Tuesday 23 December 2014

Pantulan 88/14: Sajak Daengramliakil, “Rumah yang Sakit”

Pantulan 88/14: Terkecewa
Hari ini terkedu dan tersendu di “Rumah yang Sakit”, karya Daeng Daengramliakil, salah satu daripada lima buah sajak beliau yang mengisi ruangan “Persada Puisi”, Dewan Sastera, Oktober 1994, muka surat 52-53. Betapa terharu qalbu dan terganggu ketenanganku mendepani pendedahan kisah gundah “anak-anak yatim” yang tidak seberapa terbela. Padahal , di situlah tempat khusus dibina untuk memupuk keceriaan dan menghentikan penderitaan. Mereka sengsara sebenarnya oleh layanan yang tersedia, yang tidak secantik gambaran. Orang diamanahkan pandai berwajah peka, sedangkan sambil lewa realiti biasa ketika mengendalikannya. Ke“pura-pura”an, pada bukan tempatnya, alangkah memarakkan amarah sekali gus simpati lagi mengganda. Rakaman peristiwa begini seharusnya membenihkan tindakan susulan agar tidak lagi berterusan.
ASKAT: Kalau difikir-fikirkan, bukan senang memperoleh jawatan. Persaingannya sengit . Dari dahulu sampai sekarang. Bersyukur sejatilah reaksi serasi, sekiranya terpilih memikul pertanggungjawaban. Ada harapan yang sepenuhnya terpindah kepada para petugas lantaran pemilihan (sewajarnya bertepatan). Sambil meraih nafkah untuk hidup berdikari, khidmat bakti yang dituntut tidaklah terlalu tinggi untuk diungguli. Dan harapan sebegini tidak berbeza, dimana-mana pun, apalagi “di situ”, tempat berbuat kebajikan tanpa perhentian. Semoga, semua yang terbabit tidak berkurangan asyik dan masing-masing semestinya saling mendukungi demi mencapai wawasan murni.
— at Dewan Sastera, Oktober 1994.

Pantulan 87/14: Sajak M Jusoff Taib, “Bila Tiba ke Penghujungnya”

Pantulan 87/14: Meniti pasti
Aku teruja hendak memetik, tetapi kusekat kuat-kuat, maka tak terbuat, walau sedikit. Biarlah, diraih mereka yang peka, kerana sebenarnya ratna ada merata – di permulaan sampai ke penyudahan. Karya M Jusoff Taib, “Bila Tiba ke Penghujungnya”, Dewan Sastera, April 1994, muka surat 46, sudah kujumpa, menghening kehidupan di dunia, khusus tentang insan dalam pengembaraan. Kufahami, lagi mendalami, tentang hakikat kehidupan. Ia terhenti pada detik yang ditentukan. Bertuahlah kalau kebenaran ini tidak terlupa atau dialpakan, walau sekalipun dalam melayari ke pelabuhan sasaran. Kebijaksanaan sentiasa menasihati, bahawa tiada pun berfaedah mengabaikan suratan. Dan paling kurang, jika terhindar, kembali ke titik asal yang belum tercalar honaran. Tumpui lagi mengikut yang termesti. Bekalkan diri setinggi bestari.
ASKAT: Sesiapa boleh bersajak. Tentang apa sahaja yang disukai. Tetapi kalau ia bersajak dengan maksud memanfaatkan orang lain, tentulah, berbanding seorang lain yang tidak sedemikian, sajaknya lebih wajar dihargai. Setidak-tidaknya, sajak itu mencungkil rasa ingin berfikir lebih mendalam tentang kehidupan dia sendiri pula. Tidak dilangkaui orang seakan tiada terkesan langsung. Pemintalan kata-kata, boleh mengikat minat. Kita terasa rugi meninggalkanya, tanpa berkali-kali menghayati. Biarlah, kesan yang ditinggalkan tidak diwarwarkan. Sekadar menggetar diri seharusnya memadai. Tetapi, lumatan hasil fikiran temanku ini, ternyata menuntut apresiasi lebih bermakna lagi.
— at Dewan Sastera, April 1994.

