Pantulan 78/14: Menggulung waham
Sajak temanku ini telah lama tidak melintasi lorong belekanku. Tidak pula mengejutkan, setiba muncul percikan rindu dan keluh ‘rang muda yang mendesus. Beliau pastilah sedang melalui pengalaman biasa insan seusia. Itulah. Hari ini, pagi-pagi lagi, Rogayah Hamid (Rogayah A. Hamid), melalui “Ombak Biru”, Dewan Sastera, Ogos 1981, muka surat 18, mengalun-alunkan kolek rasaku pula dalam rupa puisi teradun berseni. Daripada terpendam bersendu, membiarkan “angin mencabar kesetiaan”, baiklah kulonjakkan ke permukaan menyerikan halaman, sambil “menghalau seksa” pasangan yang kemaruk cinta, yang kalau boleh tidak mahu berpisah walaupun di mata.
ASKAT: Aku tidak tahu bagaimana sudah dibicarakan terdahulu tentang cerminan perasaan karyawan ini. Takku hiraukan kalau sudah demikian berlaku. Sentuhan yang berlalu mungkin terlipat tetapi biarkan terpahat jadi penanda mutu. Masa kini, 33 tahun berselang sudah. Dan, kita pun tidak gundah masanya terus bertambah. Kerana, garapan baru sama sekali tidak akan merobah ketentuan merdu madah. Simpulan patah-patah kata, gumpalan kalimat-kalimat, telah merumuskan kentalan suara dalaman insan yang digodam bimbang perpisahan. Bukan alang kepalang, unsur-unsur alam tergembleng mengikat luahan dan menarik khayalan berlegar di awang-awangan, dengan harapan, bahawasanya yang menggundahgulanakan itu sebenarnya tiada lain kecuali sekadar keluhan berlandas jarak. Sebab, janji yang menjiwai sewajarnya tidak hanya sebelah membebani sebaliknya tanggungjawab berdua, setara. Ertinya, bukan persoalan pun. Aku hanya berharap dan berdoa, keresahan tidak merealitikan tragedi. Tidak harus ada waham mencederakan sumpahan janji, simpulan kejujuran dua hati yang sedang melayari biduk perkasihan sejati.
No comments:
Post a Comment