Sunday 15 November 2015

Pantulan 16/15: Sajak Zurinah Hassan, "Dari Gunung Jerai ke Pekan Rabu".

Pantulan 16/15: Nostalgia
Sungguhpun bukan teks sejarah, kukira sajak Zurinah Hassan, “Dari Gunung Jerai ke Pekan Rabu”, Dewan Budaya, Julai 1993, muka surat 59, baik untuk menelusuri sejarah orang Melayu, yang hidup “di tengah keindahan, di tengah kepayahan”. Tetapi hakikatnya perubahan telah melainkan hampir segalanya. Pengalaman lampau tiada lagi diulangi kanak-kanak kini. Dan pemuda-pemudi juga, tidak serupa tuju, berbanding yang terdahulu. Pun, ada harapan dirakamkan. Biarlah peralihan jangan sampai menghilangkan sedikit sebanyak ‘perjuangan’ hatta berupa “Pekan Rabu”, yang tentunya bukan tugu keunggulan atau mercu pencapaian.
ASKAT: Aku sering memikirkan kalau tiada pembangunan sebahagia manakah kita sekarang? Walaupun ada para peneraju atau kuncu-kuncu, juga tuan-tuan guru menadah kitab-kitab kuning semenjak dahulu, datang penjajah, warisan jadi kelabu dan celaru, memerintah tak mampu. Terasing, terbelenggu, di bawah tuan baru. Winstedt memegang teraju dan semua menjadi guru di ulu-ulu, kerana di bandar-bandar, tempat tinggal sebenar cara hidup baru, jadi tempat tumbuh persediaan menghadapi dan menguasai dunia mutakhir, dianggapi kita jadi tempat musafir. Perbalahan sesama sendiri berterusan, kabur mencari pintu penyatuan, sampai muncul para pembaharu – Al Imam melawan para pemuka yang tetap berkubu dalam masyarakat keciciran ilmu. Pendeta menulis mencetus kesedaran dan hak warisan. Maka, kalaulah tidak akhirnya merdeka, terbayangkah kita “megah menghiasi negara kaya rakyat bahagia”, walaupun kita jauh sekali daripada berwibawa?
Begitu nikmat menjaluri ingatan. Terkadang tersendu mengenang keperitan oleh ketiadaan. Ada pula hikmah tersembunyi. Semuanya, rupa-rupanya membenihkan kesedaran, bahawa kehidupan ini untuk kita limpahkan dengan sumbangan, dalam ruang-ruang dan kesempatan terbentang.

Pantulan 15/15: Sajak Azmi Yusoff, "Penunggu Kematian".

Pantulan 15/15: “Bangkai Bernyawa”
Sajak Azmi Yusoff, “Penunggu Kematian”, Dewan Sastera, Oktober 1994, muka surat 37 menderai lubuk rasa di linang pagi. (lihat juga, “Mengemam Jadam”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994, muka surat 48-49; “Sakar Mawar”, ITBM & PENA, 2014, muka surat 52-53).
Padahalnya, kita diberi akal untuk berfikir, menimbang baik buruk agar mematuhi dan mengamali hanya yang baik-baik memanfaati manusiawi , bukan yang melara dan mengsengsarakan diri, juga orang lain yang mengelilingi. Dimanakah kesilapan pendidikan dalam masyarakat sampai orang lebih mudah tergoda lantas hanyut, tenggelam tak meninggalkan nama. Sedikit sebanyak bukti-bukti peradaban hasil pemikiran berasaskan penerapan ilmu yang dianjurkan seruan anbia, aulia, ulama dan umara tidak langsung terkesan? Dan tidaklah lagi kita hairan kalau semakin ramai yang ketagihan, pusat-pusat serenti merata-riti, peruntukan kian ditambahi, para petugas melimpahi organisasi…. Satu pembaziran gred tertinggi. Bidang-bidang tidak terhad, meliputi serba-serbi.
ASKAT: Manusia lebih ramai yang tersesat, atau tidak bersyukur. Terpinar matanya oleh sedikit hadiah atau ulitan yang bertaraf rendah, tak sah. Baginya, kesihatan yang menggagahkan, pengajian yang tinggi memuncak, pekerjaan yang berkenikmatan, kediaman berseri yang dipagari, usia yang panjang berdepa-depa, bukan anugerah Ilahi. Semuanya adalah kerana usaha sendiri. Pada mereka tiada inti maknawi di sanubari, “kontang syahadah”nya. Dan, sudah tiada terselindung lagi, bahawa dunia ini telah digelumangi kebatilan. Begitu, adakah sudah kita tiba di ujung waktu? Atau, akan lama lagi menyaksikan pemorakperandaan generasi oleh kejahilan tanpa tepi.

