Monday 11 September 2017

Pantulan F/02/22/2017: Sajak Zurinah Hassan “Menunggu Pesawat”

Pantulan F/02/22/2017: Mermanfaati kurnia

Seawal-awal lagi Zurinah Hassan menyatakan “setiap kita adalah penunggu pesawat”, lewat sajak beliau “Menunggu Pesawat”, Dewan Sastera, Bil. 5 [Mei] 2017, muka surat 14. Sejauh mana tepatnya analogi beliau berbanding realiti, iaitu berpesawat untuk berpergian di dunia fana ini, masih boleh didebati lagi. Tetapi maksud beliau tentulah tentang perjalanan manusia menuju akhirat yang tidak boleh disangkal lagi kerana sememangnya mereka menunggu-nunggu giliran masing-masing untuk ke destinasi pasti iaitu ‘Mati’. Kemudian, diadili. (Sama ada destinasi menumpang kali pertama, bersiri, belum lagi terakhir atau terakhir, masih boleh juga didebati lagi). Bagaimanapun, hakikatnya, sebaik dilahirkan seseorang dibudayakan, berkelana sebelum akhirnya ‘meninggalkan dunia’ ini apabila sampai ajalnya. “Pesawat”lah menyampaikannya ke destinasi abadi. Mereka bakal bangkit kembali. Hidup di alam lain sekali lagi.
Yang sewajarnya kita ketahui ialah destinasi yang ditujui itu, adakah dihajati? Iaitu yang memberi nikmat berkekalan atau yang satu lagi, tempat seseorang menerima azab yang pedih, tanpa kesudahan?
Perjalanan memerlukan persediaan rapi dan perancangan teliti. Dengan berbuat begitu seseorang akan dapat menghadapi segala macam kemungkinan di ‘kaunter pemeriksaan’. Dengan ilmu, dia boleh menjawab semua persoalan yang dihadapkan. Dengan amalan soleh dia mampu memenuhi tuntutan ketakwaan. Yang dijanjikan Ilahi ialah balasan yang berpadanan dengan kepatuhan hamba-Nya terhadap semua perintah yang disampaikan melalui pesuruh-Nya. Apabila seseorang telah mengetahui tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT ia tidak boleh lagi membelakangi ajaran Rasul-Nya. Sebabnya, itulah asas penentuan prestasi cemerlang atau bukan untuk diberi habuan atau balasan.
Saat menghadapi Pencipta bakal tiba. Dunia yang sedang diinapi adalah “balai berangkat” yang meluangkan manusia melakukan pilihan terbaik demi dibangkitkan semula di akhirat. Bertuahlah insan yang dilorongkan ke jalan lurus berkeberkatan seusia yang ditentukan.
Zurinah Hassan telah dengan amat mahir mengolah mudah perutusan, mengingatkan kita kebertanggungjawaban terhadap kewujudan insan sementara membilang usia di dunia. Sewajarnya sentiasa diingati bahawa tanpa memanfaati kehidupan diri di bumi selaras dengan ajaran suci, tiadalah terjamin kesejahteraan kita di alam baqa. Ada neraca yang menanti untuk mengadili kita sebelum dibenarkan melangkah ke Syurga atau dicampakkan ke Neraka.
Sesebuah karya seharusnya berjiwa murni dalam olahan bahasa berseni tanpa mengaburi khalayak yang ingin mendekati alam puisi.

Pantulan F/02/21/2017: Sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Tiga Pertanyaan”

Pantulan F/02/21/2017: Ilmu Laduni
Pernah juga kubaca tentang Nabi Khidir a.s. Tidak ketinggalan pula aku mendengar ceritanya diperikan oleh ustaz-ustaz. Tetapi untuk mengingati semula aku perlu membaca sendiri sekali lagi Surah al-Kahfi. Kalau tidak agak sukar menghayati sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Tiga Pertanyaan”, (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Bil. 3 [Mac] 2017, muka surat 75.
Siti Zaleha tidak pun menyebut nama nabi atau wali yang dianugerahi Allah ilmu hakikat itu. Tetapi sudah jelas apa yang dirujuki beliau adalah tentang tiga pertanyaan Nabi Musa kepada ‘guru’ beliau ketika mereka sama-sama mengembara. Tidak dilupai bahawa Nabi Musa tidak mampu mentaati syarat yang beliau persetujui untuk tetap berdiam diri, bersabar dengan tidak bertanya apa-apa meskipun apabila menyaksikan di depan mata orang alim yang diiringinya bertindak melampaui nilai-nilai peribadi yang dipegangi beliau sebagai seorang pesuruh Ilahi sedangkan ‘guru’nya bertindak atas arahan Yang Maha Besar menganugerahi pengetahuan tentang peristiwa-peristiwa yang bakal berlaku. Sedangkan ilmu itu tidak diberikan kepada Nabi Musa. Tanggapan tentang keterlanjuran perlakuan gurunya itu menimbulkan kegelisahan beliau sedangkan hamba Allah itu bertindak atas pengetahuan ilmu yang khas diberikan Allah SWT kepadanya seorang sahaja, tidak kepada orang lain termasuk Nabi Musa sendiri.
Kalau cerita itu sudah kita garapi maka iktibarnya lebih wajar diutamakan. Bahawa Nabi sendiri tetap tidak berlebihan ilmu yang diterima melalui wahyu walaupun daripada Allah SWT sendiri. Allah tetap Maha Berkuasa kerana Dia boleh memberikan sesiapa yang lain di kalangan hambaNya memiliki ilmu yang lebih tinggi daripada yang dimiliki seorang Rasul pun.
Aku percaya penyair begitu berusaha mengolah bahasa sehingga terhasil kalimat “ilmu siapakah yang lebih hebat daripada semua”? Cerita-cerita yang diketengahkan memberi petunjuk mengenal pasti jawapan, yang tidak lain tidak bukan iaitu Allah SWT sendiri.
Siti tetap meninggalkan perutusan agar para penganut sejati beramal soleh dan bertakwa kerana manusia semua pasti akan “berlabuh”. Alangkah bertuahnya sekiranya ketika itu, manusia benar-benar bersedia mengadap Ilahi untuk diadili tanpa bertempelan keping-keping keluh-kesah di hati tentang amalan yang ditekuni.

