Umrah 22
Hari Jumaat
Pada hari keenam kami masih di Mekah. Dan hari itu ialah hari Jumaat, 28 April 2017. Dari cakap-cakap orang yang kudengar hari ini Masjidul Haram akan menjadi lebih sesak daripada hari-hari lain. Orang-orang tempatan sendiri akan keluar beramai-ramai mendatangi masjid. Oleh yang demikian, seseorang perlu pergi ke masjid lebih awal supaya tidak sukar mencari tempat untuk solat Jumaat.
Aku tetap melakukan rutin seperti pada hari-hari yang lain. Pukul tiga pagi sudah siap meninggalkan bilik untuk ke masjid. Apabila di ruang solat pilihan, aku berqiamullail secara bersolat sunat tahajjud berserta zikir dan doanya, dan membaca buku salawat nabi. Selepas selesai solat Subuh dan solat jenazah aku balik ke hotel dan bersama-sama R singgah bersarapan di Restoran D’Saji.
Kami balik berehat di bilik masing-masing sambil aku mengingatkan R supaya keluar awal untuk berjumaat kelak. Di bilik aku akan mengambil sedikit masa berbual-bual dengan rakan-rakan yang ada. Nanti ditanggapi egois kalau tidak bermesra langsung dengan mereka. Itu harus dielakkan. Kemudian, selepas tempoh masa yang munasabah, aku memohon pelepasan untuk ‘tidur’ seketika.
Dari bilik hotel, kami boleh melihat sebahagian suasana dan aktiviti di dataran dan masjid. Kita boleh nampak orang ramai yang lalu-lalang di dataran, dan boleh juga kita lihat pekerja-pekerja masjid membersih lantai dan menghamparkan permaidani di tingkat paling atas (lantai bumbung) untuk menampung saf-saf bakal jumaah fardu Jumaat nanti. Pada hari-hari biasa aku tidak melihat kerja-kerja demikian dilakukan (ataukah aku tidak perasan?). Aku sendiri belum pernah menjejak kaki di tingkat itu walaupun pernah hampir terlajak menaiki eskalator memasuki pintu pada suatu tengah hari menjelang waktu Zohor, tetapi mendapatinya kosong. Suasana di dataran Kaabah boleh kita saksikan secara langsung melalui TV yang terpasang dalam bilik.
Seorang dua rakan sebilik pernah bersolat Subuh di tingkat bumbung itu kerana lewat datang. Ruang-ruang lain telah ditutup kerana dipenuhi jemaah. Aku tidak pernah mengalami situasi itu kerana sentiasa mendatangi masjid ketika semua tempat masih sangat lapang.
Lebih kurang jam 10.30 pagi aku sudah mulai bersiap-siap. Pada pukul 11 pagi aku sudah mulai keluar bilik untuk ke masjid. R tidak menjadi rakan beriringan kerana kami telah bersefahaman berdikari. Masing-masing harus bebas, dan menggunakan budi bicara untuk menjaga diri. Pengalaman dahulu dan beberapa hari lepas mengajar kami untuk meneruskan kaedah yang terbukti paling bererti ini. Bersyukur aku kerana R tidak seperti isteri-isteri orang lain! Tetapi di luar masjid, dalam aktiviti bukan ibadat kami sentiasa bersama-sama. Ya, aku suami dan beliau isteri yang disayangi dalam hati.
Dalam masjid suasana tidak sangat berbeza berbanding hari-hari yang lain. Apabila kian menghampiri waktu solat, jemaah seperti lazimnya juga bertambah sampai melimpah. Ruang solat Jumaat yang kupilih ialah tempat kegemaran; Tingkat 1, dewan solat terbuka yang mengadap Kaabah. Tetapi aku masih ingat pada suatu Jumaat ketika mengerjakan ibadat haji dahulu, pernah tersalah menjangkakan kehebatan jemaah Jumaat sehingga begitu sukar mendapat tempat menyelitkan diri bersolat. Aku ingat sampai tertiru sebahagian jemaah negara-negara tertentu yang sedikit lasak dan agresif meneroka ruang solat yang kelihatan padat. Bukan tidak lazim melihat bahu-bahu jemaah dilangkahi untuk sampai ke destinasi yang dilihati menyediakan ruang berdiri. Tetapi itu pengalaman yang aku tidak mahu mengulangi lagi kali ini.
Solat Jumaat didirikanlah. Sebaik selesai solat jenazah para jemaah berundur keluar. Aku menjadi satu titik kecil dalam lautan bergelombang para jemaah, dalam kes ini di pintu King Fahd, mengakuri arus raksasa keluar menuju ke hotel. Tidak hairan lagi, arus lelaki perempuan bercampur-aduk berterak-terak namun tertib dipandu kefahaman tetap melakukan amalan dan menjauhi kemaksiatan. Dalam keadaan demikian beg sandang, sarung selipar ada fungsinya, iaitu memisahkan, menghalang sentuhan dan kebatalan wuduk seseorang.
Kesesakan beransur melapang tetapi di hadapan, di dataran masjid, selautan jemaah saling berselisihan menuju destinasi masing-masing. Mentari yang memancar garang hampir menyempitkan mata oleh habanya yang menyerang.
Begitu pun aku dan R tetap berjumpa di tingkat 2, menikmati hidangan Restoran D’Saji. Botol air zamzam dalam beg sandang melengkapkan komponen makan tengah hari itu.
No comments:
Post a Comment