Monday 19 June 2017

Umrah 23

Umrah 23
“Mengedai”
Selepas makan tengah hari dan berselesa diri seketika aku dan R berjumpa semula di Tingkat RE. R mahu meninjau perkedaian yang banyak di tingkat-tingkat bawah hotel-hotel di situ. Inilah kali kedua kami meluangkan masa untuk urusan non-umrah dengan berintesi. Kali pertama , sebahagian ruang-ruang komersial itu telah kami tinjau bersantai pada hari kedua tiba, tanpa niat berbelanja. Itu lebih hendak membiasakan dengan suasana dan sekitaran baru. Pengalaman pertama itu mendedahkan tektik para petugas ruang-ruang niaga menarik pelanggan singgah di kedai masing-masing. Mereka agresif, jauh berbeza dengan pengalaman pertama ketika datang mengerjakan ibadat haji belasan tahun dahulu.
Yang sudah terbukti, orang-orang Malaysia sangat dikenali oleh para petugas kedai. Lalu, frasa-frasa seperti “lihat dulu”, “murah-murah”, “Malaysia Boleh”, “Malaysia Truly Asia”, dan lain-lain yang mengaitkannya dengan negaraku sudah jadi basahan mereka setiap hari.
Tinjauan kedua ini memberikan aku strategi mendekatinya. Aku mahu lebih berhati-hati. Tidak sangat mahu beria-ia menunjukkan minat terhadap peragaan barangan sekiranya tidak benar-benar ingin memiliki. Dan ini kunyatakan kepada R. Aku tidak kisah sangat jika disapa dengan salam, tetapi jika dihampir semua tempat dijabat tangan dengan sangat erat serta dipeluk-peluk dan ditarik-tarik pula supaya masuk ke dalam ruang kedai, aku tidak bersedia melakoni pelanggan yang tertawan.
Tidak seperti pada tinjauan pertama yang terhad kepada sebahagian ruang-ruang niaga di Hotel Safwah, tinjauan kali ini menjangkau ke sekitar perkedaian di Hotel Dar El Imam dan Menara Jam Makkah. Penelusuran ini sekali gus mendedahkan kami kepada perubahan sebenar yang berlaku di sekitar itu. Ia telah tidak serupa dengan yang kami lihat dahulu, yang hanya di ungguli Hotel Hilton. Jauh sekali perbezaannya. Dengan ini, kami tidaklah tertinggal maklumat kemajuan sebenar semasa.
Aku perhatikan, kalau R jadi masuk ke dalam ruang, aku akan dipelawa masuk sama dengan disuakan kerusi untuk duduk menunggu isteriku meneroka barangan yang ditawarkan. Kemudahan itu tentulah untuk mengawal supaya R tidak tertekan lantas cepat mengundur diri.
Akhirnya, R membeli yang dihajati. Harganya tidak pun melebihi SR200. Dan bilangannya tidak satu. Beberapa helai juga. Nasihat mutawif agar lebih berbelanja di Madinah mengawal pengaliran wang.
Kami harus berundur. Berlengah-lengah ke masjid untuk solat Asar mahu dielakkan. Kami mahu bersolat dalam ruang solat dalam bangunan masjid. Untuk mendapatkan ruang itu kami tidak mahu terkejar-kejar, termengah-mengah dan tercari-cari. Lautan jemaah yang sentiasa memenuhi masjid sewajarnya mendidik pendekatan kami menyesuaikan diri supaya terjamin keselesaan beramal. Untuk beribadat semuanya harus bersandarkan ketertiban dan ketenangan. Dan ini niat dan tekad kami datang di sini. Niat utama yang hampir-hampir satu-satunya.

Umrah 22

Umrah 22
Hari Jumaat
Pada hari keenam kami masih di Mekah. Dan hari itu ialah hari Jumaat, 28 April 2017. Dari cakap-cakap orang yang kudengar hari ini Masjidul Haram akan menjadi lebih sesak daripada hari-hari lain. Orang-orang tempatan sendiri akan keluar beramai-ramai mendatangi masjid. Oleh yang demikian, seseorang perlu pergi ke masjid lebih awal supaya tidak sukar mencari tempat untuk solat Jumaat.
Aku tetap melakukan rutin seperti pada hari-hari yang lain. Pukul tiga pagi sudah siap meninggalkan bilik untuk ke masjid. Apabila di ruang solat pilihan, aku berqiamullail secara bersolat sunat tahajjud berserta zikir dan doanya, dan membaca buku salawat nabi. Selepas selesai solat Subuh dan solat jenazah aku balik ke hotel dan bersama-sama R singgah bersarapan di Restoran D’Saji.
Kami balik berehat di bilik masing-masing sambil aku mengingatkan R supaya keluar awal untuk berjumaat kelak. Di bilik aku akan mengambil sedikit masa berbual-bual dengan rakan-rakan yang ada. Nanti ditanggapi egois kalau tidak bermesra langsung dengan mereka. Itu harus dielakkan. Kemudian, selepas tempoh masa yang munasabah, aku memohon pelepasan untuk ‘tidur’ seketika.
Dari bilik hotel, kami boleh melihat sebahagian suasana dan aktiviti di dataran dan masjid. Kita boleh nampak orang ramai yang lalu-lalang di dataran, dan boleh juga kita lihat pekerja-pekerja masjid membersih lantai dan menghamparkan permaidani di tingkat paling atas (lantai bumbung) untuk menampung saf-saf bakal jumaah fardu Jumaat nanti. Pada hari-hari biasa aku tidak melihat kerja-kerja demikian dilakukan (ataukah aku tidak perasan?). Aku sendiri belum pernah menjejak kaki di tingkat itu walaupun pernah hampir terlajak menaiki eskalator memasuki pintu pada suatu tengah hari menjelang waktu Zohor, tetapi mendapatinya kosong. Suasana di dataran Kaabah boleh kita saksikan secara langsung melalui TV yang terpasang dalam bilik.
Seorang dua rakan sebilik pernah bersolat Subuh di tingkat bumbung itu kerana lewat datang. Ruang-ruang lain telah ditutup kerana dipenuhi jemaah. Aku tidak pernah mengalami situasi itu kerana sentiasa mendatangi masjid ketika semua tempat masih sangat lapang.
Lebih kurang jam 10.30 pagi aku sudah mulai bersiap-siap. Pada pukul 11 pagi aku sudah mulai keluar bilik untuk ke masjid. R tidak menjadi rakan beriringan kerana kami telah bersefahaman berdikari. Masing-masing harus bebas, dan menggunakan budi bicara untuk menjaga diri. Pengalaman dahulu dan beberapa hari lepas mengajar kami untuk meneruskan kaedah yang terbukti paling bererti ini. Bersyukur aku kerana R tidak seperti isteri-isteri orang lain! Tetapi di luar masjid, dalam aktiviti bukan ibadat kami sentiasa bersama-sama. Ya, aku suami dan beliau isteri yang disayangi dalam hati.
Dalam masjid suasana tidak sangat berbeza berbanding hari-hari yang lain. Apabila kian menghampiri waktu solat, jemaah seperti lazimnya juga bertambah sampai melimpah. Ruang solat Jumaat yang kupilih ialah tempat kegemaran; Tingkat 1, dewan solat terbuka yang mengadap Kaabah. Tetapi aku masih ingat pada suatu Jumaat ketika mengerjakan ibadat haji dahulu, pernah tersalah menjangkakan kehebatan jemaah Jumaat sehingga begitu sukar mendapat tempat menyelitkan diri bersolat. Aku ingat sampai tertiru sebahagian jemaah negara-negara tertentu yang sedikit lasak dan agresif meneroka ruang solat yang kelihatan padat. Bukan tidak lazim melihat bahu-bahu jemaah dilangkahi untuk sampai ke destinasi yang dilihati menyediakan ruang berdiri. Tetapi itu pengalaman yang aku tidak mahu mengulangi lagi kali ini.
Solat Jumaat didirikanlah. Sebaik selesai solat jenazah para jemaah berundur keluar. Aku menjadi satu titik kecil dalam lautan bergelombang para jemaah, dalam kes ini di pintu King Fahd, mengakuri arus raksasa keluar menuju ke hotel. Tidak hairan lagi, arus lelaki perempuan bercampur-aduk berterak-terak namun tertib dipandu kefahaman tetap melakukan amalan dan menjauhi kemaksiatan. Dalam keadaan demikian beg sandang, sarung selipar ada fungsinya, iaitu memisahkan, menghalang sentuhan dan kebatalan wuduk seseorang.
Kesesakan beransur melapang tetapi di hadapan, di dataran masjid, selautan jemaah saling berselisihan menuju destinasi masing-masing. Mentari yang memancar garang hampir menyempitkan mata oleh habanya yang menyerang.
Begitu pun aku dan R tetap berjumpa di tingkat 2, menikmati hidangan Restoran D’Saji. Botol air zamzam dalam beg sandang melengkapkan komponen makan tengah hari itu.

