Thursday, 15 November 2012

Sempena 1434


            Lepas sembahyang Asar semalam aku berdoa akhir tahun sendirian di rumah dan pada 6.20 petang ke masjid untuk menyambut awal Muharram 1434 bersama-sama para ahli kariah lain. Doa awal tahun dibacakan oleh Imam Kehormat Ustaz Nik Mohamad selepas bacaan Yaasin sebaik selesai solat Maghrib. Lepas sembahyang Isya’ Ustaz Rahimi Mat Saad, Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Malaya menyampaikan ceramah Maal Hijrah selama lebih kurang 40 minit.
            Intisari ceramah yang mampu ku garapi dirumuskan seperti berikut:
(a)  Tempoh masa yang  berbeza panjangnya dakwah Rasullullah s.a.w di Mekah (13 tahun) sewajarnya memberi pengajaran kepada kita bahawa aspek pembinaan peribadi, sahsiah, akhlak, kerohanian lebih sukar, penting, mencabar berbanding aspek fizikal, atau lain-lainnya yang lebih diasosiasikan dengan aktiviti-aktiviti Rasullullah s.a.w. di Madinah (10 tahun);
(b)  Apabila sudah ada kelompok yang terasuh, bertekad waja  maka mereka akan menjadi pengisi ruang dan penjamin kejayaan langkah-langkah ke arah perealisasian apa sahaja perancangan yang dilakukan;
(c)  Adalah baik seseorang berhijrah seketika dan kemudian kembali semula dengan lebih berilmu dan bijaksana untuk berkhidmat mendidik masyarakat atau kaumnya; Alam Melayu menerima manfaat pendekatan ini melalui sumbangan besar para ulama yang menuntut ilmu di Timur Tengah dan kembali mengajar atau menulis kitab-kitab untuk menyebarkan ajaran Islam di wilayah asal mereka;  
(d)  Amatlah penting menginstitusikan aspek-aspek tertentu yang sememangnya berpunca atau milik Islam  supaya agama Islam lebih gah. Sebagai contoh, senibina masjid begitu jelas mendokong dan memprojekkan keunikan dan keindahan Islam. Begitu juga, kalendar Hijriah adalah satu lagi daripada perkara-perkara yang penting boleh ditingkatgunakan supaya semua unsur atau ciri keislaman dapat disebatikan dalam budaya hidup umatnya. Jati diri Islam akan terserlah dan kian mantap dengan kita sendiri menyedari dan mengamalkan secara bersungguh-sungguh dan menyeluruh;     
(e)  Apabila memasuki 1434 bermakna setahun yang berlalu (1433) tidak akan kembali lagi. Tentulah rugi bagi sesiapa mensia-siakan masa itu tanpa dimanfaatkan. Setiap manusia telah ditentukan tempoh hayatnya di dunia. Apabila tiba masanya ia akan kembali menemui Ilahi tepat pada waktunya. Adalah sangat rugi jika hakikat ini tidak disedari dan ia terus tidak menimba potensi faedah daripada baki atau sisa-sisa usia yang masih ada.      
Nyatalah ada iktibar yang boleh diraih daripada peristiwa sejarah seutama ini. Demikian sahaja yang saya mampu ungkapkan sungguhpun sebenarnya lebih banyak yang disebut oleh ustaz tidak saya sentuh.
            Pada pagi hari pertama tahun baharu ini (bersamaan 15 November 2012), melalui TV aku menyaksikan upacara penganugerahan Tokoh Maal Hijrah 1434 kepada Allahyarham Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Meneliti riwayat hidup beliau, saya bersetuju bahawa pemilihan yang dibuat adalah wajar. Melalui jawatan-jawatan yang pernah disandang dan penglibatan dalam aspek-aspek keagamaan dan kemasyarakatan yang meliputi jangka masa yang panjang beliau menabur bakti berupa sumbangan yang bermakna kepada perkembangan dan pemartabatan Islam semasa dan akan datang.  Dengan itu beliau telah meninggalkan nama yang harum dan akan terpahat dalam lembaran sejarah negara.
            Sambil itu, pembacaanku hari ini termasuklah (kebetulan) tentang Khutbah Jumaat Warta Jabatan Agama Johor, bilangan 246, Mac 1974 bertajuk Hijrah Tahun Baru Kita tulisan Jamaluddin Hashim. Khutbah ini adalah sempena kedatangan tahun Hijriah 1394; maknanya sambutan yang berlaku pada 40 tahun yang lalu. Jadi, alang-alang menulis tentang bulan Muharam, elok juga ku nyatakan apakah yang ditulis dalam Khutbah ini iaitu:
-       “… soalan pokok dari seluruh peristiwa Hijrah itu iaitu untuk mendapatkan tapak kerana merebut kejayaan …”
-        “Kita menempuh tahun Hijrah ialah kerana mengenang peristiwa Hijrah Rasullullah s.a.w. itu sendiri yang dikira lebih penting daripada segala peristiwa penting yang berlaku di zaman Junjungan dan sahabat-sahabat dengan sebab itulah sahabat-sahabat Nabi yang mempelopori taqwim tahun Islam tidak memulakan tahun Islam itu dengan mengambil sempena hari lahir Junjungan…tetapi [memilih] peristiwa Hijrah [kerana] ada mempunyai beberapa anjuran dan contoh teladan yang amat berharga.”
-       “Semangat Hijrah itu menghendaki dan mengajar kaum Muslimin supaya mereka jangan hanya berdiam diri – menerima sahaja apa-apa nasib yang menimpa mereka sebaliknya mereka hendaklah sentiasa membuka mata dan fikiran berikhtiar sedaya upaya jika di satu-satu tempat kurang berjaya beralihlah pula ke tempat yang lain atau jika di dalam sesuatu langkah didapati tersalah atau merugikan aturlah pula langkah yang baru dengan syarat langkah yang baru itu telah difikirkan masak-masak dan meyakini bahawa kesalahan dan kerugian tidak lagi akan berulang.”
-       Dalam Khutbah itu beliau juga memetik ayat-ayat al-Quran iaitu Surah-surah al-Zariat 55, al-Ankabut 69, al-Baqarah 218 dan al-Anfal 75.     
Sekian untuk kali ini.

No comments:

Post a Comment