Selepas bersara, aku sendiri telah bertahun-tahun memesrai pil penyakit darah tinggi yang mild (Amlodepine 5MG tablet sebiji sehari) – suatu ketika pernah kuhentikan mengambilnya, tetapi dinasihati tidak berterusan cuai oleh doktor. Penyakitku itu masih dalam kawalan. R sendiri kini tidak ada mengalami sebarang masalah kesihatan dan Abang Mie pun serupa.
Aku perhatikan, para jemaah Malaysia, akan mulai menonjolkan gejala batuk setelah beberapa hari berada di Tanah Suci. Kurang pasti sebab sebenarnya berlaku begitu. Aku fikirkan sendiri mungkin disebabkan oleh percampuran, interaksi, atau pertembungan dengan segala jenis manusia dari serata pelusuk dunia, cuaca, dan juga rutin harian yang mungkin tidak seperti biasa diamalkan di Malaysia.
Tanpa usaha mengubati sebaik ‘dijangkiti’, serangan itu segera merebak malah mengganas. Para jemaah yang terbabit akan membatuk di mana-mana – di dewan solat, di restoran, di bilik hotel dan lain-lain. Kalau di dewan solat, kita dapati hampir tiada saat tanpa lengkingan batuk. Lepas seorang, seorang. Seakan ada giliran. Di sebelah, berdekatan dan berjauhan. Begitulah juga di tempat-tempat lain.
Seksa juga menghidap batuk, atau selsema. Kelancaran ibadat terganggu. Bukan sahaja diri bahkan membabitkan kesejahteraan orang lain. Kalau kita mulai batuk atau selsema di Mekah ia tidak mustahil terbawa ke Madinah. Seakan pasti, jika di Madinah pun sudah terkena, kemungkinan sembuh ketika berada di Mekah negatif. Pun, dengan persediaan dan kesiagaan besar kemungkinan akan memberi kelegaan dari gejala ini, insya-Allah.
Di sebalik kesedaran itu, Abang Mie mulai demam selepas menyelesaikan umrah yang kedua. Ketika aku balik ke bilik hotel selepas ‘bergondol’, kudapati Abang Mie merengkuk berbaring di katilnya. Dia memberitahu dia demam. Jamahanku ke badannya membuktikanya. Suhu badannya panas. Aku segera menelefon R meminta ubat. Jarak bilik kami sejauh dua puluh langkah. Panadol yang diambil dimakan oleh Abang Mie. Dia kemudian tidur. Dua bungkus makanan segera yang dibelinya sendiri di kedai makanan pada aras yang sama dengan kedai-kedai gunting tadi belum berusik. Syukurlah, sebelum waktu Subuh, Abang Mie dan aku masih boleh berada di masjid bersolat seperti hari-hari sebelumnya.
Pada masa yang sedikit kemudian, aku sendiri pun mulai dijangkiti batuk, kecil-kecilan. Tekak yang gatal-gatal mencetuskan batuk yang terkawal. Ubat yang dibawa tidakku abaikan. Aku bertekad untuk mempertahankan diri. R pun diserang batuk dan demam. Lebih teruk daripada yang kualami. Dia merawati diri dengan ubatan yang dibawa itu.

Umrah 2019 (21): Gondol

Umrah 2019 (21): Gondol
Kami melakukan umrah kali kedua pada hari Sabtu, 13 April 2019. Selepas selesai bertahlul, Abang Mie pergi bergunting di kedai gunting di aras bawah hotel. Dia pergi bersendirian. Kemudian, aku juga berfikir untuk menggondolkan kepalaku. Ketika menuruni eskalator, kelihatan Abang Mie sedang menaiki eskalator di sebelah, tentunya hendak balik ke bilik. Rambutnya telah digunting pendek, tetapi tidak sampai botak.
Aku memanggil dia datang kearahku. Ingin aku bertanyakan lokasi sebenar kedai-kedai gunting dan mahu supaya dia menunjukkan. Jelas dengan lokasinya, Abang Mie kubiarkan kembali ke bilik dan aku seorang diri menuju ke destinasi. Sebelum itu dia memberitahu upah guntingan rambutnya itu ialah SR10.
Sebaik sahaja mengambil lorong menuju ke kedai gunting, seorang lelaki, barangkali berasal Bangladesh, bertanyakan, “Botak?, 10 Riyal”. Aku mengiyakan. Lalu dibawanya aku turun ke aras bawah melalui tangga berdekatan. Di aras bawah itu ternyata banyak kedai gunting, berderetan. Berderetan juga kedai makanan. Lelaki itu membawaku ke sebuah kedai gunting Arab (besar kemungkinan berbangsa Mesir), sambil memberitahu tukang gunting itu, “Botak, 10 Riyal”. Dia terus berlalu. Tentulah dia akan dibayar upah kerana khidmatnya mencari pelanggan.
