Umrah (6)
Pusingan tawaf ini sengaja kujauhi dilakukan dalam lingkaran dalaman. Pengalaman mengerjakan haji mengajar. Setiap kali memulai di rukun Hajarul Aswad, jemaah bersesak-sesakan sebelum beransur lega pada rukun-rukun Iraki dan Shami tetapi mulai bersesakan semula pada rukun Yamani. Adalah lebih baik untuk menyelesaikan rukun kedua umrah ini dengan tidak terlalu ghairah melakukan pusingan kecil iaitu secara mendekati Kaabah, yang setiap masa padat bahkan menyesakkan dengan saling bertolakan di kalangan jemaah.
Sungguhpun sistem membaca atau menyebut pujian terhadap Allah S.W.T. itu diatur rapi, suasana yang bersesakan telah menjadikan timbul juga waswas sama ada tujuh pusingan yang disyaratkan itu benar-benar telah dilakukan atau sebaliknya. Untuk mengatasi ketidakpastian, kami sepakat melakukan satu lagi tawaf sebagai tindakan mengesahkan sebarang syak wasangka.
Cabaran besar bertawaf ialah memastikan pengekalan wuduk. Ia menjadi wajib. Sungguhpun ada kelonggaran dalam mazhab Shafie dalam aspek ini (seperti diberitahu oleh pengkuliah Tabung Haji), lalu ia memudahkan perlakuan setiap pusingan, ternyata kejadian sentuh-menyentuhi kecil antara lelaki dan perempuan, sama ada membabitkan tangan dan lebih kerap lagi, terpijak atau dipijak kaki jemaah berlainan seks, hampir mustahil dielakkan. Untuk berpegang ketat dengan pendirian berwuduk tanpa mengarifinya tentulah sangat membebankan. Menundakan tawaf yang sedang berlangsung hanya untuk mengambil semula wuduk pastilah satu alternatif yang kurang keutamaannya.
Kami mencari tempat yang sesuai untuk melakukan solat sunat tawaf di kawasan makam Ibrahim. Ketika itu selain pentawaf, dataran Kaabah agak rata dipenuhi oleh mereka yang bersembahyang sunat, mengikut keperluan masing-masing. Kami mencari tempat masing-masing. Duduk berdekatan sesama kami tidak menjamin pengecualian kawalan atau awasan pegawai keselamatan masjid. Kerapkali mereka akan menghalang jemaah lelaki dan wanita bersolat bersama di suatu tempat yang sama, bercampur-aduk
Aku ingat beberapa ketika selepas solat sunat itu azan pra-Subuh dilaungkan. Sejam lagi azan Subuh pula menyusul. Sambil menunggu aku isikan waktunya dengan amalan sunat. Sebaik selesai solat Subuh, kami balik ke hotel untuk sarapan. Perjalanan yang panjang dan tuntutan fizikal yang hebat memerlukan kami menambah tenaga sebelum melaksanakan rukun umrah seterusnya, bersaie.
Aku mengambil pek sarapan di Restoran D’Saji menggunakan kupon yang dibekalkan oleh mutawwif. Kami makan di meja yg tersedia. Kupon-kupon juga digunakan untuk waktu-waktu makan tengah hari dan malam. Sedikit istimewa berbanding waktu-waktu tengah hari dan malam, sarapan pagi diiringi dengan secawan teh tarik. Rasanya setanding dengan yang boleh dinikmati di Malaysia. Pun, kami tidaklah sangat mengirakan keenakan atau kelazatan habuan. Asalkan hidangan itu wajar dan boleh mengalaskan perut, maknanya memberikan tenaga yang mencukupi untuk mengerjakan ibadat, itu sudah sangat memadai. Aku ingat bekalan yang disediakan itu tidaklah jauh berbeza dengan apa yang kami nikmati ketika bermuassasah dengan Tabung Haji belasan tahun yang lalu. Seperti juga ketika mengerjakan ibadat haji itu, sikap kami terhadap bekalan yang disediakan ialah “bersyukur” dan penuh kerelaan. Ya, kami datang untuk beribadat dan semua yang lain tidak setara dengan keutamaan ini.