Pantulan 86/14: Sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Hari Esok”

Pantulan 86/14: Ketentuan
Sajak pendek yang bererti tidak banyak ditulis. Orang lebih suka mencipta yang lebih panjang sedikit, kerana barangkali hendak merangkumkan mesej yang lebih menyeluruh. Tetapi kalau, kependekannya terpadat dengan persoalan yang bukan remeh, ciptaan itu sudah memadai. Sekali-sekala. Maka, kukira sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Hari Esok”, Dewan Sastera, Oktober 1978, muka surat 26, wajar disinggahi sebentar. Sekadar menghirup rumusan segar. Kadang-kadang sajak yang pendek memikat kerana tidak sangat perlu berlama-lamaan berperah minda, demi mencungkil pemikiran yang diserlahkan. Dan begitulah yang mengalir. Hari yang mendatang tidak pernah pasti. Tetapi hakikat ini sewajarnya mendorong manusia untuk tidak bertindak sambil-lewa. Ia perlu merancang supaya ketidaktentuan menjadi lebih terurus. Berkeadaan siap-siaga. Sebab itulah kelaziman, mengasuh kita berpendirian bahawa yang telah berlaku akan berlaku lagi, menjadikan keresahan terketepi, sebab unsur kepastian yang menebal.
ASKAT: Semoga kita menjadi bijaksana. Tidak taksub, enggan berganjak dari tempat berpijak sedangkan perobahan atau peralihan dituntut demi kebaikan yang diharapkan. Masa depan seharusnya menjanjikan kemanisan lantaran asas pendirian adalah yang sentiasa baik-baik belaka.
— at Dewan Sastera, Oktober 1978.

Pantulan 85/14: Sajak Azmi Yusoff, “Kepada Malam”

Pantulan 85/14: Menggilap gelita
Dalam menikmati sajak, bukan makna sahaja yang hendak dicari atau diingati. Sajak Azmi Yusoff, “Kepada Malam”, Dewan Sastera, Jun 1976, muka surat 24, tetap ada tarikan, walau kerana usianya, lebih menyerlah sebagai pencuit perasaan, mengembalikan senario zaman 1960-an dan 1970-an. Ini sajak sendu yang merdu dan kuakui belum usang mengharung perobahan. Hakikatnya, masih ada insan yang belum mendapat pembelaan. Catatan Azmi, tentang pengalaman hidup insan 38 tahun yang silam mengharukan. Sebagai rakaman tentang penderitaan, jalinan kata-kata berseninya tetap memadai melonglai para peneliti, menggamit simpati.
Kehidupan, alangkah berbagai-bagai kisah-kisah yang menyelimuti. Setiap orang ada pengalaman sendiri. Ada yang berpengalaman manis. Ada yang berpengalaman pahit. Pengalaman yang berbauran, pahit manis, masih boleh disyukuri, kerana sekurang-kurangnya, tidak sentiasa mendera sepanjang masa, sekurang-kurangnya ketika lena. “Aku” sangat mengharapkan “mimpi-mimpi”nya tiada lagi tanpa erti. Malam dirayunya agar membawa kebahagiaan bukan lagi penderitaan berterusan. Kalau ketika jaga berlainan sekali, biarlah dalam tidur imaginasi melimpahkan kehidupan berseri. Nanti terjaga semula, kuatlah semangat untuk berdepan lagi dengan kenyataan yang tiada surut menekan tanpa kesian. Kerana asal bernafas, masih ada malam untuk menagih khayalan.
ASKAT: Sekali-sekali, palitan sebegini memercupkan harapan, melupakan lara, menyimpulkan senyuman, menghiburkan kewalangan, Tak terputus hasrat semoga memuncakkan pembebasan. Walaupun sekejap, sekalipun sementara atau di luar realiti.
(Nota: Sajak ini termuat juga dalam “Dua Alam”, muka surat 14).
— at Dewan Sastera, Jun 1976.

Pantulan 84/14: Sajak Sabri Ibrahim, “Alam Metafisis”

