Tuesday 27 September 2016

Sajak Azmi Yusoff :Pantulan F/1/27/2016 “Di Pelabuhan Akhir”, (

Pantulan F/1/27/2016: Kehampiran
Sajak Azmi Yusoff, “Di Pelabuhan Akhir”, (Puisi Jawi), Dewan Tamadun Islam, Julai 2015, muka surat 18, boleh kita kira selari dengan lingkup matlamat majalah yang menampunginya. Dalam kesantaian membelek helaiannya aku tiba-tiba terpaut oleh pertanyaan Azmi, yang mengaitkan aspek kejahilan kita tentang pengalaman manusia yang telah berada “di pelabuhan teduh” sama ada “sengsara di jerkah malaikat” atau selainnya. Aku lebih memberati tanggapan Azmi yang menyifatkan bahawa manusia lebih “memesrai rencam hidup di dunia”.
Latar demikian aku kira untuk majoriti insan. Golongan yang mencintai alam baqa lazimnya tidak menonjol dan bukan kebilangan. Situasi ini dilantari dunia kita yang kian ‘moden’ dan lazimnya kemodenan lebih menjurus ke arah menampakkan keseronokan mematuhi tuntutan dunia yang arusnya mampu melemaskan. Ini terjadi kerana hal-ehwal dunia boleh kelihatan di depan mata atau dinikmati panca indera. Alam satu lagi itu, harus difikir dan diimaginasikan dengan bantuan ilmu berfaedah dalam dada. Penguasaan terhadap ilmu itu menuntut usaha keras, pengorbanan terhadap keseronokan duniawi yang lebih sering mengabui. Maknanya, tanpa keiltizaman, perlengkapan diri tidak mencapai tahap yang terbaik. Maka tidaklah dapat dikecapi faedah ukhrawi dengan serta-merta. Kemanisan daripada perobahan keutamaan tersebut hanya datang beriring dengan ketakwaan. Sedangkan ketakwaan lebih mudah diucapkan berbanding memiliki atau menanamkannya di dalam hati.
Pun, kalau dengan mengutis secebis puisi, kecenderungan ke alam barzakh atau alam akhirat bangkit, maka kukira seseorang telah melakukan dakwahnya, mengikut kaedah dan setakat kemampuannya. Ada penjelasan ustaz kudengar, bahawa agama itu nasihat menasihati, dan renungan Azmi sebenarnya adalah seruan agar pembacanya tidak hanyut dengan keduniawian sahaja kerana tingkat usia yang kian meninggi adalah tanda jelas menggera individu bermuhasabah, sebelum terlambat. Sewajarnyalah hidup ini perlu berjasa, berteman amalan ketakwaan. Maka Azmi mencetuskan pengujaan ke arah itu. Tiada pilihan yang lebih baik. Kita harus bersedia menghadapi penghakiman berasaskan pertanggungjawaban Ilahi selama ini. Tersedar pula bahawa aku termasuk salah seorang bakal dinilai prestasinya di padang akhirat itu.

Sajak Norhisham Mustafa, “Seorang Guru Bersuara Sehari Sebelum Bersara”, Pantulan C/1/28/2016

Pantulan C/1/28/2016: Kemeruduman
Sahabat yang telah lama tidak kusapa, Norhisham Mustafa, melalui “Seorang Guru Bersuara Sehari Sebelum Bersara”, Dewan Sastera, Mei 2012, muka surat 61, dengan sangat sinisnya menilai keupayaan pentadbiran negara dalam selembar kertas yang pada hakikatnya berkajang-kajang isi dan uraian yang terselindung di sebaliknya. Betapa tidak? Ruang yang sekecil itu dimanfaatkan semaksimumnya sehingga mesej yang terpampang boleh dikembangkan menjadikan sebuah esei sepanjang tiga halaman, atau boleh juga sebuah buku beratus halaman, mengandungi bab-bab yang masing-masing memfokus kepada aspek sosial, ekonomi, politik, keselamatan, dan lain-lain. Semua tentang ketidakkenaan atau kebobrokan kita mengendalikan urusan menjaga kehormatan dan kebajikan penghuni tempatan dalam sekitaran bergolakan angkara gerombolan pendatang berbondong-bondongan.
Aku semakin dukacita, sebuah negara yang memprojekkan keberdepanan dalam banyak lapangan malangnya sekali gus melondehkan keselekehan dalam pelbagai aspek pula. Dan ini sangat menghiris perasaan kerana kesannya bukan kepalang; menghentam langsung rakyat jelata. Bayangkan, bagaimana sebuah negara bakal mengiktirafi diri maju dalam sedikit lagi waktu, tetap longgar mengawal kedatangan dan kemunculan orang-orang luar sehingga mereka kini hampir memimpin, menguasai, merajalela mengikut nafsu pelbagai kegiatan ekonomi peringkat marhaen tanpa menerima risiko menyalahi undang-undang. Anehnya, ternyata demikian diragui berlaku di negara-negara lain. Halangan untuk menikmati keistimewaan sebagaimana yang sedang berlaku di negara ini di tempat-tempat lain amat benar, iaitu kematian atau kesesiaan.
Pun, aku berdoa, kita masih boleh memasang cita-cita untuk menjadi seorang wira dalam bidang yang kita paling selesa menunjukkan ketrampilan dan kewibawaan.

