Sunday 23 March 2014

Pantulan 32/14 sajak Ahmad Sarju, “Dalam Diri Bangsaku”

Pantulan 32/14

Dari segi semangat, nampaknya masyarakat belum banyak berubah, sedangkan kalau tahun 1970 dijadikan penyukatnya, 44 tahun sudah kita menghirup suasana, perutusan sajak ini dahulu sudah mencukupi untuk menimbulkan rangsangan dan jadilah mesejnya …. kini langka (?) ….. Maknanya, tidak perlu sajak-sajak lain dicipta mencoret mesej atau tema yang sama; sebab kita pada hakikatnya sudah dalam abad baru yang muda, generasi dahulu telah pergi, atau menua dan diganti pelapis yang kuat kuasa kudanya! ‘Malangnya’, lakaran karyawan ini tetap malar dan segar-bugar. Semasa. Ini benar kalau kita baca semula karya teman fbku Ahmad Sarju, “Dalam Diri Bangsaku”, DIAN, bilangan 63, Tahun XII, 1973, muka surat 95. Ya! Kerana kita belum berjaya di menara, bahkan dalam sebahagiannya tetap tercorot hina menjalani kehidupan di dunia, maka yang dinukilkan penyajak yang sudah terpahat nama ini harus terpakai: “kerana di hadapanmu ada padang perlumbaan/yang harus diharungi dengan kecekapan/dan berani meneguk kepahitan.” Sajak ini mudah, namun pembaca marhaen pasti lebih memperoleh faedah mental tersembunyi, jika diperjelas intipatinya seperti seorang guru mengajar di sekolah. Tiap-tiap sepatah perkataan, kalimat dan keseluruhannya boleh dikembangkan demi impak maksimum, yang kalau tidak, akan terus terbenam ditindih helaian ciptaan yang menyusuli.

ASKAT: Ataukah mereka ini tidak sesuai dirayu, digesa? Jika benar, haruskah dipaksa, disuap, dibiarkan melara? Sejarah mencatat hampir semuanya yang perlu diketahui dan diteladani atau disempadani. Belum semuakah kita membaca mengkaji dan sedar sendiri? Barangkali warwaran tidak boleh terhenti, siapapun yang memegang tali kemudi.

Nota: Sajak ini termuat juga dalam kumpulan sajak Ahmad Sarju, “Bunga Waktu”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, cetakan pertama, muka surat 49.
 — at DIAN, Bil. 63, Tahun XII, 1973.

Thursday 20 March 2014

Percikan Sipi 1/14, sajak Rudi Mahmood, “Menggulung Luluh (3)”

Percikan Sipi 1/14

Demi beralih tumpu sedetik, kubeleki lembaran lain yang tercapai di sisi. Agar tidak melencong dari amali, jangan teralih ke era kini, dan tanpa meramas rapat, terusik ralik oleh sajak berseni lagi berisi murni menuntut cungkilan mendalami, “Menggulung Luluh (3)”, Dewan Sastera, Bil. 3 2014, muka surat 75. Rudi Mahmood, sentiasa terbukti menggaru qalbu, mendera minda!

ASKAT: Aku termenung lelah/terasa indah tergubah/biarlah diredah basah mengaliri hati/nanti kujelangi sedemi erti/sejelas maknawi.
 — at Dewan Sastera, Bil. 3 2014

Pantulan 31/14, sajak Norhisham Mustafa, “Aku Belum Memalingkan Muka”

Pantulan 31/14

Di petang-petang begini, dipermantap tekad hatiku agar terus mengabdi kepada Ilahi oleh penulis tak pernah letih berbakti, Norhisham Mustafa, lewat sajak beliau “Aku Belum Memalingkan Muka”, Pengasuh, bilangan 429, Januari 1978, muka surat 26. Ternyata, 36 tahun dahulu pun cabaran menggegarkan iman sudah mercup dalam masyarakat. Para penganut agama suci terdedah goyah, mahu tidak mahu melangkah “… melewati keruntuhan begini”. Alhamdulillah, sangat teguh imannya, seperti tertonjol, “hanya kesediaan untuk setia/dan tidak memalingkan muka/akan melazatkan gegaran begini/sementara tak lagi ada dinihari.” Kita mendoakan semoga demikian sentiasa, lama manapun ruang masa yang masih terbuka.

ASKAT: Kekufuran, kejahilan, kemaksiatan, kesesatan, kehancuran, kedurhakaan dan yang setandingannya terhadap perintah Allah SWT terbukti bukan perkara baru. Sejarah menunjukkan sejak Adam a.s lagi, telah berlaku. Lama kemudian, apabila Islam berjaya mengungguli dunia, golongan yang tidak sebulu tetap ada dan saling bermusuhan, bertikai-tikaian. Apabila kekuatan Islam dihancurkan, dan musuh-musuh Islam menguasai semua segi, ditambah perpecahan tanpa henti oleh umat Islam sendiri, maka pilihan yang ada lagi ialah untuk individu Muslim sejati kembali berpegang kepada perintah-perintah Ilahi. Pun, tidak semua sanggup menghadapi, lalu lebih banyak mereka bercakaran lagi, bahkan pada abad ini, abad akal menguasai. Tentulah tidak bijaksana menolak wawasan Islam sejati. Tetapi, nampaknya sangat bergantung perjuangan jangka panjang itu kepada kekuatan diri peribadi; yang bakal menyedari tentang hikmah permuafakatan ummah, lalu bangkit dalam persatuan dan memperkukuh serba-serbi aspek yang diperlukan supaya dapat dihadapi tantangan – pada peringkat individu dan sekali gus kenegaraan, kemuncaknya di seluruh alam.
 — at Pengasuh, Januari 1978.