Pantulan 14/15: Sajak M. Jusoff Taib,"Sungai".

Pantulan 14/15: Kebijaksanaan
Kita tahu bahawa semua kejadian di alam ini ada isyarat, rasional, signifikan, di sebalik pengwujudannya. Telah sebati dengan kita bahawa dalam semuanya itu, ada kebaikan yang boleh diraih. Ya, bagi kalangan kita yang sedia berfikir. Bahawa pada akhirnya tahulah kita siapa yang berkuasa sebenarnya. Dan ke arah mana kita akan melangkah mengisi kesempatan yang diberi.
Maka, sedang hujan turun menggamat, senja ini aku melintasi sajak M Jusoff Taib, “Sungai”, Dewan Sastera, Oktober 1994, muka surat 34. Dari catatan kecil ini terkesan aku bahawa insan terleka dengan hiruk-pikuk kehidupan dunia walaupun tiada bermanfaat, kecuali sehama dan sementara. Tentunya untuk penghidupan yang kekal di ‘dunia’ lain kemudian, ada pendekatan lain seharusnya dipilih atau diikuti. Tetapi penghidupan sekarang ada kaitan erat dengan kehidupan kemudian. Sama sekali bukan harus ditolak. Lalu, kalau tiada diambil teladan atau iktibar dari ‘perenangan’ itu tiada akhiran yang lain kecuali kerugian berpanjangan. Dan tentulah, bukan ini matlamat penghidupan di dunia. Arus ‘sungai’ sewajarnya membantu, meringan dan membijaksanakan.
ASKAT: Sungai hidup yang panjang (?), berliku-liku, dengan jeram arusnya, lata-lata yang mempersona lagi mengalpakan, serta pelbagai hanyutan yang merencamkan dan penyaksian-penyaksian berbuah aneka ceritera bukan untuk dikesampingkan dalam menunjal usia. Ada orang lemas ketika sungai tidak pun mengganas. Ada orang selamat ketika sungai melimpah dahsyat. Kalau pandai menyesuaikan diri, dalam suasana bagaimanapun, tiada syak lagi faedahlah yang dinikmati. Maka kita harus menggali bekal mencukupi untuk berbakti- duniawi dan ukhrawi.

Pantulan 13/15: Sajak Daeng Ramliakil, "Mencari yang Hilang".

Pantulan 13/15: Iktibar
Sajak (Daeng Daengramliakil) Daeng Ramliakil, “Mencari yang Hilang”, Dewan Budaya, September 1992, muka surat 49, mencungkil sejarah tokoh untuk membangkitkan kesedaran bangsa tentang warisan dan tamadunnya. Demi pemartabatan. Tetapi bukan mudah mengatasi cabaran berupa tentangan kerana, peredaran zaman telah melekakan generasi sekarang bahkan yang seangkatan sehingga mereka tidak mengakui kepentingan deretan peristiwa yang berabad-abad terpahat di lembaran sejarah, terlipat di kepustakaannya.
ASKAT: Pun tidak mengapa sekiranya tinggalan-tinggalan menghiasi muzeum berbanding tanpanya langsung. Sekurang-kurangnya, terkumpul bahan untuk jadi rujukan atau penelitian. Minda akan merumuskan tuntutan perjuangan demi kelangsungan bangsa yang dilimpah-ruahi potensi menjadi besar dan terkemuka setara dengan yang di kemuncak ketika ini.
Maka pendidikan di setiap pentas atau persada mana pun seharusnya berterusan; menyedarkan ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’ agar dewasa dengan keunggulan dan ketrampilan dalam ‘wawasan beracuan sendiri’, dalam apa pun segi. Masing-masing mendukung wawasan mengikut tanggungjawab dan kemampuan. Kekecewaan seharusnya dipenyapkan.
Kalaulah terbukti tidak semua yang digali berseri-seri mengatasi yang dianggap mithali, haruslah bertindak bijaksana mengakui. Dalam interaksi ratusan tahun sejak zaman bahari hingga kini, sudah tentu terumus yang terbaik untuk diikuti. Kalau boleh kita sepakati - keterlanjuran zaman tradisi, kemunduran kehidupan duniawi, kejahilan ketika dijajahi, ketinggalan yang tidak tersembunyi - nescaya kita tidak akan sedemikian ( atau sebegini) dalam beberapa generasi yang menyusuli.

