Wednesday, 22 May 2019

Umrah 2019 (18): Solat Tasbih

Umrah 2019 (18): Solat Tasbih
Satu ibadat yang amat jarang kulakukan ialah bersolat Tasbih. Kalau di rumah, sentiasa terlintas alasan tidak melaksanakan. Barangkali, sebab utama, kerana ia memerlukan masa yang lama dan tumpuan penuh untuk mengulangi bacaan tasbih pada setiap kali peralihan posisi dalam solat tersebut. Tetapi alasan yang lebih tepatnya, aku belum lagi termasuk pengamal atau penganut yang soleh.
Rekod prestasiku mengenai solat ini diakui tercorot. Barangkali masih terbilang oleh jari kudirikan. Padahalnya, dari segi fadilatnya tidaklah aku alpa. Hanya aku sedikit tenang, terpujuk kerana teringat bahawa ada kenyataan supaya mendirikan solat sunat ini “..., ..., ..., sekali seumur hidup.” Kewajipan ini telah pun ditunaikan, beberapa kali sebelum ini. Ketika berada di Mekah dan Madinah untuk urusan haji dan umrah, aku berusaha mendirikan solat tasbih, sekurang-kurangnya sekali di setiap tempat.
Dengan kesedaran, didukung kesediaan yang ditanam semenjak masih belum berlepas dari tanah air, ibadat itu bukanlah di luar dari kemampuan dikerjakan semula.
Aku memilih waktu yang sesuai untuk melakukan. Selepas makan tengah hari, aku mendatangi Masjidul Haram untuk mendirikan solat Asar berjemaah. Aku mengambil ruang solat berpermaidani, di Tingkat 1, berdekatan dengan pintu masuk bereskalator, yang biasa digunakan sebelum ini. Waktu yang terluang sebelum azan Asar dikumandangkan paling ideal. Ketika itu masjid belum lagi disesaki jemaah.
Selepas bersolat tahiyattul masjid, aku pun melakukan solat Tasbih empat rakaat. Kaedah melaksanakan, serta dengan bacaan tasbih telah kurujuki dalam risalah yang dibawa.
Aku ingat benar dapat mengerjakan solat Tasbih dengan khusyuk. Orang-orang lain di sekeliling, atau sedang lalu-lalang di laluan di hadapan tidak mencacat tumpuanku. Bacaan tasbih serta bilangannya pada setiap satu peralihan posisi solat itu kuamati supaya tidak tersilap. Barangkali aku mengambil sekitar 35 minit untuk bersolat dan mengulangi bacaan tasbih sebanyak 300 kali itu.
Tidak terasa pun sukar melakukan. Barangkali, ada sebabnya. Dari segi fizikal aku tetap sihat, dari segi perut, baharu sahaja makan tengah hari, dari segi ruang solat ia ideal – tenteram, tanpa gangguan kesesakan, surah-surah yang dibaca dan ayat tasbih pun pendek-pendek serta mudah. Sebenarnya, penggera utama ialah tekad untuk mendirikannya.
Aku berdoa selepas solat itu: “Ya, Allah, ya Tuhan kami, kami memohon taufik daripada-Mu sepertimana mereka yang Engkau berikan petunjuk dan jadikan amalan kami sepertimana amalan ahli-ahli yakin, dan jadikanlah kami daripada golongan orang-orang yang menerima nasihat, golongan orang-orang yang bertaubat, dan mempunyai keamanan sepertimana orang-orang yang sabar, gementar kami sepertimana orang yang takut. Kami juga memohon sepertimana pemohonan orang-orang yang suka kepada kebaikan dan beribadat sepertimana beribadat orang-orang yang warak. Dan jadikanlah pengetahuan kami ini sepertimana pengetahuan orang-orang yang berilmu, dan masukkanlah kami ke dalam golongan orang-orang yang takut kepada Engkau. Ya, Allah kami memohon kepada-Mu jadikanlah kami terdiri daripada orang-orang yang takut kepada perbuatan maksiat sehingga kami sentiasa mentaati dan beramal dengan perintah-Mu sebagaimana amalan orang-orang yang mendapat keredaan-Mu dalam setiap perkara, dan kami memohon supaya menjadi orang-orang yang baik sangka kepada Engkau, Maha Suci Engkau sebagai Pencipta .” (Rujuk: “Panduan Qiamullail”, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, cetakan kesepuluh, 2006)
Ada kepuasan menyelinap di hati selesai bersolat ini. Sepanjang di Tanah Suci kali ini, inilah sekali sahaja dapat kugagahi.

No comments:

Post a Comment