Umrah (21)

Umrah (21)
Air Zamzam
“Assalamualaikum”, tegur seorang lelaki berkulit agak gelap kepadaku ketika kami bersama-sama menuruni eskalator di hotel Safwah. Jam ketika itu lebih kurang 3 pagi. Aku sendirian, dengan berjubah sedang meninggalkan hotel. “Waalaikumussalam ”, jawabku. Lelaki itu bertanya, “Malaysia?”. Aku mengiakan. Dia lantas memberitahu berasal dari Bangladesh. Dalam bahasa Melayu yang baik, dia memberitahu pernah tinggal di Malaysia selama tujuh tahun berkerja dibeberapa kilang di Pulau Pinang (termasuk di Seberang Perai). Tidak hairanlah kebolehan berbahasa Melayu beliau kerana aku sendiri pernah berjumpa dengan orang Bangladesh yang sudah boleh bercakap bahasa Melayu dengan baik setelah berada di Malaysia selama enam bulan!
Nama beliau Zakir dan berusia 30-an tahun. Dia kini telah tujuh tahun pula berada di Mekah. Kami beriringan menuju Masjidul Haram. Di satu tempat di dataran masjid kami berpisah. Aku memberitahunya mahu memasuki masjid menggunakan eskalator ke dewan solat tingkat 1. Beliau berlalu dan kulihat berhenti menyapa seorang pekerja masjid yang ditemui di situ. Dalam perjalanan ke ruang solat yang menghadap Kaabah, aku singgah minum air zamzam yang berderet tersusun di laluan tersebut, di ruang dalaman masjid. Sebentar kemudian, Zakir tiba-tiba sampai. Dia memberitahu dia berkerja di situ, mengendalikan tong-tong air zamzam. Kami tidak menyambung perbualan. Aku beredar mencari ruang solat untuk berqiamullail dan fardu Subuh hari itu.
Adalah menjadi kebiasaanku untuk minum dua gelas air zamzam setiap kali memasuki masjid. Tempat tong-tong atau paip air zamzam berada mudah ditemui. Ia diletak pada tempat yang strategik dan pada laluan utama. Kerap juga apabila hendak meninggalkan masjid aku akan singgah dan minum segelas dua air zamzam, apabila melalui tong-tongnya. Aku pun teringat pula, ketika datang mengerjakan haji belasan tahun dahulu, amalanku meminum air zamzam tidak jauh berbeza. Aku malah sempat turun ke kawasan perigi zamzam yang ketika itu pintu dan tangganya ada di dataran Kaabah. Sekarang ternyata tempat itu sudah terkubur.
Pengurusan air zamzam untuk minuman jemaah di Masjidul Haram (dan juga di Masjid Madinah) sangat cekap. Aku secara peribadi tiada sebarang rungutan. Para pekerja berdedikasi menjalankan tanggungjawab dan pastinya diawasi dengan baik oleh penyelianya. Sepanjang tempoh berada di sini tiada aku menghadapi masalah mendapatkan air ini.
Air zamzam disediakan dalam dua cara, iaitu berais dan tanpa ais. Bagi yang tidak berais dilabelkan supaya mudah dikenal pasti. Tong-tong air zamzam yang berais adalah lebih banyak berbanding yang tidak berais. Tentulah cuaca di Mekah menjadi sebab peratusan atau kadar kelainan itu. Jemaah barangkali lebih menyukai air zamzam sejuk untuk menghilangkan dahaga mereka. Bahkan kadang-kadang aku dapati di sebahagian deretan tidak ada tong-tong tanpa berais.
Pilihanku pula ialah air yang tidak berais. Ini untuk menjamin gejala batuk terkawal. Pun, apabila tiada kudapatinya, aku tetap meneguk yang berais. Kalau tidak, haus tidak terlayan. Dan setiap kali minum tidak pula kulupa membacakan doa, “ Ya Allah aku memohon pada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan dari segala jenis penyakit” dalam bahasa Arab. Sambil itu aku akan mengingat-ingatkan jenis-jenis penyakit yang sedang kuhidapi agar, insya-Allah, disembuhkan dengan berkat meminumnya. Apakah penyakit-penyakit itu? Boleh kusebut antaranya, kabur mata, darah tinggi, dan penyakit-penyakit lain lazim mengenai orang yang telah ‘tua’.
Selain minum di tempatnya, aku tidak lupa mengisikan botol plastik kosong yang kubawa dengan air itu. Botol-botol yang berisi itu kumasukkan dalam beg sandang yang sentiasa dibawa bersama-samaku. Air itu kadang-kadang kugunakan sekali-sekali untuk diteguk sedikit-sedikit, atau melapkan anggota badan, apabila perlu. Yang lebih lazim lagi, air dalam botol itu kuminum selepas selesai makan sajian di Restoran D’Saji.
Aku pernah juga menggunakan paip air zamzam yang disediakan di kawasan Saie untuk mengambil wuduk ketika aku berhajat meneruskan duduk di dalam masjid beramal sambil menunggu waktu solat fardu. Ia agak sukar sedikit dilakukan kerana paip itu bukan disediakan untuk maksud wuduk sebaliknya untuk minuman. Dalam keadaan kecemasan, kita terpaksa menyesuaikan kemudahan tersebut seupayanya kerana perlu sedikit ‘berebut’ dengan jemaah lain yang lebih mengerumuni tempat itu untuk maksud mengisikan botol atau bekas air minuman dan kemudian membawanya keluar.
Air zamzam menjadi tumpuan para jemaah. Ada kulihat mereka membawa botol besar untuk mengambilnya lalu dibawa pulang ke hotel. Aku juga tahu, ada rakan sebilik yang membawa balik ke hotel botol-botol plastik berisi air zamzam. Mereka beransur-ansur mengumpulkannya untuk dibawa pulang ke Malaysia.
Di Lapangan terbang Jeddah, ketika akan berlepas pulang aku perhatikan mutawif mengambil kotak-kotak berisi air zamzam untuk rombongan kami di satu tempat yang ditentukan sebaik kami turun bas dari Madinah. Setiap orang layak menerima sekotak. Kotak-kotak itu dibawa terbang bersama dalam kapal terbang MAS yang kami naiki. Di KLIA, mutawif akan mengagehkannya kepada kami.
Terbaru dan yang sedikit mengganggu, ialah berita tersiar ketika kami sudah pulang, melaporkan serbuan polis Saudi ke atas tempat pemprosesan air zamzam palsu di Mekah. Dinyatakan pula air paip biasa telah dilabel lengkap sebagai air zamzam. Harap-harapnya kotak-kotak berisi air zamzam yang sudah berada di rumahku itu tetap yang “ori”.
(Nota: Tong-tong minuman air zamzam itu dirakamkan di Masjid Madinah, kerana tiada gambar air zamzam di Masjidul Haram dalam koleksiku).

