Tuesday, 3 September 2013

Draf Pantun Tak Jadi … di Chini

Pada 22 Disember 2012 telah saya tampalkan di laman ini enam rangkap “Pantun Meminang di Chini”. Pada 31 Ogos 2013, kami sekali  lagi ke Chini; untuk urusan Akad Nikah Majlis Perkahwinan pula. Dalam perjalanan, sambil memandu, kugubah pantun, dengan isteri dan anak mencatat. Pantun itu tidak  diucapkan (sebab itulah dijudulkan demikian) di majlis berkenaan. Bagaimanapun, kupaparkan juga di sini sebagai melengkapkan peristiwa bersejarah dan bermakna putera sulong kami, La Hami, yang mendirikan rumahtangga dengan isterinya, Rismayanti binti Idris.        

Draf Pantun Tak Jadi …

Selepas Subuh mengenderai kereta
Sarapan di jalanan agar bertenaga
Sampai masa tibalah semula
Menunaikan janji sekian purnama.

Patin di sungai disukai ramai
Pengusaha rajin ketawa berderai
Jalan dipilih menyelusur sungai
Tenang sungguh aman damai

Pokok palas pelbagai guna
Buat ketupat di pagi raya
Rombongan kami rapat bersaudara
Datang kemari menambah keluarga.

Di sungai banyak rakit berbaris
Bermandi manda air di renjis
Selesai sudah upacara yang majlis
Tersenyum simpul saudara waris

Musim durian manggis dan duku
Sepanjang jalan penjual menunggu
Dua keluarga sudah bersatu
Dulu tak kenal kini sebulu.

Kelapa sawit ditanam semula
Hasil lumayan tak habis belanja
Mempelai riang pengantin serupa
Bersama berdoa kekal jodohnya.

Chenor – Chini.

31 Ogos 2013.

No comments:

Post a Comment