Thursday 19 September 2013

Tentang Kamus dan Buku

Tertarik membaca rencana Muhammad Haji Salleh, (Sasterawan Negara), “Pemburu Kamus di Belantara Buku’, Dewan Sastera, Ogos 2013, muka surat 44-47. Tetapi, malunya untuk menonjol diri dan tidak pula berhasrat sebesar hama dibandingkan dengan beliau kerana kekerdilanku yang nyata. Cuma, cerita beliau, menyelongkar pustaka dan sumber dunia kerana mencari dan mengumpul kamus-kamus yang langka sedikit mengena dengan perlakuanku yang juga agak lama, walau tidak selebar jalar tokoh sastera ini, alam penerokaannya. Biarlah nama tidak setara. Namun, terasa hendak memberitahu tabiatku yang hampir serupa, mengumpul kamus, termasuk dalam bahasa-bahasa yang tidak kufahami, dan tanpa pula digera oleh maksud yang bermakna seperti Profesor Emeritus itu, yang menjalankan “…kajian dan terjemahan karya lama dan baharu.” (muka surat 47) sedangkan aku hanya sekadar pengumpul tanpa menerbitkan apa-apa karya, dari sumber-sumber yang ada.


Baca lagi, “Selingkar Bundaran Kata”, rencana Muhammad Haji Salleh (Sasterawan Negara), “Dunia ialah Sebuah Buku: Asia”, Dewan Sastera, September 2013, muka surat 41-45. Dalam ‘kedai buku’ rak Malaysia disebut beliau judul-judul: Sulalat al-Salatin, Hikayat Hang Tuah, Taj al-Salatin… dan diakhiri dengan, “Namun begitu, rak sastera kita tidak besar dan hanya satu sahaja. Mana pergi yang lain-lainnya? Terutama buku lama. Siapakah yang menyimpannya? Mungkin yang mencetak tidak berminat untuk menjual. Inilah masalah yang berlaku hanya di Malaysia, dan tidak di negara lain!” Kemudian banyaklah buku negara-negara Asia yang lain yang dinyatakan nama pengarang serta karya mereka, secara relatif, lebih menyerlah dan sekali gus memudari wajah dan pencapaian kreativiti semasa kita. Kecorotan ini seharusnya mendera dan memutarligatkan jentera minda dan sehaluan melihat semula pelan induknya, jika ada.

Reaksi terhadap cerpen "Wajah-wajah Senja"

Senja sangat lazim disajakkan tetapi kurang kerap menjadi tajuk cerpen. Sementelahan melintasi “Wajah-wajah Senja”, karya teman fbku A.F. Yassin, Mastika, Ogos 1984, muka surat 129-133, kupetik aspek-aspek senja yang difokusi beliau (Ahmad Fadzil Yassin). Pak Ucu, bekas anggota polis khas, tinggal di kampung dan memenuhkan masanya dengan mengail. Berusia hampir 60 tahun, beliau diajak berkuli di ibu kota tetapi sedar sendiri tidak lagi bersedia mencabar Kuala Lumpur lalu kembali ke kampung, “kembali asyik dengan kailnya.” Teman fbku mengakhiri cerita dengan, “Apabila senja tiba Pak Ucu pun terkenangkan dirinya yang turut bersama senja, sesudah lama dimakan usia. Dia semakin pasti Kuala Lumpur selama seminggu tidak memerlukan senja mengusik keperkasaannya.”

ASKAT: Benarlah sejak dulu lagi, usia “hampir menjangkau enam puluh tahun”, “…bermisai putih”, dianggap dikelubungi senja. Dari segi pemandangan, senja sentiasa diperlihatkan sudut-sudut keindahan suasana alamnya yang memukau, membuktikan keagungan Ilahi , tetapi bagi manusia, senja adalah peringkat mengingati kedatangan yang pasti. Cerpen ini kusentuhi lantaran ini.

