Umrah 2019 (4): Bertawaf
Kami solat Maghrib dan Isya’ di bilik hotel. Kesuntukan masa menjadikan solat berkenaan di Masjidul Haram dijangka tidak selesa. Jemaah yang ramai di seluruh pelusuk masjid mungkin menyukarkan pemerolehan tempat bersolat di dalam masjid. Pengalaman yang lalu memandu keputusan tersebut. Tambahan pula, kami belum makan malam. Kelam-kabut memperoleh bilik menginap tadi menambah keyakinan untuk bertindak lebih bijaksana agar ibadat yang bakal dikerjakan benar-benar sempurna. Pun, terkilan juga, mengirakan ganjaran pahala yang terlepas.
Kami turun makan malam di tingkat terletak semua restoran hotel. Sekurang-kurangnya di sayap bangunan sebelah ini terdapat tiga buah restoran. Kami dikhaskan restoran yang paling ke dalam. Dari lobi lif ke sini, perlu melalui lorong yang agak sempit sebelum kemudian melega selesa. Restoran ini membekalkan pelbagai jenis makanan. Ringkasnya menu yang tersedia kukira mewah. Wajah jemaah yang sedang makan dan beratur menunggu giliran masing-masing kelihatan ceria. Sewajarnya demikian, kerana makanan yang terhidang lebih dari diperlukan mengikut lazimnya. Pilihannya banyak. Pelbagai. Kalau dibandingkan dengan makanan ketika berumrah pada tahun 2017, menggunakan kupon di Restoran D’Saji, layanan dan hidangan buffet kali ini terlalu jauh baiknya. Terasa teramat murah pakej umrah kali ini!
Yang pasti, Abang Mie tidak menghadapi masalah langsung memilih menu kegemaran. Semuanya ada, tanpa had. Ayam, daging, ikan, sayur, roti/pastri, sup, minuman sejuk/panas, dan lain-lain. Jika habis boleh ditambah lagi. Meja makan pun berhias. Sudu, garfu, napkin, tisu mewah, botol-botol lada hitam dan garam tersedia. Aku sendiri tidak menyangka layanan sebegini. Namun, daripada mutawif kuketahui ada kalangan jemaah merungut kerana tidak mendapat layanan yang sama. Mereka makan di tempat lain, pada awalnya. Ini sebenarnya bukan masalah tidak layak menikmati, tetapi lebih kepada penyelarasan yang tidak lancar. Mungkin maklumat yang disampaikan oleh mutawif tidak benar-benar sampai di kalangan jemaah tertentu atau sebab-sebab lain. WhatsApp pun boleh jadi belum berfungsi sepenuhnya. Bersyukurlah, dari segi ini, kami sendiri tidak lagi menghadapi masalah mendapatkan maklumat kerana mutawif tinggal sebilik dengan kami. R pula selalu kuhubungi melalui telefon menjelaskan situasi. Kami tidak terpinga-pinga.
Skrin TV di bilik menyiarkan pelaksanaan urusan tawaf secara langsung. 24 jam tidak berhenti-henti. Bacaan Al-Quran para qari terkenal mengiringinya. Kami dapat menilai kesesakan itu dengan mata sendiri. Semua penghuni bilik kami sepakat untuk mengerjakan tawaf bersama-sama, termasuk semua jemaah perempuan pasangan atau ahli-ahli keluarga masing-masing. Semua sekali kuanggarkan 12 orang jemaah termasuk seorang yang berkerusi roda. Dia sebenarnya ibu pemuda pendoa yang tinggal sebilik itu. Jemaah lain dalam kumpulan kami memutuskan akan melakukan tawaf sendiri. Tidak melibatkan mutawif.
Aku sebenarnya tidaklah bimbang bahkan lebih suka untuk bertawaf sendiri, bersama-sama hanya R dan Abang Mie. Di kalangan yang lain, mereka jelas mengharapkan bimbingan. Dan peranan ini akan dimainkan oleh mutawif sendiri. Dalam pada itu beliau berpesan agar kami semua dapat bergerak dalam satu kumpulan dan mengelakkan daripada berpisah. Pun, jika demikian tidak dapat dilakukan kami bersetuju untuk berjumpa semula di penjuru hijau Hajarul Aswad apabila jumlah pusingan wajib tawaf selesai.