Wednesday 12 March 2014

Pantulan 30/14 sajak WAHBA berjudul “Kemungkaran”

Pantulan 30/14

Teman fbku yang amat jarang kujelang hasil tulisannya, WAHBA menjenguk datang dalam rupa sebuah hasilan sajak berjudul “Kemungkaran”, Utusan Kiblat, Februari 1975, muka surat 56. Beliau menebarkan kegelitaan, membayangkan bahawa 40 tahun dahulu masyarakat kita telahpun karam beransur tenggelam dalam kemaksiatan atau “kemungkaran”. Demikian, bahkan lebih awal dari itu, seperti jelas mengikut kata Wahba (Wan Hamzah Awang Wahba), "Telah lama kita jadi penderhaka”, “menubrak dada iman”. Manusia sudah lupa beribadat kerana “siang kita jadi abdi pada rezeki”, “malam kita sujud pada lumpur hanyir”, “dan terbenam sendiri”. Betapa tidak harmuni dan sucinya kehidupan dahulu, pada tahun-tahun 1970-an!

ASKAT: Kalau kita mengkaji, kita akan ketemui unsur-unsur kebaikan dalam masyarakat dan malangnya juga terjumpa dengan unsur-unsur keburukan, berlaku serentak, berleluasa – dalam erti positif dan negatif. Dalam sejarah bangsa kita menjadi penganut Islam, kedua-dua aspek ini seakan ‘maju’ berkompromi. Ada kelompok yang mendukung setiap aspek dan ada juga yang mereka dukungi tergembleng, seperti dalam melakukan ibadat, kesesatan tidak diketepikan lantaran dipengaruhi oleh anutan atau kebudayaan yang bercampur baur dengan pegangan adat atau budaya luar yang asing dan menyeleweng . Nusantara atau alam Melayu, sudah terkenal melahirkan para ulama yang tersohor, menerbitkan kitab-kitab agama yang unggul dan golongan pengikut yang taat mendukung ajaran Nabi. Tetapi sama ada pada zaman berkerajaan sendiri, atau ketika terjajah bahkan setelah merdeka pun, kebatilan tetap berterusan. Nampaknya tidaklah tepat untuk mengatakan generasi dahulu lebih maju atau jahil menjalani kehidupan berbanding dengan generasi-genarasi pada masa-masa yang lain. Kemajuan dalam teknologi tidak semestinya mengangkat martabat diri atau kemanusiaan dan begitulah bakal berterusan sampai kesudahan. Keadaan begini tidak seharusnya dihairankan kerana ia tidak muncul berkekalan hanya di sini bahkan merentas sempadan, dalam dunia Islam, di Timur, Barat, Utara, dan Selatan. Maka, yang seharusnya dilakukan ialah sentiasa menyedari bahawa kehidupan ini ada tujuan utama iaitu memperhambakan diri ke hadhirat Allah Subhanahuwataala dan semoga dengan ingatan demikian tertanam tekad untuk tidak menjadi kufur terhadap nikmat dan anugerah-Nya.
 — at Utusan Kiblat, Februari 1975.

Pantulan 29/14 sajak Azmi Yusoff, “Di Suatu Taakulan”

Pantulan 29/14

Aku tidak tahu berita terkini tentang teman fbku Azmi Yusoff. Semoga beliau sihat-sihat sahaja, insya-Allah. Pun begitu, tidak pula terhenti hasratku memantul tentang kewujudan insan setelah menghayati sajak beliau, “Di Suatu Taakulan”, Al Islam, Januari 1977, muka surat 33. Cukup mudah dan berisi pasrah. Kata Azmi, “… kita akan selamanya teruji/oleh kebesaran dan keagungan Ilahi.”

ASKAT: Kalaulah hendak dibandingkan antara Khalik dengan makhluk, perbezaan yang terserlah dalam semuanya, ya semuanya, tiada akan memberi kesan lain kecuali pengakuan jitu tentang kekerdilan diri. Malangnya, dalam pengakuan mutlak begitu pun, kerelaan untuk terus mengabdi kepada-Nya tidak sentiasa meningkat. Kadang-kadang, dalam usia yang bertambah pun, kejahilan sentiasa menjengah dan terpaksalah berazam semula untuk kembali menyerah. Inilah hakikatnya. Manusia sentiasa menduduki peperiksaan berterusan, tanpa henti. Dan alangkah bertuah dan bersyukurnya kalau ujian wajib ini kita lulusi, pada tingkat cemerlang.
 — at Al Islam, Januari 1977.