Tukang gunting itu minta pengesahan tentang ‘pembotakan’ dan aku mengangguk sambil mengiyakan. Segera kepalaku dilumurkan cecair pelincir dan dia mencukurnya. Dalam enam-tujuh-lapan minit selesailah. Di depan cermin jelaslah kepalaku sudah gondol. Aku tersenyum sendiri.
Aku bertanya tukang gunting itu bayaran upahnya. Dia kurang faham. Seorang lelaki yang ada di dalam kedai itu, bercakap-cakap dengannya, dan kemudian memberitahuku upahnya SR20.00. Lelaki ini boleh berbahasa Melayu. Dia menyatakan upah menggondol adalah begitu, bukan SR10 seperti yang awalnya diberitahu oleh lelaki Bangladesh tadi.
Melihat aku sedikit tergamam, salah seorang daripada tiga orang lelaki muda yang duduk-duduk di luar kedai itu juga mengesahkan bahawa upah membotakkan kepala ialah SR20. Aku kira mereka semua penggunting di kedai itu. Lelaki terawal, yang duduk di dalam kedai, berdasarkan sikap dan gaya duduknya, boleh jadi ‘ketua’ atau ‘pemilik’ kedai itu. Aku tidak mempersoalkan bahkan membayar upah yang dinyatakan. Kemudian berlalu balik ke bilik hotel.
Tidak kerap aku mengalami pembotakan kepala. Berdasarkan ingatan, aku memang sentiasa berbotak ketika kecil. Begitulah trend atau gaya zaman itu. Hanya apabila memasuki sekolah rendah baharulah dibenarkan menyimpan rambut. Semenjak itu, maknanya, semenjak 1958 kepalaku sentiasa berambut. Dari hitam sampai beruban 99 persen. Rambut itu telah mengalami beberapa peringkat – gaya sekolah yang sederhana pendek, dan gaya mahasiswa universiti pada tahun-tahun awal 1970-an, yang panjang mencecah bahu. Ketika telah bekerja rambut itu sentiasa sederhana pendek, supaya mudah disikat dan tidak kelihatan mencacak.
Kali pertama, aku menggondolkan semula kepalaku ialah pada tahun 2002. Ketika itu aku berhaji dan selepas menyelesaikan pelontaran jumrah di Mina, bertahlul awal secara menggondolkannya dengan penggunting rambut yang memang memberikan perkhidmatan di situ. Aku ingat upahnya ketika itu ialah khamsa riyal.
Ketika berumrah pada tahun 2017, aku tidak menggondolkan kepala. Yang dilakukan sekadar menggunting sedikit rambut sahaja setiap kali bertahlul. Jadi, dengan penggondolan terbaru pada umrah kali ini, bermakna 17 tahun jaraknya rambut di kepalaku ini ‘dikekalkan tumbuh’ tanpa dicukur.

Umrah 2019 (20): Sketsa Masjidul Haram

Umrah 2019 (20): Sketsa Masjidul Haram
Selain menyentuh peribadatan, ada perkara lain diperhatikan di Masjidul Haram.
Pada satu dinihari menjelang suatu Subuh, aku beriktikaf di ruang solat Tingkat 1. Di sini aku melakukan rutin amalan harian – Qiamullail, berzikir, berdoa dan berselawat. Ruang solat yang kududuki berdekatan dengan tempat letak tabung air zamzam. Di hadapannya adalah laluan utama jemaah untuk menuju ke mana-mana bahagian lain masjid itu. Laluan itu boleh dilalui, misalnya, untuk ke ruang solat yang lebih di hadapan – yang menampakkan bumbung Kaabah.
Selepas mengerjakan Qiamullail, aku berehat, maksudnya tidak menumpukan kepada aktiviti-aktiviti zikir, doa, atau selawat. Sebaliknya, aku meluangkan masa memperhatikan sekitaranku. Ketika itu jam lebih kurang 4.30 pagi. Ternyata pada waktu itu pun rungan solat masih lengang. Mana-mana jemaah yang melintasi ruangan itu tidak menghadapi masalah mendapatkan ruang solat yang selesa.
Pada satu ruang, di hadapan tempat aku duduk, yang menghubungkannya ke ruang solat mendepani Kaabah, ada sebilangan jemaah yang sedang berbaring bahkan tidur. Mereka itu, sebenarnya dalam keadaan begitu ketika aku tiba, semenjak lebih kurang 3.30 pagi. Ada didapati juga seorang daripada mereka tidur berselimutkan permaidani sejadah yang panjang itu. Dibaliknya sejadah itu melindungi hampir keseluruhan badan. Tentulah dia hendak mengurangkan kesejukan hawa dinihari di ruangan terbuka yang besar. Di sekitar itu pun jemaah lain yang baru datang memilih tempat untuk bersolat atau beramal. Mereka tidak menghiraukan mereka yang sedang tidur atau berbaring itu. Pendeknya, masing-masing dengan hal masing-masing.
