Sunday 31 August 2014

Mencari "Merdeka"

Mencari ‘Merdeka’

Ada 183 sajak ciptaan sebelum Perang Dunia Kedua kuanalisis. Sajak terawal bertarikh 18 Januari 1918 (Utusan Melayu) dan terakhir, November 1941 (Majalah Guru). Tiada seorang pun menuturkan perkataan “Merdeka”. Mujurlah penyajak Mohd. Hashim Baharuddin pertama sekali menyelitkan perkataan “kemerdehekaan” iaitu dalam sajaknya, “Aku Berpesan Dengan Terus Terang”, (Majlis, 12 Mac 1940). Kata beliau, “Taraf Melayu lepas peperangan /Bukanlah pula menuntut kemerdehekaan/Hanya juga yang di bawah naungan/Kerajaan British yang maha keadilan.” (lihat, Pyan Husayn & Suhaimi Haji Muhammad (Penyelenggara), “Embun Pagi Antologi Puisi Sebelum Perang”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, cetakan pertama, muka surat 123).

Ali bin Haji Ahmad, mengumpul 38 buah sajak yang mewakili puisi baharu Melayu yang awal (semenjak 1934-September 1941). Tetapi hanya satu saja sajak yang menyerlahkan perkataan ‘merdeka’ iaitu karya Abu Samah berjudul “Tanahairku” (Majalah Guru, 7/1941), Saya salin, “Engkaulah oh bumi yang indah/Tanah putera bahagia baka/Engkaulah bumi tanah penyudah/Tempat berjuang menebus merdeka.” (Lihat, “Puisi Baharu Melayu (Zaman Permulaan), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1965, cetakan ketiga, (cetakan pertama, 1959; cetakan kedua, 1962), muka surat 43).

Dalam sajak-sajak yang tergolong dalam gubahan tahun-tahun 1947-1949, Abdullah Sanggura, melalui “O… Malaya Tanahairku” (muka surat 14) ada menyebut, “Bahagia raya dalam alam merdeka”; dan “Tidak ada korban tidak ada kemerdekaan.” Dan, Ahmad Nordin, dalam “Hang Tuah”, (muka surat 16), menyebut, “Melayu takkan hilang di dunia/Berani berjuang dengan upaya/Untuk kemerdekaan negara dan bangsa.”

Menyentuh pendirian Majalah Guru, Ali bin Ahmad memberitahu, bahawa Mohamad Yasin Maamur menyatakan bahawa “Majalah Guru menerima syarat dari pentadbir pelajaran untuk tidak memuatkan apa juga tulisan yang menyentuh soal politik dewasa itu.” (muka surat 28).

Kamaruzzaman Abd. Kadir, menyenaraikan 398 buah sajak berunsur nasionalisme di antara tahun-tahun 1933-1957. Beberapa buah sahaja yang menggunakan judul ‘merdeka’ iaitu 1. Tongkat Warrant, “Nikmat Kemerdekaan”, Utusan Zaman, 31 Julai 1949; 2. Tongkat Warrant, “Zaman Merdeka”, Utusan Zaman, 15 Januari 1950; 3. Muhibah Asmara, “Merdeka”, Utusan Zaman, 17 Disember 1950; 4. Hamzah, “Anak-anak Merdeka”, Utusan Zaman, 12 Ogos 1951; 5. Tomo Malaya, “Jiwa Merdeka”, Majalah Guru, Jil. 30, April 1954; 6. Johari Alias, “Masyarakat Merdeka”, Majalah Guru, Jilid 30, Jun 1954; 7. Tongkat Warrant, “Merdeka”, Utusan Zaman, 4 Julai 1954; 8. Asmahan, Perak, “Untuk Malaya Merdeka”, Majalah Guru, Jilid 30, Ogos 1954; 9. M. Ismail, Kemaman, “Sekali Merdeka Tetap Merdeka”, Utusan Zaman, 4 Mac 1956; 10. Abdullah Abdul Ghani, “Merdeka! Merdeka! Merdeka!”, Utusan Zaman, 25 Mac 1956; 11. Hasbima, “Kekal Merdeka”, Majalah Guru, Jilid 32, Mei 1956; 12. A.S. Amin, “Jiwa Merdeka”, Mastika, Julai 1956; 13. A. Samad Ahmad, “Hari Kemerdekaan”, Utusan Zaman, 2 September 1956; 14. Kaman 56, “Rindukan Malaya Yang Merdeka”, 
Majalah Guru, Jilid 32, Oktober 1956; dan dua lagi yang telah saya nyatakan dalam pos yang awal bertajuk “Merakam kemerdekaan” bertarikh 27 Ogos 2014, karya Ibu Zain. Bermakna 16 sajak semuanya. (lihat “Nasionalisme Dalam Puisi Melayu Moden 1933-1957”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, cetakan kedua (cetakan pertama, 1982).

