Umrah 2019 (23): Tawaf Wadak
Selesailah kami berumrah di Masjidul Haram. Kami berada di Mekah bagi tempoh 11 April hingga 16 April. Kami akan berziarah ke Madinah mulai 16 April hingga 21 April 2019. Berbanding umrah pada tahun 2017, ternyata umrah kali ini, iaitu selama 5 ½ hari di Mekah dan 5 ½ hari di Madinah, kekurangan sehari di Mekah sebaliknya bertambah sehari di Madinah.
Aku memang lebih suka, dan memilih untuk berumrah (Mekah) dahulu berbanding berziarah (Madinah). Alasannya jelas, iaitu tidak mahu lagi terikat oleh larangan berihram dalam urusan bertaraf ziarah (Madinah). Sungguhpun kedua-dua kota suci itu menjadi simbol peribadatan, tidak dapat dinafikan bahawa Mekah menghendaki konsentrasi amalan yang lebih tinggi berbanding Madinah. Sekurang-kurangnya, tanggapan inilah yang mempengaruhi intensiti peribadatanku. Aku lebih suka penjadualan umrah 2017 dahulu kerana melebihkan tempoh tinggal di Mekah sehari berbanding pakej kali ini. Namun, kami tertakluk dengan penjadualan yang ditetapkan.
Mutawif mengarahkan bagasi kami diletakkan di lobi lif tingkat 1 pada pukul 9 pagi. Pekerja hotel akan membawanya ke bas. Tawaf Wadak disyorkan antara pukul 9 hingga 11 pagi. Kunci bilik hotel perlu diserahkan kepada mutawif pada pukul 11 pagi. Kami, aku bertiga dan pesara tentera +2, bersepakat untuk bertawaf Wadak bersama-sama. Kami meninggalkan hotel selepas menghantar bagasi. Pada skrin TV di bilik kuperhatikan suasana bertawaf di Baitullah tidaklah sesak. Sesuai benar melakukan tawaf ketika itu jika mahu segera menyelesaikannya.
Lebih kurang pukul 9.30 pagi kami sudah berada di Dataran Kaabah. Ketika itu, para pentawaf tidaklah terlalu ramai. Aku mengetuai pasukan, memulakan tawaf di Penjuru Hajarul Aswad. Setiap pusingan berjalan lancar. Dalam setiap pusingan aku berdoa – seperti dalam risalah di tambah doa-doa yang kulafazkan sendiri dari hati kecilku. Pada tempat-tempatnya, kerana mengkhusyuki doa-doa peribadi itu, air mataku berlinangan, dan suaraku terputus-putus oleh kesebakan yang menunjal-nunjal benak. Barangkali aku terkenangkan segala yang kualami selama hidup di maya – mengenang asal diri, pencapaian hidup, rezeki yang tercurah, cabaran yang dihadapkan dan masa depan yang tidak diketahui – entah bila aku terus bernafas dan menjalani hidup dalam kenikmatan yang dilimpahkan kini.
Dalam tempoh setengah jam Tawaf Wadak kami selesai. Kami bersolat sunat tawaf di Dataran Kaabah. Tiada masalah mendapatkan ruang-ruang solat. Kami bersolat dengan selesa. Dalam tempoh 10-15 minit selesailah. Masa untuk bertolak masih panjang. Terlintas juga di fikiran, seharusnya tawaf itu dilakukan sedikit lewat, katalah pukul 10-10.30 pagi. Tetapi, mungkin juga pada waktu itu para pentawaf lebih ramai. Kami akan terbabit dalam kesesakan! Walau apa pun, kami sudahlah memenuhi syarat-syarat meninggalkan Kota Mekah. Tawaf Wadak kami sempurna. Menyedari syarat-syarat tawaf Wadak, kami tidak berlengah-lengah lagi menuju ke pintu King Fahd, keluar kembali semula ke hotel. Di situ kami akan menunggu bas yang bakal datang membawa kami ke Madinah.
Kami kembali berehat di bilik hotel. Ada sedikit kelebihan menginap sebilik dengan mutawif kerana kunci bilik boleh dilewatkan penyerahannya, jika kita sendiri memilih begitu. Sewajarnya demikian. Mungkin timbul keperluan untuk menselesakan diri di bilik air atau mengambil wuduk. Kami akan bersolat Zuhur pada pukul 12.21 di surau hotel dan restoran dibuka pada pukul 1 tengah hari untuk makan tengah hari. Aku menyerahkan kunci kepada mutawif lebih kurang pukul 12 tengah hari.
Bersama-sama Abang Mie, kami turun ke Tingkat 3, tempat letaknya surau. Di situlah kami ‘mengongsi’ sementara menunggu masuk waktu solat Zuhur. Selepas itu kami makan di hotel dan terus menunggu di lobi Tingkat RE bersama-sama ahli-ahli rombongan senombor (Kumpulan 3).
Bas kami tiba lebih kurang 2.15 petang. Kami turun ke tempat bas menunggu. Semua bagasi telah dipunggah ke perut bas, kami difahamkan. Ahli-ahli rombongan menaiki bas dengan tertib. Aku duduk bersama-sama Abang Mie dan R bersama-sama kawan sebiliknya, di sebelah kiri. Pesara tentera duduk di sisi isterinya, di sebelah kanan. Semuanya di tempat-tempat duduk bahagian depan.
Seseorang dari kalangan jemaah ditugaskan mutawif membilang kehadiran kami. Semuanya 44 orang tidak termasuk mutawif. Bas merah itupun bertolak meninggalkan hotel menuju Kota Suci Madinah. Pemandu kami ialah seorang Arab berkulit hitam. Ustaz muda yang tinggal sebilik denganku, yang berkerja dengan MAIM, telah diminta oleh mutawif memimpin doa. Beliau melakukannya sambil juga bercakap ringkas tentang tujuan rombongan iaitu menziarahi Rasulullah S.A.W.


No comments:
Post a Comment