Pun di situ, juga di sudut lain yang tidak pun jauh dari tempat aku duduk, dapat diperhatikan kelompok-kelompok terdiri daripada empat, lima atau enam orang remaja Arab tempatan yang sebaya umurnya duduk membentuk bulatan. Aku perhatikan mereka berbincang sesama mereka. Ada juga kertas-kertas catatan atau dokumen di tangan mereka. Aku percaya mereka berbincang tentang pelajaran atau pengajian yang sedang diikuti. Tidak pula kelihatan seseorang yang lebih dewasa yang menjadi pengajar atau mentor mereka. Sesekali kelihatan mereka bergurau sesama sendiri. Kagum juga aku memikirkan kegiatan 'ilmu' itu berlaku seawal pagi begitu. Bahkan mereka itu telah sedia ada di tempat-tempat berkenaan sebelum pun aku tiba di situ.
Apabila azan Subuh dilaungkan, sekitar pukul 4.43-44 pagi , mereka yang berbaring kaku kelihatan mulai bergerak dan kemudian beransur-ansur bangun. Ada yang beredar entah ke mana. Mungkin pergi mengambil wuduk dan lain-lainnya. Ruang itu juga sudah mulai bertambah ramai diduduki para jemaah yang baharu datang. Hairannya, para jemaah yang baru itu memilih tempat berhampiran jemaah yang tidur berselimut permaidani tadi. Tiada pun seseorang di kalangan mereka yang menggerakkannya.
Akhirnya, apabila solat Subuh sudah hampir didirikan (lebih kurang pukul 5 pagi), kelihatan seorang Arab, berdasarkan pakaian dan perawakannya, pergi menolak-nolak lingkupan permaidani tadi. Kelihatan lelaki itu terkejut, membuka liputan ‘selimut’ lantas bangun dan beredar segera. Dia seorang lelaki berkulit hitam, boleh jadi berbangsa ‘Afrika’, berkemeja corak berpetak-petak lengan pendek dan berseluar panjang. Dengan pakaian begitu aku tidak hairan dia berselimut permaidani ketika tidur tadi.
Ruang solat di depanku ini tidak begitu padat apabila solat Subuh bermula. Di sini juga aku perhatikan beberapa kelamin atau pasangan, seakan pasti dari benua kecil India, yang sembahyang bersama-sama, sebelah menyebelah. Tidak terhalau. Pada kali ini mereka terlepas dari pemantauan pengawal keselamatan masjid.
Aku kurang pasti adakah ramai jemaah yang menjadikan ruangan solat masjid tempat berbaring-baring atau tempat ‘menginap’ ketika berada di Mekah. Boleh jadi juga hotel tempat mereka menginap sebenarnya jauh dari Masjidul Haram. Atau, begitu caranya untuk berjimat di Tanah Suci.

Umrah 2019 (19): ASADIku hilang

Umrah 2019 (19): ASADIku hilang
Satu objek penting yang perlu dipakai ketika berumrah ialah selipar. Ia seharusnya mengikut piawai – tidak menutup kaki termasuk jari-jarinya. Ketika berumrah pada tahun 2017, aku telah membeli sepasang selipar berjenama ASADI, berharga RM18 di Pekan Sungai Way. Ia amatlah ringan. Selipar ini berjaya melaksanakan tugasnya, membawaku ke sana-sini berumrah dan berziarah di Mekah dan Madinah.
Selipar sangat penting di kedua-dua Kota Suci itu. Semua jemaah umrah atau masjid menggunakannya. Barangkali ia suatu yang paling menonjol dibawa ke sini-sana oleh para jemaah. Di luar Masjidul Haram atau Masjid Nabawiah kita menggunakan selipar mengalas kaki berjalan ke sana sini. Ia sangat praktikal – mudah disarung dengan pantas – dan selesa dipakai walaupun berjubah.
Di dalam masjid, jemaah tidak boleh berselipar. Perlu berkaki ayam atau menggunakan sejenis sarung kaki yang khusus.
Selipar sangat perlu dijaga – dipastikan tidak hilang. Ia seharusnya sentiasa boleh dicapai dengan mudah supaya tidak tergendala bergerak di mana-mana apabila pemakaiannya dikehendaki.