Saya suka menyebut tiga buah sajak; Rosmera berjudul “Bebas”, Kencana, Tahun 1, Bil 12, Disember 1947; Bakhtiar Jamily, “Kebangsaan”, Mastika, Bil. 53, Mac 1951; dan A.S. Ally, “Menebus Kedaulatan”, Majalah Guru, Jilid 31, Ogos 1955. Selain itu, ada juga penulis menggunakan nama samaran, “Pemuda Merdeka” (Mastika, Bil. 57, Julai 1951) dan “Pena Merdeka, Perlis” (Majalah Guru, Jilid 32, Julai 1956).

Merdeka

Merdeka 

Merdeka itu hak berdaulat 
Wujud tanpa digugat 
Seteru akur hormat 
Manfaati rakyat 
Tugu teladan padat amanat
Azimat walau berangkat.

Askat
Petaling Jaya 
(30 Ogos 2014=4 Zulkaedah 1435)

Merakam kemerdekaan

Puisi bulan merdeka (Ogos) tahun kemerdekaan (1957) sebenarnya tidak banyak boleh ditemui. Setakat yang dapat dikesan dari semakan mudah ada dua dicipta oleh Ibu Zain (“Bangun – Maju – Merdeka”; dan “Tanah Melayu Kekal Merdeka” (Lihat, Abdul Latiff Abu Bakar (Penyelenggara), “Puisi-puisi Kebangsaan 1913 -1957”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, cetakan pertama, muka surat 640 – 641). Sajak yang merakam peristiwa menyambut kemerdekaan lagi jarang ditemui, kecuali satu iaitu karya Hasbima, “Sedetik Setelah Merdeka”,(lihat, Othman Puteh dan Rahman Shaari (Penyelenggara), “Begini Rupanya”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993, cetakan pertama, muka surat 566-567).

Sebagai penghormatan kerana ‘jasa’ mereka menjulang kepentingan saat, masa dan peristiwa mega itu, kupetik sebahagian gubahan mereka, pertamanya, Hasbima, “Gema loceng merampas keheningan malam,/Sorak merdeka, meraung garang;/Pergi detik sejarah, musnah sebuah kisah,/Bendera tua; menyembah bumi.”/Bendera muda, menjulang tinggi.” (muka surat 566)

Dari sajak Ibu Zain, “Merdeka bangsa merdeka negeri/merdeka bahasa jiwa sendiri/adat resam baharu bahri/budaya bangsa hidup berseri.” (“Bangun- Maju – Merdeka”, muka surat 640).

ASKAT: Aku sendiri anak pra-merdeka tetapi lama selepas merdeka baharu boleh menghayati erti kemerdekaan.

Kehadiran

Aku memberhentikan kereta di petak yang disediakan. Pondok keselamatan dihampiri memohon izin masuk. Notis di pintu pagar jelas mengarahkan para pelawat berbuat demikian. Pegawal bertugas membenarkan apabila kuberitahu hasrat menghadiri majlis pertemuan dengan Ketua Pengarah.

“Saya dijemput.”

“Mesyuarat dengan Tan Sri?”, tanya pengawal itu, sedikit terkejut.

“Eh! Tak tahukah dia, majlis penting ini. Hanya orang-orang tertentu saja diundang. Bilangan mereka pun terhad.”. Terlintas di hatinya ada kelemahan nyata.   “Masakan.” Sedikit menjengkel.

