Umrah 12
Selesai solat Asar, aku mencari-cari R dan mujurlah dapat kami bertemu pada titik yang dijangkakan. Lantas kami mengambil laluan ke Bukit Safa untuk bersaie. Jarak perjalanan itu sekitar 100 meter. Ramai juga jemaah sedang bersaie ketika itu. Gema mereka bersaie menerawang mengisi ruang di tingkat bawah itu.
Sebaik tiba di garisan permulaan, kami berniat memulakan Saie di Bukit Safa. Kami kemudian menaiki bukit Safa dan berdiri sambil mengangkat dua tangan ke arah Kiblat yang kelihatan dari situ sambil membaca, “Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillahilhamd” seperti dituliskan dalam buku panduan yang dibawa.
Rukun bersaie nampaknya agak bersantai dilakukan oleh sebahagian jemaah. Sebaliknya, kami tidak melakukan begitu. Sekali-kali tidak kami meringankannya. Walaupun dalam mengerjakannya kami sempat memerhatikan perlakuan para jemaah lain, kekhusukan saie seboleh mungkin kami pelihara. Setiap pusingan kami berdoa dan setiap kali tiba di Bukit Marwah kami berhenti dan berdoa lagi.
Sungguhpun ramai jemaah yang bersaie secara kumpulan aku tertarik dengan satu kumpulan jemaah Arab, yang boleh jadi daripada Mesir. Kumpulan ini berjumlah sekira-kira 25-30 orang, lelaki dan perempuan. Mereka bergerak secara teratur berbaris lancar menyelesaikan pusingan. Mereka dipimpin oleh seorang ketua yang membacakan doa dalam bahasa Arab secara sepatah dua setiap kali sebutan. Para pengikutnya akan mengulangi dengan suara yang nyaring. Paduan suara jemaah lelaki yang timbul dengan keparauan yang merdu, bagiku sangat memukau. Bacaan mereka menjadikan aku sekali gus mengingati kebesaran Allah SWT. Aku tidak sempat menyaksikan mereka menghabisi rukun tersebut kerana lebih dahulu menyelesaikan Saie kami.
Selesai bertahlul kami bersolat sunat di Bukit Marwah. Bagiku tertunailah sudah hajat mengerjakan badal umrah untuk arwah ayahku. Kami berdua kemudian berjalan keluar untuk balik ke hotel. Adalah lebih selesa untuk membersihkan badan dan menyalin pakaian bagi bersolat fardu Maghrib yang tidak lama lagi bakal menjelang.
No comments:
Post a Comment