Monday 10 March 2014

Pantulan 28/14 sajak Norhisham Mustafa, “Hanya Nama itu”

Pantulan 28/14

Sajak yang berisi atau berbuah bukan pula mudah digubah. Itu sebab kita tidak sering ketemu yang begitu. Pendek atau panjang kalimatan atau rangkapan tidak jadi asas mengukurnya. Memang kerap boleh dibaca sajak yang panjang berjela(-jela) tetapi tidak tertawan hati kita, lalu meletus bosan serta-merta. Beruntunglah, ada yang dalam keringkasan patah-patah kata-katanya, kita teruja mengamati, mengunyah-ngunyahi berahi disebabkan mencuit rasa nurani. Dan sajak nukilan karyawan cekalan, Norhisham Mustafa, “Hanya Nama itu”, Utusan Kiblat, Disember 1972, muka surat 27 tidak terkecuali, termasuk dalam kategori berjaya mengilhami manusiawi. Kehadiran Tuhan Yang Maha Besar pada semua ketika, terlibat dalam semua ehwal, tanpa insan dapat terlepas dari-Nya. Begitu juga makhluk-makhluk lain - unggas mergastua dan lain-lain yang bernyawa tidak terlindung dari kudrat-Nya. Yang aku senang sekali, apabila Norhisham, menggemblengkan alam dan isinya – “pepohonan”, “burung-burung bersiul” , “kupu-kupu” menikmati “madu” , “ikan-ikan bernyanyi”, “berselamanlah”, “ke kali”. Diperkukuhi beliau lagi dengan, “fakir-fakir yang rindu”, “insan-insan yang sunyi”. Maka, jelaslah betapa berkuasa Tuhan kita, betapa indahnya dunia, betapa tersentuhnya jiwa kita oleh ke’setia”an-Nya.

ASKAT: Tidaklah tersasar, kalau saya petik maksud Ilahi, “Maka karunia manakah dari Tuhanmu,/Yang kamu (manusia) dan kamu (jin) dustakan?” (H.B. Jassin, , Bacaan Mulia, Ar-Rahmān, ayat 13, muka surat 749). Dan kalau dirujuki makna-makna Asmaul Husna maka tiadalah lagi kita akan bangga diri kerana jelas benar hinanya kita selaku hamba-Nya, sedangpun kita di bumi. Tentulah di akhirat nanti kita mengharapkan kebaikan dari limpahan rahmat-Nya jua. Adalah kewajaran yang berkekalan, bahawa sajak dengan sendirinya harus membangkitkan rasa kekerdilan diri, sekali gus menjurus langkahan-langkahan maknawi di kalangan pemberahi. Temanku telah beribadah dengan luahan rasa murni.
 — at Utusan Kiblat, Disember 1972.

Pantulan 27/14 sajak Ami Masra, “Melangkah ke Ambang Terang”

Pantulan 27/14

Teman fbku Ami Masra, mengajak kita berbakti melalui sajaknya, “Melangkah ke Ambang Terang”, Dakwah, Februari 1995, muka surat 53. Lantaran itu, kita tidak lagi harus membiarkan diri hanyut, “…termenung/termangu/dilalaikan …” Sebaliknya buatlah yang bererti “… kepada diri/keluarga, masyarakat dan/negeri”.

ASKAT: Adalah suatu yang mulia kalaulah kita dapat sebatikan nilai-nilai luhur ke sanubari. Semoga, dengan begini tercetuslah satu rasa kecintaan untuk meninggalkan pusaka yang berguna kepada kaum keluarga, masyarakat dan negara. Dalam menjalani kehidupan, semenjak kecil hingga dewasa, ada pelaburan sebenarnya ditanam oleh pihak-pihak lain di sekitaran kita. Mereka adalah kalangan warga seperti kita dan juga berupa institusi berbagai fungsinya, rasmi dan sukarela. Oleh sebab kita menjadi sebahagian daripada rangkaian yang tidak terasing, terputus atau terpisahkan maka kewajaran dalam berinteraksi tidak lain kecuali untuk membina; tidak sebaliknya, yang tiada berguna. Kesedaran tentang hal ini mudah timbul kalau kita prihatin terhadap matlamat bersama, meraih kebahagiaan hidup di dua alam, fana dan baqa. Kelalaian tentang peranan asasi ini menjadikan seseorang tidak sangat bererti kerana ia tidak bersemangat untuk berbakti dan berjasa. Kepuasan bernafas tiada sebarapa, berbanding kalau pencapaian kita dicetus oleh kebertanggungjawaban untuk sebanyak-banyaknya berusaha meninggalkan nama mewira. Tentulah peribadi yang ternama, tetap merendah diri, berubi yang berisi. Namun, hakikatnya, kebaktian memercikkan haruman semerbak dengan sendirinya, oleh sebab orang lain arif makna dan pasti menyanjunginya. Kemudian bertambah berlipat ganda pendokongnya.
 — at Dakwah, Februari 1995

Pantulan 26/14 sajak Sabariah Bahari, “Malam Adalah Sebuah Kedamaian”

Pantulan 26/14

Sebelah petang pun tidak berkurangan kesannya kerana tertancap juga maknawi karyawani. Suasana senja menemaniku mengunyah madah tergubah, bertatah indah mendakwah. Kutambahi, sekali gus mudah. Demikianlah, kali pertama kutemui sajak teman fbku, Sabariah Bahari, berjudul “Malam Adalah Sebuah Kedamaian”, Dakwah, September 1994, muka surat 53. Mudah sahaja untuk kita memahami kekesalan yang mengepit jiwa bagi seseorang hamba yang “ditusuk sembilu alpa”. Malam yang menghujung mujurlah telah “mengubati rinduku/dan aku kembali ke sisiMu”. Ketulusan cinta yang sejati insani menuntut pengabdian yang tanpa tepi, “dan titik air mengelunsur dari/mata insaf.” Ya! Walau pendek dilarik, ia cantik dan membetik. Biarlah malam menjelang segera dan hirupilah lagi dalam sunyi sendiri.