Pantulan F/02/20/2017: Sajak Siti Zainon Ismail, “Ke Hujung Jalan Yang Lempang”

Pantulan F/02/20/2017: Suruh yang baik cegah yang jahat
Kehidupan tidaklah begitu lurus perjalanannya. Demikian semenjak hari kelahiran sampai hari berpulang. Banyak fasa dan setiap melangkah mara tiada terhindar sama sekali pancaroba. Tetapi melangkah manusia mesti, sambil memikul tanggungjawab dalam masyarakat insani. Usia bertambah dengan mengheret rentet-rentet pengalaman yang panjang, berbauran, berunsur kebaikan dan kemaksiatan. Memang tidak akan terhenti perjuangan ini kecuali nadi lupus berfungsi. Aku bersimpati sambil setuju hati dengan pemerian Siti Zainon Ismail, lewat “Ke Hujung Jalan Yang Lempang”, (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Oktober 2016, muka surat 75, kerana demikianlah kegawatan yang sentiasa hadir mendepani insan sehingga dia telah benar-benar tiba di penghujung jalan kembara dunia yang fana.
Semua hamba hampir samarata diberi kesempatan untuk bertakwa terhadap Allah SWT. Mereka yang tidak cukup persediaan dan muhasabah mungkin lebih alpanya berbanding mereka yang berikhtiar mentaati firman dan sabda sebaik-baiknya. Maka, perlu ada satu rumusan yang bermatlamat untuk tetap beribadat selaras yang terpahat dalam kitab-kitab anutan. Maknanya, ketika berada di dunia, sedang kesempatan terbuka, kendalikanlah urusan seakan tetap kekal hidup selamanya. Hanya jangan mengabaikan hakikat bahawa setiap yang bernyawa tetap akan menemui titik penamat. Maka dituntutlah bekalan yang menjamin keselamatan sendiri. Ada ganjaran telah digambarkan, hatta ketika sedang ligat mengembara di dunia sebelum akhirnya mengadap Tuhan di alam ghaib yang kekal abadi, pasti menyusuli. Di alam satu lagi nanti, sudah jelas dijanjikan balasan; sangat menepati. Amalan baik dibalas dengan faedah berlimpah sedangkan perbuatan buruk dibalas teruk tanpa belas kasihan. Pendeknya semua insan diadili teliti sehingga berakhir dengan ganjaran atau hukuman berpadanan. Neraca penghakiman menimbang bersandar bukti-bukti sahih tanpa keraguan. Tiada sesiapa dilayan berlainan daripada peringatan atau amaran awal yang termaktub mengasasi ajaran Islam.
Memang tiada petua mudah untuk digariskan demi mencapai ertian firman-Nya, “Kembalilah kepada Tuhanmu/Dengan hati yang senang/dan diridai-Nya!” (Surah 89:28, H.B. Jassin, “Al-Qur’anul-Karim Bacaan Mulia”, (1991, cetakan ketiga, halaman 861). Para ilmuan sentiasa melorongkan insan agar sentiasa mengakuri ‘amar ma’ruf nahi munkar’. Dengan pelbagai pancaroba yang berceracahan di jalanan apa yang boleh dilakukan ialah melengkapi diri dengan ilmu dan berterusan beramal selayaknya seorang hamba-Nya.
Di samping itu, berdoa kemudian bertawakallah. Bak terjemahan H.B. Jassin, “Al-Qur’anul-Karim Bacaan Mulia”, (1991, cetakan ketiga) Surah 1:6-7, halaman 1,
“Bimbinglah kami ke jalan yang lurus lempang,
Jalan orang-orang yang telah Kau beri nikmat ,
Bukan orang yang Kau murkai,
Dan bukan orang yang sesat jalan.”

Pantulan C/02/19/2017: Sajak Hilmi Rindu, “Di Luar Bingkai Sejarah”