Aku, R dan Abang Mie mendisiplinkan diri menjaga selipar supaya tidak hilang. Kami menyediakan sarung kain buatan sendiri untuk maksud ini. R sendiri yang menjahitnya di rumah. Sarung selipar yang kami gunakan ketika berumrah tahun 2019 ini bukan baru. Ia telah dijahit oleh R pada tahun 2017 ketika hendak berumrah pada tahun berkenaan. Ketika selesai berumrah sarung selipar itu tetap disimpan dengan baik. Aku dan Abang Mie membawa semula sarung itu semasa berumrah tahun 2019 ini.
Seperti diceritakan lebih awal, urusan penempatan bilik hotel di Mekah tidak lancar. Ahli-ahli rombongan terpaksa mengongsi di surau hotel untuk beberapa jam sementara masalah bilik hotel diuruskan oleh mutawif. Selain daripada ‘berehat’, di surau itu juga kami bersolat. Surau itu besar dan boleh menampung kira-kira 1,000 jemaah.
Apabila waktu solat tiba, dalam kes ini, Zuhur dan Asar, ramai jemaah yang bersolat di situ. Sebahagian jemaah meletakkan selipar mereka di rak-rak yang disediakan, tetapi sebahagian besar meletakkannya di ruang lobi lif surau itu. Maka banyaklah selipar mereka memenuhi sebahagian besar lobi itu, ketika solat berlangsung.
Aku dan Abang Mie meletakkan selipar kami pada penjuru di salah satu lobi lif, bertindan, supaya mudah untuk dicamkan bila hendak mengambilnya semula. Dalam melakukan demikian, aku sentiasa terfikir tentang keselamatannya. Ini kerana sarung selipar yang kami bawa masih belum digunakan. Sarung-sarung itu ada dalam beg besar yang ditinggakan di tempat kami turun daripada bas, ketika diminta naik ke hotel oleh mutawif. Kami diberitahu semua bagasi jemaah akan dihantar ke lobi lif tertentu apabila bilik telah ditentukan. Pekerja-pekerja hotel akan mengendalikannya.
Ketika hendak mengambil semula selipar, sebaik selesai solat Asar, didapati selipar ASADIku sudah tiada lagi. Tinggal hanya selipar Abang Mie tidak terusik. Puas aku meneliti selipar-selipar lain yang masih ada di lobi lif itu. Kalau ada yang sama atau hampir serupa, bukan ASADI capnya. Ternyata ASADI sudah tiada di situ. Terasa amat malang sekali. Salah satu perkara yang semenjak awal-awal hendak dijaga sudah gagal dijaga dalam beberapa jam tiba di Tanah Suci. Sedikit kesalan menjentik diri.
Aku memberitahu Abang Mie supaya meletakkan seliparnya di rak selipar supaya lebih selamat. Dia kuminta terus mengongsi di surau. Bilik menginap belum menentu. Melalui mutawif aku mendapat tahu bagasi ahli-ahli rombongan telah dipindahkan di lobi lif, Tingkat 10 hotel berkenaan. Dengan berkaki ayam aku pergi mencari bagasi kami dan mengambil sepasang selipar simpanan berserta sarung kain yang memang ada di dalamnya.
Selipar baru ini, BIRKENSTOCK, seakan sama dengan ASADI, kubeli di Kok Lanas, khusus untuk persediaan menghadapi situasi demikian. Ia sudah memberi khidmatnya pada hari pertama tiba di Mekah. Tidaklah aku perlu membeli ganti ASADI di situ. Pengalaman membuktikan harga selipar yang setanding lebih mahal di Mekah atau Madinah berbanding di Malaysia.
Selipar baru ini sentiasa bersama-samaku. Kalau dalam masjid bersolat ia disarungkan dan diletakkan di sisi atau berhampiran. Cara ini menjamin keselamatannya. Ia telah dipraktikkan, ketika berhaji dan berumrah sebelum ini pun. Abang Mie juga melakukan seperti yang kulakukan. Seliparnya selamat. Selipar simpanannya tidak perlu digunakan dan tetap tersimpan dalam bagasi sehingga kembali semula di tanah air.
Selipar ASADIku itu ‘bersejarah’. Aku pernah menceritakan tentangnya dalam siri tulisan tentang Umrah 2017 dahulu. Ia ditakdirkan hilang dalam ‘misi’ Umrah 2019.
Tetapi, pada hari terakhir di Mekah, selepas bertawaf Wadak, kami kembali di hotel sementara menunggu bas datang untuk bertolak ke Madinah. Semua ahli rombongan kami bersolat Zuhur di surau hotel. Ketika selesai solat dan mulai akan menuju ke restoran untuk makan tengah hari, aku tetap meninjau ASADI di tempat ia menghilang beberapa hari lepas. Dan selipar itu muncul di situ, masih lembab kerana baharu dibasahi. Cap ASADInya menyata.