Jarak hotel dengan pintu King Fahd di Masjidul Haram hanya 50 meter sahaja. Mutawif mendahului langkah menuju Dataran Kaabah. Kami rapat mengekori. Setiap orang diminta merujuk buku doa masing-masing untuk mendoakan mengikut kesesuaian – ketika melihat Baitullah, pada penjuru-penjuru tertentu dan lain-lain. Dalam seketika kami telah menuruni eskalator ke aras Dataran Kaabah pada pintu King Abdul Aziz. Para pentawaf sederhana ramainya. Para jemaah lain pun bertaburan di Dataran Kaabah dan tempat-tempat lain yang berbumbung. Aku tahu waktu itu sangat selesa bertawaf kerana solat Isya’ telah selesai, cuaca baik, teduh. Kami semua pula bersedia dari segi mental dan fizikal.
Berhati-hati kami menuju garisan permulaan tawaf setentang Penjuru Hajarul Aswad. Ia lagi mudah dikenali kerana ditandakan dengan lampu hijau yang jelas pada dinding Masjidul Haram bersetentangan dengannya. Kami berniat tawaf dan memulakan dengan membaca Bismillah... Allahuakbar sambil melambai Hajarul Aswad dan mengucup tangan itu. Diperhatikan jemaah lain pun melakukan sedemikian juga. Aku, R dan Abang Mie rapat bertiga sambil melangkah yakin dalam pusuan jemaah yang lain. Masing-masing mendoakan sendiri, apa sahaja yang terhajat di hati. Hanya apabila memasuki Penjuru Yamani, kami mendoakan “Rabbana atina fiddunia hasanatan....”. Namun, pada pusingan kedua, kami sudah terpisah daripada pasukan kami. Ia tidak merisaukan. Aku yakin, masing-masing boleh menghadapi keadaan. Aku sendiri telah dua kali di sini sebelum ini, berhaji dan berumrah, dan yang lain aku pasti tetap bersama-sama dengan mutawif.
Pusingan tawaf berlangsung lancar. Satu demi satu. Tiada himpitan dialami. Memang pun, seboleh-bolehnya kami elakkan terjebak dalam situasi itu. Kecuali pada permulaan tawaf pada setiap pusingan, kesesakan tidak terlalu melampau. Pada Penjuru-penjuru Iraqi, Syami kami dan pentawaf-pentawaf lain bergerak selesa. Apabila menghampiri Penjuru Yamani, sengaja aku bergerak mengambil pusingan yang lebih besar, sedikit menjauhi penjuru itu, lagi-lagi apabila berada di Penjuru Hajarul Aswad. Demikian demi mengelakkan himpitan. R dan Abang Mie hanyalah mengikuti. Memang pun tiada cadangan untuk merapati Hajarul Aswad atau pun bangunan Kaabah itu.
Yang kusedari, setiap bertambah pusingan, semakin ramai pentawaf. Ternyata, kian malam memanjang, pentawaf kian bertambah, memadatkan Dataran Kaabah. Sehingga apabila kami selesai tujuh pusingan, untuk keluar dari gelombang pentawaf tidaklah mudah. Perlu kami melajak jauh ke depan supaya dapat keluar dengan lebih mudah dan cepat.
Untuk bersolat sunat tawaf tidak nampak peluang melakukannya berhampiran Makam Ibrahim. Di situ telah menjadi tempat bertawaf sepenuhnya. Tempat ini kami pernah bersolat sunat tawaf ketika mengerjakan haji pada tahun 2002 dahulu. Aku ingat mengawal ruang solat R, risau dirempuh para pentawaf yang sememangnya ‘menceroboh’ juga ruangan ini dalam pusingan tawaf mereka. Sungguhpun fadilatnya dimaklumi, kali ini ia adalah mustahil dikerjakan. Di Dataran Kaabah berhampiran Penjuru Hajarul Aswad pun, solat sunat sukar dilakukan kerana para jemaah lain telah juga membanjirinya. Lalu aku memutuskan bersolat sunat di Dataran Kaabah sekitar Penjuru Iraqi/Syami.
Aku kira rukun tawaf itu kami selesaikan hampir dalam masa sejam. Melihat kepada kadar peningkatan para jemaah baru yang melaksanakan tawaf masing-masing, masa yang diambil itu akan lebih panjang jika kami tidak memulakan awal-awal seperti yang telah dilakukan. Maknanya, kami telah bertindak menepati suasana.
Aku memang ingat janji kumpulan untuk bertemu semula di kawasan hijau Penjuru Hajarul Aswad. Namun, pertambahan kesesakan jemaah yang bertawaf, kepadatan kian nyata di penjuru berkenaan menjadikan aku memutuskan untuk tidak melawan arus untuk ke sekitar tempat itu. Langkah yang lebih praktikal ialah meneruskan rukun seterusnya, iaitu bersaie. Dari tempat kami bersolat sunat tawaf ke lorong keluar Dataran Kaabah menuju ke Bukit Safa berdekatan sahaja.

No comments:
Post a Comment