Kami tidak berehat selepas sarapan. Larangan berihram yang ketat tetap memandu tingkah laku kami. Ia menggesa rukun-rukun umrah diselesaikan secepat mungkin. Kami kembali semula ke Masjidil Haram dan kemudian menuju ke Bukit Safa untuk memulaikan rukun Saie. Ramai juga jemaah yang sedang bersaie waktu itu. Untuk mengisi rukun ini aku menggunakan sepenuhnya doa-doa yang termuat dalam “Risalah Kecil Mengandungi Doa-doa di Tanah Suci” terbitan Tabung Haji tahun 1986 (cetakan kedua belas). Mentertibi panduan itu sekali gus mengelakkan timbul kewaswasan menyempurnakan tujuh pusingan yang disyaratkan. Kadang-kadang ketika melalui laluan berlampu hijau di kedua-dua arah, terimbau pula kisah Siti Hajar berlari-lari anak di lembah yang kering kontang ribuan tahun dahulu. Terkesan dan mengharukan juga di hati. Betapa bermaknanya peristiwa itu sampai diangkat martabatnya menjadi rukun yang sekali gus mengagungkan kebesaran Tuhan oleh para hambanya .
Bersaie tidaklah kuanggap lebih mencabar berbanding bertawaf. Tempat berulang-aliknya lebih selesa. Laluan di latar bawah semuanya berhawa dingin, teduh dan penuh bergema lagi mengujakan. Kami memasang niat di garisan permulaan yang ditandakan di Bukit Safa. Kemudian berdoalah kami mengadap Kaabah dengan mengangkat kedua-dua tangan sambil menyebut “Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillahilhamd”. Dari situ kami berjalan secara sedar dan khusus ke Bukit Marwah. Kuperhatikan ada kelompok jemaah yang berdoa secara nyaring, mengikuti ketua atau pembaca doanya. Lebih ramai yang membaca doa secara bersendirian. Bahkan, ada juga yang hanya berlenggang santai seakan bersiaran. Masing-masing memperagakan tahap penglibatan peribadi dalam beribadat.
Aku dan isteri tidak membenarkan suasana gema keriuhan, kehingaran para jemaah menyelewengkan hasrat beramal. Keramaian jemaah hanyalah menjadi latar yang menghidupkan lagi semangat memaknakan kehadiran kami. Ia tidak sama sekali melekakan daripada niat melakukan sepenuh hati. Aku penuh sedar hakikat ini. Aku menghayati doa-doa yang dibaca. Teks yang digunakan ialah terjemahan bahasa Melayunya. Kukira ia menjadi lebih berkesan berbanding membaca teks bahasa Arabnya. Ia secara langsung meletakkan aku ke tahap kekerdilan paling kenit berbanding dengan keagungan Allah S.W.T. Sungguh menjelira dan kadang-kadang menusuk kalbu. Serentak itu, aku sentiasa mengingati sejarah peristiwa yang menjadikan rukun ini sebagai satu syiar dalam peribadatan seorang jemaah umrah (atau haji). Selain mengaminkan apa yang kubaca, isteriku juga membacakan sendiri doa-doa dalam buku yang dibawanya, pada luang-luang waktu yang tersedia. Nyata R lebih serius melakukan amalannya. Aku senyap-senyap mengakui.
Setiap kali selesai satu pusingan kami berhenti sekejap di bukit batu yang masih ada dikekalkan, terutama di Bukit Marwah. Ramai jemaah terutama wanita, yang duduk-duduk di atas bukit itu. Tidak banyak ruang tersedia untuk kita berpijak dengan selesa di situ. Ramai juga jemaah yang bersolat sunat sekitar bukit itu. Tentulah mereka telah selesai melakukan Saie.
No comments:
Post a Comment