Friday, 2 June 2017

Umrah (9)

Umrah 9
Rutin mengerjakan haji dahulu ialah berehat selepas selesai solat Subuh. Kami akan balik ke tempat penginapan. Kami bersarapan pagi dengan pek yang disediakan. Tidur seketika sehingga bangun, mandi dan kembali ke Masjidil Haram pada kira-kira 11-11.30 pagi untuk solat Zohor. Selepas itu kami akan kembali semula ke hotel untuk makan tengah hari dengan pek makanan yang disediakan. Selepas berehat seketika di bilik penginapan, kami akan ke masjid semula untuk solat Asar. Bergantung kepada keperluan, kami mengambil sedikit waktu untuk “shopping” (sebenar atau melihat-lihat atau sekiranya tidak, kami akan kekal beriktikaf di masjid) sebelum bersedia untuk ke masjid bersolat Maghrib dan Isya’. Selesai solat Isya’ kami akan kembali untuk makan malam dan tidur sebagai persediaan bangun awal, kira-kira pukul 2 pagi, mandi dan menuju masjid semula pada kira-kira pukul 3 pagi, beramal ibadat malam sebelum menjelang waktu Subuh.
Demikian adalah pengalaman yang berharga. Masih kami ingat walaupun sudah berlalu 16 tahun . Kami yakin ia boleh dijadikan panduan.
Tetapi kedatangan berumrah kali ini sedikit berlainan. Kami sebenarnya lebih bersedia. Dari segi jasmani, aku menjalani latihan tertentu seperti berbasikal dan bersenam dua tiga jam sehari, beberapa hari seminggu. Aku juga bangun awal, pada sepertiga akhir malam untuk bersolat malam. Aku melakukan solat-solat tahajjud, taubat, hajat, dan witir. Kemudian aku akan ke masjid lebih awal, bahkan mendahului para jemaah yang lain.
Selepas solat tahiyyattul masjid, aku akan melakukan zikir, menghafal doa-doa sehingga azan Subuh dikumandangkan. Kemudian aku akan bersolat sunat fajar. Di rumah hampir setiap hari aku kerjakan solat Duha dan menyusulinya dengan amalan doa harian seperti yang termuat dalam buku terbitan JAKIM (cetakan keempat, 2002, 122 halaman).
Semua amalan itu kupelajari daripada buku-buku dalam koleksi peribadi yang banyak juga jumlahnya. Selama ini tersimpan dan kebelakangan ini sering menjadi rujukan harian.
Maka berumrah kami bukan sekadar mendatangi Tanah Haram dan beribadat ala kadar, secara memberati lahiriahnya sahaja. Kedatangan kami lebih bertujuan khusus lagi. Kami hendak mengisikan waktu-waktu yang singkat di Masjidil Haram, di Tanah Suci dengan sebanyak-banyak amalan. Gandaan pahala yang dijanjikan tidak mahu kami persiakan. Apalagi, kami kini sudah tergolong warga emas. Masa yang berbaki tentulah tidak sepanjang mereka yang lebih muda usianya. Amalan kami seharusnya benar-benar berisi kualiti di samping kuantiti.
Begitulah kami. Rutin ketika mengerjakan haji kami ulangi, bahkan perbaiki. Hasrat “berbelanja”, walaupun tidak diketepikan langsung, telah banyak sekali kami kendurkan. Pergaulan dan perbualan yang membazir dan melekakan kami elakkan sebijaksana mungkin.

No comments:

Post a Comment