Mencari ‘Merdeka’
Ada 183 sajak ciptaan sebelum Perang Dunia Kedua kuanalisis. Sajak terawal bertarikh 18 Januari 1918 (Utusan Melayu) dan terakhir, November 1941 (Majalah Guru). Tiada seorang pun menuturkan perkataan “Merdeka”. Mujurlah penyajak Mohd. Hashim Baharuddin pertama sekali menyelitkan perkataan “kemerdehekaan” iaitu dalam sajaknya, “Aku Berpesan Dengan Terus Terang”, (Majlis, 12 Mac 1940). Kata beliau, “Taraf Melayu lepas peperangan /Bukanlah pula menuntut kemerdehekaan/Hanya juga yang di bawah naungan/Kerajaan British yang maha keadilan.” (lihat, Pyan Husayn & Suhaimi Haji Muhammad (Penyelenggara), “Embun Pagi Antologi Puisi Sebelum Perang”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, cetakan pertama, muka surat 123).
Ali bin Haji Ahmad, mengumpul 38 buah sajak yang mewakili puisi baharu Melayu yang awal (semenjak 1934-September 1941). Tetapi hanya satu saja sajak yang menyerlahkan perkataan ‘merdeka’ iaitu karya Abu Samah berjudul “Tanahairku” (Majalah Guru, 7/1941), Saya salin, “Engkaulah oh bumi yang indah/Tanah putera bahagia baka/Engkaulah bumi tanah penyudah/Tempat berjuang menebus merdeka.” (Lihat, “Puisi Baharu Melayu (Zaman Permulaan), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1965, cetakan ketiga, (cetakan pertama, 1959; cetakan kedua, 1962), muka surat 43).
Dalam sajak-sajak yang tergolong dalam gubahan tahun-tahun 1947-1949, Abdullah Sanggura, melalui “O… Malaya Tanahairku” (muka surat 14) ada menyebut, “Bahagia raya dalam alam merdeka”; dan “Tidak ada korban tidak ada kemerdekaan.” Dan, Ahmad Nordin, dalam “Hang Tuah”, (muka surat 16), menyebut, “Melayu takkan hilang di dunia/Berani berjuang dengan upaya/Untuk kemerdekaan negara dan bangsa.”
Menyentuh pendirian Majalah Guru, Ali bin Ahmad memberitahu, bahawa Mohamad Yasin Maamur menyatakan bahawa “Majalah Guru menerima syarat dari pentadbir pelajaran untuk tidak memuatkan apa juga tulisan yang menyentuh soal politik dewasa itu.” (muka surat 28).
Kamaruzzaman Abd. Kadir, menyenaraikan 398 buah sajak berunsur nasionalisme di antara tahun-tahun 1933-1957. Beberapa buah sahaja yang menggunakan judul ‘merdeka’ iaitu 1. Tongkat Warrant, “Nikmat Kemerdekaan”, Utusan Zaman, 31 Julai 1949; 2. Tongkat Warrant, “Zaman Merdeka”, Utusan Zaman, 15 Januari 1950; 3. Muhibah Asmara, “Merdeka”, Utusan Zaman, 17 Disember 1950; 4. Hamzah, “Anak-anak Merdeka”, Utusan Zaman, 12 Ogos 1951; 5. Tomo Malaya, “Jiwa Merdeka”, Majalah Guru, Jil. 30, April 1954; 6. Johari Alias, “Masyarakat Merdeka”, Majalah Guru, Jilid 30, Jun 1954; 7. Tongkat Warrant, “Merdeka”, Utusan Zaman, 4 Julai 1954; 8. Asmahan, Perak, “Untuk Malaya Merdeka”, Majalah Guru, Jilid 30, Ogos 1954; 9. M. Ismail, Kemaman, “Sekali Merdeka Tetap Merdeka”, Utusan Zaman, 4 Mac 1956; 10. Abdullah Abdul Ghani, “Merdeka! Merdeka! Merdeka!”, Utusan Zaman, 25 Mac 1956; 11. Hasbima, “Kekal Merdeka”, Majalah Guru, Jilid 32, Mei 1956; 12. A.S. Amin, “Jiwa Merdeka”, Mastika, Julai 1956; 13. A. Samad Ahmad, “Hari Kemerdekaan”, Utusan Zaman, 2 September 1956; 14. Kaman 56, “Rindukan Malaya Yang Merdeka”,
Majalah Guru, Jilid 32, Oktober 1956; dan dua lagi yang telah saya nyatakan dalam pos yang awal bertajuk “Merakam kemerdekaan” bertarikh 27 Ogos 2014, karya Ibu Zain. Bermakna 16 sajak semuanya. (lihat “Nasionalisme Dalam Puisi Melayu Moden 1933-1957”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, cetakan kedua (cetakan pertama, 1982).
Saya suka menyebut tiga buah sajak; Rosmera berjudul “Bebas”, Kencana, Tahun 1, Bil 12, Disember 1947; Bakhtiar Jamily, “Kebangsaan”, Mastika, Bil. 53, Mac 1951; dan A.S. Ally, “Menebus Kedaulatan”, Majalah Guru, Jilid 31, Ogos 1955. Selain itu, ada juga penulis menggunakan nama samaran, “Pemuda Merdeka” (Mastika, Bil. 57, Julai 1951) dan “Pena Merdeka, Perlis” (Majalah Guru, Jilid 32, Julai 1956).
No comments:
Post a Comment