Umrah (20)

Umrah (20)
Beg sandang
Beg sandang sangat mustahak kalau hendak ke masjid. Banyak gunanya. Ia dibawa ke mana-mana dan tidak pernah terlepas dari badan. Ia di sandang di bahu. Boleh juga digantung pada leher. Satu tali lagi yang disediakan sangat berguna kerana boleh dililitkan pada pinggang menjadikannya mudah kalau pun terpaksa memakainya ketika bersolat, mengambil wuduk atau bertawaf. Pun, dalam keadaan biasa kita tidak memakai beg sandang ketika bersembahyang di Masjidul Haram. Lazimnya kita letakkan di depan menjadi sempadan untuk bersujud. Atau dalam situasi lain, beg itu diletakkan di tengah-tengah ruang solat peribadi tetapi tidak sampai mengganggu keselesaan kita bersujud. Beg ini juga berguna untuk mengisyaratkan ruang solat yang kita telah duduki. Jemaah lain tidak akan merampas ruang itu jika beg itu ada diruang yang ditandakan.
Beg sandangku mengandungi beberapa benda asasi. Di dalamnya ada buku-buku doa bersaiz kecil, buku catatan, sejadah kain, henfon, dokumen pengenalan diri, sarung selipar daripada kain, dua botol plastik kosong, pen, monopod selfi, earphone, ubat, dan kupon makanan Restoran D’Saji.
Henfonku banyak berisi maklumat: Al-Quran dengan kemudahan terjemahannya, pelbagai doa, kaedah-kaedah solat sunat dengan bacaan yang perlu dibaca. Sejadah nipis yang sangat ringan dan boleh dilipat kecil berguna apabila tempat solat yang tersedia pada tempat dan ketikanya tidak berpermaidani. Sejadah itu sekali gus menjadi alat untuk menanda ruang solat yang dimiliki. Jemaah lain menghormati atau faham hak itu jika sejadah itu terhampar lebar. Malah, kadang-kadang sejadah itu boleh dibentangkan secara melintang untuk dikongsi bersama jemaah yang lain. Sarung selipar berjasa besar kerana dapat melindungi selipar yang kita tanggalkan sebaik memasuki masjid. Selipar yang berbungkus dengan kain putih itu dibimbit selesa dan tidak mengganggu mata atau menjejekkan kerana terlindung sepenuhnya. Lazimnya sarung selipar yang berisi ini diletakkan bersama-sama dengan beg sandang ketika bersolat. Sekali gus kedua-duanya menjadi penanda yang kukuh mewajarkan hak ke atas ruang solat yang kita duduki.
Botol plastik itu tiada lain gunanya kecuali untuk menyimpan air zamzam. Kadang-kadang kita berada dekat dengan tong air itu atau melalui deretannya langsung kita singgah menikmati. Tetapi kerap juga kita berjauhan. Adanya botol air bersama-sama pada sarung khas tersedia di bahagian luar beg itu menjadikan kita tidak menghadapi sebarang masalah lagi. Sebotol kecil air zamzam boleh juga dimasukkan dalam beg untuk menambah bekalan. Dengan adanya air di sisi kita boleh sekali-sekali meneguknya untuk membasahi tekak, mengesat tangan yang sedikit kotor, membasahkan muka dan seumpamanya.
Dan jangan lupa, beg itu boleh juga kita isikan sedikit bahan makanan, misalnya kurma, roti dan lain-lain. Boleh kita mengalas perut sekiranya tuntutan mendesak.
Aku akui tidak boleh berada di masjid untuk tempoh yang lama tanpa beg ini. Kata orang mati akal. Dan pula, kalau ditanyakan yang mana lebih penting di antara benda-benda yang dikandunginya, aku juga sukar menjawabnya. Dan, satu lagi, pada jubah yang kita pakai pun ada benda-benda berharga yang lain. Aku benar-benar bersedia untuk duduk lama apabila memasuki Masjidul Haram.

Sunday 11 June 2017

ASKAT: Imam tiga negara



Imam tiga negara
Negara 1
Waktu Zohor baru sahaja masuk ketika aku menjejak kaki ke ruang solat surau di anjung penerbangan antarabangsa KLIA, berwuduk dan berpakaian ihram. Dua penumpang lain sedang bersedia untuk sembahyang. Seorang daripada mereka yang kukira berbangsa Arab, menoleh kepadaku bertanyakan jenis solat yang hendak didirikan. Apabila kukatakan, “Jamak Takdim, Zohor dan Asar”, beliau mempelawaku mengambil alih tempat selaku imam. Walaupun aku beria-ia menolak beliau dan seorang lagi beria-ia hendak menjadi makmum. Tentulah pakaian ihram yang menyaluti badanku menimbulkan situasi begitu. Aku ‘dimuliakan’. Tiada pilihan, aku mengambil tempat yang sedia terkhas. Bilangan jemaah kian bertambah dan pada rakaat terakhir solat qasar Asar, deretan makmum telah menjadi lebih daripada satu saf.
Negara 2
Di Istanbul bahagian Asia, ketika singgah di satu R&R di tepi lebuhraya menuju Bursa, tiga orang lelaki ahli rombongan kami sepakat memberi isyarat supaya aku mengambil tempat imam untuk solat Jamak Takdim Zohor Asar di ‘mescit’ yang ada. Selepas itu untuk beberapa solat jamak di tempat-tempat lain pada masa-masa lain dan hari-hari lain aku tidak mempersoalkan lagi peranan khususku apabila tiba masanya menunaikan fardu itu. Seakan aku telah ditauliahkan tanpa kesangsian lagi.
Negara 3
Ketika transit di lapangan terbang antarabangsa Doha dari Istanbul, waktu Maghrib sudah masuk. Aku mempunyai masa 20 minit sebelum melaporkan diri di balai menunggu bagi penerbangan ke Kuala Lumpur. Peluang mendirikan solat Jamak Takdim Maghrib Isyak harus direbut. Selepas mengambil wuduk di surau berhampiran aku memasuki dewan solat dan mendapati para penumpang sedang mendirikan solat masing-masing, secara bersendirian.
Ketika aku mahu melakukan solat bersendirian, seorang penumpang lain, kukira berbangsa Arab bertanyakan solat yang bakal didirikan. Kujawab. Ternyata beliau pun mahu melakukan yang serupa . Sementara itu para penumpang lain yang berbagai-bagai bangsa kian bertambah. Aku kebetulan berdiri di tempat paling ideal menjadi imam. Dan, jelas para penumpang lain sepakat mengiktirafnya, melalui isyarat dan sekali gus membina saf di belakangku. Maka aku pun menjadi imam, memulakannya dengan solat Maghrib. Selepas selesai, sebahagian jemaah beredar tetapi penumpang lain menjadi makmum yang baru serentak meramaikan lagi. Sebahagian mereka minta aku beralih tempat lebih ke depan, sebenarnya ke sejadah imam di tempat paling hadapan.
Aku mengambil tempat yang dikhaskan itu dan membaca dengan nada rendah Al Fatihah dan surah lazim yang pendek. Bacaanku menjadi lebih tinggi nadanya serta bertambah yakin sebutannya apabila masuk rakaat kedua. Samalah begitu ketika bersolat Maghrib tadi.
Tetapi persoalannya kenapa kebelakangan ini semakin kerap aku diminta ke depan ketika hendak mendirikan solat berjemaah? Barangkali, tiada sebab lain, kerana dalam hampir semua situasi, aku sudah ternyata nampak di mata umum ‘bayanya’ berbanding semua ‘makmum’ itu.

