Pantulan 76/14: Mengutip rezeki
Beliau lagi yang muncul di laluan belekanku. Temanya tak remeh bahasa pun setara. Sajak Azmi Yusoff, “Catatan Perjalanan”, Dewan Sastera, Ogos 1977, muka surat 23 menyentuh salah satu isu yang lazim diperdebatkan. Tanpa kesudahan. Waktu yang beredar menyedarkan warga kota menerpa bangkit tegas bertanya, wajarkah “lirih merintih” “pengemis lara” dilayan sungguhpun “harga sebuah kemanusiaan sesungguhnya/tidak terbeli dengan/hanya satu pandangan simpati.”
Tersirat usul supaya diusahakan penyelesaian masalah… padaku, terutama oleh pihak berkuasa.
ASKAT: Aku menjangkau jauh. Hakikat persoalan kukira lebih mendasar. Dalam pemerihalan aktiviti harian golongan terbuang itu, menyerlah pula penindasan oleh kelompok berkepentingan. Bukan lagi rahsia bahawa di sebalik kehadiran atau amalan pincang itu, ada ‘stake-holder’nya. Maka, alternatif mencari kumpulan sasar kemudian membantu agar mereka tidak lagi terbiar, berbanding dengan mendukung institusi pengemisan walaupun dengan menampakkan simpati, haruslah dijadikan pendekatan penyelesaian paling utama. Beginilah baiknya kalau pihak yang berwibawa mahu berbakti, dikenang dan dipuji.
Pada hematku, yang sebenar-benarnya mengganggu ketenteraman warga adalah kenyataan bahawa walaupun telah berlalu 37 tahun, angkatan pengemis masih berkeliaran, sehingga ke masjid-masjid pun, menadah tong, kain, kotak , demi memperoleh simpati dan wang sumbangan. Kuperhatikan, mereka memang dapat mengumpulkan wang. Dimana-mana pun. Terbukti manusia kota yang ramai ini tidak sehati dari segi kerelaan memberi. Peratusan penderma atau pemberi sedekah yang sedikit pun masih menghasilkan kutipan habuan yang mampu menampung keperluan asasi; dengan mereka benar-benar sedar nasib diri dan betapa murni hati khalayak yang sentiasa melalui dan mengitari tempat mereka menagih ‘simpati’. Tetapi yang lebih patut diberi perhatian ialah satu fakta; penyelewengan ke atas rasa kemanusiaan atau kemurahan hati para penderma oleh kelompok berkepentingan. Sering kita terdengar seruan supaya kegiatan mengemis dibanteras oleh sebab menjadi sumber pendapatan lumayan sindiket yang mengambil kesempatan memeras golongan terpinggir itu semata-mata untuk kepentingan atau muslihat mereka. Jadi, kalau hanya sekerat dua penganjur licik mengaut habuan maka penyelesaian tidaklah wajar dipermudahkan.
(Nota: Sajak ini termuat juga dalam antologi “Dua Alam”, Grup Pemuisi UKM, 1978, cetakan pertama, muka surat 27)
No comments:
Post a Comment