Monday, 10 November 2014

Pantulan 72/14: Sajak Siti Zainon Ismaill, “Nafas”

Pantulan 72/14: Selagi nyawa…
Sajak tokoh malar bersinar, Siti Zainon Ismaill, “Nafas”, Mastika, Jun 1985, kulit belakang, muka surat dalam, teristimewa, kerana berwarni-warna. Tidak seperti yang lain-lain. Pun begitu, lewat nada sendu beliau menghembus desus kesalan lantaran keterbiaran, yang dialami walaupun sedang menuju kematian. Rupa-rupanya, demikian nasib atau tuah jasad insan biasa “yang tidak bernama” dalam buana yang serba serbi ada. Tentulah aneh gambaran keterabaian diperikan. Atau, inikah sebenarnya gerangan takdir atau kejahilan ilmu mengimarahkan anugerah Rabbul ‘alamin? Siapa ‘kan kita persalahkan? Pemerintahkah yang tidak prihatin, mengkesampingkan golongan marhaen yang tiada siapa lagi boleh dijadikan tempat bergantung harapan memakmurkan penghidupan? Atau, tidakkah kita boleh lebih berani mengakui kelemahan diri; dari menanti-nanti sampai terhenti “nafas” yang hakikatnya pasti terjadi? Ya, lambat laun harus dirasai sekali. Lalu, ayuhlah berikhtiar sendiri. Yakinilah, sebelum ajal berpantang mati!
ASKAT: Teringat aku ajaran guru, agar hidup sentiasa berjasa, bak kata perumpamaan, harimau hilang tersisa belang, insan maut nama terbilang. Dan ini kufahami, tidaklah menghalang sesiapa untuk menempa tempat di pentas kenamaan, mengikut bidang yang dipilih sendiri. Tetapi, kata cikgu, kejayaan tidak datang menggolek. Ada pengorbanan sepanjang perjalanan. Kalau seseorang itu tidak bersedia menghadapi badai tsunami yang membanjiri dan melemasi, menjejaki onak duri di belantara alami, mendaki gunung persaingan beraneka dimensi, meredah segara saujana bergelombang maka benamkan sahaja cita-cita biar menjadi angan-angan. Tak mengapalah begini kalau sudah rela di hati, tetapi, janganlah pula minta dilayan setara wira lagi berjuang demi pendirian yang sudah tiada apapun lagi boleh mengalihkan haluan kecuali , di setinggi-tinggi pencapaian.
— at Mastika, Jun 1985

No comments:

Post a Comment