Thursday 15 November 2012

Sempena 1434


            Lepas sembahyang Asar semalam aku berdoa akhir tahun sendirian di rumah dan pada 6.20 petang ke masjid untuk menyambut awal Muharram 1434 bersama-sama para ahli kariah lain. Doa awal tahun dibacakan oleh Imam Kehormat Ustaz Nik Mohamad selepas bacaan Yaasin sebaik selesai solat Maghrib. Lepas sembahyang Isya’ Ustaz Rahimi Mat Saad, Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Malaya menyampaikan ceramah Maal Hijrah selama lebih kurang 40 minit.
            Intisari ceramah yang mampu ku garapi dirumuskan seperti berikut:
(a)  Tempoh masa yang  berbeza panjangnya dakwah Rasullullah s.a.w di Mekah (13 tahun) sewajarnya memberi pengajaran kepada kita bahawa aspek pembinaan peribadi, sahsiah, akhlak, kerohanian lebih sukar, penting, mencabar berbanding aspek fizikal, atau lain-lainnya yang lebih diasosiasikan dengan aktiviti-aktiviti Rasullullah s.a.w. di Madinah (10 tahun);
(b)  Apabila sudah ada kelompok yang terasuh, bertekad waja  maka mereka akan menjadi pengisi ruang dan penjamin kejayaan langkah-langkah ke arah perealisasian apa sahaja perancangan yang dilakukan;
(c)  Adalah baik seseorang berhijrah seketika dan kemudian kembali semula dengan lebih berilmu dan bijaksana untuk berkhidmat mendidik masyarakat atau kaumnya; Alam Melayu menerima manfaat pendekatan ini melalui sumbangan besar para ulama yang menuntut ilmu di Timur Tengah dan kembali mengajar atau menulis kitab-kitab untuk menyebarkan ajaran Islam di wilayah asal mereka;  
(d)  Amatlah penting menginstitusikan aspek-aspek tertentu yang sememangnya berpunca atau milik Islam  supaya agama Islam lebih gah. Sebagai contoh, senibina masjid begitu jelas mendokong dan memprojekkan keunikan dan keindahan Islam. Begitu juga, kalendar Hijriah adalah satu lagi daripada perkara-perkara yang penting boleh ditingkatgunakan supaya semua unsur atau ciri keislaman dapat disebatikan dalam budaya hidup umatnya. Jati diri Islam akan terserlah dan kian mantap dengan kita sendiri menyedari dan mengamalkan secara bersungguh-sungguh dan menyeluruh;     
(e)  Apabila memasuki 1434 bermakna setahun yang berlalu (1433) tidak akan kembali lagi. Tentulah rugi bagi sesiapa mensia-siakan masa itu tanpa dimanfaatkan. Setiap manusia telah ditentukan tempoh hayatnya di dunia. Apabila tiba masanya ia akan kembali menemui Ilahi tepat pada waktunya. Adalah sangat rugi jika hakikat ini tidak disedari dan ia terus tidak menimba potensi faedah daripada baki atau sisa-sisa usia yang masih ada.      
Nyatalah ada iktibar yang boleh diraih daripada peristiwa sejarah seutama ini. Demikian sahaja yang saya mampu ungkapkan sungguhpun sebenarnya lebih banyak yang disebut oleh ustaz tidak saya sentuh.
            Pada pagi hari pertama tahun baharu ini (bersamaan 15 November 2012), melalui TV aku menyaksikan upacara penganugerahan Tokoh Maal Hijrah 1434 kepada Allahyarham Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Meneliti riwayat hidup beliau, saya bersetuju bahawa pemilihan yang dibuat adalah wajar. Melalui jawatan-jawatan yang pernah disandang dan penglibatan dalam aspek-aspek keagamaan dan kemasyarakatan yang meliputi jangka masa yang panjang beliau menabur bakti berupa sumbangan yang bermakna kepada perkembangan dan pemartabatan Islam semasa dan akan datang.  Dengan itu beliau telah meninggalkan nama yang harum dan akan terpahat dalam lembaran sejarah negara.
            Sambil itu, pembacaanku hari ini termasuklah (kebetulan) tentang Khutbah Jumaat Warta Jabatan Agama Johor, bilangan 246, Mac 1974 bertajuk Hijrah Tahun Baru Kita tulisan Jamaluddin Hashim. Khutbah ini adalah sempena kedatangan tahun Hijriah 1394; maknanya sambutan yang berlaku pada 40 tahun yang lalu. Jadi, alang-alang menulis tentang bulan Muharam, elok juga ku nyatakan apakah yang ditulis dalam Khutbah ini iaitu:
-       “… soalan pokok dari seluruh peristiwa Hijrah itu iaitu untuk mendapatkan tapak kerana merebut kejayaan …”
-        “Kita menempuh tahun Hijrah ialah kerana mengenang peristiwa Hijrah Rasullullah s.a.w. itu sendiri yang dikira lebih penting daripada segala peristiwa penting yang berlaku di zaman Junjungan dan sahabat-sahabat dengan sebab itulah sahabat-sahabat Nabi yang mempelopori taqwim tahun Islam tidak memulakan tahun Islam itu dengan mengambil sempena hari lahir Junjungan…tetapi [memilih] peristiwa Hijrah [kerana] ada mempunyai beberapa anjuran dan contoh teladan yang amat berharga.”
-       “Semangat Hijrah itu menghendaki dan mengajar kaum Muslimin supaya mereka jangan hanya berdiam diri – menerima sahaja apa-apa nasib yang menimpa mereka sebaliknya mereka hendaklah sentiasa membuka mata dan fikiran berikhtiar sedaya upaya jika di satu-satu tempat kurang berjaya beralihlah pula ke tempat yang lain atau jika di dalam sesuatu langkah didapati tersalah atau merugikan aturlah pula langkah yang baru dengan syarat langkah yang baru itu telah difikirkan masak-masak dan meyakini bahawa kesalahan dan kerugian tidak lagi akan berulang.”
-       Dalam Khutbah itu beliau juga memetik ayat-ayat al-Quran iaitu Surah-surah al-Zariat 55, al-Ankabut 69, al-Baqarah 218 dan al-Anfal 75.     
Sekian untuk kali ini.

