Friday, 2 June 2017

Umrah (3)

Umrah (3)
Mutawwif datang memberitahu bahawa pesawat telah menghampiri Miqat. Para jemaah sudah boleh memasang niat mengerjakan umrah dan berihram dengannya. Aku melakukan sewajarnya. Takut juga terlupa melakukannya langsung mencacatkan amalan. Kami diperingatkan bertalbiah. Sememangnya aku telah bersedia melakukannya walaupun bersendirian dan perlahan-lahan dalam nada suara yang rendah, hampir didengari sendiri. Yang sangat kuutamakan ialah mengingati senarai larangan ketika berihram. Aku mahu umrahku sekali ini yang paling baik mampu dilakukan. Sudah dua bulan kami suami isteri merancangkannya. Sudah banyak persediaan dan amalan peribadi selama itu kami pertingkatkan.
Kami sudah biasa bangun malam, bersolat tahajjud, taubat, hajat, berwitir dan lain-lain. Aku pun tidak ketinggalan ke masjid, pada awal waktu, bersolat Subuh dan juga Maghrib. Setiap kesempatan itu aku melakukan pelbagai solat, doa, zikir, membaca al-Quran dan seumpamanya. Aku pun biasa juga dengan solat Duha. Dengan aktiviti amali itu kami berharap perlakuan dan ibadat di Mekah dan Madinah kelak tidaklah suatu yang mendadak atau tiba-tiba atau luar biasa.
Banyak juga buku-buku pengerjaan haji dan umrah yang kubaca. Bahan-bahan yang berkaitan bidang itu memang telah sedia terkumpul ketika kami mengerjakan ibadat haji pada tahun 2001 dahulu. Aku bahkan membeli juga bahan-bahan bacaan yang baharu yang berupa travelog haji dan umrah oleh beberapa penulis tempatan. Pengalaman mereka memang berguna untuk dijadikan panduan dan perbandingkan. Kami pun sempat juga menghadiri kuliah umrah, sebanyak tiga kali, satu di Shah Alam dan dua kali di Ibu Pejabat Tabung Haji.
Bukan sahaja aspek itu diberi penekanan. Aspek lahiriah atau fizikal tidak ketinggalan. Aku berlatih bersenam di halaman rumah, di taman berdekatan, bahkan berbasikal dalam jarak yang agak jauh dan lama. Pengalaman mengerjakan haji dahulu memandu persediaan untuk ibadat umrah ini. Bahkan kerana pengalaman itulah menjadikan persediaan berumrah ini lebih daripada yang dilakukan semasa menghadapi ibadat haji tersebut.

No comments:

Post a Comment