Pantulan 84/14: Kenit
Aku masih jauh dari melintasi Abad 20 meneliti koleksi. Namun, digera oleh keperluan mengemaskini pengetahuan tentang perkara-perkara khusus yang lain, terserempaklah puisi sahabatku, Mohd Sabri Ibrahim. Dengan nama ringkas, Sabri Ibrahim, beliau menukilkan “Alam Metafisis”, Dewan Sastera, Disember 2000, muka surat 41. Ternyata, sajak ini tidak serupa dengan banyak sajak lain. Temanya bukan kerap diusapi para penyajak, kerana alam baqa, lebih biasa dibawa dalam majalah-majalah bercorak keagamaan. Pun begitu, sajak ini tidak sebiasa yang tersiar di situ. Tetapi tidak janggal pula termuat menyerlahkan perbezaan berbanding karya-karya lain senaskhah dengannya. Aku nampak ungkapannya lembut tetapi meletus-letus, memercik-mercik dan menyuara-bicarakan kesungguhan. Tentang kebesaran Pencipta dan kehinaan ciptaan-Nya.
Kukira, dengan sengaja lagi menepati, diulang-ulangnya perkataan “sungguh” sebanyak tujuh kali. Dan ini bukan perbezaan antara satu “sungguh” dengan “sungguh”-“sungguh” yang lain. Setiap kali diluahkan, semakin nyata hasratnya, iaitu memaparkan kolam rasa kejujurannya, mengakui kekerdilan diri dalam alam buana yang begitu istimewa diciptakan Ilahi. Segala-gala itu adalah “anugerah” yang sepenuh jiwa diinsafi beliau. Benar-benar tak dipersesiakan, sebaliknya “bertafakur” menikmati limpahan rahmat dengan dengan didorong kesedaran tanggungjawab seorang hamba. Tak putus-putus dialirkannya denyutan kesyukuran. Dalam ketaatan ketawadhukan itu, “Kan kuteruskan perjalanan ini” selama tempoh yang ditentukan. Insya-Allah!
ASKAT: Ada usul mendakwahi diriku, walaupun penyajak hanya membatasi pengakuan ke-Maha Besar-an Tuhan tertuju kepadanya sahaja. Sebagai pembaca, aku menumpang tuah daripada sanjungan itu untuk mencari pahala dengan meneladani beliau. Merenong fakta tentang kewujudan alam semesta dan tuntutan agar bertaqwa. Kerap hal ini dilupakan oleh terkaburnya pandangan lantaran tarikan gemerlapan semua yang sementara dalam kehidupan dunia. Hidup ini sebenarnya mengharapkan keredhaan-Nya jua.
— at Dewan Sastera, Disember 2000.

Pantulan 83/14: Sajak Siti Zainon Ismail, “Kisah”,

Pantulan 83/14: Digulung gelombang
Sajak 33 tahun lampau, palitan keperitan suatu sudut kehidupan insan, renjisan kata-kata Siti Zainon Ismail, “Kisah”, Dewan Sastera, Julai 1981, muka surat 12 menyentuh dunia kecilku, era anak-anak nelayan bersekolah demi belajar agar pandai membaca cuma. Kalau bernasib baik, sempat meningkat tamat di darjah enam. Selepas itu mengambil pilihan tunggal, menjadi awak pukat tangkul meneruskan penghidupan seperti nenek moyang. Zaman-berzaman. Hakikatnya, tiada nelayan yang senang-lenang, apalagi untuk mewariskan harta kepada keturunan. Memikirkan wawasan menjadi bestari. Dan benarlah kata-kata tentang keberadaan mereka, hidup mereka setakat berpada dengan yang ada – ke laut hari ini untuk menyuap keluarga esok pagi. Dan mencari lagi, dan lagi. Dari tengkujuh ke tengkujuh, silih berganti. Para remaja berkahwin juga, dan menambah zuriat seperti ghalibnya manusia. Dan hidup demikian berterusan dengan rezeki ala kadar. Demikianlah pada tahun-tahun 1950-an, 1960-an dan 1970-an. Dan nelayan tidak bertambah bahkan berkurangan. Rupa-rupanya ada yang kecundang, membuang kail dan unjam, naik ke ‘darat’ membanting tulang, meneroka hutan di tanah-tanah rancangan, atau melakukan apa sahaja, untuk sesuap nasi mengisi perut sendiri dan tanggungan.
ASKAT: Akulah peneroka, yang terlepas dari jaringan kemiskinan. Perintis perubahan nasib yang membelit, berjaya dengan keluar dari jeratan. Sesekali aku kembali meninjau tempat asal kejadian dan semakin menghargai keindahan alam. Laut yang kebiruan. Ombak yang berdesiran. Gelombang yang mengumbang-ambingkan, tiupan bayu membelai nyaman, pasir putih tiada tercemar, pantai yang berteluk menjernihkn pandangan, dengan pepohon kelapa dan ru berjajaran. Aku pun tidak lupa kesaujanaan pandangan. Pulau-pulau melingkungi kaki langit sedang mentari pagi melepaskan sinar benderang. Semuanya masih serupa, walaupun aku bukan lagi mewargainya. Selaku pelancung, di situlah pilihan terunggul bersantaian. Tetapi dari segi yang lebih bererti, membaca “kisah”, sedang aku telah tiba di hujung jalan, mengembalikan adunan kehidupan silam, membuka lipatan ingatan. Benar, semua kisah tertanam subur menjadi pengajaran dan mewarnai keperibadian.
— at Dewan Sastera, Julai 1981.