Umrah 19

Umrah 19
“Puasa” di Mekah
Pada suatu petang aku menggunakan pintu bereskalator 90-an (?) ke Tingkat Satu Masjidil Haram untuk bersolat Maghrib. Oleh sebab masih awal, tempat pilihan tidak bermasalah diperolehi. Dewan solat itu sebenarnya tidak jauh dari pintu masuk. Ia bukan dewan yang terbuka menghadap Kaabah sebaliknya ruang tiga suku tertutup terletak di bahagian dalaman masjid. Tempat itu selesa, cantik, bertiang banyak dengan siling berhias menyeronokkan mata. Aku perhatikan jemaah yang sedia ada melakukan aktiviti masing-masing; ada yang membaca Al-Quran, ada yang berbual-bual ringan secara terkawal (tidak meninggikan suara), dan tidak kurang yang membaring-baringkan diri serentak mengambil ruang atau menguasai kawasan yang lebih luas. Aku memilih saf keempat, mendirikan solat tahyatul masjid, dan duduk beramal. Dalam keadaan demikian, antara perkara yang dilakukan ialah membaca sambil cuba menghafal keratan surah Al-Quran dan doa-doa terpilih dalam henfon yang memang kukumpulkan sebagai persediaan berumrah, dan melihat-lihat sekeliling termasuk ke arah para jemaah yang sentiasa lalu-lalang mencari-cari ruangan solat yang mereka sukai.
Lebih kurang setengah jam bakal masuk waktu Maghrib, kulihat beberapa orang Arab berjubah dengan serban tipikal berwarna merah putih Saudi datang berhampiran tempat aku sedang duduk. Mereka membawa beg berisi kendi dan termos dan beg plastik makanan bermuat roti, kurma dan lain-lain. Setelah meninjau sekitaran seketika mereka memutuskan untuk berpangkalan di situ. Para jemaah lain yang sedang duduk mengensot berundur memberi ruang. Mereka pun mencelah duduk sambil meletakkan barangan yang dibawa. Tidak syak lagi, di kalangan jemaah bahawa suatu jamuan akan diadakan sebentar lagi membabitkan mereka sama. Tentulah tidak sopan bahkan berdosa sekiranya mereka tidak dijemput meraikan majlis. Kukira demikian terlintas di fikiran masing-masing. Dan ternyata ada beberapa kumpulan dari ‘tuan rumah’ yang sama bertindak serupa di sekitaran tidak berjauhan dari situ, malah seakan bersambung.
Lima belas minit menjelang waktu Maghrib, kumpulan berkenaan berkerja ligat. Diselaknya permaidani yang menjadi sejadah solat itu dan ditariknya plastik nipis panjang yang sedia ada di bawahnya. Rupa-rupanya plastik nipis lut pandang selebar dua kaki menjadi hamparan untuk dihidangkan makanan di atasnya. Keseluruhannya, aku kira setiap saf yang terbabit menjangkau antara 40 hingga 50 kaki panjang. Setiap plastik yang dihamparkan di antara dua saf jemaah adalah untuk menampung dua saf. Ini bermakna jemaah yang di hadapan perlu beralih cara duduk, memusingkan badan, bersemuka dengan jemaah di saf belakangnya.
Para petugas kulihat mempunyai pengkhususan dalam mengagehkan makanan dan minuman. Ada pekerja mengawal buah kurma dan dialah yang memasukkan sejumlah yang wajar ke dalam bekas hidangan. Kemudian, seorang pekerja lain meletakkan ke atas hamparan. Ada juga pengagehan ini dipindah-pindahkan bergilir-gilir, dari tangan ke tangan para jemaah, sehingga hamparan itu berderetan dengan bekas-bekas berisi kurma. Begitu juga dengan makanan lain seperti roti, dan lain-lain di bahagi seimbang. Kemudian air minuman pula diageh dengan diisikan gelas-gelas kertas atau diberikan terus gelas plastik tersedia berisi. Di samping itu, ada juga minuman panas diedarkan, tetapi tidak menyeluruh. Tidak semua jemaah mendapat habuan kerana sumber tidak mencukupi.
Apabila waktu Maghrib sudah hampir benar, para jemaah sudah mulai berdepan antara satu sama lain, menunggu masa “berbuka”. Bagiku dan sebahagian besar jemaah tidak menjangkakan hidangan tersebut tetapi tiba-tiba sudah menjelma di depan masing-masing. Kuperhatikan segelintir sahaja yang ‘menolak’ rezeki itu, tentulah dengan sebab-sebab tersendiri. Aku termasuk dalam kumpulan majoriti ingin menikmatinya. Tiba saatnya, aku bergegas menyertai ‘tuan rumah’, berbuka walaupun tidak berpuasa.
Majlis ‘iftar’ itu segera selesai sebaik azan sempurna dilaungkan. Para petugas dengan segera membungkus bekas-bekas dan sisa-sisa makanan yang berbaki menggunakan hamparan plastik yang terpakai tadi. Ruang solat kembali seperti asal dalam seminit dua sahaja. Aku perhatikan, pekerja masjid sendiri pun ada membantu mengemaskan ruang solat untuk mempastikan para jemaah yang baharu berbuka tadi selesa bersolat Maghrib berjemaah, seakan tiada pun majlis iftar tadi.
Aku sekali lagi bernasib baik menyaksikan dan terlibat dalam majlis berbuka oleh ‘tuan rumah’ yang lain. Walaupun diadakan pada ruang solat berbeza ‘modus operandi’nya serupa. Aku bersyukur berada pada tempat dan tepat pada masanya. Selama ini aku hanya mendengar majlis sebegini tanpa mengalami sendiri secara langsung. Dua pengalaman dilalui berbuka tanpa berpuasa memberi impresi positif tentang tradisi majlis iftar di Masjidil Haram. Kuakui ini satu majlis berbuka puasa yang ringkas tetapi amat teratur dan cekap dilaksanakan. Mereka benar-benar pelaksana profesional. Dan, dari satu segi lain, baiknya pembabitanku (walaupun pasif) itu sekurang-kurangnya, mengalas perutku seketika sebelum melengkapkannya dengan pakej standard makan malam di Restoran D’Saji selepas Isyak nanti.