Pantulan C/02/19/2017: Biarkan serupa
Banyak sebab kita berbondong-bondong balik kampung pada musim perayaan. Atau, tetap berkunjung bersendirian pada musim lengang. Pembangunan negara selepas kemerdekaan merobah banyak suasana. Bandar-bandar berkembang. Ia menjadi tumpuan anak-anak muda berhijrah mencari nafkah. Sama ada mereka terpelajar atau berpendidikan rendah semangat berkobar untuk hidup megah atau mewah. Sebahagian telah menjadikan bandar tempat bermastautin, sebagai kampung ganti. Di tempat baru itu mereka berjaya – membina keluarga, meningkat tua, tanpa berhasrat untuk kembali ke kampung halaman asal. Bagi generasi ini mereka masih erat pertalian dengan tempat bermain dan membesar. Kerinduan mereka terhadap kampung yang ditinggalkan tetap tersemat di hati. Mereka tetap akan menghargai kesempatan untuk sesekali pulang. Perasaan begitu semakin hilang di kalangan zuriat mereka. Mereka generasi lain; lahir, membesar dan dewasa di sekitaran yang baru, berbeza daripada kampung halaman ayah ibu. Hilmi Rindu, lewat “Di Luar Bingkai Sejarah”, (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Oktober 2016, muka surat 71, memfokuskan generasi pendahulu yang sempat mengalami peralihan zaman.
Aku tidak sekali-kali menafikan lukisan berseri Hilmi. Suasana damai kampung, kesanak-saudaraan, ketaulanan, kejiranan, pencarian rezeki, amalan bermasyarakat dan corak berkebudayaan menjadikan ingatan itu berkekalan. Semua unsur itulah yang sedikit sebanyak membentuk perwatakan. Sebahagian mempengaruhi interaksi dengan sekitaran luar sebaik keluar meninggalkan kampung sendiri mencari peluang-peluang kehidupan yang lebih baik lagi. Mereka, pelaku-pelaku itu, tetap terhutang budi dan kenangan terhadap “pahlawan” dan “pejuang” yang sedikit sebanyak mencorakkan jati diri mereka sekarang. Sekadar begitu penghargaan terhadap generasi pelopor atau lama, tanpa gelaran Datuk Seri, kukira tidaklah sedikitpun menandakan kurang penghormatan.
Dalam beberapa dekad menjalani pengalaman baru, sebahagian besar para pengongsi kota itu akhirnya banyak yang berjaya. Sungguhpun, kejayaan yang dicapai tidak semestinya sumbangan mutlak pelbagai unsur suasana tempat asal, tetap ingatan kepada tanah tumpah darah tiada pudar. Tetapi sejauh manakah fenomena ini berpunca daripada tempaan suasana desa yang sedia ada? Ia boleh lagi diperdebat panjang.
Sekarang, setiap kali pulang ke kampung asal, suasana yang tersimpan di minda tidak serupa lagi dengan yang kelihatan di mata. Kampung telah berobah sekitaran fizikalnya, mengunsuri sekitaran hampir menyerupai tempat yang dianggap bandar. Penghuni desa sudah terdedah kepada semuanya. Pendedahan penduduknya tidak berbeza lagi dengan yang dialami penghuni bandar. Sistem komunikasi terlalu canggih melanda dan dialami semua. Mereka mungkin masih tidak menyerlah mewah dari segi sumber nafkah, tetapi dari segi-segi yang lain, tidak banyak yang boleh dianggap bersifat asing.
Dan amat penting atau ketara, kita generasi pengongsi sudah tidak dikenali mereka. Yang tinggal di desa sudah ramai pun tidak lagi bermaya, dan yang masih belum mampu berkeluarga, kerana terlalu muda, sedang bersekolah belaka, menunggu masa untuk menyusuli pula!
Ataupun, kalau sebaya atau segenerasi dengan kita, mereka tidak jauh berbeza, masing-masing berbudaya lebih kurang sama juga. Pendek kata, sama ada kita yang tinggal di kota atau “pak long pak cik pak ngah” yang kekal di kampung menghadapi cabaran setara. Boleh dimaknakan bahawa, sama ada kita atau mereka, sama-sama berada “di luar bingkai sejarah”. Masing-masing tidak merobah falsafah kehidupan kerana hidup “sederhana”, berpada dengan yang ada, tidak bersemangat mencipta sejarah setaraf gah yang luar biasa mengalih rupa.
Aku kira, di desa mahupun di kota, pembangunan telah membuka peluang yang hampir sama rata (?). Dengan segala ciri dan kriteria-kriteria untuk mencipta sejarah hadir dan terbuka luas wajarlah kita tidak lagi mengasingkan potensi sumbangan atau penyertaan para pelaku berasaskan tempat berada. Semua yang positif, ambillah. Biar semua warga menyumbang ke arah mewujudkan kemakmuran tanpa perbezaan petempatan.

Saturday 2 September 2017

Pantulan E/01/18/2017: Sajak Solihin Osman, lewat “Merdeka Itu Cinta”

Pantulan E/01/18/2017: Terhormat sejagat
Tafsiran kemerdekaan boleh dalam bentuk dan cara yang kita sendiri sukai. Tetapi dalam puisi, ia dilakukan Solihin Osman, lewat “Merdeka Itu Cinta” (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Ogos 2016, muka surat 72. Sempena musim perayaannya baiklah kita meninjau selanjutnya.
Aku mengekang ujaan membaca keseluruhan kerana mahu menumpukan hanya judulnya. Judulnya yang terlorek cantik berupaya menarik. Menarik untuk kusinggah menyelami maknanya mengikut tanggapanku pula.
Selama ini aku fahami merdeka itu pada aras-arasnya – peribadi dan watan. Kategori pertama, dianggap merdeka apabila seseorang sudah bersedia berdikari. Orang lain, terutama penjaga/ ibubapa sudah berlepas tangan kerana tanggungjawab menjaga sudah beralih kepada anak yang telah mencapai usia dewasa. Tetapi, pada aras lebih bererti, lebih diutamakan, ialah kemerdekaan bagi watan. Pada aras ini, keseluruhan individu iaitu rakyat jelata adalah yang dipentingkan. Mereka berkuasa memilih dan menyerahkan mandat untuk dikuasai penguasa dengan harapan terjamin kehidupan mereka -- sekarang dan masa depan.
Jadi kalau rakyatlah yang sewajarnya difokuskan bagaimana seharusnya kemerdekaan itu hendak kita persepsi dan realisasikan? Sekali lagi, tanpa melajak ke rangkapan olahan karyawan, kemerdekaan itu haruslah kita hadkan kepada nikmat paling optimum diraih kerana berkuasa memilih pemerintah dan mengendalikan sendiri watan tercinta. Negara yang dicintai, hendaklah sentiasa aman, makmur kerana ketertiban dalam semua keadaan dan lapangan tergubal mantap tanpa diganggu gugat. Antara warga saling sefahaman tetapi bebas memilih bidang penglibatan. Melalui sistem pendidikan berkebangsaan rakyat berilmu, berkerjaya dan masing-masing menyumbang untuk mencapai status maju – ‘mengikut acuan sendiri’ demi melestarikan jati diri.
(Pada suatu tempoh dialami generasi silam kita benar-benar di landasannya. Malangnya, angkara individu dan kefahaman dan survival kumpulan menyemai dan menyemarakkan perbalahan langsung merungkai bahkan melupuskan pencapaian cemerlang. Kini, kita sudah surut ke belakang bergelumang dengan ketidaktentuan dan kegagalan. Mungkin lebih tepatnya, kita kini sudah terlepas peluang).
Jadi, merdeka menuntut rakyat yang mendukungnya melengkapkan diri dengan sifat-sifat seorang pencinta yang intim. Ia harus mencapai kepuasan diri. Ia bijaksana beraksi mencantikkan watannya. dengan demikian selamanya sayangnya murni, kasihnya sejati, sokongannya tidak berbelah bahagi, sanjungannya tertinggi, sumbangannya tidak terhenti, dan pengorbanannya ke tahap bergalang-ganti.Dari segi generasi, yang mendahului mewariskan kecintaan sehingga yang menyusuli lebih-lebih lagi misali.
Sedikit meleret ke untaian isi puisi, kemerdekaan mengikut Solihin Osman, sewajarnya menyerlah “manisnya laman dengan senyuman”, “bahagia”, “damai” dan men“dewasa”kan “pemikiran”. Maka seharusnya ada perancangan untuk mengisi “ruang dan peluang”. Tidaklah munasabah mendabik dada melaungkan kemerdekaan setiap hari ulang tahun dengan “mimpi”. Cara begitu tidak menyumbang laba.
Banyak watan terlepas daripada belenggu dan kehinaan. Namun, seabad pun belum mengecap restu sebaliknya tetap begitu.