ASKAT: Dua dekad telah melambai pergi ditelan peristiwa selang berselang. Tetapi, asalkan terbukti baik yang diwariskan, pasti tetap tidak tenggelam. Apalagi kalau yang kita nukilkan ialah suara hati yang bersih murni kepada Rabbul ‘Alamin. Kita, insan yang sebenarnya lemah. Malangnya hakikat ini tidak mudah dipahatkan ke dada untuk menjadi tangkal yang sentiasa menjaga diri, mengelakkan kegelinciran ketika menuju dunia abadi. Bersyukurlah, kalau kita dapat kembali ke jalan yang lurus seperti yang selalu kita doakan lima kali sehari semalam. Sekali tersedar, berharaplah kita tidak ber’paling’ lagi. Ya, hanya tinggal beberapa tapak lagi.
 — at Dakwah, September 1994

Pantulan 25/14 sajak Norhisham Mustafa, “Peribadi”

Pantulan 25/14

Sajak kenalan lamaku, hampir 37 tahun tersiar dan tempoh yang lama tidakpun menenggelamkan perutusannya. Karyawan Norhisham Mustafa, melalui “Peribadi”, Dakwah, Jun 1977, muka surat 46 nampaknya gigih dalam menegaskan matlamat hidup. Didorongnya kita dengan, “jangan tak berani melangkah/melukis-peribadi/dengan warna dan warni budi”. Ini tiada lain selain yang dikehendaki iaitu, “kebesaran yang ditinggal di sini/pasti bergema dalam sebutan”. Betapa mulia, betapa murni, betapa unggul. Semua tahu dan tetap menyanjungi orang-orang yang sebegini.

ASKAT: Saya suka merenung dari perspektif manfaat akali; bahawa pendidikan bermaksud membangunkan peribadi agar seseorang menjadi berguna. Bila dada berisi, otak wajarlah dilatih berfikir dengan ilmu pengetahuan yang ditimba di seluruh pelusuk dan sumber. Maka pilihan yang terbuka, selagi masih menghela nafas di mayapada ini sebenarnya tidak ada kecuali bertujuan yang penuh bererti. Manusia akan mendapat faedah; baik diri sendiri, kaum keluarga, rakan taulan, dan lain-lain insan. Orang yang menggunakan minda tidak terfikir pun untuk memusnahkan. Tindakan memporakperandakan tidak selaras dengan kemurnian hasrat atau matlamat pendidikan. Tentulah aneh, seakan tidak masuk akal, jika peperangan, pembunuhan, penganiayaan dan seumpamanya masih tetap berlaku di sebalik peningkatan pendidikan yang berterusan. Apa tidaknya? Bukan rahasia lagi, kerana pelaku-pelaku kehonaran itu adalah manusia yang berpendidikan – tahu membezakan kemudharatan dan yang bukan demikian. Sangatlah beruntung kita kalau setiap orang sedar bahawa penghidupan, dalam kesementaraannya, memberi peluang atau kesempatan untuk kita berbakti atau berjasa. Cara mana hendak dilakukan bergantung kepada diri. Pendidikan, pengalaman, kemahiran akan meluangkan lorongnya dan dengan naluri yang ada bertekadlah menyahut seruan, yang tidak boleh lain daripada mengajak berbuat lantas meninggalkan kesan yang baik-baik. Dengan demikian, pada alam fana kita berbakti, nama pun harum, dikenangi. Pada alam berikutnya, janji-Nya sentiasa benar dan bekalnya tiadalah yang lain selain apa yang telah ditaburi semasa kita masih berada di sini.
 — at Dakwah, Jun 1977.

Pantulan 24/14 sajak Malim Ghozali Pk, “Suatu Malam Langit Pun Terbelah Dua”

Pantulan 24/14

Bagaimana kita hendak mengutarakan gambaran atau fenomena alam yang diporakperandakan oleh insan sendiri secara berseni? Sahabat lamaku yang gah namanya, Malim Ghozali Pk, tahu melakukan. Sungguh-sungguh mahir ia, seperti ditonjolkan melalui sajak “Suatu Malam Langit Pun Terbelah Dua”, Mastika, Disember 1990, muka surat 38. Kalau hendak mengutip ‘seni’ ia berlambak-lambak, dari kata pertama sampai akhirnya. Rangkap pertama sahajapun cukup menimbulkan ‘rasa’ dan itu sudah satu ganjaran bagiku kerana tergerak mengamatinya. Aku mengonkong nafsu rakus hendak memetik, kecuali teramat sikit, seperti, “telah terkunci siul girang saban petang”; “padang pasir dan segara bercumbu/setelah sekian zaman beradu”. Banyak lagi, melimpah-ruah tetapi silalah telaah dan teruskan melapah.