Umrah 18



Umrah 18
Ruang solat
Di dalam masjid aku tidak tetap bersolat di satu tempat sahaja. Sengajaku berpindah tempat mengikut keperluan atau suasana. Aku pernah bersolat di dataran Kaabah, di paras bawah yang berbumbung berhadapan Kaabah, di tingkat satu pada tempat-tempat atau ruang-ruang yang berlainan (bahagian hadapan atau belakang).
Sebenarnya tidaklah ada sebab khusus tempat-tempat itu kupilih. Namun, kukira kedudukan hotel yang dihuni sedikit sebanyak mempengaruhi. Hotel Safwah Royal Orchid, boleh dianggap salah satu hotel paling dekat dengan Masjidil Haram. Untuk ke masjid, pintu masuk yang selesa dilalui ialah Pintu Ajyad, Pintu 89, 90 dan beberapa lagi yang berdekatan. Pintu paling besar, Pintu Malik Abdul Aziz, betul-betul di hadapan hotel, ketika itu sedang dibina, dihadang dengan kon-kon sekatan dan tidak dibuka kepada jemaah.
Dari hotel, untuk solat Subuh aku biasa menggunakan pintu (?) yang bereskalator. Apabila memasuki tingkat 1, aku memilih beberapa ruang solat yang berbeza semasa solat fardu yang berbeza. Suatu kali aku menggunakan pintu di sebelah kanan (Pintu No. (?) pintu bereskalator itu memasuki masjid, naik ke tingkat atas menggunakan tangga di dalamnya, menyusuri lorong laluan, membelok ke kanan pada laluan besar yang menghubung antara ruang dan terus maju ke ruang solat depan yang mengadap Kaabah. Di sini, aku masih ingat kerap bersolat ketika mengerjakan haji 16 tahun dahulu. Kini, di sini aku menghidupkan semula pengalaman lama.
Di sini, di depan permaidani yang dihampar teratur untuk bersolat, laluan untuk tawaf terbuka lebar. Jemaah yang duduk-duduk menunggu solat fardu didirikan akan dapat menyaksikan pentawaf-pentawaf melakukan pusingan tawaf mereka hampir tidak putus-putus di depan hidung mereka. Walaupun suasana di ruang ini tidak senyap-sunyi, aku dapat beribadat sementara menunggu waktu solat Subuh dengan konsentrasi penuh. Di sinilah aku mengalirkan air mata dua kali, pada Subuh pertama dan Subuh kedua, hanya kerana membaca buku salawat nabi yang kubawa bersama.
Pada waktu solat Maghrib dan Isyak, masih di tingkat 1, aku biasa mengambil ruang di belakang ruang pertama yang di hadapan tadi. Ini bermakna, ruang ini sepenuhnya berbumbung dan tidak dapat melihat Kaabah kerana sebahagian terlindung oleh dinding yang memisahkannya dengan ruang solat yang terbuka mengadap Kaabah. Ruang ini selesa diduduki. Lantainya berpermaidani, ruangnya penuh bertiang, besar-besar dan cantik berukir, siling atau kubahnya terhias memukau.
Selain itu, satu lagi ruang solat pilihan ialah tingkat bawah, sebaik sahaja memasuki masjid melalui pintu bernombor 80an-90an. Kuperhatikan ruang solat ini sangat popular. Jika kita datang agak lewat ruangnya telah penuh. Barangkali sebab utama dipilih jemaah ialah kerana berdekatan dengan hotel-hotel dan dataran luas terbuka di luar masjid. Boleh jadi juga, jemaah berniat untuk keluar dari masjid selepas solat selesai dengan segera dan mudah (?)!
Ruang-ruang lain tempat aku bersolat tidak dianggap pilihan tetapi bersebab, kerana baharu selesai bertawaf. Hakikatnya, ketika itu, masa terlalu singkat untuk mencari-cari ruang yang disukai. Aku akan menyelitkan diri pada mana-mana tempat yang terluang. Pada tempat-tempat bersolat ini ia tidak begitu selesa kerana di atas lantai tanpa berpermaidani, lagi pula berhimpit-himpit dan merimaskan. Dalam keadaan begini aku tidaklah sangat terkilan kerana masih boleh menghampar sejadah nipis yang sentiasa kubawa bersama. Aku bersikap, “Asalkan tersedia tempat untuk bersolat sudah sangat disyukuri berbanding terlepas solat berjemaah”.
Pada umumnya, aku tidak menghadapi masalah memilih ruang dan tempat bersolat kerana sentiasa datang ke masjid jauh lebih awal dari waktunya. Tetapi pada hari-hari mengerjakan umrah, pilihan tidak boleh dibuat kerana masa tamat tawaf dan saie tidak dapat dijangka dengan mudah untuk diselaraskan dengan masa mencari ruang bersolat yang lazim atau lebih disukai. Kepadatan para jemaah menjadikan pilihan itu menjadi sukar dilakukan dalam masa yang singkat.
Satu perkara yang sangat kuelakkan ialah bersembahyang di luar masjid. Kerana, aku di Mekah!

Umrah 17

Umrah 17
Terlepas solat
Azan Asar telah dilaungkan sebaik kami selesai menyempurnakan Saie (umrah). Dari pintu yang terdekat para jemaah sedang berpusu-pusu masuk untuk ke ruang masjid melakukan solat Asar. Aku waswas dengan wudukku, sama ada masih sah atau tertanggal. Dalam keadaan yang demikian sesak agak sukar untuk berwuduk, sungguhpun aku mungkin boleh melakukan di tempat paip air zam zam di kawasan bersaie itu. Masalah lain ialah untuk mendapatkan ruang bersolat. Ia tidak begitu mudah. Besar kemungkinan kami terlepas melakukan solat secara berjemaah dalam masjid.
Dengan berat hati aku membuat keputusan balik ke hotel dan R akur. Ini bermakna terlepaslah satu kali bersolat fardu di Masjidil Haram! Kami berterak-terak untuk keluar melalui satu-satunya pintu terdekat yang ada. Di luar aku melihat berbondong-bondong manusia mendatangi masjid untuk bersolat Asar. Di beberapa tempat di tepi dinding atau tembok sudah ramai juga jemaah duduk berkumpul menunggukan solat Asar dimulakan. Mentari petang sedang memancar tetapi jemaah yang berhampiran bangunan masjid terlindung pancaran terik sinarannya.
Kami berjalan terus menuju ke arah hotel, yang kukira 200 meter menghala ke arah Bukit Safa. Sambil berjalan aku memperhatikan juga rupa bentuk dinding dan tiang masjid serta hiasannya itu. Ia memang cantik dan teguh. Sambil itu, para jemaah mencurah-curah datang memenuhi dataran di luar masjid.
Akhirnya, solat Asar pun dimulakan. Dalam serba-salah, dengan lagak bersahaja kami berjalan terus. Aku ingat, antara lain, kami melalui tempat pengurusan jenazah. Ada satu ruang tak jauh di situ, lebih ke hadapan, yang dipagar dengan regangan tali sebagai menandakan larangan sesiapa melintasinya. Berhampirannya bersaf-saf para jemaah yang sedang bersolat. Padat. Kami perlu melalui ruang dipagari tali itu untuk ke hotel. Ia satu-satunya jalan untuk maju ke depan. Ketika aku cuba memijak lantainya yang berkilat seliparku terlekat. Rupa-rupanya ia baharu disapu cat dan belum lagi kering betul. Segera aku menarik kaki. Tetapi bekas tapak selipar itu sudah tertanam di atasnya sungguhpun tidak begitu dalam. Cat itu juga telah melekat di seliparku.
Pun, kami tidak boleh berlengah. Kami mencari ruang-ruang yang boleh meloloskan diri dari lantai yang melekit itu. Dengan bergerak di birai-birai lantai itu secara perlahan-lahan dan berhati-hati sejarak hampir tiga meter kami berjaya menyeberanginya. Untuk terus menuju ke hotel kami perlu melalui jalan atau lorong di hadapan para jemaah sedang bersolat. Itulah yang kami lakukan sepanjang hampir 100 meter lagi, sambil aku mengesek-gesek tapak selipar ke muka jalan supaya sisa cat yang terlekat padanya tanggal. Sebaik kami tiba di hadapan tanjakan (ramp) ke hotel, solat Asar pun selesai. Kami berjalan terus, naik bersolat di bilik sendiri.