Aku merenung, kemudian memegang, dan memeriksa tanda-tanda tertentu padanya. Berat benar hati bahawa berdasarkan tanda-tanda tersebut ia adalah ASADIku yang hilang – saiz, usia, warnanya saling tidak tumpah lagi. Namun, tidak tergamak untuk mengambilnya semula. Selipar simpanan, BIRKENSTOCK, sudah terpakai di kaki.
Biarlah ASADI ini hilang di sini. Dan, kalaulah ia bukan bekas seliparku, apakah kelak tekanan minda kuhadapi, jika ASADI Tanah Suci ini kubawa pulang? Lalu, aku memfotonya.

Umrah 2019 (18): Solat Tasbih

Umrah 2019 (18): Solat Tasbih
Satu ibadat yang amat jarang kulakukan ialah bersolat Tasbih. Kalau di rumah, sentiasa terlintas alasan tidak melaksanakan. Barangkali, sebab utama, kerana ia memerlukan masa yang lama dan tumpuan penuh untuk mengulangi bacaan tasbih pada setiap kali peralihan posisi dalam solat tersebut. Tetapi alasan yang lebih tepatnya, aku belum lagi termasuk pengamal atau penganut yang soleh.
Rekod prestasiku mengenai solat ini diakui tercorot. Barangkali masih terbilang oleh jari kudirikan. Padahalnya, dari segi fadilatnya tidaklah aku alpa. Hanya aku sedikit tenang, terpujuk kerana teringat bahawa ada kenyataan supaya mendirikan solat sunat ini “..., ..., ..., sekali seumur hidup.” Kewajipan ini telah pun ditunaikan, beberapa kali sebelum ini. Ketika berada di Mekah dan Madinah untuk urusan haji dan umrah, aku berusaha mendirikan solat tasbih, sekurang-kurangnya sekali di setiap tempat.
Dengan kesedaran, didukung kesediaan yang ditanam semenjak masih belum berlepas dari tanah air, ibadat itu bukanlah di luar dari kemampuan dikerjakan semula.
Aku memilih waktu yang sesuai untuk melakukan. Selepas makan tengah hari, aku mendatangi Masjidul Haram untuk mendirikan solat Asar berjemaah. Aku mengambil ruang solat berpermaidani, di Tingkat 1, berdekatan dengan pintu masuk bereskalator, yang biasa digunakan sebelum ini. Waktu yang terluang sebelum azan Asar dikumandangkan paling ideal. Ketika itu masjid belum lagi disesaki jemaah.
Selepas bersolat tahiyattul masjid, aku pun melakukan solat Tasbih empat rakaat. Kaedah melaksanakan, serta dengan bacaan tasbih telah kurujuki dalam risalah yang dibawa.
Aku ingat benar dapat mengerjakan solat Tasbih dengan khusyuk. Orang-orang lain di sekeliling, atau sedang lalu-lalang di laluan di hadapan tidak mencacat tumpuanku. Bacaan tasbih serta bilangannya pada setiap satu peralihan posisi solat itu kuamati supaya tidak tersilap. Barangkali aku mengambil sekitar 35 minit untuk bersolat dan mengulangi bacaan tasbih sebanyak 300 kali itu.
Tidak terasa pun sukar melakukan. Barangkali, ada sebabnya. Dari segi fizikal aku tetap sihat, dari segi perut, baharu sahaja makan tengah hari, dari segi ruang solat ia ideal – tenteram, tanpa gangguan kesesakan, surah-surah yang dibaca dan ayat tasbih pun pendek-pendek serta mudah. Sebenarnya, penggera utama ialah tekad untuk mendirikannya.
Aku berdoa selepas solat itu: “Ya, Allah, ya Tuhan kami, kami memohon taufik daripada-Mu sepertimana mereka yang Engkau berikan petunjuk dan jadikan amalan kami sepertimana amalan ahli-ahli yakin, dan jadikanlah kami daripada golongan orang-orang yang menerima nasihat, golongan orang-orang yang bertaubat, dan mempunyai keamanan sepertimana orang-orang yang sabar, gementar kami sepertimana orang yang takut. Kami juga memohon sepertimana pemohonan orang-orang yang suka kepada kebaikan dan beribadat sepertimana beribadat orang-orang yang warak. Dan jadikanlah pengetahuan kami ini sepertimana pengetahuan orang-orang yang berilmu, dan masukkanlah kami ke dalam golongan orang-orang yang takut kepada Engkau. Ya, Allah kami memohon kepada-Mu jadikanlah kami terdiri daripada orang-orang yang takut kepada perbuatan maksiat sehingga kami sentiasa mentaati dan beramal dengan perintah-Mu sebagaimana amalan orang-orang yang mendapat keredaan-Mu dalam setiap perkara, dan kami memohon supaya menjadi orang-orang yang baik sangka kepada Engkau, Maha Suci Engkau sebagai Pencipta .” (Rujuk: “Panduan Qiamullail”, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, cetakan kesepuluh, 2006)
Ada kepuasan menyelinap di hati selesai bersolat ini. Sepanjang di Tanah Suci kali ini, inilah sekali sahaja dapat kugagahi.