Pantulan D/01/17/2017: Sajak Sahrunizam Abdul Talib, “Di Negeri Merah”

Pantulan D/01/17/2017: Mengadili ketempangan
Alangkah baiknya kalau negara kita membangun dengan semua rakyat menerima faedah masing-masing. Menikmatinya sama rata, berpadanan atau sepada-padanya. Tiada mana-mana pihak menghadapi kerugian atau kesusahan, apalagi kesengsaraan tanpa berkesudahan. Secara satu-satu, tentulah tidak mustahil sesuatu projek pembangunan memberi faedah kepada semua. Tetapi yang biasa disentuh ialah pembangunan yang tempang, oleh kecurangan dan peluang tanpa pemantauan. Sebahagian (biasanya segelintir) menangguk keuntungan sedangkan sebahagian yang lebih besar tidak menerima faedah bahkan mengalami akibat buruk berpunca daripada penyalahgunaan sepanjang pengendalian projek itu. Inilah perihal malang yang menjadi inti kamilan yang aku cungkil daripada karya Sahrunizam Abdul Talib, “Di Negeri Merah”, (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Julai 2016, muka surat 73.
Aku kira tidaklah bijaksana menamakan para pelaku dan latar geografi sebenar. Setiap warga sudah maklum semenjak sekian lama. Yang boleh diperikan dengan teliti ialah sifat-sifat dan sikap-sikap manusia yang sentiasa mengambil kesempatan, mendahulukan kepentingan sendiri. Dalam berbuat begitu tidak dikiranya implikasi merugi dan merosakkan kepada orang dan alam. Lebih perit lagi, gerombolan pendukung itu termasuk tokoh-tokoh dan menduduki barisan hadapan dalam masyarakat tempatan atau atasan. Mereka disanjung kerana memiliki kudrat meliputi pelbagai lapangan. Pengaruh mereka seakan tak makan saman.
Dalam keseluruhan pemerian, aku sangat menghormati untaian akhir sekali terutama, “sungainya sibuk bekerja/mengalirkan sendu seluruh warga.” Benar-benar insan-insan “di negeri merah” itu teraniaya. Mereka tiada pembela. Barangkali, kalau demikian berleluasa angkaranya, paling kurang, sebuah sajak lain, atau bahagian kedua sajak yang sama, seyogia menghalusi bagaimana “anak-anak keliru…” tidak lagi rela menjadi saksi kelu sebaliknya bangkit berdiri menghunus keris sakti merobah situasi. Biarkan semua “petualang” ghaib daripada kerusi menjadi penghuni abadi digari dalam kandang berjeriji besi. Sebagai pemuisi, bukanlah tidak boleh dicipta penyudahan yang lebih menceriakan majoriti. Aku sedia menanti.

Pantulan C/01/16/2017 : Sajak Ahmad Sarju, "Petani Juga Penyair"

Pantulan C/01/16/2017 : Mengalih haluan
Sajak boleh merakamkan sesuatu era. Jika mahu bernostalgik, ungkapkan tentang pengalaman peribadi yang sudah terlipat dalam kenangan. Ahmad Sarju, melalui “Petani Juga Penyair”, (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Mac 2016, muka surat 72 telah melakukannya. Apatah tidaknya. Membaca puisi ini pada tahun 2017, aku sudah mula tidak yakin untuk menemui generasi muda sekarang “berkawan dengan kerbau” bahkan lagi-lagi payah melihat “… petani-petani tua/tetap setia bersama-sama kerbaunya”. Abad 21 sudah berdiri menguasai.
Apabila Ahmad Sarju mencoretkannya sebahagian fragmen kehidupan demikian generasi kotawan bahkan desawan boleh menangkap imej bahari itu dan mengenali asal dan sekitaran mereka yang sebenar pada suatu ketika belum lama lagi berlalu. Dari aspek ini pun adunan lembut dan lunak puisi ini hadir terpampang.
Tetapi aku sayu dan sedih. Yang ada dalam sekitaran kita sudah banyak bertukar jadi pencetus kedukalaraan bagi orang yang pernah mengalami era silam. Lalu, “alam”, “angin”, “kemarau”, “camar”, “bangau” dan lain-lain, entahlah apa pula peranannya? Semuanya itu sudah tidak lagi mewakili era tradisi yang murni dan harmoni. Ia sudah terlupus mendukung erti lampaunya. Ia jadi tidak bererti lagi untuk membina sifat “teguh, cekal dan berani.” Barangkali pada masa kini, semua itu jadi daya tarikan atau tolakan kerana alternatif-alternatif lebih menguntungkan dan serasi dengan tuntutan semasa muncul mengungguli.
Semoga, dunia yang hilang berganti dengan penambahbaikan. Kerbau yang selama ini terbeban menenggala sawah menjadi haiwan ternakan memenuhi semua keperluan (ibadat korban, perusahaan makanan halal global, dieksport ke pasaran serantau, …), alam yang terbiar, diliputi semak dan lalang, jadi tapak serba-serbi gerakan keusahawanan mesra sekitaran, angin yang menderu jadi sumber tenaga baru menambah pilihan sekali gus menjamin penjimatan.
Demikian juga yang lain-lain. Semuanya menyumbangkan kelestarian yang bersumber kebijaksanaan menggemblengkan alam dengan keperluan yang sentiasa berubah oleh langkahan zaman.