Wednesday 14 November 2012

Fakta Sejarah: Nikah Cerai Sejak 1960-an


Pembacaan Warta Jabatan Agama Johor, bilangan 240, September 1973 hari ini menyerempakkanku dengan satu jadual perangkaan bertajuk “Nikah Cerai Negeri Johor Dari Tahun 1964 Hingga 1972”. Ia menunjukkan perangkaan Nikah dan Cerai bagi setiap daerah di negeri Johor. Tiada analisis disertakan. Jadi saya menganalisis sendiri. Dalam tempoh 9 tahun itu jumlah pernikahan ialah 45,189 (80.9%) dan jumlah perceraian ialah 8,618 (19.1%).  ). (Rujuk: muka surat 46)    (Nota: Tiada statistik bagi Nikah dan Cerai tahun 1972 bagi daerah Muar)
Isu: Adakah situasi yang sama wujud di negeri-negeri lain atau di peringkat nasional pada hari ini (November 2012)? Kalau keadaan atau isu ini hanya sama atau lebih kurang, apakah strategi-strategi yang lebih berkesan perlu ditentukan dan  diterima pakai berbanding dengan strategi-strategi yang sedia diambil dn lapuk? 
Kalau kita kira-kirakan sejak tahun 1964 sudah 48 tahun, atau sejak 1972 40 tahun  berlalu, dan saya tidak fikir kita menapak ke hadapan dalam isu yang khusus ini. Andaikan, jika para suami yang berkahwin itu berumur 25 tahun jadi semua yang terbabit kini telah berumur antara 73 tahun paling tuanya dan 65 tahun paling mudanya yakni mereka sudah jadi datuk; sebahagian telah meninggal dunia dan banyak meninggalkan zuriat bertaraf cucu dan cicit yang berganda-ganda bilangannya. (Saya percaya para nenek pun tidak jauh  berbeza).  Keadaan yang tidak berubah membawa makna isu ini telah gagal ditangani atau  membarah parah! Bukan di Johor sahaja bahkan merata. Bolekah kita terus bersahaja sedangkan hal ini yang terutama perlu ditransformasikan?

Monday 12 November 2012

Perbandingan Lirik: Teringat "Selimut Putih"



            
Satu lagu kumpulan El-Surraya Medan yang paling popular ialah Selimut Putih nyanyian Asmidar Darwis. Saya teringat lagu itu apabila terbaca sajak Ismail Khamis, Johor Bahru dalam Warta Jabatan Agama Johor bilangan 202, Julai 1970 muka surat 23 seperti berikut:
                        “Ilmu dan Amalan

Bila menyebut sebuah kematian  
Bila Izrail datang memanggil
Seluruh tubuh menggigil
Sekujur badan di pembaringan.