“Ya”, balasku santun.

Pengawal itu menekan swic di hadapannya. Sekali gus palang hadangan laluan masuk terangkat. Dalam hatiku, “Mudah rupanya masuk ke pejabat ini.” Tidak  pun perlu memperkenalkan diri. Barangkali, tali leherku mempengaruhi.

Aku masuk ke kereta dan memandu ke medan yang dikhaskan. Sebaik keluar berjalan meninggalkan medan menuju bangunan aku menoleh ke pondok itu. Tampak olehku pengawal tadi sudah berdiri di luar pondok. Dia kelihatan lebih segak. Sudah lengkap bertopi. Apa tidaknya 15 minit lagi Tan Sri akan tiba. Tidaklah senonoh jika dia tetap dalam pondok, bersenang-senang diri.  

Dua puluh minit sudah berlalu. Yang ditunggu belum tiba. Para jemputan pun.  Ketika aku datang semula ke kereta, kelihatan pengawal masih mundar mandir di luar pondok.   Ketika memandu keluar, aku memberhentikan kereta berhampiran pengawal itu. Cermin sisi depan sebelah kiri kuturunkan.

“Saya tersilap tarikh. Program sebenarnya esok. Tengah hari.”  

Pengawal itu mengangguk. Dia tersenyum. Lega. Aku beredar perlahan. Dari cermin dalam kereta kulihat pengawal itu melangkah  mantap ke pondok. Tentulah dia akan duduk-duduk selesa semula. 

Pantulan 43/14: Sajak M Jusoff Taib, "Rahim"

Pantulan 43/14: Demi keredhaan

Kejarangan timbul karya-karya sajak beliau dalam rutin pembelekan harianku mewajarkan pantulan terhadap kejumpaan sebuah sajak teman fbku yang sangat prolifik di laman maya mutakhir ini. Dalam ruangan “PuisiBulan Ini”, Dewan Sastera yang memuatkan sajak-sajak memfokuskan kemerdekaan, sajak “Rahim”, Dewan Sastera, Ogos 1990, muka surat 15 jauh menyimpang daripada tema utama berkenaan. Penyajak M Jusoff Taib bercerita tentang kewujudan di maya ini menyusuli kelahiran. Tanpa mengurut yang lain dalam sajak beliau, kita masih boleh menyedut faedah dari kata-kata, “… gubahkan nafsu jadi keinginan syahdu/dan cinta jadi lazuardi mardiah///…mencari makna/melintasi matahari dan bulan/di antara kehidupan dan kematian.” Usul yang sangat positif demi memakmurkan.

ASKAT: Namun kita masih mudah terleka, berbelah-bahagi memilih bentuk penglibatan dalam melangkah ke alam lain. Sedangkan temanku tentunya telah me”makna”kan kesempatan yang terbuka lantaran kesedaran ‘awal’ itu ( selepas hampir suku abad) menjadikannya sebagai agenda mega dalam perjuangan setiap insan yang takwa. Bertuah juga merenungi kini, sebab ia adalah inti yang seharusnya dihayati, selagi nadi belum terhenti berfungsi.
 — at Dewan Sastera, Ogos 1990.

Photo: Pantulan 43/14: Demi keredhaan

Kejarangan timbul karya-karya sajak beliau dalam rutin pembelekan harianku mewajarkan pantulan terhadap kejumpaan sebuah sajak teman fbku yang sangat  prolifik di laman maya mutakhir ini. Dalam ruangan “Puisi Bulan Ini”, Dewan Sastera yang memuatkan sajak-sajak memfokuskan kemerdekaan, sajak “Rahim”, Dewan Sastera, Ogos 1990, muka surat 15 jauh menyimpang daripada tema utama berkenaan. Penyajak M Jusoff Taib bercerita tentang kewujudan di maya ini menyusuli kelahiran. Tanpa mengurut yang lain dalam sajak beliau, kita masih boleh menyedut faedah dari kata-kata, “… gubahkan nafsu jadi keinginan syahdu/dan cinta jadi lazuardi mardiah///…mencari makna/melintasi matahari dan bulan/di antara kehidupan dan kematian.”   Usul yang sangat positif demi memakmurkan. 

