Wednesday, 22 May 2019

Umrah 2019 (13): Pasrah di Dataran Kaabah

Umrah 2019 (13): Pasrah di Dataran Kaabah
Lebih kurang pukul 3.15 pagi aku dan Abang Mie menuju Masjidul Haram. Hari ini program pakej menyatakan “bebas” – maknanya tiada ziarah dan berniat di miqat. Aku merancangkan sesuatu yang lebih ‘mencabar’ untuk Abang Mie.
Kami memilih pintu 92 memasuki masjid pada aras bawah. Dari sini kami mengambil laluan pejalan kaki dan selepas 25 meter di dalam, menggunakan eskalator turun ke arah lebih bawah, separas Dataran Kaabah. Jemaah di ruangan yang berbumbung telah ramai walaupun seawal itu. Terlintas di fikiran, bahawa setiap jemaah ada niat jitu masing-masing. Pukul 3.15 pagi bukanlah awal mana pun untuk beribadah di depan Kaabah. Tentulah mereka mengunjungi Mekah mengharapkan barakah, sanggup bersusah payah.
Begitu juga kehadiran jemaah di Dataran Kaabah yang terbuka. Ia dikira ramai. Aku meninjau-ninjau ruang-ruang yang masih terluang, untuk dua orang duduk berhampiran. Tidak mudah kelihatan reruangnya. Ia menyebabkan kami perlu beralih ke ruangan yang lain pada penjuru Kaabah yang berbeza. Di sudut ini, aku ternampak kemungkinan mendapatkan tempat di kalangan jemaah yang sedia ada. Ketika melangkah mara ke saf-saf lebih ke hadapan aku minta Abang Mie mengisi satu tempat yang terbuka, lapang untuk seorang. Dalam keadaan semua jemaah berdiri, ruang itu sebenarnya boleh menampung dua jemaah.
Untuk mendapatkan tempatku sendiri, serentak beribadat selesa seawal itu, aku bergerak ke empat saf lebih ke depan. Cacatnya, ruang yang kucamkan itu dihimpit oleh bungkah-bungkah plastik berangkai hadangan yang sengaja diletakkan oleh pengawal keselamatan. Ruang pilihanku itu berlantai kosong, di sisi lantai yang berpermaidani. Sebenarnya, ruang itu kuperluaskan sendiri dengan menolak sedikit bungkah plastik penghadang sekadar sekaki. Lalu, aku jadikannya ruang solat yang ‘sah’ dengan menghamparkan sejadah nipis yang memang kubawa dalam beg sandang. Demikian telah biasa kulakukan semasa ‘kecemasan’ dalam pengalaman berhaji dan berumrah yang terdahulu. Ia bukanlah tektik yang seratus peratus selamat atau terjamin. Silap-silap haribulan, aku mungkin terusir dari situ!
Berpada dengannya, aku terus bersolat sunat. Di depan tersergam Kaabah. Di sekelilingku jemaah kian bertambah. Mereka yang bertawaf pun tidak dikira kecil bilangannya. Aku menoleh juga ke arah Abang Mie. Nampaknya dia sudah mantap bertapak di situ. Harap-harapnya dia boleh kekal bertahan terpisah sedikit jauh dariku. Waktu Subuh akan masuk pada pukul 5 pagi, bermakna satu setengah jam terluang untuk kami beribadat. Kukira ia masa yang panjang bagi Abang Mie, barangkali, tetapi tidak bagiku. Aku mengharapkan yang terbaik.
Pelbagai solat sunat didirikan - tahyatul masjid, tahajjud, hajat dan witir. Aku berzikir dan berdoa pada intervalnya. Di sebelah kiriku seorang jemaah dari India atau Pakistan. Dia berkerusi khusyuk beramal. Dari semasa ke semasa jemaah-jemaah lain datang ‘mengongsi’ ruangan berhampiran tempat dudukku, di sebelah kanan, tetapi di luar bungkah-bungkah hadangan yang di pasang. Ia sebenarnya laluan besar yang seharusnya dibiarkan kosong untuk kemudahan jemaah pergi bertawaf.
Memang pun jemaah-jemaah pengongsi itu tidak akan tenang duduk di situ. Bila-bila masa mereka mungkin teralih. Sebenarnya, kekerapan pengawal atau petugas datang menghalau para jemaah, terutama yang melibatkan wanita menjadikan suasana di situ tidak sangat ideal mengkhusyukkan ibadat. Hingar-bingar laungan atau teriakan, serta lalu-lalang yang terbabit daripada peristiwa-peristiwa itu menyumbang kepada gangguan tahap keheningan dan kebeningannya. Namun, suasana itu harus dihadapi. Dengan konsentrasi, tidak mustahil untuk seseorang meraih kepuasan atau ganjarannya.
Ada dua peristiwa yang menarik berlaku. Sebaik aku mendapat tempat bersolat, seorang petugas berbangsa Arab, berkulit putih, berjubah putih bersalut lapisan luar yang nipis, berbadan besar dan tinggi, kelihatan jelas ‘berpangkat’ datang sendiri menghalau jemaah wanita yang telah bersaf-saf duduk bertapak di pinggir yang selari dengan hujung bumbung. Mereka sebenarnya mengambil ruang di antara jemaah lelaki di bawah bumbung dengan ruang solat lelaki di Dataran Kaabah tempat aku berada. Ketika itu waktu Subuh bakal menjelang setengah jam lagi. Usiran yang agresif itu akhirnya memusnahkan saf-saf wanita tersebut. Mereka bercelaruan terusir ke belakang, entah di mana.
Satu lagi, kuperhatikan apabila Imam diiringi masuk untuk mengambil tempatnya, jemaah-jemaah yang bertawaf semakin reda, sebaliknya saf-saf solat Subuh mulai terbentuk dan berkembang mengelilingi Kaabah. Selain daripada menampung kalangan pentawaf, saf-saf ini mulai disertai oleh kumpulan jemaah yang terhalau tadi, atau mereka yang sedang berdiri-diri mencari ruang solat masing-masing. Pengawal keselamatan sudah melonggarkan kawalan bahkan membiarkan saf-saf itu terbentuk. Malah aku perhatikan mereka yang sudah sedia berada di tempat solat berpermaidani di Dataran Kaabah itu pun meluru ke saf-saf di depan mereka yang mengelilingi Kaabah itu.
Aku dapat merumuskan, bahawa untuk bersolat berdekatan Imam, atau sekurang-kurangnya pada ruangan laluan tawaf atau di Dataran Kaabah, fenomena ini haruslah diketahui. Masalahnya, sebelum bersolat fardhu kita biasanya datang lebih awal untuk melakukan pelbagai bentuk amalan sunat. Dua jam mungkin wajar. Tanpa merancang begitu amalan terjejas. Yang pasti, tanpa ruang duduk yang selesa, kekhusyukan beramal panjang mendepani resiko tercalar. Aspek ini tidak bijaksana dikesampingkan.

No comments:

Post a Comment