Pantulan C/01/15/2017 : Sajak Rudi Mahmood, “Berbalah dengan Kata”

Pantulan C/01/15/2017: Di sebalik persepsi
Bukan satu makna sahaja difahami tentang sesuatu ‘istilah’, walaupun dalam sesuatu bidang. Semakin rumitlah kalau menular ke dalam pelbagai bidang lain. Situasi demikian teryata kalau sajak Rudi Mahmood, “Berbalah dengan Kata”, (Dewan Sastera, Disember 2015, muka surat 21) dihalusi.
Di kalangan kita memang tidak sentiasa saling sepengertian dalam semua bidang. Begini sudah biasa. Ia tidak mengapa asalkan masing-masing ada alasan untuk berbeza (?). Ataukah, seboleh-bolehnya, disepakati supaya, sama ada dari segi kata atau makna sejati, tiada berselisih demi mewujudkan keharmonian? Aku sedari, aspek ini lebih mudah diretorik berbanding dengan diamali.
Ambillah satu. Kalau kita hadkan dahulu kepada istilahnya, mengikut tafsiran secara tersendiri oleh Rudi, “politik adalah peluru sejarah/dan papan sasar.” Benar-benar satu analisis yang sinis tetapi dinamis, kerana “sejarah” yang sekian lama berterusan berlaku sehingga kini dan pastinya pada masa akan datang, akan ‘menembak’ ke medannya – di mana-mana dan pada bila-bila. Ia adalah percaturan yang meninggalkan kesan paling nyata lagi mendalam. Tentulah risiko tidak terlepas, kerana ia adalah wadah utama mengatasi semua yang lain. Pada akhirnya terserah ‘takhta’ kepada pemenang, simbol kejayaan hasil kesengitan persengkitaan yang mengitarinya. Ia (politik/takhta) mengungguli, sebab impaknya meramas nadi dan menarah kudrat “rakyat” yang menghuni “tanah air” (sekadar menghubungkaitkan suatu identiti dan kesatuan dalam sajak ini). Demikian persepsi, serentak menepati, lagi-lagi masa kini – ketika mendekati musim mengadun mimpi sebelum mengundi menentukan status muktamad perjuangan.
Keseluruhan sajak mencabar diri. Daripada mengambil pandangan sipi atau memanjangkannya satu persatu terhadap tafsiran “berbalah … kata” yang lain, yang sedia dirinci dikira memadai. Aku mohon berhenti di sini.

Pantulan C/02/14/2017: Sajak Teratai Abadi, "Pasar Politik"

Pantulan C/02/14/2017: Merobah persepsi
Pada judulnya terang-benderang singgungan adalah terhadap tingkah-laku ahli-ahli politik. Betapa lagilah terpapar dalam keseluruhan kandungannya, menjengkel bahkan menjejekkan. Sajak Teratai Abadi, “Pasar Politik”, Dewan Sastera, Bil. 12 [Disember] 2014, muka surat 70 tidak berselindung maksud. Ia mencemuhkan pelaku-pelaku politik kerana pelbagai sifat-sifat negatif mereka sama ada dari segi “kata” (tentu dengan pidato mereka yang berapi menista merata-rata), “pesona” (kerana janji manis melunak telinga dan mempengaruhi minda banyak tanpa terlaksana), “laba” (untung rugi yang sentiasa dikira memihaki diri dalam setiap transaksi membabitkan peribadi dan konco-konco), “dosa” (kerana terang-terangan atau tersembunyi menyalahi undang-undang dan moral terpuji), dan “sengketa” (kerana bertelagah merebut undi penentu takhta). Setiap satu boleh dikembangkan menjadi bab-bab buku, meliputi pelbagai segi.
Mengapa politik digambarkan begitu cela? Sedangkan selepas merdeka kita membingkas daripada beradu bahkan sudah mengaku mencapai status negara maju. Ada pula tokoh-tokoh ditandu; rakyat yang dahulu terbelenggu sudah berubah wajah lebih cerah; berpendidikan sampai dianugerah berbilang ijazah; berhijrah dan terdedah kepada sekitaran penghidupan moden penuh kecanggihan. Dan banyak lagi boleh disenaraikan pencapaian bahkan sampai ke pentas global mengkagumkan negara-negara jiran. Semuanya ini sejajar dengan “bugar bangsa ke negeri sentosa” (ada bakti berfaedah memakmurkan watan).
Maknanya ahli-ahli politik ada yang berwibawa dan telah memainkan peranan yang melayakkan dukungan berterusan. Pencapaian itu sekali gus menafikan mereka mengkesampingkan manisfesto yang mereka gubal untuk menanam dan meraih keyakinan di kalangan para pengundi setiap kali berkesempatan. Di sebalik prestasi demikian, kenyataan dan tohmahan membuktikan dalam putih ada hitam. Imej inilah yang menjolok hadir sebagai persepsi paling dominan seakan bersebati dalam keseluruhan amalan kebudayaan menulari gelanggang politik sekarang.
Aku percaya seluruh rakyat mendukung sistem demokrasi yang dianuti. Ia telah terpasak membumi direstui undang-undang tergubal rapi meliputi serba-serbi segi, agar pengamalannya melimpahkan kebaikan kepada semua yang berkepentingan. Pada ‘Keluhuran Perlembagaan’ dan ‘Kedaulatan Undang-undang’ kita cambahkan harapan dan asaskan rasional kelangsungannya. Kita ada mekanismenya. Kita mampu melakukannya.
Heretlah yang bersalah ke istana pengadilan tanpa melihat belang atau membezakan bulu para petualangnya. Serentak itu, taburkanlah benih-benih budaya berintegriti dalam amalan berpolitik (dan lain-lain lagi). Sekiranya benar-benar direalisasi semuanya sedemikian murni maka medan siasah sudah pasti merona reputasi misali. Ia akan merobah situasi, menukar pandangan dan mengalih persepsi kusam, menjadi terhormat sekali. Aku yakin lambat-laun yang bakal muncul yang terunggul lebih bertransparen, berlainan daripada yang diwarnai puisi Teratai Abadi. Akan lebih berseri ia. Bersama-samalah kita melangkah sehati. Usah sekali-kali berhenti. Tidak mustahil bidang ini tidak lagi dibenci.