ASKAT: Namun kita masih mudah terleka, berbelah-bahagi memilih bentuk penglibatan dalam melangkah ke alam lain. Sedangkan temanku  tentunya telah me”makna”kan kesempatan yang terbuka lantaran kesedaran ‘awal’ itu ( selepas hampir suku abad) menjadikannya sebagai agenda  mega dalam perjuangan setiap insan yang takwa. Bertuah juga merenungi kini,  sebab ia adalah inti yang seharusnya dihayati, selagi nadi belum terhenti berfungsi.

Pantulan 42/14: Sajak M. Ashikin, “Mencari Suatu Makna”

Pantulan 42/14: 1000 pertanyaan terlerai

Sajak teman fbku yang gah namanya, Mohd Mansor Abdullah agak jarang mendepaniku dalam belekan setakat ini. Beliau, yang apabila bersajak lebih suka memakai nama M. Ashikin, petang ini menjelma melalui “Mencari Suatu Makna”, Dewan Sastera, Jun 1990, muka surat 16, iaitu hasil gubalan minda beliau di Jakarta Pusat, hampir sesuku abad lalu. Yang diinsani beliau ialah fenomena atau rutin alamiah beserta tafsiran peribadinya. Makhluk-makhluk ciptaan Tuhan, masing-masing ada perangai dan saling bertelagahan didokongi keyakinan tentang kelebihan atau kelemahan sendiri-sendiri. Meramasi patah-patah kalimatnya, terserlahlah bahawa tiada tersangkal lagi kehidupan ini berlumuran masalah, berpalitan cabaran getir dan, indahnya, bermuarakan penyelesaian paling wajar. Diakui, dalam kesendirian, masalah atau cabaran sukar diatasi tetapi tanpa pun menuntut pembelaan secara langsung, ada sesuatu di luar kawalan pihak terbabit yang berfungsi mententeramkan segala-galanya, selumrahnya. Keadilan tidak tersingkir bahkan terpelihara sempurna. Dalam persekitaran demikian, dunia berterusan menampung gelagat-gelagat penghuninya, generasi demi generasi. Beruntunglah sesiapa yang memanfaatinya dengan mengambil pendirian sejajarnya.

ASKAT: Pemerian temanku ialah tentang alam ini. Anehnya, aku spontan teringatkan P. Ramlee dan lirik lagu malarsegarnya “Barang Yang Lepas Jangan Dikenang” khususnya “Ooo dunia ibaratnya roda/Naik turun tiada hentinya/ Sama juga hidupnya manusia/…”. Bersyukurlah, aku tergolong dalam ‘...yang riang’ (bukan ‘yang duka’).
 — at Dewan Sastera, Jun 1990.

Photo: Pantulan 42/14: 1000 pertanyaan terlerai

Pantulan 41/14: Sajak Ahmad Sarju, “Andainya”

Pantulan 41/14: Semoga

Saya akur benar dengan, “Andainya mahkota itu memang milikmu/kelewatan adalah kelaziman yang diizinkan/dengan kegetiran itu menjadi lebih bermakna/nilai kepayahan yang membentuk keazaman/menakluki segala kepedihan menjadi kemenangan hakiki.” Cerita-cerita kejayaan banyak benar kita lihat, baca dan dengar seringnya melalui proses yang, hampir tak terelakkan, getir begini. Kemanisan menghirup serbat kejayaan yang akhirnya mengalir jua, sekali gus menyejatkan lendir keresah-gelisahan penantian, melupuskan secepat kilat hanyir duka yang sekian lama melumuri. Pun, tidak pula kita akan melupakan sejarah peribadi yang berhikmah itu. Juga, khalayak tentu akan kagum dan menteladani. Inilah sebenarnya dikatakan bahawa seseorang wira itu tiada yang diredahinya, kecuali gelombang-ombak perjuangan yang sememangnya tidak dapat dinafi sentiasa hadir menyudi dan menguji. Semoga tiada yang akan lemas dan terdampar di pantai kegagalan.