Umrah 2019 (17): Bersaie sendiri

Umrah 2019 (17): Bersaie sendiri
Aku dan R bersolat Zuhur di Masjidul Haram, di ruang solat pilihan masing-masing. Kemudian kami balik ke hotel bersendirian. Selepas makan tengah hari, kami berehat di bilik hotel barang seketika. Kami ke masjid semula untuk mendirikan solat Asar. Abang Mie yang berpisah dengan kami selepas tawaf tadi beredar ditemani pesara tentera, yang selesa bersama-samanya. Semenjak itu, kami belum lagi berjumpa semula dengan mereka.
Aku berusaha menghubungi pesara tentera dan Abang Mie sendiri selepas solat Asar. Kami bercadang untuk bersaie bersama-sama. Malangnya perhubungan melalui telefon tidak menjadi. Barangkali ada masalah teknikal tentang simkad atau masalah lain yang aku benar-benar tidak arif mengendalikannya. Lama juga percubaan dilakukan untuk menghubungi mereka. Tetap gagal. Akhirnya, Aku dan R, memutuskan untuk bersaie tanpa mereka. Tentu mereka boleh melakukan berasingan. Masing-masing telah pun menyelesaikan dua kali umrah beberapa hari lepas.
Saie kami bermula. Kami tetap mengambil tempo perlahan tanpa terikut-ikut oleh tempo majoriti pensaie-pensaie yang lain. Mereka berkumpulan lebih besar dan ternampak ingin lebih segera menghabiskan setiap pusingan. Aku dan R pun tidaklah berjalan beriringan. Lazimnya, aku berada sepuluh belasan langkah di hadapan. Dalam melangkah, R kelihatan lebih bertumpu kepada risalah di tangannya. Dia seakan asyik merukuni. Keramaian di sekeliling hanyalah suatu suasana atau latar yang tidak memberi apa-apa pengaruh pun terhadap apa yang dilakukannya. Aku yakin beliau ‘tenggelam’ mengerjakan rukun itu.
Pernah juga berlaku, aku dapati R berada 10 meter di hadapanku. R sendiri tidak menyedari pun. Ini terjadi kerana kesilapanku memperlahankan tempoku dengan andaian R tidak terlalu jauh ketinggalan di belakang. Tetapi keasyikan R ternyata tidak merobah tempo langkahan. Bahkan dia bergerak mengikut tempo yang tetap. Bila demikian berlaku, aku akan segera menyesuaikan tempo langkahanku supaya tetap dapat melihat kelibat R dalam khalayak pensaie yang ramai itu.
Kami pun selesai bersaie dan bertahlul serta berdoa dan bersolat sunat. Gelombang pensaie semakin membesar. Tetapi masing-masing dengan tugasan menyempurnakan umrah sebaik-baiknya. Sebesar mana pun gelombang itu setiap orang akan menyelesaikannya tujuh pusingan mengikut tempo sendiri-sendiri.
Kami pun beransur meninggalkan Bukit Marwa menuju ke Pintu King Fahd, mengambil laluan Saie ke Bukit Safa. Pada pertengahan laluan itu aku ternampak Abang Mie mengekori pesara tentera di laluan khas pensaie berkerusi roda. Langkahan mereka bersantai. Aku gembira dan memberitahu R. Dari jarak 10 meter aku mengeloi, “Mie”! Dia menoleh dan kami pun, termasuk pesara tentera, bergerak menuju ke kaki Bukit Safa yang berhampiran.
Pesara tentera memberitahu, mereka berdua telah pun selesai bersaie. Abang Mie belum lagi bertahlul. Lalu di situ, aku menggunting rambutnya, melepaskan segala halangan berihram yang masih mengikat. Kemudian kami pun keluar daripada Masjidul Haram melalui Pintu King Fahd.
Abang Mie memberitahu dia hendak ke kedai gunting sebelum balik ke hotel. Wangnya ada. Dia tahu mencarinya sendiri. Lokasi kedai gunting hanya di aras bawah kompleks perhotelan tempat kami menginap itu. Pesara tentera itu pun tahu tempatnya. Dia sendiri telah menggondolkan kepalanya selepas menyempurnakan umrah pertama beberapa hari lepas. Aku sendiri masih tetap dengan rambut seperti ketika turun meninggalkan rumah.