ASKAT: Panggung Anniversari

Panggung Anniversari
Mencungkil jejak
mengiringi langkahan baki
helaian ketuaan hilang
diradak muzik masa kini
Pada peragaan citra
aku tunggal mengunyah tanggapan
sewaja sewibawakah
para pelapis generasi
pabila seusiaku nanti?
ASKAT
Kampung Tunku
25 September 2016

ASKAT: Penilaian

Penilaian
Aku melihat statusmu
dari persepsi penikmat sarinya
pencapaian bercampur-baur 
namun kejatidirian melonglai
dicerna percanggahan tersemai
lantaran tolak ansur dan kesantunan mengalah
pun, tetap aku rela menanti
terserlah kebijaksanaan mendaki
walau seusia setara sekali lagi.
ASKAT
Kampung Tunku
16 September 2017

ASKAT: Layanan

Layanan
Tanpa keluh
mudah seluruh
bersyukur sungguh.

Hikayat Upu Daeng Menambun

Hikayat Upu Daeng Menambun
Saya membaca lebih menditil karangan Yahaya Ismail, “Sedikit Tentang Naskhah Lama Melayu”, Dewan Bahasa, September 1963, muka surat 407-418. Didapati senarai yang panjang maklumat tentang himpunan naskhah lama di Perpustakaan Universiti Leiden dan himpunan Raffles dan Farquhar di Perpustakaan Royal Asiatic Society, London. Sebuah manuskrip, Hikayat Upu Daeng Menambun termasuk dalam senarai Mikrofilem dari Perpustakaan Universiti Leiden (Cod. Order 1754).
Kemudian saya melintasi tulisan Mohd Yusof Md. Nor, “Hikayat Upu Daeng Menambun: Suatu Ulasan” (Resensi Buku), Dewan Bahasa, Oktober 1980, muka surat 44-53. Mohd Yusof sebenarnya mengulas buku Hikayat Upu Daeng Menambun yang diselenggarakan oleh (Rogayah Hamid) Rogayah A. Hamid terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Mohd Yusof Md. Nor menyatakan naskhah Hikayat Upu Daeng Menambun itu ditulis oleh Mir Hussein bin Rashid Muhammad bin Sheikh Ibrahim Ghani yang menyelesaikannya pada 24 Rejab 1262 Hijrah. Fakta ini tidak disebut oleh Rogayah dalam buku yang diselenggarakan beliau.
Ada dinyatakan juga naskhah Sejarah Bugis sebagai sumber perbandingan yang digunakan oleh Rogayah. Pada pendapat Yusof buku itu sebenarnya ialah Silsilah Melayu dan Bugis karangan Raja Ali Haji. Ada juga disebut oleh Yusof bahawa Arena Wati telah menyelenggarakan Silsilah Melayu dan Bugis, Pustaka Antara 1973.
Mohd Yusof sendiri telah menulis, “Edisi dan Silsilah Melayu dan Bugis” sebagai tesis M.A di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beberapa manuskrip yang menarik perhatianku ialah Sejarah Melayu (Cod Order 1716, 1736, 1760, 1704), Hikayat Sulalatu Al-Salatin (CO 1703), dan Sejarah Melayu (Raffles Bil. 51), Hikayat Hang Tuah CO 1762, Hikayat Hang Tuah Raffles Bil. 1, Bustanu Al-Salatin (CO 1694, KI 14, Raffles Bil. 49, Taju Al-Salatin (Raffles Bil. 50, 63); Hikayat Acheh CO 1954, Hikayat Raja Acheh CO 1983, Hikayat Acheh KI 24, Hikayat Riau KI 24, Hikayat Johor CO 3322, Syair Perang Johor - Engku Haji Ibrahim CO 17611, Hikayat Burung Pingai CO 1626, Syair Pungguk KI 175, KI 163, Hikayat Raja-raja Pasai Raffles Bil. 25, Adat Turun-Temurun Raja Melaka CO 3376, Undang-undang Raja Melaka (Farquhar Bil. 2), Undang-undang Raja Melaka waktu ia berjalan di dalam negeri Melaka hingga sampai ke negeri Johor (Farquhar Bil. 10), Adat Segala Raja-raja Melayu (Farquhar Bil. 5), Undang-undang Minangkabau CO 8215, Kitab Asrar Al-Insan oleh Sheikh Nuruddin al-Raniri CO 7244, Kitab Asraru Al-Insan oleh Sheikh Nuruddin ibnu Ali CO 7332, Rahsia Jalan Kepada Raja Segala Raja CO 7243, Cerita Untuk Pemerintah-Pemerintah Negeri oleh Sheikh Abdullah Kedah CO 2276D; Bab al-akal kepada segala orang besar-besar (Raffles Bil. 26).
Kata Tan Sri Profesor Emeritus Dr. Khoo Kay Kim, “…Tetapi untuk menggunakan gelaran sultan perlu ada daulat. Raja Lumu, ketua orang Bugis yang tiba di Selangor untuk ditabalkan, terpaksa berangkat ke Perak menghadap Sultan Mahmud. Mengapa Sultan Perak? Hal ini adalah kerana pengasas Sultan Perak, Sultan Muzaffar Shah berasal daripada kerabat Diraja Kerajaan Johor dan daulat Kerajaan Johor adalah daripada Sultan Iskandar Zulkarnain. Raja Melayu tidak bergantung pada Hang Tuah untuk mendapat daulat. Orang biasa sebut keris Taming Sari, tetapi saya kata di istana Perak, selain keris Taming Sari, ada pedang Cura Si Manja Kini yang lebih penting ketika ini.” (lihat, Fadli al-Akiti dan Mohd. Fadzly Mohd. Fairuz, “Teras Sejarah Hang Tuah” (Fokus), Dewan Sastera, April 2012, muka surat 8-12)

