Umrah 2019 (14): Salawat dan Salam
Setelah selesai bersolat sunat, aku menumpu kepada pembacaan salawat. Amalan ini kerap memberi kurniaan aliran air mata kepadaku hasil sebakan yang dialami – jikalau dua pengalaman berhaji dan berumrah terdahulu menjadi pengukurnya. Aku pun hairan juga, bagaimana pembacaan ini begitu berkesan sampai menghasilkan sebakan yang begitu nikmat. Dalam umrah kali ini, bacaan salawat itu menyentuh lagi perasaanku, sehingga berlinanganlah air mata. Teresak-esak dan berubah bibir dan seakan terherot mulut mengawal emosi yang tersentuh. Namun, kusedari linangan atau sebakan itu tidaklah sehebat seperti yang kualami ketika berhaji pada 2002 dan berumrah sebelum ini, pada tahun 2017.
Dalam risalah yang kugunakan, terdapat 25 versi salawat dan 15 salam, menjadikan semuanya 40 versi yang berlainan. Risalah ini diperolehi dalam tahun 2002 daripada seorang penceramah yang mengajar kelas haji dianjurkan khas oleh salah seorang kenalan yang rapat dengan penceramah berkenaan. Ketika itu aku, isteri dan beberapa kenalan pasangan yang lain dijemput menghadiri sama sesi itu. Matlamat khusus sesi kursus ialah agar kami lebih bersedia mengerjakan haji pada tahun berkenaan.
Yang menjadi tanda tanyaku sehingga sekarang; kenapa sebakan dan aliran air mata itu tidak berlaku jika kubaca salawat itu di rumah, di masjid kariahku, bahkan di Masjid Nabawi pun. Ia hanya terjadi di Masjidul Haram, pada kali pertama (hari pertama ), kedua (hari kedua), dan ketiga (hari ketiga) pembacaan. Selepas itu ia tidak akan berlaku lagi (hari keempat dan seterusnya), walaupun dicuba bersungguh-sungguh. Hanya sedikit perbezaan, pada umrah kali ini, di Dataran Kaabah inilah ia lebih kunikmati semula, selepas sedikit merasainya pada kali pertama membacanya dua hari sebelum itu – ketika bersendirian menjelang solat Subuh di ruang solat yang lain Masjidul Haram.
Risalah ini dan kesan pembacaannya ke atasku pernah kucerita apabila menerangkan pengalaman berhaji kepada saudara mara atau sahabat taulan yang rapat. Kepada seorang adikku, pernah kuberikan risalah itu dan diamalkannya ketika beribadah di Masjidul Haram. Dia tidak merasai kesan seperti kunyatakan. Sebaliknya, sebakan dan tangisan dialaminya hasil berdoa, melalui pembacaan surah-surah tertentu Al-Quran. Abang Mie ada membawa risalah salawat ini. Dia membacanya di ruang asal Masjid Nabawi di Madinah. Aku rapat duduk di sisinya. Dia pun tidak memperlihatkan kesan yang kuceritakan.
Setelah 17 tahun risalah ini dalam simpananku, aku melayari internet untuk mengetahui lebih lanjut tentang risalah ini. Aku menjumpai risalah yang sama tetapi dengan tambahan “English Translation and Transliteration” berjudul “40 Salat & Salam”. Risalah ini disusun oleh Moulana Zakaria Khadalwi. Judul versi dalam simpananku ialah, kusalin judul Inggerisnya, “Forty ahaadith on Salat alan Nabi Sallallahi alaihi wasallam”.

No comments:
Post a Comment