Tika itu tak guna segala harta  
Sanak saudara dan wang berjuta
Hanya amalan dan ilmu sebagai teman
Mengiringi abadi dalam tubuh yang beriman.

Dari timbunan harta dan pangkat-pangkat yang agung
Hanya selembar kain putih yang digulung.”

Saya tidak dapat mengingat lagi bilakah Selimut Putih mula dicipta, mungkin lewat 1960-an!  Bagaimanapun liriknya yang masih saya ingat adalah seperti berikut:

                        Selimut Putih

Bila Izrail datang memanggil
Jasad terbujur di pembaringan
Seluruh tubuh akan menggigil
Sekujur badan ‘kan kedinginan

Tak ada lagi guna harta
Kawan karib sanak saudara
Jikalah ada amal di dunia
Itulah hanya  pembela kita

Janganlah mahu disanjung-sanjung
Engkau digelar manusia agung
Sadarlah diri tahu di untung
Sebelum masa keranda diusung

Datang masanya insaflah diri
Selimut putih pembalut badan
Tinggal semua yang dikasihi
Berbaktilah hidup sepanjang zaman

Bila Izrail datang memanggil
Jasad terbujur di pembaringan
Seluruh tubuh akan menggigil
Sekujur badan ‘kan kedinginan

Sekian dicatatkan untuk makluman.


Sejarah: Isu Berulang Lagi


Ada satu rencana dibaca hari ini hasil tulisan Haji Said Abdul Hadi 42 tahun yang lalu bertajuk Erti Kebebasan Beragama tersiar dalam majalah Warta Jabatan Agama Johor bilangan 205, Oktober 1970 muka surat 16-19. Antara lain kata beliau, “Dasar ini [“bebas menganut agamanya masing-masing”] amat membanggakan kita dan pemimpin-pemimpin kita dan tidaklah pula bertentang dengan dasar agama Islam, kerana memang dasar Islam tidak ada paksaan dalam agama, dan di zaman pemerintahan Rasullullah (s.a.w) dan Khulafar ar-Rasyidin juga ada kebebasan beragama bagi orang-orang yang bukan Islam tetapi tidaklah pula ertinya orang-orang yang bukan Islam itu boleh bertindak hingga mengancam akidah orang lain khasnya umat Islam.”
      Seterusnya kata Haji Said, “Kita hairan kenapa orang-orang Cina dan India yang datang ke negeri kita tidak memilih Islam agama bumiputera agama negara dan agama Raja kita?  Tetapi mereka memilih Kristian, sedangkan orang-orang Cina telah kenalkan Islam dan orang-orang India kenalkan Islam lebih dahulu beratus-ratus tahun dari orang Melayu.”
         Kemudian Haji Said menutup rencana itu dengan, “Kerana yang sibuk bergerak menemui semua kaum dengan segala alat-alat mission yang tersusun dan kewangan yang kuat ialah Kristian, sedangkan kita kaum Muslimin, berjuang antara kita sesama kita,  dalam masalah-masalah ilmu salah, dan masalah khilafiah.  Sepatutnya kebebasan beragama yang kita beri kepada semua agama itu ialah kebebasan beribadat dan menganut agama masing-masing bukanlah bebas hingga membahayakn kedudukan umat Islam sendiri pemeluk agama rasmi negara kita.”     

(Nota: Rencana ini memfokus kepada perkembangan Kristian dan terpengaruhnya penduduk tempatan termasuk orang-orang Melayu sendiri terhadap ajaran Kristian kerana strategi pihak berkenaan yang tersusun rapi lagi agresif. Nampaknya rencana ini masih amat relevan walaupun sudah empat dekad berlalu. Sejarah ada manfaatnya.)  