Friday 2 June 2017

Sajak ASKAT, "Titian Waktu"

Titian waktu
Suci langit
bulan merobah sabit.
bintang-bintang mengerlip. 
kenangan berkedip.
ASKAT
Kampung Tunku,
Petaling Jaya.
6 Ramadan 1438 = 1 Jun 2017

Umrah (16)

Umrah 16
Demi ibu
Sampai semula di hotel aku dan R mengambil wuduk di bilik dan kemudian bersama-sama ke masjid untuk bersembahyang Zohor. Kami kembali semula untuk makan tengah hari di Restoran D’Saji. Walaupun cuaca panas, kami tidak mahu menangguhkan pengerjaan rukun tawaf. Selepas beberapa ketika di bilik untuk keperluan biasa seperti ke tandas dan berwuduk, kami berjumpa semula di Tingkat RE dan bersama-sama turun dari hotel menuju Kaabah.
...Continue reading

Umrah (15)

Umrah 15
Al Hudaibiyah
Dalam pakej pihak agen merangkakan tiga kali umrah. Pada pagi hari kelima di Mekah aku berpakaian ihram menaiki bas. Begitu juga para jemaah serombongan yang ingin mengerjakan umrah. Umrah ketiga melibatkan kami berniat di Masjid Al-Hudaibiyah, sejauh lebih kurang 25 kilometer dari Masjidil Haram di lebuhraya menuju Jeddah.
Ustaz yang mentaklimat rombongan adalah orang yang sama membimbing kami ketika ke Masjid Jakranah dua hari lepas. Dalam perjalanan dia mengimbau kisah-kisah-kisah silam tentang peristiwa baiat di Hudaibiyah. Sambil itu beliau mencelah juga menerangkan sedikit sebanyak tentang sekitaran yang kami lalui - tentang pembangunan Kota Mekah, tentang rumah hantu, tentang perkampungan orang Badwi, pembinaan rel keretapi laju Mekah-Madinah yang sedang berjalan, dan beberapa perkara lain.
Bas tidak singgah terus di masjid. Kami dibawa ke ‘ladang unta’ yang memerlukan bas keluar daripada lebuhraya sejarak kira-kira 100 meter. Di tempat kami berhenti kelihatan beberapa kelompok unta menemani beberapa orang Badwi menjual produk unta, seperti susu unta, air kencing unta, dan lain-lain di tengah panas terik. Kehadiran kelompok-kelompok unta di tempat mereka berjualan memberikan kami pengalaman menghidu bau unta secara langsung. Bagiku ia kurang menguja dan sekitaran pun tidak hiagenik lagi pula berdebu iaitu apabila kenderaan meredah pasir di sisi jalan ketika ingin mengubah haluan untuk beredar.
Ladang unta itu memberikan latar realistik bagi sesetengah jemaah untuk bergambar. Kuperhatikan ada yang menjadikan unta-unta itu sebagai latar belakang dan ada pula yang lebih bersemangat dengan menjadikan gunung-gunung batu yang gersang di kejauhan dan tanah yang tandus seluas saujana mata memandang itu wadah merakam kenangan. Aku sendiri hanya turun seminit dua untuk mengambil gambar dan segera menaiki semula bas sambil menunggu ahli-ahli rombongan menyelesaikan urusan masing-masing di bawah.
Bas bertolak mengambil lebuhraya yang sama tetapi menuju arah kembali ke Mekah. Kenderaan kami berhenti agak jauh dari Masjid Al Hudaibiyah kerana kawasan lapang yang berdekatannya telah dipenuhi kenderaan rombongan jemaah yang lain. Mereka lebih awal tiba. Aku tidak menghadapi masalah untuk terus bersolat sunat ihram kerana telah sedia berwuduk. Bagi mereka yang ingin menggunakan bilik air sedikit bermasalah kerana kemudahan tidak mesra pelanggan apalagi bagi jemaah wanita.
Kuperhatikan juga di sekitaran masjid itu ada penjaja memperagakan dagangan mereka. Tidak pula kulihat sambutan hangat diberikan para jemaah untuk membelinya.
Ustaz pembimbing mengajarkan niat umrah dalam bas kepada para jemaah sebaik bas bergerak menuju kota Mekah. Beliau juga mengetuai bacaan talbiah. Aku mengambil peranan aktif dengan menyaringkan suaraku apabila menyusulinya dengan sebahagian jemaah lain mengambil peranan lebih bersantai. Aku sangat memberati talbiah. Setiap kali mutawwif atau pembimbing mengambil inisiatif menyuarakan, aku tidak teragak-agak untuk menyambut dengan bersemangat sampai tamat. Malah secara bersendirian pun aku sekali-sekala menyuarakan apabila sesuai masa dan tempatnya.
Aku cukup syahdu duduk di sisi R. Dan terharu. Bergenang air mata teringatkan arwah ibuku. Kali ini, aku berniat melakukan badal umrah untuk beliau pula. Semoga apabila kembali nanti, aku tidak terkilan lagi.

Umrah (14)

Umrah 14
Aku berundur mencari tempat untuk bersedia bersolat Maghrib. Tingkat bawah menjadi pilihan. Kali ini mahu aku bersolat dengan Kaabah di depan mata. Ketika itu dataran Kaabah boleh dikira penuh. Tetapi sedikit di belakang, di bawah lindungan deretan kubah-kubah rukun Yamani aku mencari-cari ruang yang sesuai. Ruang itu ada. Ia berpermaidani. Walaupun Kaabah sedikit terlindung oleh tiang-tiang yang besar berhampiran di hadapan, tempat itu seharusnya diduduki, apatah lagi azan Maghrib tidak lama lagi bakal dilaungkan. Di situlah aku berlabuh.
Sementara masuk waktu, aku melakukan kebiasaan. Aku membaca-baca pelbagai maklumat (doa-doa, potongan surah-surah Al-Quran, yang tersedia dalam henfonku. Kebanyakan para jemaah yang berhampiran lebih ramai membaca Al-Quran yang mereka ambil dari rak berdekatan.
Solat Maghrib pun berlalu. Ruang itu menjadi lengang. aku mengambil tempat lebih strategik di saf lebih ke hadapan yang memberikan pemandangan Kaabah tanpa terlindung lagi. Maka menunggulah aku waktu solat Isyak di situ. Pelbagai telatah para jemaah dapat kulihat di sekeliling. Ada yang berborak dengan rakan, ada meneruskan bacaan Al-Quran, ada yang melunjurkan kaki untuk merehatkan diri.
Aku sempat mengambil beberapa gambar situasi di sekitaran dalam ketiadaan aktiviti khusus ketika itu. Aku sedar, darjah konsentrasi beramal seharusnya kukendurkan pada ketika yang sesuai untuk meringankan tekanan ke atas diri yang aku sendiri letakkan. Sedang di dataran Kaabah tetap berpusu-pusu jemaah bertawaf dan mengerjakan solat sunat masing-masing selepas mereka menyempurnakan rukun tersebut.
Seperti biasa, aku kembali ke hotel selepas solat sunat ba’diah Isyak. Aku berjumpa isteri di Restoran D’Saji dan kami makan malam bersama-sama. Kemudian, kami berundur ke bilik masing-masing untuk berehat. Besok aktiviti akan tetap intensif.