ASKAT: Malim telah mengatakan, “kalian yang memilih antara perut dan hari depan” dan seakan pasti tokoh kita ini akan hakikat akhir kerana dia tidaklah bertangguh-tangguh sebaliknya menyerbu dan meluapkan, “tinggallah semuanya”. Tidak lain sebab dilakukan demikian, kecuali mengisyaratkan bahawa masalah atau proses pemusnahan alam tidak lagi mampu disekat atau diatasi. Dan tiada pilihan untuk kita. Kita kena sehati dengan penyair peka ini; bahawa kemewahanlah yang dikejar oleh manusia, dan mereka tidak lagi takut angkara menjamu nafsu itu melelapkan mereka daripada tindakan serakah yang pasti berakhir dengan kehancuran. Bukan mereka sahaja. Termasuk kita, sama-sama sedang dan bakal menderita.
 — at Mastika, Disember 1990.

Pantulan 23/14 sajak Ladin Nuawi, “Gadisku Yang Luka”

Pantulan 23/14

Teman fbku Ladin Nuawi memuja “Gadisku Yang Luka”, Jelita, Jun 1986, muka surat 144 dengan menyusun nama kekasihnya sebegitu rupa, tegak seakan pasak menjunam dalam. Disenandungkan tanpa henti, 22 kali. Aku maafkanlah, demijiwanya yang tergoda kerana ketika itu tentulah ia masih belum 'sangat berusia'! Kecuali perulangan itu, yang kalau dideklamasikan, akan kuminta izin membaca senyap, kalimat-kalimat yang lain, tiada boleh diabaikan samasekali. Luah beliau, “pucuk yang tumbuh adalah ragu//bayang yang menimpa adalah dendam”. Yang lain, eluskanlah sendiri-sendiri. Namun, jangan sekali-kali diabaikan kalimat-kalimat hikmat; “aku kebal untuk kalah//hidup lebih bermakna dengan perjuangan”.

ASKAT: Kalau tidak semua boleh dikutip, sedikit yang termampu sudahlah boleh kita berpada. Perluaskan skop perjuangan hidup, biar matlamat yang unggul mengatasi, diutamakan. Maka kecekalan, tidak patah semangat, pantang berundur, ‘biar putih tulang’.., mewarnakan kemilauan erti kehadiran di dunia – sudah lebih mencukupi dan sesiapa yang terkenang, mengingati kita nanti, melakukan dengan penuh hormat kerana kerelaan kita yang jelas menjulang tekad. Kalaupun, ditakdirkan penghujungnya tidak seperti yang dihajati, ini tidak mencemarkan maruah. Penilaian hakiki sentiasa berpandu kepada landasan yang luhur.
 — at Jelita, Jun 1986.

Pantulan 22/14 sajak Muhd. Mansur Abdullah, “Bahasa Bonda Tercinta”,

Pantulan 22/14

Seolah-olahnya diaturkan sampai segera menjelang. Inilah sajak pertama kutemui, temanku yang gigih berkarya ini menggunakan nama seperti tertera. Sajak “Bahasa Bonda Tercinta”, Pelita Bahasa, Jun 1990, kulit dalam, tidak akan terlepas pandang kerana terletak di halaman terkedepan. Sebagai latar belakang, saat temanku bersajak, kukira bahasa Melayu sudah hampir dipuncak, di sebalik rintangan dan ranjauan di jalanan penjatidiriannya. Pun keluhan tetap jelas terserlah melalui “asap pekat kabut dari barat begitu teruk/menyelimuti ruang udara rantau ini”. Dan, siapakah yang boleh terlepas daripada merasai tempelakan beliau, “jangan ratapan kerelaan sahaja teguh bersemangat/hakiki terlerai persis manik-manik pasir” terhadap sekelompok ‘pejuang’ bahasa, 24 tahun yang lepas. Namun, positif juga temanku ini akhirnya. Dengan cekal beliau mengajak, “kita kibarkan bendera bahasa bonda tercinta/di mercu menara ternama”. Syabaslah kepada beliau (Mohd Mansor Abdullah).

ASKAT: Tetapi dekad 1990-an sehingga sekarang, situasi tidak berubah ke arah suasana lebih baik, bahkan sebaliknya. Miauan yang kedengaran sekadar mengisyaratkan bahawa jiwa bangsa ini masih tidak pupus; ada pencinta-pencintanya. Tetapi dari sejarah dan pengalaman, malangnya tercetus rumusan awal: kalau dukungan yang begitu mantap dalam tempoh 36 tahun (1956-1990) tidak berjaya menguasai penutur asalnya mencintai dan sederap bersatu menjulangkannya tanpa waswas, maka kemungkinan pemartabatannya pada masa hadapan jauh daripada lancar dan selamat. Saya tidak pesimis, tetapi realiti memampangkan gambaran-gambaran bakal menjelma. Seakan-akan kita membilang hari tentang akhiran yang pasti. Kecuali, dengan strategi dan pemantauan tidak henti-henti.
 — at Pelita Bahasa, Jun 1990.