Pantulan 12/15: Sajak Azmi Yusoff, "Iqra'".

Pantulan 12/15: Memanfaati kesempatan
Azmi Yusoff, lewat “Iqra’”, Al Islam, Julai 1991, muka surat 22 memaknakan faedah pembacaan kepada insan. Seharusnya tiada kerugian sedikitpun amalan ini. Bila-bila pun dan dalam aspek-aspek apa jua. Tetapi lebih menikmatkan kalau pentelaahan membangkitkan kesyukuran tentang limpahan rezeki yang tidak terkira banyaknya. Kemudian timbullah pengibadatan berterusan, dengan matlamat berjumpa-Nya selepas menghabisi tempoh yang dijadualkan di dunia ini. Hakikat yang terpancar dari penelitian itu ialah bahawasanya Allah-lah Yang Maha Agung, “Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”
ASKAT: Sangatlah berbahagia sekiranya kita terpandu sampai tergerak menyelidiki apa yang terakam dalam kitab Al-Quran, Hadis Rasulullah s.a.w., tafsiran para ulama, pengkajian para cendekiawan dan setelah memahami semampunya, bertekad tidak mengkesampingkan lagi semua perintah-Nya dan menghindari segala larangan-Nya. Kita akhirnya menjadi insan yang bertaqwa pada saat yang sudah tidak panjang lagi jangkanya untuk kita. Puluhan dekad telah terdampar di kancah kejahilan, ruang yang terbuka, walau sempit merua, diharapkan tidak sekali-kali tersesia. Insya-Allah.

Pantulan 11/15: Sajak Solihin Osman, "Sintesis Kehidupan".

Pantulan 11/15: Muhasabah
Sebenarnya banyak tempat, peristiwa atau latar belakang yang boleh mencetuskan kita merenung kembali tentang muslihat pengalaman atau pertembungan yang terjadi itu. Hanya dalam kes Solihin Osman, melalui sajaknya, “Sintesis Kehidupan”, Al Islam, Ogos 1999, muka surat 50, beliau mengambil contoh yang begitu sering kita alami dari semasa ke semasa – berkunjung ke hospital atau melawat tanah perkuburan. Pengalaman yang bukan luar biasa ini nampaknya tidak dipersia-siakan. Dianjurkan kita tidak mengabaikan hikmah di sebaliknya, iaitu dengan bertafakur, bermuhasabah. Dan ini dipersembahkan dengan baik, mengusik, serta megharukan. Sebuah gubahan yang menarik.
ASKAT: Aku telah melalui proses ini baru-baru ini. Dan ini bukan yang pertama. Ia telah kesekian kalinya - ke hospital, ke kubur dan serentak dengan itu ketika bersendirian (bahkan dalam kerumunan manusia) tidak lupa memikirkan penghidupan yang sedang dilalui (tepatnya, dinikmati); betapa berharga untuk dihayati sungguh-sungguh. Apabila tergerak bermuhasabah, maka bersetujulah aku, bahawa sebenarnya, lebih ramai orang yang lebih susah, lebih teruji, lebih kurang bernasib baik berbanding aku sendiri. Malah di kalangan yang bernasib baik sekalipun, tetap masih tiada aku tercicir. Sungguh banyak kurniaan. Berlimpahan. Terkedepan mengungguli, atau tidak jauh di belakang. Bayangkan, sehari sahaja terganggu kesihatan, sedarlah aku amat rapuhnya jasmani diri, sekali gus sudah cukup mengajar bahawa kesementaraan adalah hakikat. Insan-insan bernyawa tiada pilihan selain pasrah kepada-Nya. Ada alam lain menanti.
Sedikit kulanjutkan. Pada usia kini, kerapilah masjid. Akan nampak siapakah para pengunjungnya yang tidak seberapa itu. Orang-orang yang dahulu berdarjat, berpangkat, tiadalah jauh lebihnya mengatasi kita. Dalam keuzuran yang tidak terselindung lagi, terbetik kesedaran bahkan pengukuhan, bahawa kita semua adalah sehala; menuju ke suatu arah yang sama. Kembali kepada Pencipta. Hanya bila?