Pantulan 82/14: Sajak Azmi Yusoff, “Seorang Pahlawan Yang Tewas – dari sebuah episod wayang kulit”

Pantulan 82/14: Bota kulit
Melewati, dan terpaku dengan sajak Azmi Yusoff, “Seorang Pahlawan Yang Tewas – dari sebuah episod wayang kulit”, Dewan Sastera, Mac 1977, muka surat 40. Dan, aku sukar menahan diri, kalau wayang kulit yang diperi, apalagi dengan mahir sekali seakan berada semula, sendiri, bersila mendongak di depan kelir, mendengar Pak Dalang menghidupkan keperwiraan panglima-panglima dalam cerita-ceritanya. Ya, gendang, serunai, gong dan lain-lain ada peranan besar, saling memperkukuh sehingga adegan yang ditampilkan menjadi tersangat hidup dan memukauku. Dan, dalam membaca sajak ini dalang itu berupa Azmi, kerana beliau telah mengambil alih peranan Tok Dalang dengan cekatan. Nampak terang Seri Rama, Laksamana, Rawana, Hanuman, bota-bota, dan lain-lain beraksi setepat iringan musik sekehendak hati dalang. Sungguh menghiburkan.
ASKAT: Aku lebih menghargai untaian akhir puisi ini. Pahlawan itu tidak mati walaupun sungguh tercula oleh ketewasan berkali-kali. Ia akan muncul lagi, mengganas lagi, tersisih lagi dan tetap kembali melaksanakan ikrar janji. Ya, selagi Tok Dalang mengisytiharkan peperangan di layar putihnya. Tetapi, kalaulah pahlawan bertindak sempurna, bertempat, bahagialah para pemujanya bahkan rakyat jelata. Dan kalau pun ia benar-benar mati, dia masih hidup di sanubari. Lama sekali. Tiada kecundang kalau ia sejati pahlawan.
(NOTA: Sajak ini termuat juga dalam antologi terbaru Azmi Yusoff, “Sakar Mawar”, ITBM, 2014, muka surat 28. Tarikh ciptaan dinyatakan 1976).
— at Dewan Sastera, Mac 1977

Monday 24 November 2014

Pantulan 81/14: Sajak Ahmad Sarju, "Setiap Kali"

Pantulan 81/14: Sejarah tak manfaat
Kata teman karyawan malar bersinar Ahmad Sarju, “bagai lumpur cokelat warna milik kita/menjadi pusaka kehilangan kuasa.” Diungkapnya demikian melalui sajak memercikkan kekesalan, “Setiap Kali”, Dewan Sastera, November 1980, muka surat 23. Simpatikah seharusnya kita luahkan, atau, yang lebih betul, mendepani persoalan sambil bertekad menepati tuntutan persekitaran? Ataukah, membiarkan seakan tidak ada apa-apa pun terjadi, lalu berterusan mengulangi segala kesilapan seperti zaman bahari? Tetapi yang disuguhkan kepada kita bukan soal kecil seringan sekam, bahkan isu dan cabaran mega sejak berzaman, semakin runcing hampir tidak dapat dilebarkan lagi. Iaitu, peleburan semua yang kita miliki, “yang padam oleh kuasa di tangan” sendiri tidak bijak dikendali.
ASKAT: Itulah sebab aku meminati sejarah. Dengannya, aku mengetahui sesuatu yang berlaku ketika aku belum menjelma. Melaluinya aku mengetahui tidak semua orang melihat sesuatu mengikut kacamata yang serupa. Dan kelainan pemahaman atau kefahaman tidak pula membazirkan pembacaan sebaliknya memberi faedah berlipat kali ganda. Minda akan menjadi lebih bijaksana kerana ia dilatih menyelongkar permasalahan secara lebih melingkupi, dalam semua segi sama ada sehati atau bertentangan pendirian peribadi. Pentelaahan sejarah tanahair, menyentuh tokoh-tokoh berperanan serba perdana, peristiwa-peristiwa berencaman makna; menjati diri kewujudan, membuka pekung kejahilan yang menafikan tindakan pintar lantas merugikan keturunan, kezaliman yang tidak terkunyah oleh akal kemanusiaan, pertelagahan/persengketaan/permusuhan/perpecahan/pemisahan yang melemahkan daya usaha pemartabatan bangsa, penyerlahan tragedi yang sewajarnya tidak harus terjadi….. Tanpa pun dicanangkan siapa, tiada lain jawapan yang sebenarnya, bahawa pemegang kuasa ialah pemimpin dan para pelaksana yang 'bertakhta'. Mereka telah diberi amanat agar amanah menyanjung martabat rakyat. Dan mereka, pemimpin itu, tidak boleh khianat, sepanjang hayat. Kenyataan ini kekal tepat. 35 tahun tetap mengikat.
— at Dewan Sastera, November 1980

