Tuesday, 27 September 2016

Sajak Norhisham Mustafa, “Seorang Guru Bersuara Sehari Sebelum Bersara”, Pantulan C/1/28/2016

Pantulan C/1/28/2016: Kemeruduman
Sahabat yang telah lama tidak kusapa, Norhisham Mustafa, melalui “Seorang Guru Bersuara Sehari Sebelum Bersara”, Dewan Sastera, Mei 2012, muka surat 61, dengan sangat sinisnya menilai keupayaan pentadbiran negara dalam selembar kertas yang pada hakikatnya berkajang-kajang isi dan uraian yang terselindung di sebaliknya. Betapa tidak? Ruang yang sekecil itu dimanfaatkan semaksimumnya sehingga mesej yang terpampang boleh dikembangkan menjadikan sebuah esei sepanjang tiga halaman, atau boleh juga sebuah buku beratus halaman, mengandungi bab-bab yang masing-masing memfokus kepada aspek sosial, ekonomi, politik, keselamatan, dan lain-lain. Semua tentang ketidakkenaan atau kebobrokan kita mengendalikan urusan menjaga kehormatan dan kebajikan penghuni tempatan dalam sekitaran bergolakan angkara gerombolan pendatang berbondong-bondongan.
Aku semakin dukacita, sebuah negara yang memprojekkan keberdepanan dalam banyak lapangan malangnya sekali gus melondehkan keselekehan dalam pelbagai aspek pula. Dan ini sangat menghiris perasaan kerana kesannya bukan kepalang; menghentam langsung rakyat jelata. Bayangkan, bagaimana sebuah negara bakal mengiktirafi diri maju dalam sedikit lagi waktu, tetap longgar mengawal kedatangan dan kemunculan orang-orang luar sehingga mereka kini hampir memimpin, menguasai, merajalela mengikut nafsu pelbagai kegiatan ekonomi peringkat marhaen tanpa menerima risiko menyalahi undang-undang. Anehnya, ternyata demikian diragui berlaku di negara-negara lain. Halangan untuk menikmati keistimewaan sebagaimana yang sedang berlaku di negara ini di tempat-tempat lain amat benar, iaitu kematian atau kesesiaan.
Pun, aku berdoa, kita masih boleh memasang cita-cita untuk menjadi seorang wira dalam bidang yang kita paling selesa menunjukkan ketrampilan dan kewibawaan.

No comments:

Post a Comment