Monday 21 August 2017

Pantulan E/01/13/2017: Sajak Zaiton Ajamain, “Bahtera Kehidupan”

Pantulan E/01/13/2017: Diperkotak-katik
Antara dua pihak, penguasa (baca kerajaan) dan penyokong (baca rakyat) perlu ada saling persefahaman demi mengekalkan kenteraman awam. Demikian sangat asasi. Hanya sejauh mana persefahaman itu harus terhenti demi mengelakkan persengkokolan yang merugikan majoriti (penyokong?) – semakna menjaga kepentingan sepihak sahaja. Adakah sebelah pihak lain, iaitu pihak rakyat kelompok majoriti ini sentiasa harus memberi atau mengalah sedangkan prinsip, pendirian dan mandat sudah dikorbankan oleh pemegang amanah, demi kepentingan atau menjaga hati kelompok minoriti yang berhak istimewa? Bahkan secara kembangan termasuk menjaga perasaan kelompok yang ikut berkongsi menjunjung kelangsungan penggabungan? Masalah sepak terajang politik ini menjadi tumpuan khusus [Datuk Hajah Zaiton Haji Ajamain] Zaiton Ajamain, melalui “Bahtera Kehidupan”, (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, November 2013, muka surat 77. Enam tahun lebih sajak ini tercipta tetapi isunya tetap semasa.
Dilema jelas membuih. Penyokong dipujuk agar sentiasa mentaati kehendak pihak yang berwibawa demi menghindari permuafakatan yang mengasaskan pembinaan perkongsian kuasa itu tergugat (“… berhemah mengalah”). Sedangkan, dalam sistem demokrasi, golongan majoriti dikira lebih berkuasa. Kelompok minoriti tidak harus mengatasi walaupun mereka ada saham dalam penerusan perikatan atau penggabungan kuasa mengendali teraju. Pada ketikanya, tolak-ansur menuntut diselami makna hakiki, agar dipertahan sempadan yang terpancang. Tiada pengenduran atau pelenturan melanggar terma-terma rujukan tergubal.
Yang meruap hasil pembacaan ialah ‘rungutan’ pendukung yang setia. Tiada berani bersuara, “menikus” sahaja sedangkan ia berminda sedar, arif akan segala alternatif yang ada dan tahu pula implikasinya. (Namun, jangan ada simplisiti mencari penyelesaian atau mengatasi permasalahan. Isu-isu yang kompleks mungkin banyak dimensi – dan penyelesaian menuntut pengakuan dan fleksibiliti secukupnya terhadap kedimensian itu. Hakikatnya, kemahiran berpencak silat mengendali aksi dikira wajib demi menjamin pencapaian matlamat jangka panjang yang lebih bererti atau berimpak tinggi).
Adakah yang sewajarnya dilakukan ialah berdoa sambil mengharungi kebejatan tanpa ada pun tindakan paling rasional lagi bertepatan merentikannya? Sanggupkah ahli berterusan “… semakin geram tertekan menahan amarah”? Benarkah matlamat pendidikan termasuk menyemarakkan kebaculan apabila kebenaran ditonyah? Barangkali akan lebih menyeluruh olahan sekiranya dianjurkan tindakan lebih berani berupa pelan tindakan serasi realiti mengetepikan budaya yang mendarah daging selama ini.

Pantulan A/01/12/2017: Sajak Asmira Suhadis, “Wajah dan Hati”

Pantulan A/01/12/2017: Serlahan sejati
‘Kekasih’ sentiasa jadi sumber– untuk menyatakan perasaan terutamanya. Kali pertama aku memantul karya Asmira Suhadis, judul sajaknya ialah “Kita Semakin Tua Kekasih” (Pantulan A/1/30/2016). Kali ini, walaupun ‘kekasih’ tidak dijudulkan, ia tetap ditumpukan, pada rangkap pertama dan rangkap kedua, masing-masing sekali. Begitulah teryata apabila melintasi, “Wajah dan Hati”, Dewan Sastera, Bil. 9 [September] 2017, muka surat 64. Puisi inisekadar tiga inci. Ulangilah berkali-kali.
Permata ciptaan ini ialah pada, “kerana kejujuran tidak dapat kita lihat/jika hijab tidak tersingkap.” ini kalimat-kalimat yang tidak kalah dengan kalimat-kalimat yang pernah kita baca hasil ciptaan tokoh-tokoh gah di persada sastera dunia.
Aku sendiri sukakan pembahagian rangkapan; yang pertama “merindui” sedangkan yang kedua, “mencintai”. Perbezaan letaknya mengharuskan kelainan tingkah reaksi, lantaran memuncakkan kesedaran bahawa pemenuhan hasrat diusapi keghairahan akan menyatukan kedua-dua jiwa yang saling mengenali, lantaran sudah berubah sempurna murni. Tanpa berselindung. Ia memetrai penyatuan sejati.
Aku tidak sampai memihaki penyair setara hakiki (kerana tanda-tandanya masih sipi-sipi). Tetapi, seseorang boleh mengangkat makna puisi ini dari aras literal ke aras tersirat yang tentunya akan menghubungkan perkasihan antara hamba dan Pencipta. Kehadiran kemungkinan ini, apalagi kalau boleh dibuktikan, menjadikan puisi ini wajar lebih abadi. Puisi yang berlapis maknawi jarang tercipta dan kerana itu seyogia dihargai, atau sekurang-kurangnya, dihormati dan dirai.