Pantulan 80/14: Sajak Sutung Umar RS, “Taman”

Pantulan 80/14: Permakaman
Seiring senja yang mulai mengelami bumi , meniti rapi puisi karyawan ‘bahari’,Sutung Umar RS, yang bermaknawi. Judul diberi ,“Taman”, Dewan Sastera, Disember 1978, muka surat 20, mencuit ngeri oleh khyalan sendiri, tanpa diselami serba-serbi maksud pemuisi. Kepadatan yang diindahi susunan ujaran pendek, sederhana panjang, kunyahan fikiran, bukan alang kepalang, memercikkan biasan kepuasan. Percayalah, tersendumu oleh lagu berpertanyaan, menyedarkan hakikat bahawa hidup yang sedang dihirupi akan terhenti jua. Ya, apabila manusia sudah tiada lagi boleh melakukan, setelah semua kesempatan telah tidak lagi terbuka untuk menebus semua kehonaran. Terpinga-pingalah dalam kehanyutan.
ASKAT: Aku utamakan kesan hasil menubi beberapa kali. Barangkali, ia tidak seerti dan serasi yang asli dihajati. Tetapi sebaik terbayang kematian, masih kuingati syarahan agamawan, bahawa selepas hidup sementara, ada pula hidup selama-lamanya. Di alam baqa tempat kita dibangkitkan semula. Maka bertaqwalah strategi paling bijaksana. Dengan itu dapat kelak tenang meniti Siratul Mustaqim dengan secepat kilat melebihi kelajuan bunyi. Ya, ada kiamat dan ada balasan baik bagi hamba yang taat dan azab kepada yang dilaknat. Dan demikian pasti terjadi.
— at Dewan Sastera, Disember 1978.

Pantulan 79:14: Sajak Siti Zainon Ismail, “Dan Sejak Itu Kita Tidak Bakal Bertemu”

Pantulan 79:14: Rebah di pangkalan
Walaupun aku telah lupa jalan ceritanya, Hamkalah yang mencuit ingatan. Barangkali “Tenggelamnya Kapal van der Wijck”. Atau, boleh jadi, Siti Nurbaya Marah Rusli, ataukah roman putus kasih yang lain? Pencetusnya, tidak lain orangnya, karyawan berwibawa, sejak sekian lama, Siti Zainon Ismail yang dengan sungguh puitisnya menjudulkan, “Dan Sejak Itu Kita Tidak Bakal Bertemu”, Dewan Sastera, Disember 1976, muka surat 13. Padakah tanpa dibaca semula judulnya, kawan? Sekali atau dua kali lagi ….
Maka, Yang manakah mampu mengesankan pustaka kenangan silamku itu sehingga tiris terbis? Kini jua, kuluahkan rahasianya, “pelabuhan sepi/lelakinya telah berlayar/perempuan itu masih lagi di sisi tiang lampu di jeti/satu-satu segalanya berlalu/belibis laut mencuit, sekali lagi peluit kapal menukik.” Benar-benar tertayang. Dan aku sama sekali mensebatikan diri dengan rangkap akhir ini. (Dan takkan kukaitkan dengan yang lain)
Biarlah. Biarlah mereka kembali ke alam lamunan orang-orang sedang bercinta. Agar tergaullah dengan suasana yang dipapar di tepi samudera duka. Malah aku sendiri akan pulang ke pangakalanku, yang jauh dari sini, dan merupai “perempuan itu” demi merasai parahnya patah hati. Sambil dialunkan mersik lagu “Kasih Tak Sampai” Ria Amelia.
ASKAT: Kalaulah aku masih serupa belia, semua kalimatnya ‘kanku bongkar, supaya timbullah simpati (?) terhadap nasib yang menimpa juita. Lebih daripada yang telah kupilih memantuli.
— at Dewan Sastera, Disember 1976.

