Pantulan C/02/14/2017: Merobah persepsi
Pada judulnya terang-benderang singgungan adalah terhadap tingkah-laku ahli-ahli politik. Betapa lagilah terpapar dalam keseluruhan kandungannya, menjengkel bahkan menjejekkan. Sajak Teratai Abadi, “Pasar Politik”, Dewan Sastera, Bil. 12 [Disember] 2014, muka surat 70 tidak berselindung maksud. Ia mencemuhkan pelaku-pelaku politik kerana pelbagai sifat-sifat negatif mereka sama ada dari segi “kata” (tentu dengan pidato mereka yang berapi menista merata-rata), “pesona” (kerana janji manis melunak telinga dan mempengaruhi minda banyak tanpa terlaksana), “laba” (untung rugi yang sentiasa dikira memihaki diri dalam setiap transaksi membabitkan peribadi dan konco-konco), “dosa” (kerana terang-terangan atau tersembunyi menyalahi undang-undang dan moral terpuji), dan “sengketa” (kerana bertelagah merebut undi penentu takhta). Setiap satu boleh dikembangkan menjadi bab-bab buku, meliputi pelbagai segi.
Mengapa politik digambarkan begitu cela? Sedangkan selepas merdeka kita membingkas daripada beradu bahkan sudah mengaku mencapai status negara maju. Ada pula tokoh-tokoh ditandu; rakyat yang dahulu terbelenggu sudah berubah wajah lebih cerah; berpendidikan sampai dianugerah berbilang ijazah; berhijrah dan terdedah kepada sekitaran penghidupan moden penuh kecanggihan. Dan banyak lagi boleh disenaraikan pencapaian bahkan sampai ke pentas global mengkagumkan negara-negara jiran. Semuanya ini sejajar dengan “bugar bangsa ke negeri sentosa” (ada bakti berfaedah memakmurkan watan).
Maknanya ahli-ahli politik ada yang berwibawa dan telah memainkan peranan yang melayakkan dukungan berterusan. Pencapaian itu sekali gus menafikan mereka mengkesampingkan manisfesto yang mereka gubal untuk menanam dan meraih keyakinan di kalangan para pengundi setiap kali berkesempatan. Di sebalik prestasi demikian, kenyataan dan tohmahan membuktikan dalam putih ada hitam. Imej inilah yang menjolok hadir sebagai persepsi paling dominan seakan bersebati dalam keseluruhan amalan kebudayaan menulari gelanggang politik sekarang.
Aku percaya seluruh rakyat mendukung sistem demokrasi yang dianuti. Ia telah terpasak membumi direstui undang-undang tergubal rapi meliputi serba-serbi segi, agar pengamalannya melimpahkan kebaikan kepada semua yang berkepentingan. Pada ‘Keluhuran Perlembagaan’ dan ‘Kedaulatan Undang-undang’ kita cambahkan harapan dan asaskan rasional kelangsungannya. Kita ada mekanismenya. Kita mampu melakukannya.
Heretlah yang bersalah ke istana pengadilan tanpa melihat belang atau membezakan bulu para petualangnya. Serentak itu, taburkanlah benih-benih budaya berintegriti dalam amalan berpolitik (dan lain-lain lagi). Sekiranya benar-benar direalisasi semuanya sedemikian murni maka medan siasah sudah pasti merona reputasi misali. Ia akan merobah situasi, menukar pandangan dan mengalih persepsi kusam, menjadi terhormat sekali. Aku yakin lambat-laun yang bakal muncul yang terunggul lebih bertransparen, berlainan daripada yang diwarnai puisi Teratai Abadi. Akan lebih berseri ia. Bersama-samalah kita melangkah sehati. Usah sekali-kali berhenti. Tidak mustahil bidang ini tidak lagi dibenci.
No comments:
Post a Comment