Umrah 2019 (21): Gondol
Kami melakukan umrah kali kedua pada hari Sabtu, 13 April 2019. Selepas selesai bertahlul, Abang Mie pergi bergunting di kedai gunting di aras bawah hotel. Dia pergi bersendirian. Kemudian, aku juga berfikir untuk menggondolkan kepalaku. Ketika menuruni eskalator, kelihatan Abang Mie sedang menaiki eskalator di sebelah, tentunya hendak balik ke bilik. Rambutnya telah digunting pendek, tetapi tidak sampai botak.
Aku memanggil dia datang kearahku. Ingin aku bertanyakan lokasi sebenar kedai-kedai gunting dan mahu supaya dia menunjukkan. Jelas dengan lokasinya, Abang Mie kubiarkan kembali ke bilik dan aku seorang diri menuju ke destinasi. Sebelum itu dia memberitahu upah guntingan rambutnya itu ialah SR10.
Sebaik sahaja mengambil lorong menuju ke kedai gunting, seorang lelaki, barangkali berasal Bangladesh, bertanyakan, “Botak?, 10 Riyal”. Aku mengiyakan. Lalu dibawanya aku turun ke aras bawah melalui tangga berdekatan. Di aras bawah itu ternyata banyak kedai gunting, berderetan. Berderetan juga kedai makanan. Lelaki itu membawaku ke sebuah kedai gunting Arab (besar kemungkinan berbangsa Mesir), sambil memberitahu tukang gunting itu, “Botak, 10 Riyal”. Dia terus berlalu. Tentulah dia akan dibayar upah kerana khidmatnya mencari pelanggan.
Tukang gunting itu minta pengesahan tentang ‘pembotakan’ dan aku mengangguk sambil mengiyakan. Segera kepalaku dilumurkan cecair pelincir dan dia mencukurnya. Dalam enam-tujuh-lapan minit selesailah. Di depan cermin jelaslah kepalaku sudah gondol. Aku tersenyum sendiri.
Aku bertanya tukang gunting itu bayaran upahnya. Dia kurang faham. Seorang lelaki yang ada di dalam kedai itu, bercakap-cakap dengannya, dan kemudian memberitahuku upahnya SR20.00. Lelaki ini boleh berbahasa Melayu. Dia menyatakan upah menggondol adalah begitu, bukan SR10 seperti yang awalnya diberitahu oleh lelaki Bangladesh tadi.
Melihat aku sedikit tergamam, salah seorang daripada tiga orang lelaki muda yang duduk-duduk di luar kedai itu juga mengesahkan bahawa upah membotakkan kepala ialah SR20. Aku kira mereka semua penggunting di kedai itu. Lelaki terawal, yang duduk di dalam kedai, berdasarkan sikap dan gaya duduknya, boleh jadi ‘ketua’ atau ‘pemilik’ kedai itu. Aku tidak mempersoalkan bahkan membayar upah yang dinyatakan. Kemudian berlalu balik ke bilik hotel.
Tidak kerap aku mengalami pembotakan kepala. Berdasarkan ingatan, aku memang sentiasa berbotak ketika kecil. Begitulah trend atau gaya zaman itu. Hanya apabila memasuki sekolah rendah baharulah dibenarkan menyimpan rambut. Semenjak itu, maknanya, semenjak 1958 kepalaku sentiasa berambut. Dari hitam sampai beruban 99 persen. Rambut itu telah mengalami beberapa peringkat – gaya sekolah yang sederhana pendek, dan gaya mahasiswa universiti pada tahun-tahun awal 1970-an, yang panjang mencecah bahu. Ketika telah bekerja rambut itu sentiasa sederhana pendek, supaya mudah disikat dan tidak kelihatan mencacak.
Kali pertama, aku menggondolkan semula kepalaku ialah pada tahun 2002. Ketika itu aku berhaji dan selepas menyelesaikan pelontaran jumrah di Mina, bertahlul awal secara menggondolkannya dengan penggunting rambut yang memang memberikan perkhidmatan di situ. Aku ingat upahnya ketika itu ialah khamsa riyal.
Ketika berumrah pada tahun 2017, aku tidak menggondolkan kepala. Yang dilakukan sekadar menggunting sedikit rambut sahaja setiap kali bertahlul. Jadi, dengan penggondolan terbaru pada umrah kali ini, bermakna 17 tahun jaraknya rambut di kepalaku ini ‘dikekalkan tumbuh’ tanpa dicukur.

No comments:
Post a Comment