Pantulan 78/14: Sajak Rogayah A. Hamid, “Ombak Biru”

Pantulan 78/14: Menggulung waham
Sajak temanku ini telah lama tidak melintasi lorong belekanku. Tidak pula mengejutkan, setiba muncul percikan rindu dan keluh ‘rang muda yang mendesus. Beliau pastilah sedang melalui pengalaman biasa insan seusia. Itulah. Hari ini, pagi-pagi lagi, Rogayah Hamid (Rogayah A. Hamid), melalui “Ombak Biru”, Dewan Sastera, Ogos 1981, muka surat 18, mengalun-alunkan kolek rasaku pula dalam rupa puisi teradun berseni. Daripada terpendam bersendu, membiarkan “angin mencabar kesetiaan”, baiklah kulonjakkan ke permukaan menyerikan halaman, sambil “menghalau seksa” pasangan yang kemaruk cinta, yang kalau boleh tidak mahu berpisah walaupun di mata.
ASKAT: Aku tidak tahu bagaimana sudah dibicarakan terdahulu tentang cerminan perasaan karyawan ini. Takku hiraukan kalau sudah demikian berlaku. Sentuhan yang berlalu mungkin terlipat tetapi biarkan terpahat jadi penanda mutu. Masa kini, 33 tahun berselang sudah. Dan, kita pun tidak gundah masanya terus bertambah. Kerana, garapan baru sama sekali tidak akan merobah ketentuan merdu madah. Simpulan patah-patah kata, gumpalan kalimat-kalimat, telah merumuskan kentalan suara dalaman insan yang digodam bimbang perpisahan. Bukan alang kepalang, unsur-unsur alam tergembleng mengikat luahan dan menarik khayalan berlegar di awang-awangan, dengan harapan, bahawasanya yang menggundahgulanakan itu sebenarnya tiada lain kecuali sekadar keluhan berlandas jarak. Sebab, janji yang menjiwai sewajarnya tidak hanya sebelah membebani sebaliknya tanggungjawab berdua, setara. Ertinya, bukan persoalan pun. Aku hanya berharap dan berdoa, keresahan tidak merealitikan tragedi. Tidak harus ada waham mencederakan sumpahan janji, simpulan kejujuran dua hati yang sedang melayari biduk perkasihan sejati.
— at Dewan Sastera, Ogos 1981.

Pantulan 77/14: SaJAK Salmiah Ismail, “Waktu”

Pantulan 77/14: Demi detikan,
Temanku Salmiah Ismail, kelihatan resah dan buntu, lewat sajak beliau, “Waktu”, Dewan Sastera, Ogos 1978, muka surat 9. Padalah aku menyalin, “aku/…/…/masih mencari jawaban/& mengumpul pertanyaan.” Benar dan semoga berterusan …
ASKAT: Ya, kecenderungan sering bertanya seharusnya diamalkan kerana ia akan menggesa pula usaha-usaha mencari jawapan dan akhirnya, penyelesaian. Bertambahlah ilmu pengetahuan, sekali gus mengentalkan rumus diri mendepani cabaran yang pastinya datang, silih berganti. Kalau perkaranya bercorak peribadi, tak semestinya kita sendiri memiliki geliga sakti. Sentiasa ada orang lain yang lebih bijaksana, kerana mengkaji tinggi, berpengalaman mendahului, sedia berkongsi meringankan tekanan atau menggali ke akar umbi sehingga kita akan menikmati rezeki setimpal jerih-perih yang selama ini mengancah penghidupan harmoni. Kemudian, kitalah pula berpendekatan serupa, membantu dan memandu mereka yang kehilangan punca agar tidak lagi porak-poranda. Alangkah bermakna kalau kita berjasa,
…..
Kukira, mengingati waktu adalah amalan yang jitu. Tiada akan merugi kerana serentak itu kita mengingati; tentang bakti, apakah yang ketika terbuka kesempatan, tidak dicuaikan. Bersyukur menjunjung amanat, lantaran mengakui, setiap pengganti boleh lebih berjasa. Semoga tidak kita dikaburi, asalkan kita mengungguli.
(Nota: Sajak ini termuat juga dalam "Kepada Sahabat", (1993), halaman 46.
— at Dewan Sastera, Ogos 1978.

Pantulan 76/14:Sajak Azmi Yusoff, “Catatan Perjalanan”

