Wednesday, 22 May 2019

Umrah 2019 (16): Hudaibiah

Umrah 2019 (16): Hudaibiah
Sememangnya penganjur pakej telah menyusun kekerapan umrah dengan munasabah, iaitu tiga kali. Setiap kali, tempat berniatnya pada miqat yang berlainan. Miqat pertama ialah ketika dalam penerbangan menuju Jeddah dikenali Qarnul Manazil. Semua ahli rombongan, aku percaya, melakukan. Miqat kedua, ialah di Jaaranah, yang mungkin sebahagian sahaja melakukan. Miqat ketiga ialah di Al Hudaibiah, yang mungkin juga ada beberapa orang jemaah sekadar menghadiri tetapi tidak memasang niat berumrah – oleh sebab-sebab tertentu.
Hudaibiah terletak di luar tanah suci Mekah. Kita akan melintasi sempadan yang menandakan status kedua-dua tempat ini – Kota Mekah dan Hudaibiah. Sejauh perjalanan itu seseorang tentu dapat melihat pembangunan kota Mekah. Banyak bangunan hotel, perumahan dan institusi telah terbina memadatkan kawasan yang sebelumnya berbukit batu atau berlapangan tanah kontan. Ternampak juga, rel keretapi yang menghubungi Kota Mekah dan Madinah. Difahamkan ia baru siap dan kini menyediakan perkhidmatan kepada orang awam.
Hudaibiah, khususnya, masjid ini tidaklah besar. Dewan solatnya boleh menampung lebih kurang 400 jemaah. Kemudahan bilik air belum memuaskan. Lebih baik kita telah berwuduk dan tidak terdesak oleh tuntutan semula jadi apabila datang di sini untuk bersolat sunat ihram dan berniat umrah. Walau bagaimanapun, sekitaran masjid ini telah ditambah baik. Kini ruang-ruang jualan telah dibina dan pelbagai barangan di jual. Ketika datang di sini dua tahun dahulu, tiada kemudahan ini disediakan. Nampaknya para penjual bukan berbangsa Arab. Mereka berperawakan bangsa dari benua kecil India. Di kalangan ahli rombongan kami, kuperhatikan sebahagian tetap galak membeli barangan pilihan mereka.
Di dalam bas, ustaz yang dijemput mutawif berceramah. Pemerian tentang Hudaibiah pernah kudengar kali pertama ketika datang berumrah dua tahun lalu. Mungkin ada sedikit kelainan penyampaian ustaz ini, tetapi inti cerita mereka tidaklah berbeza sangat.
Barangkali cerita Hudaibiah ini tidak pula terlalu asing pada semua ahli rombongan. Tentu mereka telah membacanya ketika dalam masa persekolahan dahulu. Atau, juga mendengarnya dalam ceramah-ceramah yang sering berkemundang di radio, tv, atau masjid-masjid dan seumpamanya di Malaysia.
Aku sendiri teringat, ada mendengar cerita Hudaibiah ini daripada ustaz yang mengajar Pendidikan Islam ketika di sekolah rendah lagi, iaitu pada awal tahun-tahun 1960-an. Pengetahuanku selepas itu berterusan melalui persekolahan menengah, dan pembacaan peribadi tentang Sirah Rasulullah S.A.W. Pengetahuan ini menjadi asas menilai keupayaan ustaz menyampaikan subjek ini kepada kami yang datang berumrah.
Aku tidak hendak menceritakan tentang ditil peristiwa Hudaibiah tahun keenam Hijrah dari segi detik-detik sejarah, seperti khabar angin pembunuhan Uthman bin 'Affan, wakil Nabi Muhammad kepada orang Quraish, baiah antara Nabi dengan orang-orang Islam yang mengiringi baginda untuk memerangi pihak Quraish, jurutulis perjanjian iaitu Ali bin Abi Talib, dan lain-lain.
Bagaimanapun, aku kira wajar menyentuh syarat-syarat Perjanjian Hudaibiah yang dipersetujui di antara Nabi Muhammad SAW dengan wakil puak Quraish. Syarat-syarat tersebut ialah: Nabi tidak boleh mengerjakan umrah pada tahun berkenaan; gencatan senjata antara kedua-dua pihak dipersetujui selama 10 tahun; sesiapa boleh masuk bergabung dengan sama ada pihak Nabi atau kaum Quraish; dan orang Quraish yang lari dan berpihak dengan Nabi Muhammad harus dikembalikan kepada Quraish tetapi orang Nabi Muhammad yang mendatangi Quraish tidak akan dikembalikan.
Ustaz telah memberi penjelasan, menekankan kebaikan perjanjian itu kepada pihak Islam dalam jangka panjang sungguhpun dari segi sepintas lalu ia lebih menguntungkan pihak Quraish. Bolehlah dirumuskan peristiwa ini memberi impak atau sumbangan yang besar terhadap perkembangan Islam seterusnya.
Seperti di Jaaranah, kami sebas berniat umrah dalam perjalanan pulang ke Mekah diajari ustaz. Beliau juga mengetuai laungan talbiah yang kami ikuti dengan semangat sendiri-sendiri. Laungan ini hanya singkat, beberapa pusingan sahaja.
Tiba semula di Mekah, selepas menselesakan diri di bilik, kami bertiga dan pesara tentera, isterinya dan seorang jemaah wanita lain berjalan bersama-sama menuju Dataran Kaabah. Kami beramai-ramai bertawaf di bawah terik matahari. Masing-masing telah mempunyai pengalaman dan ibadat ini berjalan lancar. Apabila selesai melakukan rukun itu, kami bersolat sunat dan kembali semula ke hotel. Waktu Zohor belum lagi masuk. Kami pula bercadang untuk bersaie selepas solat Asar.

No comments:

Post a Comment