Pantulan 10/15: Sajak Sabariah Bahari, "Di Sini Seorang Perempuan".

Pantulan 10/15: Tanggungjawab lelaki
Melintasi sebuah sajak ciptaan Sabariah Bahari dua dekad yang lalu, “Di Sini Seorang Perempuan”, Al Islam, September 1994, muka surat 58. Kupamerkan sebagai penghormatan kepada penyajaknya kerana menyuainya hari ini. Mesejnya adalah pengakuan murni tentang peranan lelaki demi membentuk seorang wanita yang beriman ( atau sebaliknya) dalam alam berumahtangga.
Alangkah besar peranan lelaki. Dan, alangkah malangnya kalau mereka gagal mendukungnya! Semoga kaum wanita bertuah menemui kaum lelaki yang mampu menerajui bahtera penghidupan dalam pelbagai suasana. Keredhaan yang tercurah sewajarnya dilimpahi barakah, bukan mencetuskan masalah.
Askat: Perkahwinan adalah suatu institusi. Kitalah para pendukungnya. Ini bermakna setiap kita mempunyai tugas dan tanggungjawab memeliharanya. Kalau masing-masing memahami dan melaksanakan mengikut yang dikehendaki maka tenteram dan bahagialah penghidupan pasangan suami-isteri. Demikian itu amat penting kerana mereka akan menghasilkan zuriat yang bakal menyambung keturunan, membina tamadun dan memakmurkan dunia. Barangkali tidak perlu ditekankan bahawa rumahtanggalah alam pendidikan awal yang menjadikan persekolahan dan perlanjutan pendidikan seterusnya menjadi lebih mudah lagi berpotensi mewujudkan masyarakat yang mithali. Dalam serba-serbi.

Pantulan 9/15: Sajak Siti Zainon Ismail, "Pohon Hayat" .

Pantulan 9/15: Matlamat hidup
Ini kukira suatu sajak yang sedikit panjang kerana menelan dua halaman.
Pengakuan tentang keagungan Allah subhanahu wa taala, dengan kekuasaan-Nya yang boleh melakukan apa saja, jelas dinukilkan oleh Siti Zainon Ismail, lewat “Pohon Hayat”, Dewan Budaya, Oktober 1987, muka surat 40-41. Baris-baris awalnya membuktikan demikian. Maka dengan kekuasaan itulah manusia seharusnya mengenali diri sendiri. Tentang kekurangan serba-serbi, tentang kekerdilan tak terbandingkan dengan Penciptanya. Dengan itu sesiapa pun tidak lagi menghindarkan diri meMahaBesarkan-Nya, menyembah-Nya sebagai pengabdian serasi ketaqwaan, betapa semua yang diciptakan-Nya akhirnya bakal kembali mengadap-Nya pada bila-bila saat mengikut yang dikehendaki-Nya.
Yang kita perlu lakukan semenjak dahulu, sekarang pun, dan lagi-lagi dalam jangka masa yang masih terluang, ialah melaksanakan suruhan-Nya dan menjauhi tegahan-Nya. Balasan yang berlimpahan menunggu insan-insan yang di dunia tiada lain yang dilakukan selain memakmurkan segala-galanya sedangkan tiada dapat dibayangkan lagi abadinya sengsara orang-orang yang zalim dan sesat lantaran ingkar mereka ketika sudah dihisabkan kelak. Dan inilah seharusnya menjadi pedoman amalan seharian, “di bawah pohon hayat, kita ikat bayang abadi”. Sungguh berhikmah serta berseni, setiap patah merangkaikan kalimat ini setinggi-tinggi erti. Sekali gus, faedah dihirup dalam kita melangkahi denai imani, dan terhunjam dalam sanubari menenangkan diri berterusan.
ASKAT: Aku sukakan kemanfaatan berpancaran dari sumber-sumber bacaan. Setiap renungan bukan diakhiri pembaziran oleh dangkalnya olahan karyawan. Kalau sebelum bertemu ciptaan kita seakan kedunguan maka selepas meneliti berubah berlainan, tegasnya ke arah kesedaran, terhindar dari memilih jalan-jalan kesesatan, maka bersyukurlah kerana kita telah dibantu seseorang agar tidak tergelincir menuju garis penghabisan. Dalam keupayaan sendiri, lakukan sesuatu yang tidak merugikan bumi dan sekalian isinya.