Pantulan 76/14: Mengutip rezeki
Beliau lagi yang muncul di laluan belekanku. Temanya tak remeh bahasa pun setara. Sajak Azmi Yusoff, “Catatan Perjalanan”, Dewan Sastera, Ogos 1977, muka surat 23 menyentuh salah satu isu yang lazim diperdebatkan. Tanpa kesudahan. Waktu yang beredar menyedarkan warga kota menerpa bangkit tegas bertanya, wajarkah “lirih merintih” “pengemis lara” dilayan sungguhpun “harga sebuah kemanusiaan sesungguhnya/tidak terbeli dengan/hanya satu pandangan simpati.”
Tersirat usul supaya diusahakan penyelesaian masalah… padaku, terutama oleh pihak berkuasa.
ASKAT: Aku menjangkau jauh. Hakikat persoalan kukira lebih mendasar. Dalam pemerihalan aktiviti harian golongan terbuang itu, menyerlah pula penindasan oleh kelompok berkepentingan. Bukan lagi rahsia bahawa di sebalik kehadiran atau amalan pincang itu, ada ‘stake-holder’nya. Maka, alternatif mencari kumpulan sasar kemudian membantu agar mereka tidak lagi terbiar, berbanding dengan mendukung institusi pengemisan walaupun dengan menampakkan simpati, haruslah dijadikan pendekatan penyelesaian paling utama. Beginilah baiknya kalau pihak yang berwibawa mahu berbakti, dikenang dan dipuji.
Pada hematku, yang sebenar-benarnya mengganggu ketenteraman warga adalah kenyataan bahawa walaupun telah berlalu 37 tahun, angkatan pengemis masih berkeliaran, sehingga ke masjid-masjid pun, menadah tong, kain, kotak , demi memperoleh simpati dan wang sumbangan. Kuperhatikan, mereka memang dapat mengumpulkan wang. Dimana-mana pun. Terbukti manusia kota yang ramai ini tidak sehati dari segi kerelaan memberi. Peratusan penderma atau pemberi sedekah yang sedikit pun masih menghasilkan kutipan habuan yang mampu menampung keperluan asasi; dengan mereka benar-benar sedar nasib diri dan betapa murni hati khalayak yang sentiasa melalui dan mengitari tempat mereka menagih ‘simpati’. Tetapi yang lebih patut diberi perhatian ialah satu fakta; penyelewengan ke atas rasa kemanusiaan atau kemurahan hati para penderma oleh kelompok berkepentingan. Sering kita terdengar seruan supaya kegiatan mengemis dibanteras oleh sebab menjadi sumber pendapatan lumayan sindiket yang mengambil kesempatan memeras golongan terpinggir itu semata-mata untuk kepentingan atau muslihat mereka. Jadi, kalau hanya sekerat dua penganjur licik mengaut habuan maka penyelesaian tidaklah wajar dipermudahkan.
(Nota: Sajak ini termuat juga dalam antologi “Dua Alam”, Grup Pemuisi UKM, 1978, cetakan pertama, muka surat 27)
— at Dewan Sastera, Ogos 1977

Monday 10 November 2014

Pantulan 75/14: Sajak Siti Zainon Ismail, “Darah”

Pantulan 75/14: Keberangkatan
Sajak karyawan yang gemawan, Siti Zainon Ismail, “Darah”, Mastika September 1985, muka surat 120, diakui mampu menginsafkan sesiapa yang perasa dan berumbi murni. Pada akhirnya, seperti kita sedia ketahui, semua yang ber“darah” atau bernyawa pasti terhenti di titisan terakhir atau di helaan penghabisan. Kita semua akan berangkat ke tempat yang “Jauh dan/Abadi”, tanpa diketahui bila walaupun sudah terukir pada suratan takdir. Detik-detik menghadapi, iaitu “sebelum musibah”, kukira menjadi inti puisi yang membangkitkan kesedaran bererti ini. Maka, sikap yang bijaksana ialah mendarahi diri dengan membuat persediaan, dengan “dilabuhnya langsir” dan “…mengenal diri”. Biar meresap sebati.
ASKAT: Setulusnya aku kabur mentafsir agar terzahir seluruh yang terselindung di sebalik makna hakiki. Lantas, tak kuresapi judul “darah” dengan inti sajak ini seperti yang dihajati, semuanya. Hanya penggunaan kata-kata dan kalimat-kalimat seumpama, “memain bulu-bulu takdir”; “diusapnya kecapi Ilahi”; “mengarang bunga tasbih”; “Abadi” melorongkan ke pemahaman yang tiada lain selain pengertian kembali menghayati matlamat kehidupan di dunia, iaitu memperhambakan diri demi bertemu-Nya di Hari Pembalasan nanti, berupa insan (atau roh) yang bertaqwa, yang diberi nikmat, yang tidak zalim, yang tidak sesat lagi menyesatkan. (teringat Surah Al-Fatihah)
Sajak ini wajar diwarwar. Aku memikirkan, sayang sekali kalau kalimat yang asli, diungkapkan berlapis erti sekali gus memperingatkan hikmah kehadiran sebenar manusia di bumi ini, hilang ditindan oleh lusuhan halaman. Sedang, ujaran berharga seharusnya kekal menguja dan membara walaupun sekian lama. Agar sepatah dua percikan minda sentiasa menyuluhi ruangan penambahbaikan berterusan para insan, dicungkillah gubahan ini sekarang.
— at Mastika, September 1985

