Sekadar
mencatat bacaanku hari ini (12 November 2012):
“Pendidikan umat Islam di bahagian selatan [Thailand] sungguh
tidak menggembirakan, kerana mereka umat yang paling terkebelakang di bidang pendidikan
kalau dibandingkan dengan umat agama yang lain, hingga sekarang belum terdapat sebuah
pun sekolah menengah atau lanjutan yang didirikan mereka. …
Pondok
Bagi umat Islam Thailand, terutama umat
Islam yang tinggal di bahagian selatan perkataan “pondok” tidaklah asing lagi bagi
mereka dan pondok tidaklah dapat dipisahkan dari kehidupan mereka, kerana semenjak
beberapa abad yang lampau hingga sekarang pondok merupakan satu-satunya tempat mereka
belajar agama. Pondok merupakan peranan penting di dalam pertumbuhan dan perkembangan
agama Islam di bahagian selatan, perkataan “pondok” bagi umat Islam di bahagian
selatan mempunyai 2 pengertian iaitu pondok dalam erti yang luas ialah suatu tempat
pengajian yang merupakan kompleks yang mempunyai sebuah bangunan rumah di
tengah-tengah dan dikelilingi oleh rumah-rumah
kecil (pondok) yang didiami oleh para pelajar di sekitarnya. Adapun rumah yang terletak di tengah itu ialah
tempat tinggal guru agama bersama keluarganya.
Guru yang mengajar ilmu-ilmu agama dan ilmu-ilmu yang berupa dasar keislaman
kepada murid-murid di kompleks ini dipanggil “Tok Guru”. Dalam menyampaikan berbagai-bagai ilmu agama kepada
murid-murid ia (Tok Guru) dibantu oleh beberapa orang pembantunya yang biasanya
pembantu-pembantu ini adalah murid-muridnya sendiri yang sudah beberapa tahun belajar
ilmu agama kepadanya. Tok Guru dengan para
pembantunya menyampaikan ilmu-ilmu agama kepada murid-muridnya di sebuah bangunan
yang disebut “balai”. Biasanya balai ini
bersambung dengan rumah Tok Guru. Tok Guru dan para pembantunya duduk bersila
sewaktu menyampaikan pelajaran agama dan murid-muridnya duduk bersila dengan membuka
kitab masing-masing di hadapannya. Murid-murid yang belajar agama di pondok ini
dipanggil “Tok Fakih”. Adapun kitab-kitab
agama yang dipakai ialah kitab-kitab jawi yang dikarang oleh ulamak-ulamak
setempat yang termasyhur yang sudah meninggal beberapa tahun yang lampau. Diantara ulamak-ulamak besar yang banyak mengarang
kitab-kitab agama yang terkenal yang dipelajari
hingga sekarang ini ialah: Syeikh Daud Al-Fathani, Syeikh Ismail Al-Fathani dan
Haji Sulong. Pondok dalam erti sempit ialah
rumah-rumah kecil yang diduduki oleh para pelajar yang terletak di dalam kompleks
atau kawasan yang mengelilingi rumah Tok Guru.
Menurut keterangan statistik tahun 1961 di wilayah Patani
terdapat 75 buah tempat pengajian agama atau pondok, di wilayah Yala terdapat 70
buah pondok, di wilayah Narathiwat terdapat 55 buah pondok dan di wilayah Setul
terdapat 15 buah pondok.
Sistem pengajaran di pondok masih lagi
digunakan cara lama, iaitu menyampaikan pelajaran-pelajaran agama, Tok Guru dan
murid-muridnya duduk bersila, tidak ada sebarang latihan diberikan kepada murid
dan tidak ada ujian (peperiksaan) naik tingkat, tetapi diakhir-akhir ini sistem
pengajaran di pondok-pondok mulai berubah, murid-murid sudah mempunyai bangku
(kerusi) duduk sewaktu mengikuti pelajaran-pelajaran agama. Ilmu-ilmu umum mulai diajarkan sebagai mata
pelajaran tambahan termasuk juga bahasa Inggeris dan ilmu bertukang di samping ilmu-ilmu
agama dan bahasa Arab sebagai mata pelajaran pokok, ujian tahunan diadakan sebagai
alat pengukur bagi kenaikan tingkat murid-murid.”
(Nota: Saya petik perenggan di atas daripada
rencana Che Mat bin Na, mahasiswa Thailand di Yogyakarta bertajuk Berkenalan Dengan Umat Islam di Thailand
dalam majalah Warta Jabatan Agama Johor,
bilangan 210, Mac 1971, muka surat 32, 33, 34 dan 45. Sekarang kita berada dalam
tahun 2012 iaitu lebih 41 tahun kemudian. Mungkin ada kalangan kita hendak mengemaskinikannya.
)
No comments:
Post a Comment