Umrah (13)

Umrah 13
Pada hari bebas yang kedua, aku akur pada rutinnya. Amalan pra Subuh tetap berjalan. Aku mengambil keputusan melakukan, antaranya, solat Tasbih. Tersangat lama senggangnya solat ini tidak kulakukan. Masa dan pemusatan yang diperlukan menjadikan aku tidak teruja mendirikannya. Tetapi matlamat kehadiran di Tanah Suci, suasana yang menyelubungiku ketika itu, menjadikan ia dapat kuselesaikan dengan baik. Setengah jam kuambil untuknya.
Ada kepuasan tertuai. Terkesan ia tidak seberat yang kufikirkan selama ini. Dan pada pagi yang bening itu aku dinikmatkan lagi dengan anugerah curahan air mata selepas membaca Salawat 40. Tisu yang sedia dibawa menjadi saksi kerana lejuh meresapkan air yang mengalir di pipi dan hidung.
Sebelah pagi selepas sarapan dan berehat di bilik, aku bersama-sama dua rakan sebilik ke tingkat bawah Menara Jam Mekah untuk membeli Kad Sim 4G Virgin Mobile. Harganya SR65 ditambah SR5 caj pemasangannya. Dengan adanya perisian itu dapatlah kuhubungi keluarga. Abang Mie, Era dan D (Mieradie) mulai mendapat perutusan dan gambar kami di Mekah.
Masa yang lagi terluang kugunakan bersama-sama R untuk bersiaran mengunjungi kedai-kedai yang banyak di tingkat-tingkat bawah bangunan hotel tempat kami menginap. Tiadalah pula terlangsung kami membeli. Pun, tinjauan tentang harga dan kualiti barangan yang diperagakan memberi kami gambaran sebenarnya berbanding dengan Malaysia. Hanya, sedikit gangguan timbul kerana kami sentiasa dipelawa, kadang-kadang secara agresif oleh para petugas kedai-kedai itu, agar memasuki dan membeli barangan jualan masing-masing.
Petugas-petugas yang hampir semuanya berasal Bangladesh telah menguasai kedai-kedai. Mereka faseh menggunakan beberapa frasa dalam bahasa Melayu seperti, “lihat dulu”, “Malaysia Boleh”. Kami sentiasa cuba membenam keghairahan membeli untuk mengelakkan terperangkap di kedai-kedai berkenaan. Mereka telah biasa dengan Malaysia dan tahu pula kami warganegaranya. Namun, pengalaman melancung selama ini dan niat yang sedia tertanam ketika meninggalkan rumah mengawal nafsu kami dengan sempurna. Kunjungan ke kedai-kedai itu hanya lebih memberi maklumat sekitaran dan menjadi panduan awal menentukan stratergi sebelum kami betul-betul bersedia berbelanja kelak.
Rutin berterusan. Selepas solat Asar aku teruja untuk melakukan tawaf. Ada hadis menyatakan, itulah yang paling berfadilat berbanding dengan solat sunat atau duduk-duduk melihat-lihat Kaabah. Lalu aku turun ke dataran Kaabah melalui tangga setentang Rukun Yamani. Bersendirian, dengan pakaian jubah menjadikan tawaf lebih selesa, berbanding berpakaian ihram. Aku ‘tenggelam’ sendiri dengan aktiviti itu. Bacaan zikir mudah, seperti dalam tawaf wajib kuulangi setiap pusingan. Sambil itu doa-doa untuk kebaikan diri terlintas di minda. Kusuarakan untuk dimakbulkan-Nya. Secara sedar, dan seikhlas-ikhlasnya.
Apabila tamat aku mencari ruang untuk bersolat sunat.
Alhamdulillah, dalam kesesakan ruang di sekitar Makam Ibrahim tersedia satu ruang yang sangat selesa untuk aku menyelesaikannya. Sungguh di luar jangkaan. Tidak terbayang malah dalam igauan pun. Lalu, ketika bersujud pada rakaat kedua, selepas bacaan lazim, aku berdoa untuk kebaikan diri sekeluarga. Tiba-tiba aku menjadi sebak dan teresak-esak menggetarkan sekujur badan. Aku seakan dibiarkan bersendirian. Aku tidak diganggu walaupun berlamaan begitu. Sungguh terharu aku dihadiahi ruang yang mewah itu. Sungguh-sungguh bersyukur aku kepada-Nya kerana melonggarkan kawalan diri sehingga aku mengalirkan air mata. Ia satu pengalaman. Pertama dan manis, di dataran Kaabah.

Umrah (12)

Umrah 12
Selesai solat Asar, aku mencari-cari R dan mujurlah dapat kami bertemu pada titik yang dijangkakan. Lantas kami mengambil laluan ke Bukit Safa untuk bersaie. Jarak perjalanan itu sekitar 100 meter. Ramai juga jemaah sedang bersaie ketika itu. Gema mereka bersaie menerawang mengisi ruang di tingkat bawah itu.
Sebaik tiba di garisan permulaan, kami berniat memulakan Saie di Bukit Safa. Kami kemudian menaiki bukit Safa dan berdiri sambil mengangkat dua tangan ke arah Kiblat yang kelihatan dari situ sambil membaca, “Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillahilhamd” seperti dituliskan dalam buku panduan yang dibawa.
Rukun bersaie nampaknya agak bersantai dilakukan oleh sebahagian jemaah. Sebaliknya, kami tidak melakukan begitu. Sekali-kali tidak kami meringankannya. Walaupun dalam mengerjakannya kami sempat memerhatikan perlakuan para jemaah lain, kekhusukan saie seboleh mungkin kami pelihara. Setiap pusingan kami berdoa dan setiap kali tiba di Bukit Marwah kami berhenti dan berdoa lagi.
Sungguhpun ramai jemaah yang bersaie secara kumpulan aku tertarik dengan satu kumpulan jemaah Arab, yang boleh jadi daripada Mesir. Kumpulan ini berjumlah sekira-kira 25-30 orang, lelaki dan perempuan. Mereka bergerak secara teratur berbaris lancar menyelesaikan pusingan. Mereka dipimpin oleh seorang ketua yang membacakan doa dalam bahasa Arab secara sepatah dua setiap kali sebutan. Para pengikutnya akan mengulangi dengan suara yang nyaring. Paduan suara jemaah lelaki yang timbul dengan keparauan yang merdu, bagiku sangat memukau. Bacaan mereka menjadikan aku sekali gus mengingati kebesaran Allah SWT. Aku tidak sempat menyaksikan mereka menghabisi rukun tersebut kerana lebih dahulu menyelesaikan Saie kami.
Selesai bertahlul kami bersolat sunat di Bukit Marwah. Bagiku tertunailah sudah hajat mengerjakan badal umrah untuk arwah ayahku. Kami berdua kemudian berjalan keluar untuk balik ke hotel. Adalah lebih selesa untuk membersihkan badan dan menyalin pakaian bagi bersolat fardu Maghrib yang tidak lama lagi bakal menjelang.

Umrah (11)