Pantulan A/01/11/2017: Sajak Sabariah Bahari, “Perempuan Ini”,

Pantulan A/01/11/2017: Taqarrub
Pantulan-pantulanku terhadap sajak-sajak Sabariah Bahari setakat ini meliputi, “Malam Adalah Sebuah Kedamaian”, Dakwah, September 1994 (Pantulan 26/14); “Kita Masih di Sini”, Dewan Sastera, Jun 2000 (Pantulan 29/15); dan “Di Sini Seorang Perempuan”, Al Islam, September 1994 (Pantulan 10/15). Sajak terakhir yang kulintasi kini ialah “Perempuan Ini”, (Puisi Bulan ini), Dewan Sastera, Mei 2014, muka surat 69. Ia terumus padat dalam kalimat, “tiba-tiba menggeletak ketakwaan datang”. Ini berlaku setelah lama penyairnya kemamar bahkan kesasau oleh rentetan nasib malang.
Aku ingat ini adalah rakaman riwayat peribadi. Keterombang-ambingan yang hampir menyirnakan diri akhirnya terkendali. Beliau dituntun ke arah “mentataqarrubkan diri” kepada Ilahi kerana Dia sahaja yang berkuasa memancarkan “… kemilau cahaya…”. Terselamatlah penyair daripada hanyutan deras pancaroba hampir menggelaminya. Tiada daya upaya manusia tanpa keizinan Penciptanya iaitu Yang Maha Besar.
Sajak ini tiada melindungi apa-apa atau bahkan penggubahnya sendiri. Keseluruhannya terlalu terang untuk difahami berlainan. Ya, ia tersurat nyata. Dari segi pengalaman lampau, dari segi kejahilan masa silam, dari segi keporakperandaan mengharungi kehidupan pahit tak keruan, semuanya terpapar untuk kunyahan sesiapa. Maka eloklah kita tidak melupakan perutusan putih yang sekurang-kurangnya boleh disempadani.
Sebuah sajak seharusnya mengesankan erti hasil didukung ilmu (pengetahuan) dimiliki. Itu paling asasi. Kalau ia diserikan dengan keindahan diksi, kalimat berseni dan memahat maknawi di sanubari peneliti, lebih-lebih lagi disyukuri. Ya, asalkan jangan sekadar berpuisi.

Pantulan A/01/10/2017: Sajak Malim Ghozali Pk, “Memoir Seorang Lelaki Tua Di Sebuah Desa Jauh Dari Kota”,

Pantulan A/01/10/2017: Dilema di ujung jalan
Tanpa merujuk tulisan yang banyak dan bukan sukar pun memperolehinya, kita masih boleh mencari rasional Malim Ghozali Pk kembali ke desa selepas sekian lama mengharungi kota dan mengembara “… dari kota ke kota”. Beliau sendiri yang menceritakan, lewat “Memoir Seorang Lelaki Tua Di Sebuah Desa Jauh Dari Kota”, Dewan Sastera, Bil. 01 2014. Judul ini agak tipikal berunsur keremajaan – jelas dan sentimental. Ini judul belia kerana melankolik lagi nostalgik. Tetapi tentulah ia sengaja dilakukan. Dari sinilah aku menghayati secara lebih berhati-hati bercampur simpati. Sebab puisi Ini adalah riwayat peribadi sarat dengan kisah perit lagi cita-cita tak kesampaian. Setiap patah kata judul itu memberi erti pasti tidak akan disalah fahami lagi.
Tidak jarang mengetahui seseorang kembali ke tanah kelahiran (?) setelah mengembara ke serata jagat alam. Penjelasan yang lazim kita dengar ialah tanah tempat mengongsi bukan tempat yang tenang untuk menghadapi kelainan dunia yang (bakal) dilalui ketika usia sudah diakui tua. Dunia yang ditinggalkan itu hanyalah tempat untuk mencari rezeki semasa masih diperlukan majikan dan ketika umur masih muda trang-tang-tang. Persaraan yang mendatangi diri menyedarkan seseorang bahawa masih ada pilihan untuk lebih memaknakan kehadiran singkat yang masih terluang.
Ya, kenapa kita perlu meningkat tua sebelum beralih haluan? Kenapa, pada takah usia demikian baru kita “menghilangkan lelah di pohon keledang”? Tetapi misteri ini segera nyata kerana selama di kota watak kita “tak pernah ketemu apa yang dicarinya.”
Semuanya adalah “takdir”. Sampai ketika semuanya terjadilah. Tetapi kembali ke desa ada tujuan khususi, “meluruskan masa silam”//”… bertemu damainya”. Di kota ruang ini tertutup rapi. Ia harus dilepaskan kini agar tidak kesal nanti.
Aku menganalisis. Pengalaman di kota berbanding di desa merungkai solusi memilih langkah-langkah berbaki. Terbukti bahawa tanah kelahiran adalah tempat persediaan mengadap Ilahi paling menepati. Kenangan masa kecil dan remaja mempengaruhi. Dalam kes ini ia benar-benar peribadi. Seorang yang lain mungkin berbelah bahagi bahkan tidak sehati.
Hanya, selepas lebih separuh usia kita bergelumang dengan semuanya yang kekotaan, membina nama, keluarga dan rangkaian taulan dan kepentingan pastilah kenekadan sejati yang memutarbalikkan kebiasaan dan pendirian untuk beralih haluan pulang. Banyak pertimbangan dan risiko harus diambil kira. Dan aku bertanggapan, setiap kita bertindak sesuai dengan pengalaman dan matlamat hidup masing-masing. Bukan satu penyelesaian untuk semua keadaan dan permasalahan.

