Umrah 2019 (24): Di Lebuhraya Mekah-Madinah
Perjalanan dari Mekah ke Madinah kali ini adalah yang ketiga bagiku dan R. Jadi ia tidaklah begitu mengujakan berbanding sebelumnya. Aku masih ingat ketika mengerjakan haji dahulu perjalanan adalah menaiki bas dari Madinah ke Mekah, sebahagian besar pada waktu malam. Ia dikira tidak berperistiwa atau bermakna kerana segala yang dilalui – bukit, gunung, muka bumi tidak dapat dipandang mata. Ia suatu kerugian yang besar. Tiada terkesan di ingatan dari segi bentuk alamnya. Sedangkan jarak antara kedua-duanya lebih kurang 440 kilometer!
Pada umrah tahun 2017, perjalanan dari Mekah ke Madinah adalah pada waktu siang, seperti juga pada umrah kali ini, berlepas lebih kurang pada pukul 2-2.30 petang. Ini waktu yang sesuai untuk menumpukkan kepada pemandangan sepanjang lebuhraya yang dilalui. Kita pun tiada hambatan, kerana telah pun bersolat Zuhur dan makan tengah hari sebentar tadi.
Dalam setiap ‘kembara’ perjalanan jarak jauh sebegini sangat kutunggu-tunggu kerana banyak perkara yang dapat diperolehi melalui pemerhatian secara langsung sambil bergerak dari setempat ke setempat dalam keempukan berkenderaan dipandu orang lain. Apalagilah kalau perjalanan ini berunsur ziarah keagamaan. Ada sejarah yang tidak seharusnya dilepas pandang. Peristiwa hijrah, peperangan dan pendakwahan. Inilah masa untuk menghayati hakikat yang tidak dialami sendiri ribuan tahun berlalu pergi.
Dalam kes perjalanan ini, dapat dibayang atau dikaitkan betapa getir perjuangan Rasulullah S.A.W. dan para sahabat dalam mengasaskan negara Islam. Banjaran gunung dan bukit batu yang kering kontan, kesaujanaan pemandangan, kepanasan cuaca siang dan kesejukan suhu dan kegelitaan malam, dengan menunggang unta sambil terdedah kepada pelbagai bahaya di jalanan pastilah akan membangkitkan kesedaran di kalangan penganut Islam yang terkemudian. Segala cerita yang didengar, dibaca sudah tentu muncul menggelumangi minda lantas menimbulkan, tiada lain, kecuali kekaguman atau penghargaan mutlak terhadap pengorbanan Rasulullah S.A.W. dan sahabat-sahabat baginda.
Dalam perjalanan begini, aku tidak akan membiarkan diriku tertidur. Walau ratusan kilometer harus ditempuhi ia sebenarnya sesi pengajaran dan pembelajaran yang seharusnya tidak diketepikan. Maka, aku sangatlah hairan melihat sebahagian ahli-ahli rombongan memilih untuk melenakan diri. Kerugian membiarkan peluang itu terlepas begitu sahaja jauh lebih besar berbanding dengan keenakan melelapkan mata seketika.
Setelah lebih kurang dua jam perjalanan, bas kami berhenti di satu perhentian di sisi lebuhraya. Tentulah tempat ini pada pertengahan antara dua kota suci itu. Aku kurang pasti nama persinggahan ini. Di sini ada kedai-kedai makanan dan lain-lain. Ada juga kemudahan bersolat di premis kedai yang dijadikan surau; bukan bangunan surau yang berasingan atau khusus. Di sini aku dan Abang Mie bersolat Qasar Asar.
Kemudahan tandas sangat tidak memuaskan. Kita perlu beratur panjang untuk melepaskan air kecil dan besar. Kemudahan mengambil wuduk sangat tidak munasabah. Kuperhatikan, para penziarah mengambil wuduk di singki yang ada disediakan pada dinding bangunan restoran, pada bahagian belakangnya. Mereka memasukkan kaki ke singki apabila hendak membasuh kaki. Sudahlah begitu, singki-singki itu hanya enam atau tujuh buah, jauh berkurangan dibandingkan jumlah pengguna yang hampir-hampir serentak tiba singgah di situ. Bagaimana keadaan kemudahan itu untuk kaum wanita?
Aku sendiri memang lebih bersedia untuk menghadapi keadaan sebegini. Seboleh-bolehnya wuduk diambil awal dan dijaga kekal sepanjang perjalanan. Apalagi kalau melibatkan tandas, kucuba elakkan menggunakannya kerana tidak mahu terperangkap dalam penungguan dan kekalutan yang tidak menentu. Dalam pada itu, aku memperhatikan mutawif kami beratur untuk melangsaikan tuntutan alami, dan Abang Mie pun berdiri sabar mengambil giliran di belakangnya!
Selepas meninjau pantas sekitaran, aku beratur membeli Shawarma. Harganya SR5 satu. Kujuga membeli sebiji murtabak, berharga SR4-5 (?). Pembuatnya seperti orang Bangladesh. Pembelian ini bukanlah sangat-sangat kerana hendak mengenyangkan perut, tetapi lebih untuk merasakan sejauh mana keenakannya – satu untukku, satu lagi untuk Abang Mie. Minuman tidak dibeli. Ia telah sedia ada dalam beg sandang. Dibawa dari Mekah.
Di persinggahan itu, ada penjaja kecil-kecilan memperaga produk tempatan atau keperluan orang-orang bermusafir. Betul-betul di depan bas kami berhenti parkir, penjaja gerai madu dan barangan lain galak mengeloi para penziarah supaya singgah membeli dagangannya. Dia (juga rakan seniaganya) menggunakan bahasa Melayu. Seperti biasa, para musafir Malaysia menjadi pelanggan utama. Penjaja itu dikerumuni dan barangan jualannya luak dipunggah, hampir-hampir seperti lakunya pisang goreng panas di Malaysia.
Dari dalam bas, aku dapat memperhatikan, penjaja itu menggantikan barangan yang telah terjual dengan bekalan baru diambil dari kotak simpanan di bahagian bawah gerainya. Maknanya, walaupun petak pameran gerai itu tidak sebesar mana, jangan pula diperlekehkan, kerana jumlah sebenar bekalan bukanlah kecil. Hanya, kalau madulah yang hendak dijadikan bahan bualan, kurang pastilah aku ketulenannya; adakah seperti yang didakwa sebagai asli oleh penjual, atau berupa bahan campuran yang tidak ori lagi! Tetapi, bahan itu laku. Ada pembeli dari kalangan ahli-ahli rombongan kami yang singgah di situ.
Bas kami bertolak setengah jam kemudian.




No comments:
Post a Comment