Pantulan 21/14 sajak M. Ashikin, “Siapakah Di Antara Kita Pura-pura”

Pantulan 21/14

Lazimnya, temanku ini menggunakan nama M. Ashikin, bila bersajak, tetapi uniknya kali ini, nama lain pula, Mansor Abdullah, bukan nama penuh. Kalaulah penyair ini,Mohd Mansor Abdullah kupohon maaf dahulu kerana mengagak-agak, dengan lebih keyakinan bahawa beliau itu personaliti yang terkenal di tanahair, tiada duanya. Dengan judul “Siapakah Di Antara Kita Pura-pura”, Sarina, November 1979, muka surat 83, tergambarlah derita seorang karyawan, “seniman”. Tentulah ber”pura-pura” sifatnya, kalau “menyanyi penuh keriangan/sekalipun tangan itu mengelap peluh darah”. Pada tanggapan beliau, “itulah para seniman, abdi seni/sepanjang zaman”. Demikiankah?

ASKAT: Kalau akulah, sesuatu yang dilakukan dengan kerelaan sendiri, kuyakini akan mengganjarkan kepuasan. Kepuasan ini boleh jadi amat tinggi kerana komitmen terhadap kerja yang dipilih itu, habis-habisan, sempurna jadi dan bermutu hasilnya. Bukan lagi tanggungjawab kita hendak menentukan adakah karya itu disambut baik atau sebaliknya oleh khalayak. Aku percaya, penglibatan semampu tenaga, ilmu, dan masa yang terluang lebih cenderung bernatijah positif dan lantaran itu secara langsung (bukan lagi tidak langsung) akan membangkitkan penelitian, penghayatan, penghargaan, dan pengiktirafan, lambat-launnya. Yang sudah banyak terbukti, ada penulis yang begitu gigih, dan lama-lama terkenallah ia, lalu menikmati habuan, yang barangkali bukan matlamat asal atau utama penceburan. Kalau bukan sebab ganjaran pun seseorang berterusan menulis, berkarya dan terus pula meningkat mutu karyanya, aku pun akan berdoa semoga beliau diimbuh sampai bahagialah kehidupannya. Dan hebatnya seniman, masa hadapannya sudah terbukti abadi dipelihara oleh karya-karya yang terbukti berseni serba-serbi.
 — at Sarina, November 1979.

Pantulan 20/14 sajak Siti Zaleha M. Hashim, "Comel Anak Siapa”

Pantulan 20/14

Teman tersohor, Siti Zaleha M. Hashim, semenjak dahulu lagi membaca fakta kehidupan di dunia. Dicalitnya realiti dengan sajak bererti, “Adik Comel Anak Siapa”, Sarina, Julai 1978, muka surat 102-103. Ternampak gambaran yang saling bertentangan yang sengaja ditonjolkan. Kata Siti, “kuriba sentosamu/yang masih belum bertemu ragu” dengan hakiki yang sedang dialami, “dunia ini adik/bukan padang untuk bermain”. (muka surat 103)

ASKAT: Selalu benarlah kita melihat dan merasai hakikat hidup. Ketika kecil, yang lazim semuanya seakan indah-indah belaka. Tetapi juga, ada yang mengalami yang sebaliknya pula. Dunia remaja, dewasa berlainan pula. Kehidupan yang dilalui ketika usia hingusan bertukar rona dan jadilah penghidupan sebenar-sebenar perjuangan - terduga, sendat oleh cabaran. Ia boleh jadi indah atau hodoh, atau bercampur-baur, bersilih-ganti, senggang-bersenggang. Ada ketika gembira ria. Pada masa yang lain menderita, tercengkam jiwa oleh gendala beraneka rupa. Aku kira pendidikan dan pengalaman akan mengasuh memadai untuk membijaksanakan seseorang menghadapi cabaran hebat yang memang suatu reaaliti tidak terelakkan. Alangkah bertuah dan bersyukurnya kalau kita dicurahkan nikmat hidup dan melayari bahtera usia tanpa berpayah-alah dan kalaupun sesekali diuji pancaroba tidak patah hati kerana ketawakalan diri sebati menemani akibat persediaan yang rapi semenjak dari awal-awal lagi.

(Nota: Maaflah salinan sajak sedikit herot kerana keratan yang tidak sempurna).
 — at Sarina, Julai 1978

Pantulan 19/14, sajak Rudi Mahmood, “Masjid”

Pantulan 19/14

Agak lama tidak merasa, sulaman teman fbku Rudi Mahmood, lewat sajak. Namun bertuah tetiba bergema suaranya melalui “Masjid”, Mastika, April 1990, muka surat 39. Tidaklah perlu, tetapi kalau hendak kupilih kata-kata, “menggetar”, “doa menembus dinding”, “musafir”, dan tidak boleh tidak , kerana amat mengharukan, “tak kupalingkan wajahku/dalam keabadian-Mu.” Ternyata, sajak ini tidak perlu diusik apapun lagi. Silakanlah… Nikmatilah sendiri.

ASKAT: Di masjid kampungku, Jumaat terakhir, khatib jemputan memfokus kepada masjid. Diserui beliau agar kita semua mengimarahkan Rumah Allah itu. Pendeknya masjid harus dijadikan tempat tumpuan umat Islam. Dibacai beliau beberapa ayat dari Kitab Suci dan fahamlah kita memang perlu kita buat sesuatu kalau kita akui masjid sebagai satu institusi Islam yang ulung. Untuk kali ini, saya merujuk buku Rachmat Taufiq Hidayat, “Khazanah Istilah Al-Quran”, Penerbit Mizan, 1989, cetakan pertama, dan tersenarai surah-surah dan ayat-ayat yang menyentuh masjid, yang katanya (masjid itu) “artinya tempat bersujud. Kemudian artinya diperluas menjadi bangunan yang dipergunakan oleh manusia untuk berkumpul dan mengerjakan shalat, yang rukun terpentingnya adalah bersujud.