Doa Perkahwinan Dua


17 September 2013 at 11:26
******
Ya Allah, Ya Tuhan kami
sempena majlis yang tidak  sepertinya
di serambi rumahMu ini
majlis meraikan ikatan murni
sebagai suami dan isteri
putera kami, La Hami
dan puteri sahabat kami, Rismayanti
kami hamba-hambaMu,
dengan sepenuh-penuh khusuk dan tawadduk,
menadah tangan bersama-sama
memohon ke hadhiratMu
kami pinta restu perkenanMu
kami pohon limpah kurniaMu
semoga pasangan ini;
La Hami, yang pamitan alam keterunaan dan
isteri beliau, Rismayanti yang melambaikan perpisahan dunia kedaraannya
masing-masing, dengan rahmatMu,
sepakat hati menjalani   kehidupan  baru
lagi berlainan
tetapi lebih bererti
menjadi insan-insan yang bertanggungjawab
memikul tuntutan asasi manusiawi
semoga mereka berdua
menjadi insan-insan dewasa yang matang
berfikiran bernas dan tajam
tahu mengendalikan urusan penghidupan di dunia
yang penuh dugaan dan cabaran
berkerjaya kekal serta beroleh pendapatan halali berpadanan
demi menyara kehidupan bersuami-isteri
dan keluarga sendiri  bakal menyusuli
mengamalkan  semua suruhan dan perintahMu
dengan sepenuh-penuh ketakwaan,
bagai selayaknya insan-insan yang soleh dan solehah
tiada terlintas pun sehama ingatan untuk bertindak jahil,
melakukan larangan  yang dimurkaiMu
hindarilah semuanya yang demikian,
yang menyesat, merugi, melorong kecacatan anutan
semoga terbenih dan mercup subur kasih sayang
dan kemesraan antara mereka berdua
dalam alam berumahtangga yang baru bermula,
seyogianya berkekalan selama usia
jauhilah pertelingkahan dan ketidaksefahaman
yang boleh mengusutkan jalinan ikatan
yang direstui keluarga mereka berdua,
yakni kami semua
biarlah asam garam perhubungan,
cabaran yang dihadapi mereka semuanya
demi menggembleng jaringan hubungan bermakna,
membawa faedah bersama 
walau sezarah sekalipun pengalaman suka duka,
tiada maksud berbeza kecuali  tetap menuju ke arah kebaikan,
bukan keburukan yang memporakperanda,
lagi tidak  membahagiakan. 
Ya Allah Ya Tuhan kami
Kau telah memberi rezeki yang berlimpahruah kepada kami,
sewajarnyalah hasrat kami agar demikian berterusan;
kesihatan dengan keafiatan yang berpanjangan, agar sentiasa dalam kesejahteraan
akal yang cergas dengan melorongkan pemikiran yang memanfaatkan, sepasangan, sekeluarga bakal mendatang, beranak cucu mewariskan zuriat yang dianugerahi Ilahi barakah seketurunan
semoga mereka berdua saling bertolong-tolongan, berkemesraan,
berat sama dipikul, dijinjing sama juga pabila ringan 
cekal menghadapi gelumang masalah,
bijak menyelesaikan dengan tabah
berpandu ilmu pengetahuan, iman dipegang,
serta berkat amalan tidak berkeputusan
sentiasa menjauhi segala gejala pembaziran, kemaksiatan,
angkara mereka yang sesat
lupa matlamat  muktamad kehidupan.
Ya Allah Tuhan Semesta Alam, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
tunjukkanlah kepada putera dan puteri kami,  La Hami dan Rismayanti, lorong-lorong penghidupan pasangan misali,
suami isteri yang telah mencapai kejayaan di dunia,
dan insyaAllah, di akhirat nanti,
semenjak zaman berzaman;
Mereka itulah teladan
sewajarnya jadi ikutan
jauhilah putera dan puteri kami,
terjerumus ke lembah penghidupan,
mereka yang telah menerima kerugian, keruntuhan
kerana jahil lagi dipandu nafsu tanpa menentu,
tanpa runtunan ilmu dan iman.

Ya Allah Ya Tuhan Yang Maha Pemurah
kabulkanlah doa kami;
La Hami menjadi, suami, bapa, ketua keluarga yang dibina ini, yang sentiasa soleh dilimpahi barakah
Rismayanti menjadi isteri, ibu dan teman sejati sehaluan, yang solehah sentiasa bersama setimbal selangkah
demi keredhaanMu jua.
*******
Kampung Tunku
13 September 2013, Jumaat.

Pantulan ke Atas Beberapa Puisi

Sajak teman fbku, Azmi Yusoff, “Pengabdi Alam”, Sarina, Februari 1977, muka surat 43 ditatapi. Hanya satu perutusan jelas menyata, iaitu kegigihan menghadapi cabaran hidup berbekalkan pengalaman pahit setelah menemui kegagalan pada peringkat awal (“rebah terguling”). Memang anak muda itu bangun semula. Tetapi aku sedikit terganggu apabila, redahan jalanan hidup yang menyusuli dilakukan “… dengan angkuh” sehingga “menjadi abdi alam yang rela”.

ASKAT: Telah 37 tahun berlalu, mengambil kira realiti semasa, prinsip hidup itu barangkali masih sesuai dalam melangkahi ranjau abad baru yang yang tidak sedia menyedekahi keselesaan atau kenikmatan kepada pengemis atau penadah habuan selagi ia tidak membuktikan kegigihan dan kesanggupan bertarung dan berkorban setanding seorang perwira waja. Semoga, pengabdian di dunia melorongkan anak muda itu kemudian menuju pula ke alam satu lagi, yang baqa, yang menuntut ia melengkapi diri dengan bekalan yang disyarati di sana.

Nota: Lihat juga antologi “Dua Alam”, muka surat 18, memuatkan sajak yang sama.