Umrah 2019 (16): Hudaibiah

Umrah 2019 (16): Hudaibiah
Sememangnya penganjur pakej telah menyusun kekerapan umrah dengan munasabah, iaitu tiga kali. Setiap kali, tempat berniatnya pada miqat yang berlainan. Miqat pertama ialah ketika dalam penerbangan menuju Jeddah dikenali Qarnul Manazil. Semua ahli rombongan, aku percaya, melakukan. Miqat kedua, ialah di Jaaranah, yang mungkin sebahagian sahaja melakukan. Miqat ketiga ialah di Al Hudaibiah, yang mungkin juga ada beberapa orang jemaah sekadar menghadiri tetapi tidak memasang niat berumrah – oleh sebab-sebab tertentu.
Hudaibiah terletak di luar tanah suci Mekah. Kita akan melintasi sempadan yang menandakan status kedua-dua tempat ini – Kota Mekah dan Hudaibiah. Sejauh perjalanan itu seseorang tentu dapat melihat pembangunan kota Mekah. Banyak bangunan hotel, perumahan dan institusi telah terbina memadatkan kawasan yang sebelumnya berbukit batu atau berlapangan tanah kontan. Ternampak juga, rel keretapi yang menghubungi Kota Mekah dan Madinah. Difahamkan ia baru siap dan kini menyediakan perkhidmatan kepada orang awam.
Hudaibiah, khususnya, masjid ini tidaklah besar. Dewan solatnya boleh menampung lebih kurang 400 jemaah. Kemudahan bilik air belum memuaskan. Lebih baik kita telah berwuduk dan tidak terdesak oleh tuntutan semula jadi apabila datang di sini untuk bersolat sunat ihram dan berniat umrah. Walau bagaimanapun, sekitaran masjid ini telah ditambah baik. Kini ruang-ruang jualan telah dibina dan pelbagai barangan di jual. Ketika datang di sini dua tahun dahulu, tiada kemudahan ini disediakan. Nampaknya para penjual bukan berbangsa Arab. Mereka berperawakan bangsa dari benua kecil India. Di kalangan ahli rombongan kami, kuperhatikan sebahagian tetap galak membeli barangan pilihan mereka.
Di dalam bas, ustaz yang dijemput mutawif berceramah. Pemerian tentang Hudaibiah pernah kudengar kali pertama ketika datang berumrah dua tahun lalu. Mungkin ada sedikit kelainan penyampaian ustaz ini, tetapi inti cerita mereka tidaklah berbeza sangat.
Barangkali cerita Hudaibiah ini tidak pula terlalu asing pada semua ahli rombongan. Tentu mereka telah membacanya ketika dalam masa persekolahan dahulu. Atau, juga mendengarnya dalam ceramah-ceramah yang sering berkemundang di radio, tv, atau masjid-masjid dan seumpamanya di Malaysia.
Aku sendiri teringat, ada mendengar cerita Hudaibiah ini daripada ustaz yang mengajar Pendidikan Islam ketika di sekolah rendah lagi, iaitu pada awal tahun-tahun 1960-an. Pengetahuanku selepas itu berterusan melalui persekolahan menengah, dan pembacaan peribadi tentang Sirah Rasulullah S.A.W. Pengetahuan ini menjadi asas menilai keupayaan ustaz menyampaikan subjek ini kepada kami yang datang berumrah.
Aku tidak hendak menceritakan tentang ditil peristiwa Hudaibiah tahun keenam Hijrah dari segi detik-detik sejarah, seperti khabar angin pembunuhan Uthman bin 'Affan, wakil Nabi Muhammad kepada orang Quraish, baiah antara Nabi dengan orang-orang Islam yang mengiringi baginda untuk memerangi pihak Quraish, jurutulis perjanjian iaitu Ali bin Abi Talib, dan lain-lain.
Bagaimanapun, aku kira wajar menyentuh syarat-syarat Perjanjian Hudaibiah yang dipersetujui di antara Nabi Muhammad SAW dengan wakil puak Quraish. Syarat-syarat tersebut ialah: Nabi tidak boleh mengerjakan umrah pada tahun berkenaan; gencatan senjata antara kedua-dua pihak dipersetujui selama 10 tahun; sesiapa boleh masuk bergabung dengan sama ada pihak Nabi atau kaum Quraish; dan orang Quraish yang lari dan berpihak dengan Nabi Muhammad harus dikembalikan kepada Quraish tetapi orang Nabi Muhammad yang mendatangi Quraish tidak akan dikembalikan.
Ustaz telah memberi penjelasan, menekankan kebaikan perjanjian itu kepada pihak Islam dalam jangka panjang sungguhpun dari segi sepintas lalu ia lebih menguntungkan pihak Quraish. Bolehlah dirumuskan peristiwa ini memberi impak atau sumbangan yang besar terhadap perkembangan Islam seterusnya.