Umrah 11
Dalam perjalanan balik ke hotel ustaz (pemandu rombongan) membuat periklanan dagangan. Beliau mengedarkan sebotol madu Yaman untuk dikecap bergilir-gilir oleh kami, para penumpang bas. Sesiapa yang berhajat membelinya boleh memberitahu dan membayar harganya kepada mutawwif kami. Aku dan isteri mengecap madu itu apabila giliran kami tiba. Selepas semua mengecap, mutawwif meminta para jemaah yang hendak membeli mengangkat tangan masing-masing mengesahkan dan-dan itu juga. Barangkali oleh sebab harganya tidaklah terlalu rendah, hanya lebih kurang sepertiga yang memberi reaksi positif. Pengiklan akan membawa botol-botol madu yang ditempah itu ke bilik hotel pada waktu malam. Aku (dan isteri) tidak bercadang membeli. Aku teringat sebotol madu Iran yang kubeli di kedai Jaafar Rawas di Kota Bharu masih lagi berbaki tersimpan selamat di rumah.
Dalam pada itu, mutawwif memberitahu, pemandu (drebar) bas pun menawarkan dagangannya pula, iaitu minyak zaitun. Harga sebotol ialah SR10.
Kami tiba semula di hotel ketika waktu Zohor sudah hampir. Aku dan R tidak mahu ketinggalan bersolat jemaah di masjid. Tersangat banyak ruginya! Lalu kami bergegas ke masjid selepas menselesakan diri dan mengambil wuduk di bilik masing-masing. Kami kembali ke hotel untuk makan tengah hari. Aku dan isteri terus mengambil pek makanan dan menghabiskan habuan masing-masing di Restoran D’Saji. Niat kami selepas itu untuk ke masjid melakukan tawaf dan menyelesaikan umrah yang masih tergantung. Perut harus berisi untuk melancarkan pengerjaan ibadat.
Kami memulakan tawaf lebih kurang pukul 2.30 petang. Mentari mencabar di dataran Kaabah tetapi kami tetap melakukan juga. Teriknya tidaklah sampai tak tertanggungkan. Para jemaah lain pun ada juga melakukan. Semua mengalami dugaan yang sama. Pun kami perlu sedikit berawas. Walaupun tidak terlalu ramai, kami harus mengelakkan melakukan pusingan tawaf yang kecil agar tidak terperangkap dalam kesesakan pada setiap pusingan. Kami sedari, setiap kali bertawaf sentiasa ada para jemaah yang akan mengerumuni rukun-rukun tertentu di Kaabah sehingga menghimpit dan menyesakkan sesama mereka.
Bacaan dalam tawaf kali ini sedikit berbeza. Dalam tawaf kali ini secara sedar aku menambahkan pengisian bacaan khusus setiap pusingan dengan membaca sepenuhnya terjemahan dalam bahasa Melayu doa-doa yang disediakan dalam buku Tabung Haji yang dibawa. Doa-doa ini kubaca pada peringkat awal setiap kali pusingan tawaf. Sebaik selesai dibacakan doa-doa tersebut, sedangkan pusingan belum selesai, kami susuli dengan bacaan zikir dan doa seperti yang dilakukan dalam tawaf pertama dua hari lepas. R sentiasa bersama-sama dan mengaminkan bacaan doaku dan menyusulinya dengan bacaan zikir dan doa yang lain-lain itu. Keramaian para jemaah di sekeliling tidak sedikitpun menjejaskan pemusatan atau kekhusukan kami bertawaf.
Apabila kami selesai, waktu Asar sudah menghampiri. Aku sendiri melakukan solat sunat tawaf di dataran Kaabah pada rukun Shami. Begitu juga dengan R, tetapi secara berasingan tempat demi mengelakkan penguatkuasaan larangan ‘solat bersetempat” oleh para petugas masjid, yang sentiasa memantau di kawasan itu. Apabila selesai, kami berundur mencari tempat bersolat Asar yang lebih selesa. R mencari tempat di kalangan jemaah wanita tidak berjauhan. Tempat atau ruang solat itu terletak di tingkat paling bawah dan di pinggiran jalan lalulintas ke dataran Kaabah. Ia telah dilingkungi dengan tali penyekat yang menghalang ruang itu dilimpahi oleh para jemaah yang datang lebih kemudian. Aku menghamparkan sejadah nipis yang sentiasa ada bersama-sama untuk menandakan hak ruang solatku.
Ketika berpisah tadi, aku tidak sempat berjanji untuk bertemu semula dengan R. Semoga dia pun akan bertindak munasabah bagi mempastikan kami boleh berjumpa semula bagi meneruskan rukun Saie selepas solat Asar kelak!
Barangkali bakal tidak timbul masalah. Tempat kami bersolat itu terletak berhampiran dengan hujung jalan untuk ke tempat bersaie, tetapi pada bahagian Bukit Marwah.

Umrah (10)

Umrah 10
Mengikut program, rombongan kami akan melawat ke Padang Arafah, Mina, Muzdalifah, Jabal Rahmah, Jabal Thur dan Masjid Jakranah sebelum kembali ke Mekah untuk mengerjakan umrah kedua.
Seorang pelajar Universiti Umm Qura bidang Pengajian Dakwah telah diambil sebagai pemandu rombongan. Beliau berasal dari Terengganu dan telah lama, (kalau tidak silap tujuh tahun) menetap di Mekah. Sepanjang perjalanan beliau menyingkap tabir sejarah tempat-tempat yang dilintasi atau dikunjungi.
Pemeriannya bermula dari asas, sekira-kira berandaikan kami (para jemaah) tidak mendalami sejarah tempat-tempat berkenaan. Bagi yang pernah membaca dan melawat tempat-tempat berkenaan, penjelasan beliau bersifat sedikit merendah atau meringankan pengetahuan peribadi tetapi bagi yang tidak mendalaminya maklumat yang diberi sangat membantu apresiasi terhadap tempat-tempat itu.
Bas hanya singgah di kawasan Jabal Rahmah. Waktu itu, lebih kurang 11 pagi, sudah ramai jemaah lain tiba di situ. Aku dapat melihat sebahagian para jemaah lain mendaki dan menuruni Jabal Rahmah. Cuaca agak panas namun tidak menghalang para jemaah menghampiri sekurang-kurangnya kaki bukit berkenaan. Aku sendiri tidak pun ke sana, hanya berpuas hati memandangnya dari jauh, dari tempat bas berhenti. Sementara itu bas-bas rombongan yang lain semakin banyak yang tiba. Rombongan yang dibawa masing-masing semakin perlu jauh berjalan kerana kenderaan-kenderaan itu tidak boleh rapat ke bukit sebaliknya meletakkannya di tepi jalan di tempat yang semakin jauh.
Selepas lebih kurang dua puluh minit di pekarangan Jabal Rahmah, kami berlepas. Dalam perjalanan ini pemandu kami menceritakan tentang Ain Zubaidah. Atas inisiatif isteri Khalifah Harun Al-Rashid itu maka dilancarkan projek menyalurkan air kepada para jemaah haji di Mekah, Arafah, Mina dan Muzdalifah pada zaman itu. Permaisuri kerajaan Abbasiah itu dikatakan telah membiayai projek itu dengan hartanya sendiri hasil kesedaran berbangkit daripada pengalaman beliau sendiri mengerjakan haji secara berjalan kaki dari Baghdad ke Tanah Suci Mekah.
Kami kemudian dibawa ke Masjid Jakranah untuk memasang niat umrah dan bersolat sunat ihram. Masjid itu tidaklah besar. Di sekitar halamannya ramai penjual memperagakan dagangan mereka. Ada juga seorang dua jemaah yang sempat membeli seperti kopiah dan sebagainya.
Umrah yang kuniati kali ini ialah untuk ayahku. Sudah sampai masanya aku berbakti melalui cara ini. Beliau tidak sempat melakukannya semasa masih hidup kerana kekurangan wang. Namun aku tahu beliau termasuk dalam kalangan orang yang mampu jika pemilikan tanah diambil kira. Tanah beliau telah menjadi hak anak-anak beliau termasuk aku setelah melalui proses faraid.
Kami melalui Jakranah dan aku mendapat kesan bandar ini telah dan sedang membangun dengan pesat. Bangunan-bangunan tinggi terbina di merata tempat dan ruang-ruang perniagaan ternyata muncul di mana-mana. Dari situ kami ditarik perhatian oleh pemandu terhadap Jabal Thur yang tersergam penuh berbatu dan curam. Gunung bersejarah ini kelihatan jelas dari dalam bas yang kami naiki. Kami dapat melihat ramai juga orang sedang gigih mendakinya bahkan menuruninya pun. Pemandu memberitahu beliau pernah sekali mendaki gunung itu dan dapat menyelesaikannya dengan susah payahnya. Beliau tidak memperakukan rombongan kami untuk berbuat demikian. Tentulah kerana cabaran yang dihadapkannya.
Aku teringat juga membaca sebuah buku yang menyentuh perkara ini. Penulis buku itu, yang mengikuti sebahagian kecil rombongan yang dibawanya, begitu menyesal kerana terlanjur menyertai mendakinya. Sebab utamanya kerana kesukaran untuk mendaki dan menuruni gunung itu. Terutamanya kalau melibatkan orang yang sudah berumur. Sedangkan, usaha itu bukan amalan wajib.