Pantulan C/01/9/2017: Sajak Norhisham Mustaffa, “Seorang Guru Bersuara Sehari Sebelum Bersara”,

Pantulan C/01/9/2017: Pengabaian
Sajak sinis Norhisham Mustafa (Mustaffa?), “Seorang Guru Bersuara Sehari Sebelum Bersara”, Dewan Sastera, Mei 2012, muka surat 61, sangat sesuai dideklamasikan di kalangan kaum yang serupa. Lebih baik lagi kalau dalam sayembara deklamasi sempena menyambut Merdeka yang bakal tiba. Pastilah (saya boleh nampak) deklamator menggayakan persembahan, yang tentunya berapi-api sekali gus lantang menurit gegendang telinga. Dijangka khalayak terbungkam menahan amarah bersumbat kejengkelan. Bertuah ibu mengandung, kalau dalam sayembara, deklamator sajak ini bakal diisytihar juara.
Ya, untuk persembahan pentas sajak ini cukup ideal. Kesajakan dan kehangatan garapan isunya memenuhi syarat-syarat mendepani dan mengobarkan perasaan khalayak. Malangnya, seperti lazimnya, (saya percaya) khalayak, kemudiannya pulang ke haribaan sanak keluarga, handai taulan seperti biasa, seakan tiada sesuatu bererti terjadi.
Sedangkan ia ada juga kekuatan lain. Kalau setiap patah, frasa, dan kalimat yang berpadu padat menyampaikan niat penyairnya dihayati sehasrat asali beliau, sajak ini akan menggempar, menghonar mendampakkan – ke arah yang positif seharusnya.
Ada tujuh jawatan seseorang murid boleh bangga bercita-cita “menjadi” selepas tamat pengajian, termasuk sebagai “sasterawan negara”. Jangan lupa pula yang lain satu lagi disebut, “pendatang ke negara asing”.
Saya sukakan urutan ayat tentang kebebasan yang menonjoli lebih separuh keseluruhan sajak. Sinisnya, kebebasan itu ke arah mengingkari semua undang-undang, peraturan-peraturan dan syarat-syarat yang tergubal khusus bermatlamat mengukuhkan amalan ketatanegaraan masyarakat madani. Termaklum sekian lama, setiap jenis kemungkaran itu ada pihak berwibawa yang dipertanggungjawabkan mengawalinya. Mereka dilantik, dilatih agar mampu memikul amanah. Masing-masing mendapat imbuhan berpadanan daripada kerajaan. Para penjawat awam itu boleh hidup selesa dengan mentaatinya, mendukung budaya kerja cemerlang. Betapa kecewa rakyat apabila para pemimpin pada semua lapisan melonglaikan kewajipan mengawal karenah dan tindak-tanduk bermaharajalela pendatang asing sehingga berleluasalah kegejalaan tempang yang meruntuhkan seperti dirakami Norhisham.
Maka, janganlah dibiar sajak terperap di rak. Hindarkan ia hancur lebur di kerit anai-anai di rembat warisan. Usah abaikan ia jadi tidak berharga bak buah-buahan musim melambak, atau elakkan ia terpendam sehingga diketahui setelah digali seorang pentesis kerana menulis sekadar memenuhi keperluan akademik, lama terkemudian.
Sajak harus memberi impak segera. Pastikan ia menggera dan menggerakkan tindakan susulan. Ayuh, selongkari punca menjadikan perutusannya sepi tanpa dibaca walaupun sekali-sekala. Sedangkan, sajak suatu saluran ampuh bergemerlapan mutiara. Ada bisanya menjana ketamadunan.

Wednesday 16 August 2017

Atuk legenda

Atuk legenda
Ketika aku melalui rumahnya untuk berjumaat, jam masuk 12.46 tengah hari. Beliau baharu tiba di halaman dan masih di kerusi pemandu memegang stering SAGAnya. Tanpa ditanya beliau memberitahuku baru balik menghantar “budak ke sekolah”. Tentulah dia perlu bersiap pula untuk ke masjid kerana dia salah seorang pegawai masjid.
Beliau enam tahun lebih tua dariku. Jasa baktinya besar kepada kariah Kampung Tunku. Aku ingat sudah 34 tahun suaranya berkemumandang di udara, setiap kali Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Sampai sekarang. Kekerapan itu berkurangan sedikit apabila kemudiannya masjid mengambil pegawai-pegawai tambahan. Namun, bilal kami itu tetap yang utama, paling kanan.
Dua tahun lepas, kami telah menaikkan pangkat beliau ke jawatan Imam IV sebagai menghargai sumbangan cemerlang sekian lama. Beliau masih diminta mengazankan waktu-waktu solat tertentu. Kemerduan suaranya diakui bahkan menjadi identiti masjid. Beliau tidak boleh berhenti terus melakukannya.
Pegawai kami ini termasuk salah seorang tokoh kampung dalam buku “Profil Tokoh-tokoh Kampung Tunku” yang diterbitkan oleh pihak masjid beberapa tahun lepas.
Benar Imam ini tidak bertugas hari ini. Imam dan bilal lain terjadual melakukannya. Tetapi, tokoh kami itu tetap akan ke masjid segera. Rumah tempat beliau tinggal itu ialah kuarters, milik masjid. Beliau boleh sampai ke masjid dengan berjalan kaki dalam masa tidak kurang daripada lima minit. Dia tidak perlu bergopoh-gapah.
Tetapi, pada usia sekarang pun, nampaknya beliau tetap perlu bergegas menguruskan hal-ehwal “budak-budak” ke sekolah!

MohdBashir HamzahIdris 'Budak' tu siapa? Anak atau cucu. Kalau anak, dia tentu seorang lelaki yg hebat. Kalau cucu, dia lelaki biasalah.
Reply
1
21 July at 16:09
Manage
Isahak Haron Ya imam Basri sejati dengan Surau n kemudian Masjid Kg. Tunku. Suara azannya mersek, terutama pada waktu subuh n maghrib.