Umrah 2019 (2) – Jeddah
Hampir keseluruhan penumpang pesawat ini adalah jemaah Tiram Travel, kecuali sekelompok daripada Palembang yang tidak menggunakan bagasi agensi itu. Pesawat ini penuh dengan para jemaah umrah. Ternyata Tiram Travel mendapat kedudukan yang baik di kalangan agensi pengendali umrah.
Kapten pesawat memaklumkan penerbangan akan mengambil masa 9 jam 10 minit. Ini suatu tempoh yang kuanggap lama. Namun tidak banyak dapat dilakukan. Pertama, waktu 4.40 pagi sudah menjadikan kami mengantuk dan perlu tidur atau berdiam diri. Tidak berapa lama lagi akan tiba waktu Subuh dan solat wajib didirikan. Untuk membaca-baca sudah tidak bersemangat lagi kerana mental dan fizikal tidak bersedia mengunyah bahan-bahannya.
Selepas bertolak kira-kira sejam atau lebih, kru pesawat mulai sibuk mengagihkan sarapan berupa Nasi Lemak. Paket yang diberikan tersedia dipanaskan. Sebotol kecil air mineral juga dibekalkan percuma. Menggunakan sudu dan garfu plastik, habuan itu aku langsaikan berselera. Memang ia menyelerakan. Kebetulan pula waktu itu perut pun sedang menagih isian. Catuan itu bahkan tidak mencukupi kalau hendak dikira tuntutan nafsu makan sebenar. Tetapi sekadar itulah yang ada dan kenalah berpuas hati dengan rezeki tersebut. Kru ada menjaja minuman tambahan -- kopi, teh dan lain-lain. Abang Mie memesan Kopi O dan harganya dibayar terus senilai RM6.
Pesawat terus terbang. Penumpang-penumpang membuat pilihan sendiri – sebahagian besar mulai tidur atau mengulit-ngulit diri. Memang pun masa telah terlampau untuk bersembang-sembang kosong.
Pun dalam sedikit kesempatan yang diambil, kukenali penumpang sebelah kiriku, seorang lelaki pesara tentera berusia 56 tahun. Dia tinggal di Setapak. Isterinya ada mengikuti tetapi mendapat tempat duduk agak berjauhan. Katanya, waktu terluang dalam persaraan digunakan sepenuh masa menghantar dan mengambil cucu-cucunya ke dan di sekolah. Beliau baharu diserang strok ringan tetapi secara aneh dapat dipulihkan oleh seorang perawat di Negeri Sembilan yang dicadangkan oleh seorang kenalannya. Ya, hanya dengan sedikit sentuhan dan bacaan strok yang beliau hadapi kembali pulih. Beliau sendiri takjub. Aku pun. Teringat kes Abang Cik yang terkena serangan yang sama, enam tujuh lapan tahun menderita, gagal dipulihkan sehingga berakhir dengan kematian!
Masa berengsut. Aku sendiri hanya tidur-tidur ayam. Mata dipejamkan tetapi minda berawas. Kerusi dan ruang tempat duduk tidaklah begitu selesa untuk tidur tetapi memadai untuk perjalanan yang semurni hajat di hati.
Kami dihidangkan makanan sekali lagi sebelum mendarat. Kali ini paket yang diberikan berupa nasi berlauk ayam (Kung Pao Chicken with Rice). Ia dijamu panas-panas. Serupa sarapan, juga enak menyelerakan. Air mineral botol kecil melengkapkan hidangan.
Kira-kira sejam menghampiri miqat, para mutawif Tiram Travel kelihatan berdiri di laluan antara tempat duduk. Ternyata mereka bersedia untuk melakukan sesuatu. Salah seorang mereka mulai memberitahu kewajipan berpakaian ihram kerana perlu berniat di miqat Qarnul Manazil. Larangan-larangan yang wajib dipatuhi selepas berniat perlu disedari sepanjang masa. Dam-dam kerana ketidakpatuhan jelas memberatkan. Bacaan talbiah dicadangkan dalam masa-masa yang terluang. Lafaz dan maksud niat umrah telah diajarkan. Para jemaah sudah boleh berniat atau menunggu ketibaan pesawat di miqat. Kapten akan memaklumkan apabila tiba di situ.
Ada kelihatan jemaah mulai berpakaian ihram. Sebahagian telah melakukan lebih awal dalam pesawat itu. Para jemaah ramai pula membaca-buku-buku kecil bermuat doa-doa di Tanah Suci. Sampai masanya, kapten membuat pengumuman tiba di miqat dan kami semua kini telah terikat dengan larangan-larangan berihram.
Sekitar 9.30 pagi pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah. Dari aerobridge tempat kami meninggalkan pesawat aku perhatikan tiada pesawat lain mendarat atau berlepas. Kami menuruni tangga ke aras tanah dan menaiki bas ke terminal pemeriksaan imigresen. Di sini pun tiada penumpang-penumpang daripada pesawat-pesawat yang lain.
Pemeriksaan passport melibatkan penumpang-penumpang pesawat Air Asia yang kami naiki sahaja. Banyak kaunter imigresen yang dibuka. Sebahagian dikendalikan oleh pegawai imigresen wanita. Aku, R dan Abang Mie mengambil lorong yang berkaunter wanita. Dalam beberapa minit semuanya selesai.
Alangkah lainnya pengalaman ini berbanding dengan pengalaman berumrah pada tahun 2017, atau berhaji pada 2002. Ya, bezanya antara bumi dengan langit. Satu penambahbaikan yang terlalu nyata. Adakah kerana petugas-petugas wanita lebih menumpukan tugasan berbanding sebelum ini, ketika semua kaunter dikendalikan oleh petugas lelaki?

No comments:
Post a Comment