Laga Harimau

Laga Harimau dengan Kerbau
Dalam buku “Syair Sultan Abu Bakar Ibni Sultan Ibrahim Johor” tercatat peristiwa lawatan putera Queen ke negeri Johor pada 1 Ramadan 1280. Ringkasan kandungannya yang menarik hati saya, “Duke itu beradu di Istana Sri Menanti, diraikan dengan jamu-jamuan dan dengan pelbagai permainan, diakhiri dengan pertunjukan perlagaan harimau dengan kerbau.”
(Nota: Saya semak tarikh itu bersamaan 8 Februari 1864, maknanya 152 tahun dahulu).
Bacalah, Ismail Hussein, “Dokumentasi: Syair Sultan Abu Bakar Ibni Sultan Ibrahim Johor ”, Dewan Bahasa, Mei 1976, muka surat 308 (306-313)
Satu lagi yang menarik, diberitahu bahawa apabila Sultan Abu Bakar mangkat di England jenazah baginda dibawa pulang ke Johor dengan kapal. “Jenazah itu diletakkan di istana untuk kira-kira setengah bulan supaya memungkinkan kaum kerabat dan raja-raja lain menziarahi.” (ibid, muka surat 312).

ASKAT: Kemaruk

Kemaruk
Sedang berkeadaan demikian, melintasilah aku sajak Latiff Mohidin, “Puisi”, Dewan Bahasa, November 1975, muka surat 774, yang bahagian “3”nya seperti berikut:
“di ruang kamar kecil ini 
kau tari seribu tarian maut
merentap sekali gus melepaskan
nadi-nadi jantungku yang sebak
aku akan lama sekali di sini
berpaut dan mencebak
debaran dadamu
puisi”
ASKAT: Dan memang puisi tetap menghindarkan kesendirian. Ia menggelegaki pencarian habuan minda sambil melusuhi usia. Ia mengemarukkan.

ASKAT: Kedewasaan

Kedewasaan
Dirumus cinta
sebatian kerelaan
saat kulepasmu 
doa mengiringi
selagi nafas menghela
biarlah berwarisan
kebahagiaan
keberkatan.

ASKAT: Sudi

Sudi
Suram mencengkam
mengancam kepergian
keserian berantakan
lantaran kebenaran.