Pantulan 74/14: Sajak Azmi Yusoff, “Dalam Ruang Marcapada”

Pantulan 74/14: Berdebu
Sajak sahabatku yang gigih menoreh permasalahan pedih, Azmi Yusoff, “Dalam Ruang Marcapada”, Dewan Sastera, Januari 1993, muka surat 32, kusemaki, termuat juga dalam “Mengemam Jadam”, muka surat 50-51. Pemusnahan hutan belantara, penubaan segara luas saujana , “kemanusiaan lebur”, “peradaban hancur” melatarbelakangi kemuncak kemusnahan, tempat makhluk tinggal iaitu bumi. Dan para pemusnah itu tidak lain manusia itu sendiri, yang terlanjur menganjur oleh kejahilan, kedegilan, sehingga gagal membayangkan alam yang lebih nyaman dan selesa sesuai dengan keperluan yang setara semua makhluk; yang menuntut kegemblengan sempurna.
ASKAT: Aku kira kini sangat bertepatan sekali mengulangi rayuan Azmi (kepada yang diberi kuasa dan tanggungjawab), dengan, “kita dendangkan irama mazmur”; “titirkan circir kumandangkan tetuang” agar perlumbaan mengaut khazanah dan ‘membangunkannya’ untuk matlamat jangka pendek, katalah dalam tempoh beberapa tahun atau segenerasi dua mendatang terarah ke matlamat memakmurkan insan dan seluruh alam. Ertinya sampai Hari Penghabisan. Tentulah ini peringatan terakhir. Malapetaka yang telah berlaku, seharusnya mencukupi sebagai teladan untuk tidak menghadapi lagi, peristiwa-peristiwa yang berimplikasi ngeri. Alangkah, tidak bererti, tambahan pula kalau akibat-akibat peperangan, wabak dan yang sepertinya disenaraikan sekali.
— at Dewan Sastera, Januari 1993.

Deklamasi Sebuih Perjuangan

Teringat mendeklamasikan “Sebuih Perjuangan” di Kuala Terengganu pada 8 September 2007 (sempena BBSN pada 5-10 September 2007). Sebahagian, kupetik,
“Aku tidak mahu lagi berkongres
bertepuk sorak bersubhat bersama khalayak
merumus perisytiharan menggegar dewan
ikrar terpamer di bibir
lakuan sebenar mungkir
bacul berjuang
cula tersungkur di medan
lucut semangat larut selautan
digolong gelombang berbuih
di ketepian jadi mainan
seteru kian perkasa
terakam suatu cetera luka
terbenam selama-lamanya.”
— in Kuala Terengganu.

Pantulan 73/14: Sajak Rudi Mahmood, “Sajak-sajak Aurat”

Pantulan 73/14: Amukan malam
Aku tertegak dan teragak untuk mengawal buak-buak yang melonjak-lonjak mengasak oleh pusaran rancak “Sajak-sajak Aurat”, Mastika, September 1985, muka surat 69, yang disusun terlindung berseni oleh Rudi (Rudi Mahmood)
Aku tidak hendak mentafsir seperti yang dapat kugarap, pada lapisan lahap. Biarkan begitu agar para kekasih sendiri menikmati kemuncak percintaan mereka pada malam sah berdua yang pertama. Pengalaman ini menggores dan meninggalkan kenangan-kenangan pada diri masing-masing. Bertuahlah jika kesannya yang baik-baik, manis-manis, indah-indah belaka. Berlanjutanlah perhubungan yang membahagiakan sepanjang usia. Tetapi, kalau pun, sebaliknya yang dialami, oleh kegelojohan usia muda-mudi baharu bersuami-isteri, lantaran pengalaman langsung tiada, ketika etika zaman menutup segala pendedahan, redhalah bersama-sama menerima, kekurangannya. Ada masa untuk kali kedua merobah cara, bersama pencapaian sewajarnya lebih menjelira. Maknanya, nikmatlah semata-mata kesudahannya . Itulah yang seharusnya terpancar. Suatu kurnia melayari kancah penghidupan yang menderu-deru. Semoga pengakhirannya berupa sepenuh-penuh kemurnian restu perkahwinan yang digembleng cinta dan sayang orang-orang matang.
— at Mastika, September 1985