Panjang lagi boleh dicungkil dari simpulan madah sarat bermutia dari teman fbku Ahmad Sarju melalui sajak, “Andainya”, Dewan Sastera, September 1988, muka surat 13. Silakan merenungi karya berisi perincian fenomena kehidupan di dunia ini. (Nota: Belekan terhadap empat kumpulan sajak beliau dalam koleksiku gagal menjejaki sajak ini).
 — at Dewan Sastera, September 1988.

Photo: Pantulan 41/14: Semoga

Pantulan 40/14: Sajak Zurinah Hassan, “Masihkah Kau Bermain Seruling”

Pantulan 40/14: Merealitikan peranan

Sebenarnya dunia tidak pernah aman damai. Huru-hara bukan sekarang sahaja berlaku. Lihatlah misalnya, “Masihkah Kau Bermain Seruling”, sajak teman fbku Zurinah Hassan, Dewan Sastera, November 1987, muka surat 36. Beliau, hampir 27 tahun silam telah merakamkan, “di kota yang semakin kusut dan tenat//bangsaku dipecahkan oleh politik/saudara-saudaraku diserang bom-bom ganas/dunia sudah terlalu tua dan luka parah.” Alangkah rugi dan malangnya kalau sejarah tidak direnungi. Demikian, menjadikan orang-orang ‘muda’ dan para pelupa peristiwa mengalami dan menonton kejadian-kejadian yang sama yang berlaku kini sebagai pengalaman baru, seakan sesuatu yang tidak pernah terjadi. Hakikatnya, malapetaka atau tragedi manusia sudah terlalu banyak tersurat, terakam kemas dalam pelbagai bentuk ‘catatan’ bahkan runtuhan-runtuhan fizikalnya boleh pula dilihat dengan mata kasar. Di sini atau di sana. Semuanya ada pengajaran nyata, bukan terselindung lagi. Asalkan minda yang ada dibiasakan merenung tajam, mensempadaninya demi benar-benar memanfaati kesilapan, tersembunyi apalagi terang-terangan di dalam semuanya itu.

ASKAT: Aku suka tutupan Zurinah, “kerana zaman sedang menuntut para seniman/hidup di luar dirinya.” Kukira, yang perlu ditekankan ialah peringatan bermakna agar kita tidak hanyut meluput lantaran hilang punca tersesat matlamat.

Photo: Pantulan 40/14: Merealitikan peranan 

Pantulan 39/14, Sajak M Jusoff Taib, “Masa Depan”

Aku suka bertujuan. Jangan kehadiran tanpa disedari dan apabila pergi kita ternyata tidak pernah berbakti. Jadi, tatkala membaca sajak teman setia fbku, M Jusoff Taib, “Masa Depan”, Mastika, Oktober 1993, muka surat 42, menjadi serasilah saya dengan dia. Ada kata-kata seperti “lampau” (dua kali!), “mangsa sejarah” (dua kali!), yang bagi saya sangat utama untuk menjadi asas merenung sejenak tentang apa yang telah sebenarnya kita cipta atau lakukan dalam beransur-ansur menutup usia. Betapa hanyut kita didorong arus kerana tiada upaya memikirkan “matlamat” kehidupan.

Kalau kita meneliti, ada mutiara pada setiap baris berupa penyedaran bahawa akan sesia kesementaraan hidup di dunia sedangkan sudah terbukti individu, kelompok, kaum atau bangsa boleh gah berwibawa dengan “minda” berisi mencari erti, “kalbu” dirumbui petua menjunjung kemanusiaan mengabdi selaras dengan wahyu suci. Aku tahu “pelayaran” ini sewajarnya menjelmakan kesan berlainan daripada berimplikasi merugi. Benar, sudah suatu hakikat semua kita mengongsi alam duniawi tetapi akhirnya kita akan dipertanggunjawabkan pada suatu ketika yang pasti. Alangkah malang “bahtera” kita tanpa kemudi. Rentapilah sedang kesempatan belum bertepi.

Photo: Pantulan 39/14