ASKAT: Kunjungan

Kunjungan
Menziarah sejarah
pada kabur langkahan
saat usia meruntuh
beradu satu satu.
ASKAT
Pendek
Kota Bharu.
8 Julai 2016

“Perskiman Perkhidmatan Kesultanan Melayu Zaman Tradisi”

“Perskiman Perkhidmatan Kesultanan Melayu Zaman Tradisi”
Jabatan Perpustakaan Negara Malaysia ada mengaturkan “Bacaan Kegemaran Saya Sektor Awam” pada tahun 2007. Program ini bertujuan membudayakan minat membaca di kalangan pegawai-pegawai kerajaan. Tan Sri Ismail Adam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersedia untuk memulakan program dengan membuat ulasan 15-20 minit tentang sebuah buku yang dibacanya. Sesi pembicaraan buku tersebut telah dirakam pada 5 April 2007 oleh Jabatan Perpustakaan Negara. Rakaman itu kemudian ditayangkan dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan di Auditorium JPA pada 24 April 2007.
Jabatan Perpustakaan Negara juga memohon supaya dicari seorang lagi pegawai untuk mengambil bahagian pada sesi seterusnya. Saya telah bersetuju. Tetapi berlainan sedikit dengan pendekatan sesi pertama, program yang saya sertai melibatkan saya diwawancara oleh Ketua Pengarah JPN di atas pentas Auditorium secara langsung. Semua pegawai JPA akan hadir kerana majlis itu adalah sempena Perhimpunan Bulanan pada 8 Ogos 2007. Di samping itu, saya tidak membicarakan sebuah buku tetapi ‘banyak’ buku yang menyentuh “Perskiman Perkhidmatan Kesultanan Melayu Zaman Tradisi”. Saya ingat membawa bersama-sama ke majlis itu sejumlah buku yang berkaitan dengan tajuk yang dipilih seperti “Sulalat-Us-Salatin” suntingan A. Samad Ahmad, “Sejarah Melayu”, “Taj Us- Salatin”, “Bustan al-Salatin” dan beberapa buah buku lagi yang lain. Sesi itu telah dirakamkan dalam bentuk DVD. Sampai kini ia tersimpan rapi dalam koleksi peribadi.

Coretan, "Bercinta cara tok nenek"

Bercinta cara tok nenek
“Salam yang diiringi dengan berapa hormat dan khidmat yang mulia maka dihiasi pula dengan berapa rindu dendam yang tiada berkeputusan dan tiada berkesudahan sentiasa juanya selagi ada peredaran cakrawala matahari dan bulan dan siang dan malam pagi dan petang tiadalah mau lupa dan lalai barang seketika pun jua laksana pungguk merindukan bulan laksana jentayu menantikan hujan laksana Siti Zalekha berahikan Yusuf dan laksana Laila berahikan Majnun demikianlah juga kekanda teringatkan tuan dibawak tidur tiada boleh tidur melainkan
(Saya transliterasikan sebahagian daripada sepucuk surat cinta seperti termuat dalam buku, Annabel Teh Gallop, “The Legacy of the Malay Letter Warisan Warkah Melayu”, 1994: The British Library, London, muka surat 24.)
Harap perbetulkan jika tidak menepati.

Sajak Wan A. Rafar, "Menjelang Tengahmalam ini"

Kalau kita dijemput mendeklamasikan sajak, teman fbku, Wan A. Rafar (WanRafar Ishak) mencipta sajak, “Menjelang Tengahmalam Ini”, Dewan Sastera, Mei, 1979, muka surat 47, yang kukira sesuai dipersembahkan dan boleh menghiburkan. Sajak ini tidak pendek dan tidak pula terlalu panjang. Kata orang sedang-sedang. Berbaloi berada di pentas mempamer hias memperaga puas, mempamer bakat. Kalimat-kalimat, “segala-galanya akan beres/menjelang tengahmalam ini/” mendahului setiap rangkapnya, yang berjumlah 10. Ada mesej dan temanya pun nyata dn berbagai-bagai. Disentuhnya, “krisis beras”, “krisis minyak”, “cegah kemalangan jalanraya ”, “pencemaran alam”, “rumah-rumah pangsa” dan lain-lain. Walaupun seakan semuanya “akan beres”, yakni memberi janji yang menyenangkan bagi pihak-pihak yang berhasrat supaya diselesaikan masalah masing-masing, aku dukacita temanku tidak menyimpati diri beliau sendiri kerana mengakhiri sajak ini, selain melemparulangkan, “segala-galanya akan beres/menjelang tengahmalam ini/” , dengan dua kalimat paling akhir iaitu, “ sebuah sepi buatku/seorang aku buatmu!”. Bukankah ini kesendirian yang menarik perhatian orang lain atau khlayak. Dan jangan lupa, demikian itu, menjadi tanggungjawab “mu” menanggungnya.

ASKAT: Orang Berjasa

Orang berjasa
Seusia dunia
kekal ternama
menjati diri 
bakti dihargai.