Wednesday, 22 May 2019

Umrah 2019 (3): Hotel di Mekah

Umrah 2019 (3): Hotel di Mekah
Selepas melepasi kaunter imigresen kami terus ke tempat mengambil bagasi. Ia tidak jauh dari situ. Aku menyorong troli dan mengambil bagasi kami. R dan Abang Mie diminta menunggu tidak jauh dari situ dengan troli membawa bagasi tangan kami. Sepuluh atau lima belas minit diambil untuk menunggu dan mengesan bagasi kami. Oleh sebab ada nama-nama dan riben berwarna khusus pada setiap bagasi milik kami, pengecamannya menjadi mudah. Kami beramai-ramai melalui pemeriksaan mesin skan kastam. Ia berjalan lancar. Kemudian barulah kami menolak troli masing-masing ke tempat menungggu bas lebih kurang 50 meter dari pintu keluar terminal. Di situ ada kemudahan bilik air dan ruangan solat berasingan untuk lelaki dan wanita. Sebahagian jemaah kelihatan menggunakan kemudahan itu untuk keselesaan masing-masing.
Hampir setengah jam kemudian jemaah sudah menolak troli bagasi masing-masing ke tempat bas sedang menunggu membawa jemaah ke Mekah. Aku tidak nampak mutawif kami menggerakkan inisiatif. Namun aku sekeluarga mengikut arus. Apabila hampir semua jemaah kumpulan lain menaiki bas mereka, baharulah jelas bas yang tersedia membawa kami meninggalkan lapangan terbang itu. Pun, apabila semua ahli kumpulan kami, (kumpulan 3), berada dalam bas, pegawai imigresen menaiki bas memeriksa setiap passport kami. Urusan itu segera selesai kerana dia menggunakan peralatan imbasan elektronik.
Dalam bas itu, berdekatan tempat kami duduk tersusun paket makanan untuk kumpulan dan sekotak berisi botol air mineral. Tentulah paket-paket itu akan dibahagikan kepada setiap daripada kami sebagai makanan tengah hari apabila tiba di hotel tempat menginap.
Apabila semua 44 orang kumpulan kami dipastikan berada di dalam bas, seorang jemaah bangkit di hadapan membacakan doa. Tiada pun pelawaan rasmi diisytiharkan oleh mutawif. Aku percaya mereka telah berbincang lebih awal. Pemuda yang menggalas peranan ini ternyata seorang berpendidikan agama kerana beliau pun mendahulukan tugasan itu dengan sedikit mukadimah tentang ibadat umrah yang sedang dilakukan serta dengan latar belakangnya. Beliau seterusnya berdoa termasuk doa menaiki kenderaan. Mutawif kami hanya berdiam diri berpuas hati menyaksikan semua berjalan lancar.
Ketika bas menghampiri sempadan tanah haram pemuda tadi memberitahunya. Beliau mendapat maklumat daripada pemandu bas. Para jemaah mendengar sambil menoleh ke arah papan tanda atau mercu yang dimaksudkan.
Akhirnya bas tiba di pekarangan hotel – Al Safwah New Orchid Hotel, tempat yang sama kami menginap ketika berumrah dua tahun lepas. Aku perhatikan ketika tiba solat Zohor sudah selesai didirikan di Masjidul Haram. Lebih ramai para jemaah berjalan santai ke arah hotel masing-masing pelbagai hala berbanding yang menuju ke arah Masjidul Haram. Mutawif mengarahkan jemaah tidak mengambil bagasi masing-masing termasuk bagasi tangan. Pihak hotel yang akan membawanya ke lobi lif di tingkat tertentu. Beliau juga mengarahkan jemaah ke Restoran D’Saji untuk makan tengah hari. Ada sebahagian jemaah membawa paket bekalan makanan dan botol minuman yang diletakka di dalam bas tadi. Sebenarnya tiada pun di kalangan jemaah itu tahu tempat restoran itu. Aku menjadi pemandunya apabila hampir tiba. Ingatan berulang-alik di situ ketika berumrah sebelum ini masih segar di minda. Selama di Mekah dahulu itu di restoran ini kami, aku dan R, bersarapan, makan tengah hari dan malam. Setiap daripada kami dibekalkan dengan kupon yang mencukupi untuk ditukarkan dengan habuan yang terkhusus untuk kami.