Seperti di Jaaranah, kami sebas berniat umrah dalam perjalanan pulang ke Mekah diajari ustaz. Beliau juga mengetuai laungan talbiah yang kami ikuti dengan semangat sendiri-sendiri. Laungan ini hanya singkat, beberapa pusingan sahaja.
Tiba semula di Mekah, selepas menselesakan diri di bilik, kami bertiga dan pesara tentera, isterinya dan seorang jemaah wanita lain berjalan bersama-sama menuju Dataran Kaabah. Kami beramai-ramai bertawaf di bawah terik matahari. Masing-masing telah mempunyai pengalaman dan ibadat ini berjalan lancar. Apabila selesai melakukan rukun itu, kami bersolat sunat dan kembali semula ke hotel. Waktu Zohor belum lagi masuk. Kami pula bercadang untuk bersaie selepas solat Asar.

Umrah 2019 (15): Tawaf Sunat

Umrah 2019 (15): Tawaf Sunat
Mengingat amalan tawaf sunat besar pahalanya, maka selepas solat Subuh, kufikirkan ibadat itulah paling sesuai dilakukan. Tambahan pula waktu sarapan pun belum tiba. Cuaca masih sangat baik, tidak panas. Lalu, bersama-sama Abang Mie, aku terus menuju Penjuru Hajarul Aswad untuk memulakannya. Para pentawaf lain belum terlalu ramai. Mengelilingi Kaabah menjadi lebih mudah dan lancar. Lebih kurang 25 minit sudahlah selesai tujuh pusingan.
Dalam bertawaf, antara pusingan, aku berdoa untuk kebaikanku, keluargaku - bercampur-campur menggunakan doa-doa yang tertera dalam risalah dan doa-doa yang dihamburkan sendiri dari hati kecil. Kumemohon kebahagiaan hidup sekeluarga, kesihatan yang baik, usia yang panjang, rezeki yang melimpah-ruah, keampunan Ilahi kerana dosa-dosa yang sentiasa dilakukan. Pendek kata, kupohon semuanya yang memberi kerahmatan ke atas aku dan keluarga, sama ada di dunia dan di akhirat. Aku doakan untuk kebahagiaan Abang Mie sekeluarga, Era sekeluarga, dan D sekeluarga. Mereka semuanya anak-anakku yang telah dewasa dan sedang membina keluarga masing-masing.
Abang Mie, yang berdekatan mengekoriku, kudengar berdoa sendiri. Dia jelas kudengar memohon supaya dipulihkan ‘masalah’ yang dihadapinya, memohon supaya isterinya jua disembuhkan daripada penyakit yang dihidapi, dan memohon supaya anaknya, Thaqif, menjadi seorang anak yang pandai dalam persekolahan nanti dan berjaya dalam kehidupannya. Ada kejujuran dan keikhlasan yang murni di sebalik setiap patah kata-kata yang diluahkan. Aku begitu terharu dan menjadi sebak mengingatkan pengalaman mendidik Abang Mie bersama-sama R, untuk sekian lama. Bersyukurlah aku, sekurang-kurangnya, telah dapat juga mengecapi kelazatan daripada usaha jerih-perih yang sebegitu hebat selama ini. Berbanding dengan ramai lagi ibu bapa yang menghadapi dugaan yang serupa, kami sudah boleh dikira terungkai daripada masalah itu, separatusan besarnya.
Selepas mendirikan solat sunat tawaf, kami pula meninggalkan Dataran Kaabah balik ke hotel berhampiran. Ketika itu masa sarapan di hotel sudah hampir benar. Kami terus menuju ke restoran. Makanan mewah yang terhidang tentulah tidak akan mengecewakan selera.
Hari itu kami tiada program yang khusus melibatkan rombongan. Acara bebas ini akan kami penuhi dengan kecenderungan sendiri. Yang paling utama mengisi sesi umrah ini dengan aspek-aspek keibadatan, mengatasi aspek-aspek yang lain.
Comments
  • Abd Jalil Abd Rahman ðŸ‡²ðŸ‡¾ Salam Dato !
    Maaf ana nak tanya sekadar ingin tahu. Abang Mie tu anak Dato yg dibawa bersama ke Penn State dahulu tu kah 
    Tqvm. Wallahua'lam ðŸŒ·
    1
  • Ahmad Said Ya, dia kini berumur 39 tahun
  • Abd Jalil Abd Rahman ðŸ‡²ðŸ‡¾ Alhamdulillah, Abg Mie sudah menjadi seorang yg sudah matang hasil dari didikan gigih ayah dan ibunya yang kaya dgn kesabaran. Semoga bahagia hidup Dato sekeluarga.
    Wallahua'lam ðŸŒ·
    1