Pantulan 66/14: Terpinggir di tubir
Muncul lagi! Sajak temanku Azmi Yusoff, “Potret Rumah Rakit”, Dewan Sastera, Oktober 1992, muka surat 19, jauh dari sembarangan. Ada sakti direnjis puisi ini, sampai tak mampu ku’renti memantuli. Ya, dari cecelah kekata, ternyata menjongol-jongol pukauan menghantui “gelita malam” sedang aku berkerusi meneliti dan melayan keasyikan sendiri, tanpa boleh menahan menghargai ke lain hari.
Kalau diperhatikan, sajak ini tercipta pada 1984 ketika Azmi berusia 30 tahun, dan tersiar 8 tahun kemudian. Mungkin ada cerita di sebaliknya. Kita boleh jumpa juga sajak ini termuat dalam “Mengemam Jadam”, muka surat 47. Tak anehkah, aku pula mengelus-ngelus sepi menggali rintihan manusiawi 30 tahun, menyusuli?
Kalau melalui jambatan tertentu kita boleh melihat rumah rakit berlabuh di tebing sungai berhimpit-himpit. Tentulah kalau sanggup berfikir, timbul pertanyaan kenapa lebih ramai orang tinggal di darat bukan di air? Tetapi membaca sajak ini jawapannya datang sendiri; ketiadaan tanah puncanya, walaupun tidak disebutkan penciptanya. Mereka tidak memiliki wang lalu “merembaskan walang” di air yang mengalir ke hilir. Dimana-mana penghuni-penghuninya, “menyelami segara malang”. Aku percaya mereka tidak rela menerimanya kerana terpampang di mataku mereka gigih berusaha; “di muara”, “mencari mutiara…”. Tragisnya, “kelibat insan” ini tidak beroleh “mujur”, “untung” dimana-mana jua, di “… hujung tanjung”, di “ceruk teluk”.
Ini hanyalah sekelumit derita manusia dalam sekitaran yang nampak di depan muka, dan lama. Banyak lagi, ceritera serupa atau lebih mendera, terselindung ditanggung sendiri jauh dari simpati. Tetapi adakah penonjolan berseni sesekali boleh menimbulkan kesan atau merobah keadaan? Yang ghalibnya, ia akan berterusan jadi senandungan seniman. Kemudian, cerita tidak lagi disebut, lenyap di khutub khanah.
Sungguh lara hati mengenang , sehalus gubahan, tidak diteliti, dihayati, lalu bergenang di daun keladi.
No comments:
Post a Comment