Sudah ramai pun jemaah yang lebih ‘senior’ mengisi ruang makan di situ. Kerusi dan meja kosong tidak banyak tersedia. Kami mengambil paket makanan dan minuman masing-masing dan mencari tempat duduk. Untuk makan tengah hari, waktu itu sudah sedikit terlampau. Walaupun tidak gelojoh, makanan yang terhidang mudah dan segera diperuti. Ada buah epal dibekalkan mencuci mulut. Kami segera meninggalkan meja makan. Ada orang lain pula menunggu giliran mereka.
Selepas makan tengah hari kami diminta ke Aras RE, Hotel Royal Orchid. Di sini lama juga kami menunggu. Maklumat bilik untuk kami berhenti melepaskan lelah tidak kunjung datang. Ada keresahan pada wajah jemaah. Mutawif tidak dapat memberikan maklumat. Kami kemudian diminta beralih ke aras Surau hotel. Ruangannya agak lapang untuk beristirehat, masing-masing khusus untuk lelaki dan perempuan. Agak lama kami ‘mengongsi’ di sini. Hajat untuk bertawaf bersaie terpaksa ditangguhkan. Suatu ketika aku pun nampak mutawif kami terlentang di situ, kecewa menghadapi suasana tidak beroleh bilik untuk menampung para jemaah kumpulan kami. Tumpul benar inisiatifnya. Aku sendiri tidak jelas masalah sebenarnya. Namun, kebimbangan kian meruap. Sampai ketika hanya aku dan Abang Mie tetap bertahan di situ. R pula kuminta tetap berada di ruangan muslimah. Para jemaah lelaki yang lain entah di mana mengongsi tidak kuketahaui.
Sementara itu, sedikit malang menimpaku. Seliparku yang diletak bersekali dengan selipar Abang Mie pula hilang. Seseorang telah tersalah memakainya selepas selesai bersolat Asar tadi. Selipar ini selipar yang amat bersejarah. Aku telah memakainya ketika berumrah pada tahun 2017 yang lalu. Pada umrah kali ini selipar ini masih utuh, tetap jadi pilihan utama. Namun, nasib menentukan. Ia hilang di ruang letak selipar di surau hotel di Mekah.Tadi mutawif memberitahu bahawa bagasi jemaah kumpulan kami telah diletakkan semuanya di lobi lif Tingkat 10. Semua bagasi jemaah kumpulan kami tersusun di situ. Aku mencari bagasi milikku. Daripada bagasi itu aku mengambil selipar lain, selipar baru, yang sengaja dibawa sebagai selipar ganti, menjangkakan kehilangan selipar boleh berlaku pada bila-bila masa.
Ketika hari sudah mulai gelap, aku sudah mulai nekat mendepani mutawif. Tambahan pula para jemaah yang sepenerbangan tiada lagi di situ. Mungkin mereka telah berada di bilik masing-masing! Semestinya, kedudukan bilik penginapan kami tidak wajar terawang-awangan lagi. Kami tidak boleh berkeadaan berihram sepanjang masa. Lalu, kami bertiga ke Tingkat RE, tempat lobi hotel tumpuan ramai jemaah yang menginap di situ. Sebaik melangkah ke lobi ternampak pesara tentera yang duduk di sisiku dalam penerbangan ke mari. Beliau kusapai dan dia kelihatan gembira memberitahu semua jemaah kumpulan kami telah ditentukan bilik masing-masing di Royal Orchid Hotel. Beliau membawa kami ke bilik 1825 tempat R bakal menginap bersama-sama isterinya dan seorang wanita yang lain. Aku dan Abang Mie akan menginap di Bilik 1830, berdekatan bersama-sama beliau dan dua orang yang lain.
Aku bergegas bersama-sama Abang Mie ke lobi lif tingkat 10, mengambil bagasi. Ternyata semua bagasi orang lain sudah tiada lagi. Yang tinggal hanya milik kami. Bagaimana maklumat pembahagian bilik paling akhir kami perolehi berbanding para jemaah yang lain tidak sangat mahu aku persoalkan. Ada keselekehan pengurusan, kurumuskan sendiri. Kami berdua mengheret bagasi ke tingkat 18, bilik 1825 untuk menghantar bagasi R dan bilik 1830 bilik kami berlabuh. Di bilik ini dua penginap lain adalah mutawif sendiri dan pemuda yang memimpin doa dalam bas daripada Jeddah ke Mekah tadi. Semua sekali lima penginap. Ia sebuah bilik yang selesa dan kemas, sesuai tarafnya berbintang 5.

No comments:

Post a Comment