Salah satu sebab saya baca sajak ialah kerana kebolehannya menterpingakanku; oleh susunan kata-kata yang membina kalimat sedang serentak itu terselit juga isu yang terasa nyata tetapi, ya, tidak pasti, bahkan mencetus tanggapan berasosiasi peribadi, sendirilah memahami. Beberapa teman fbku ada bakat ini, seorang daripadanya ialah Sutung Umar RS. Telitikan sajak beliau, “Puisi Tentang Suatu Petang”, Mastika, Ogos 1984, muka surat 114. Latar alam yang disimbah ke kanvas bahasa bersimpul erti adalah luas dan lantaran itu aku tersedar kembali sebenarnya sedang menghirup udara buana yang membentang, seakan tiada hadnya. Begitu, hakikatnya kehidupan yang kita nafasi penuh diunsuri ‘tak semuanya indah-indah belaka’, kecamukan, pertentangan, hitam putih, bukan satu dimensi, seperti kalimat “…. melupakan penat”, “.. lelah”, “ …keberanian terpendam jauh”, dan “nikmat dan sakit sekali gus”. Kesan yang ditinggalkan oleh sajak ini, keterasaan bahawa diri pernah juga mengalami pengalaman pengarang, sebahagian disebutnya, “… ketawakan nostalgia/dan kebodohan yang telah lalu.”

ASKAT: Sudi-sudikanlah, ketika langit memuntahkan cecairnya dan minda pun menuntut perahan bermakna, berbanding tanpanya.

Lama sudah tidak terserempak karya temanku. Sajak beliau “Kisah Kehidupan Seorang Lelaki”, Sarina, April 1977, muka surat 123 tiba-tiba muncul. Sekitar tahun-tahun itu, penghijrahan sering diusulkan kepada seseorang lepasan sekolah menengah yang memiliki kelayakan ‘serba salah’ demi memperbaiki situasi semasa ke arah yang lebih baik, berbanding dengan penghidupan di desa sendiri. Dalam konteks sajak teman fbku, M Jusoff Taib ini, kesukaran penghidupan kampung (“tenang tenteram di sini penyalibmu”) mencetuskan semangat atau menjadi penyebb pemuda berhijrah ke kota. Pemuda itu, meninggalkan “bajak tua’’, “ladang kering”, “berputus kasih” dengan harapan meraih habuan menuju kebahagiaan. Di medan baru itu sedarlah ia bahawa “…perjuangan/tak habis…”. Ada tekad dinyatakan terang-terangan, mengakhiri sajak, “Inilah hambaMu di bumi cabaran”.


ASKAT: Tahun 1970-an dan dekad-dekad yang menyusuli, adalah tahun-tahun perjuangan. Keterbelakangan kaum pribumi adalah merata, di desa dan juga di kota. Tanpa bekalan ilmu di dada, pengongsi kota bermula dengan menjawati “buruh”. Dengan pengalaman yang pahit maung dan menggetirkan perasaan pendatang kota mendewasakan diri dan jika bertuah badan, gigih berjuang, pantang berundur walaupun diasak halangan sepanjang jalan boleh bernafas sekadar terlepas dari kecundangan, mendapat rezeki sekadar mengelak kematian. Hakikatnya, kejayaan adalah cerita yang jarang-jarang, kerana ilmu pengetahuan atau pelajaran tinggilah lebih menjamin kejayaan bagi merealisasikan “… sebuah bangunan/penuh angkuh menonjol ke langit”. Generasi dahulu, telah mengalaminya. Semoga generasi baru tidak sengsara mengulangi cerita lara, tanpa bekalan sepada-padanya.

Tuesday 3 September 2013

Draf Pantun Tak Jadi … di Chini

Pada 22 Disember 2012 telah saya tampalkan di laman ini enam rangkap “Pantun Meminang di Chini”. Pada 31 Ogos 2013, kami sekali  lagi ke Chini; untuk urusan Akad Nikah Majlis Perkahwinan pula. Dalam perjalanan, sambil memandu, kugubah pantun, dengan isteri dan anak mencatat. Pantun itu tidak  diucapkan (sebab itulah dijudulkan demikian) di majlis berkenaan. Bagaimanapun, kupaparkan juga di sini sebagai melengkapkan peristiwa bersejarah dan bermakna putera sulong kami, La Hami, yang mendirikan rumahtangga dengan isterinya, Rismayanti binti Idris.        

Draf Pantun Tak Jadi …

Selepas Subuh mengenderai kereta
Sarapan di jalanan agar bertenaga
Sampai masa tibalah semula
Menunaikan janji sekian purnama.

Patin di sungai disukai ramai
Pengusaha rajin ketawa berderai
Jalan dipilih menyelusur sungai
Tenang sungguh aman damai

Pokok palas pelbagai guna
Buat ketupat di pagi raya
Rombongan kami rapat bersaudara
Datang kemari menambah keluarga.

Di sungai banyak rakit berbaris
Bermandi manda air di renjis
Selesai sudah upacara yang majlis
Tersenyum simpul saudara waris

Musim durian manggis dan duku
Sepanjang jalan penjual menunggu
Dua keluarga sudah bersatu
Dulu tak kenal kini sebulu.

Kelapa sawit ditanam semula
Hasil lumayan tak habis belanja
Mempelai riang pengantin serupa
Bersama berdoa kekal jodohnya.

Chenor – Chini.

31 Ogos 2013.