Panjang lagi jika mahu dipetik. Tetapi saya ambil sedikit lagi, “Namun fungsi masjid bukan hanya sebagai tempat untuk melakukan shalat, melainkan juga sebagai pusat gerakan Islam: sebagai tempat beribadah kepada Allah SWT dalam arti yang seluas-luasnya.” (muka surat 82)

Memanglah, ke masjid dengan kesedaran terbetik dari dalam diri, melakukan sesuatu yang dipilihi hati jauh bezanya dengan melakukan yang sama di tempat lain, termasuk di rumah sendiri. Semoga maksud “seluas-luasnya” seperti dipetik di atas memberi manfaat dalam kita melangkah menuju ke titik akhir.
 — at Mastika, April 1990.

Pantulan 18/14 , sajak Ahmad Sarju, “Sireh Pinang”

Pantulan 18/14

Ketika masih muda remaja, belum lagi mencapai usia 22 tahun, teman fbku, Ahmad Sarju bersajak memerikan majlis peminangan dan kemudiannya, pengharapan pasangan menunggu ikatan perkahwinan. Benarlah “Sireh Pinang” tidak lagi menjadi bahan utama membawa hasrat teruna kepada ayahanda bonda dara tercinta. Tetapi semangat adat atau amalan itu terserlah melalui sajak ini, “Dijunjung datang disambut hajat/dulang berukir tepak peminangan/persudikan santap sirih beradat/pusaka bangsa zaman berzaman”. (Lihat Dewan Masharakat, Februari 1965, muka surat 47. Juga tersiar dalam “Bunga Waktu”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, cetakan pertama, muka surat 3 dan “Di Penjuru Matamu”, Utusan Publications, 1981, cetakan kesebelas, muka surat 8-9)

(Nota; Ada sedikit kelainan pada dua kalimat terakhir sajak yang termuat dalam “Bunga Waktu” iaitu “Ah, semusim cuma dinanti/gunung dikejar ke manakah lari.”) Diperhatikan perkataan “yang”, dan tanda “?” digugurkan! Juga, perkataan “manakah” berganti “manakan”.

ASKAT: Berpantun berseloka sudah amat jarang dalam majlis-majlis peminangan tetapi kebiasaan lama ini bukan tidak boleh diteruskan. Kalaupun, bingkisan yang dibawa pada zaman baru ini tidak lagi mengandungi sirih pinang, madah kata yang baik masih dikekalkan atau diubahsuaikan mengiringi hantaran yang dibawa dan dibalas oleh kedua-dua pihak. Barangkali bentuk sajak agak ‘berat’ untuk menyerikan majlis yang demikian tetapi pantun tetap sesuai sebagai perencah kepada perundingan yang terlibat. Pengalaman menunjukkan penggunaan pantun boleh menceriakan suasana, apalagi kalau secara sedar diaturkan lebih awal oleh kedua-dua pihak. Hakikat kini, urusan merisik dan peminangan/pertunangan bukan lagi meninjau kemungkinan kesediaan pihak dara, bahkan lebih sebagai langkah perlu yang harus dibuat, walaupun keluarganya telah menyatakan keizinan atau persetujuan menerima lamaran.
 — at Dewan Masharakat, Februari 1965

Pantulan 17/14, sajak Wan A. Rafar, berjudul “Rumahtangga”

Pantulan 17/14

Sebuah lagi sajak teman fbku WanRafar Ishak (Wan A. Rafar), berjudul “Rumahtangga”, Dewan Sastera, Januari 1976, muka surat 50, menonjoli. Karya ini pendek tapi berimpak menyeluruh, menggesa analisis minda rasional. Ada ambiguiti yang mengindahkan dan mendukung sajak ini menjadi sebuah hasil yang berjaya. Dari segi judul, ia memfokus kepada institusi “rumahtangga” atau asas pembangunan keluarga iaitu melalui perkahwinan, suatu kemestian manusia sejak azali. Ternyata, amalan ini sudah tidak mengikat lagi ahli-ahli masyarakat “dan hidup manis masa lalu di sini” malangnya “hanya tinggal mimpi”. Sedihnya, walaupun disedari “kami sesat jalan ….”, berterusan dibiarkan begitu kerana “kami milik masa depan”. Betapa mengejutkan, satu pendirian mengharukan, tidak dikesali. Manusia sanggup memilih jalan lintang-pukang begitu demi menyesuaikan tuntutan keadaan (?). Kejahilanlah menjadi pedoman mengharungi gelagat duniawi. Inilah yang Wan hendak gambarkan, suasana alam akhir zaman.