Sunday 11 November 2012

Sedutan Bacaanku: Pondok


Sekadar mencatat bacaanku hari ini (12 November 2012):
“Pendidikan umat Islam di bahagian selatan [Thailand] sungguh tidak menggembirakan, kerana mereka umat yang paling terkebelakang di bidang pendidikan kalau dibandingkan dengan umat agama yang lain, hingga sekarang belum terdapat sebuah pun sekolah menengah atau lanjutan yang didirikan mereka. …

Pondok
            Bagi umat Islam Thailand, terutama umat Islam yang tinggal di bahagian selatan perkataan “pondok” tidaklah asing lagi bagi mereka dan pondok tidaklah dapat dipisahkan dari kehidupan mereka, kerana semenjak beberapa abad yang lampau hingga sekarang pondok merupakan satu-satunya tempat mereka belajar agama. Pondok merupakan peranan penting di dalam pertumbuhan dan perkembangan agama Islam di bahagian selatan, perkataan “pondok” bagi umat Islam di bahagian selatan mempunyai 2 pengertian iaitu pondok dalam erti yang luas ialah suatu tempat pengajian yang merupakan kompleks yang mempunyai sebuah bangunan rumah di tengah-tengah dan dikelilingi  oleh rumah-rumah kecil (pondok) yang didiami oleh para pelajar di sekitarnya.  Adapun rumah yang terletak di tengah itu ialah tempat tinggal guru agama bersama keluarganya.  Guru yang mengajar ilmu-ilmu agama dan ilmu-ilmu yang berupa dasar keislaman kepada murid-murid di kompleks ini dipanggil “Tok Guru”.  Dalam menyampaikan berbagai-bagai ilmu agama kepada murid-murid ia (Tok Guru) dibantu oleh beberapa orang pembantunya yang biasanya pembantu-pembantu ini adalah murid-muridnya sendiri yang sudah beberapa tahun belajar ilmu agama kepadanya.  Tok Guru dengan para pembantunya menyampaikan ilmu-ilmu agama kepada murid-muridnya di sebuah bangunan yang disebut “balai”.  Biasanya balai ini bersambung dengan rumah Tok Guru. Tok Guru dan para pembantunya duduk bersila sewaktu menyampaikan pelajaran agama dan murid-muridnya duduk bersila dengan membuka kitab masing-masing di hadapannya. Murid-murid yang belajar agama di pondok ini dipanggil “Tok Fakih”.  Adapun kitab-kitab agama yang dipakai ialah kitab-kitab jawi yang dikarang oleh ulamak-ulamak setempat yang termasyhur yang sudah meninggal beberapa tahun yang lampau.  Diantara ulamak-ulamak besar yang banyak mengarang kitab-kitab agama  yang terkenal yang dipelajari hingga sekarang ini ialah: Syeikh Daud Al-Fathani, Syeikh Ismail Al-Fathani dan Haji Sulong.  Pondok dalam erti sempit ialah rumah-rumah kecil yang diduduki oleh para pelajar yang terletak di dalam kompleks atau kawasan yang mengelilingi rumah Tok Guru.
Menurut keterangan statistik tahun 1961 di wilayah Patani terdapat 75 buah tempat pengajian agama atau pondok, di wilayah Yala terdapat 70 buah pondok, di wilayah Narathiwat terdapat 55 buah pondok dan di wilayah Setul terdapat 15 buah pondok.
            Sistem pengajaran di pondok masih lagi digunakan cara lama, iaitu menyampaikan pelajaran-pelajaran agama, Tok Guru dan murid-muridnya duduk bersila, tidak ada sebarang latihan diberikan kepada murid dan tidak ada ujian (peperiksaan) naik tingkat, tetapi diakhir-akhir ini sistem pengajaran di pondok-pondok mulai berubah, murid-murid sudah mempunyai bangku (kerusi) duduk sewaktu mengikuti pelajaran-pelajaran agama.  Ilmu-ilmu umum mulai diajarkan sebagai mata pelajaran tambahan termasuk juga bahasa Inggeris dan ilmu bertukang di samping ilmu-ilmu agama dan bahasa Arab sebagai mata pelajaran pokok, ujian tahunan diadakan sebagai alat pengukur bagi kenaikan tingkat murid-murid.”  

(Nota: Saya petik perenggan di atas daripada rencana Che Mat bin Na, mahasiswa Thailand di Yogyakarta bertajuk Berkenalan Dengan Umat Islam di Thailand dalam majalah Warta Jabatan Agama Johor, bilangan 210, Mac 1971, muka surat 32, 33, 34 dan 45. Sekarang kita berada dalam tahun 2012 iaitu lebih 41 tahun kemudian. Mungkin ada kalangan kita hendak mengemaskinikannya. )