ASKAT: Sentiasa kita diingatkan supaya bersedia menghadapi masa depan. Masa depan, malangnya tidak boleh diramalkan secara benar, kerana faktor-faktor penentunya di luar kawalan manusia. Pun begitu, tidak pula menyebabkan kita harus berlepas tangan, menyerah kepada arus perubahan zaman. Dengan akal, pengetahuan, pengalaman maka manusia sewajarnya mampu menangani sehingga apa yang seharusnya berlaku tetap berlaku mengikut kewajaran atau logiknya. Maknanya sikap berpeluk tubuh, menerima kekalahan, bergantung kepada nasib tidaklah menjadi sikap yang betul menjalani kehidupan sementara ini. Ini lagi-lagi benar terhadap sesuatu yang kita akui “sesat” sebab kesesatan tidak pernah memberi ganjaran yang menguntungkan apalagi dalam jangka panjang. Masa depan kita bukan garis penamat kehidupan dunia tetapi selepas itu; kehidupan yang abadi. Ada asas-asas yang harus dipatuhi untuk kebahagiaan hidup yang abadi dan jauh sekali kita diseru daripada hanyut dalam kesesatan. Masa depan kita ialah “hidup selepas mati”.
 — at Dewan Sastra, Januari 1976.

Sajak Wan A. Rafar, “Wayang”

Pantulan 16/14

Teman fbku, Wan A. Rafar (WanRafar Ishak) mencuit kolam kenangan lamaku melalui sajak beliau, “Wayang”, Dewan Sastera, Ogos 1976, muka surat 24. Yang hendak diceritakan ialah aksi pewayangan khususnya wayang kulit. Watak-watak wayang tidak bernyawa. Mereka bergerak kerana digerakkan oleh Tok Dalang, “selagi api masih menyala”. Anehnya, dan inilah yang menarik, watak yang tidak bernyawa boleh mati seolah-olah tidak dikawali Tok Dalang. Kalimat penyudah yang bercampur sedih dan lucu, sekali gus menarik; “selamat tinggal kawan/aku akan mati/sekejap lagi.”

ASKAT: Pada tahun-tahun enam dan tujuh-puluhan, permainan wayang kulit dan beberapa permainan tradisional yang lain masih mudah di tonton di daerahku. Ketika dulu, wayang kulit adalah salah satu permainan yang sentiasa dipadah untuk menyeri atau memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan dan acara-acara utama yang lain. Di kampungku pun biasa juga dianjurkan atau pasukan wayang itu mengadakan pertunjukan dalam tempoh seminggu atau dua minggu. Hendak dikatakan ia disambut hebat tidaklah juga tetapi sentiasa ada para penonton datang, di panggung terbuka atau dipagari, dengan dikenakan bayaran masuk. Wayang kulit mempunyai kelebihan kerana muzik iringannya dan juga kehebatan Tok Dalangnya. Biasanya selepas isyak, gendang “pemanggil” mula dimainkan dan peminat-peminat akan mulai datang. Akulah salah seorangnya.
Wayang kulit sudah hampir pupus. Aku sendiri hanya menyimpan VCD beberapa cerita dan kaset-kaset cerita dan muziknya, untuk kenangan. Seorang sahabatku adalah seorang ‘penyelamat’nya. Aku mendapat penjelasan tentang status mutakhir ketika beliau datang mengunjungiku lebih kurang tiga tahun lepas.

Sebenarnya wayang kulit tidak sekadar satu penceritaan. Kalau kita ingin mendalami, kita boleh baca bahan-bahan tulisan beberapa penyelidik tetapi untuk ruang ini aku merujuk WAHBA, “Peranan Lambang-lambang Dalam Wayang Kulit”, Mastika, Julai 1979, muka surat 106-113. Beliau ada menyebut Abdullah Muhammad (Nakula) yang menulis satu kertas kerja tentang perkara yang sama, yang aku ingat telah juga pernah membacanya sebelum ini. Yang hendak dikongsikan sekarang ialah tentang perlambangan dalam permainan ini khususnya “Gunungan” ( yang dalam wayang kulit Kelantan hanya mengandungi “Pohon Beringin” sahaja). Kata Wan Hamzah Awang Wahba (menyaring pandangan Nakula); “Gunungan dalam wayang kulit mengandungi saripati seluruh ajaran yang terkandung dalam permainan wayang kulit itu. Sebab itu ia mempunyai fungsi yang penting dalam lakonan wayang kulit. Sebelum wayang dimainkan, ia dicacakkan di tengah-tengah kelir. Bila tamat saja setiap babak cerita, gunungan itu dicacakkan pula di tengah-tengah kelir, dan begitulah seterusnya setelah tamat seluruh drama wayang kulit. Bila sesebuah cerita yang dipersembahkan itu tamat, gunungan itu dicacakkan sekali lagi.

Fungsi ini memberi pengertian bahawa gunungan adalah sebagai suatu hukum dalam permainan wayang kulit. Tidak ada wayang kulit yang sebenar kalau tidak menurut ajaran yang disarikan dalam gunungan.” (lihat, muka surat 112)

Sekadar catatan, saya hadir ketika majlis perasmian Aswara pada 9 April 2007 dan menerima cenderamata berupa sebuah gelas (“mug”) yang dihiasi dengan “Pokok Beringin” yang menjadi lambang Aswara. Saya pula perhatikan lambang (logo) Aswara telah bertukar dengan lambang yang lain. Mestlah ada sebab-sebab tertentu bila sesuatu lambang diubah!
 — at Dewan Sastra, Ogos 1976.