Friday 29 November 2013

Sajak Ami Masra, “Ceretera Tun Teja”

Satu rakaman peristiwa yang telah diketahui ramai pencinta sastera dilakukan oleh teman fbku, Ami Masra melalui sajak “Ceretera Tun Teja”, Mastika, Februari 1986, muka surat 56. Teman-teman eloklah meraih inti seluruh puisi, semoga terhibur sekali. Saya pula hanya mencetus khusus rangkap yang ketiga, tentang “Megat Panji Alam luka hatinya”. Kisah Megat Terengganu ini selalu diabaikan, kerana orang lebih suka memperikan Hang Tuah, atau raja Melaka atau Tun Teja sahaja.

ASKAT: Aku mahu memantul lain daripada yang selalu. Dalam hikayat, Tun Teja Menggala bakal dijodohkan dengan anak raja Terengganu itu. Sudah padan benar begitu. Megat seorang putera raja dan layak memperisterikan Tun Teja, anak Bendahara Seri Buana Inderapura. Sampai masa lazimnya pertunangan menjadi perkahwinan dan jadilah mereka suami isteri. Tetapi, bagaimana, seorang panglima besar seternama Hang Tuah, tetapi terusir kerana dimurkai raja Melaka, menjadi rendah pekerti berbuat honar dan cemar di Inderapura demi merangkul kembali kedudukan tertinggi dalam negeri sendiri, tiada secara lain, kecuali berusaha memikat semula hati raja melalui persembahan berupa Tun Teja yang pernah dihajati raja sendiri. Dari segi khidmat bakti kepada raja di zaman silam, tidakkah wajar ada peraturan seharusnya mengekang tindak-tanduk yang melukakan hati orang itu? Bukankah salah berguru menuntut ilmu, lalu menggunakannya untuk menipu, memperdaya, menganiaya, berlaku curang, demi kepentingan pensendirian. Tiada pula alasan untuk membuktikan kepentingan negeri atau negara, kerana persoalan utama bukan mengenai ancaman terhadap keutuhannya. Setakat menyenangkan atau memenangi semula hati Sultan, perlakuan atau lebih tepat lagi, angkara penipuan tanpa arahan, seharusnya dicela, bukan dianugerahi kurniaan berlimpahan. Dalam episod ini, Megat Panji Alam seharusnya diberi lebih penghargaan, kerana ia rela mati mempertahankan hak dan maruah. Hidup tak bermakna bagi pemimpin yang terbukti dayus.

Nota: Kupamerkan juga beberapa ilustrasi, satu dipetik daripada majalah Dewan Pelajar, Mei 1990, muka surat 21 (Kubur Tun Teja) dan dua lagi dipetik daripada buku M. C. ff Sheppard, “The Adventures of Hang Tuah”, Donald Moore, Singapura.
 (4 photos)

Wednesday 27 November 2013

Sajak Zaiton Ajamain, “Bahtera Kehidupan”

Aku lebih suka menyentuh karya yang lama tercipta. Bukan yang semasa. Tetapi, demi lebih mendekati, kupilih puisi teman fbku, [Hajah Hajah Zaiton Haji Ajamain] Zaiton Ajamain, “Bahtera Kehidupan”, Dewan Sastera, November 2013, muka surat 77. Tentulah yang ini terkini (sungguhpun bertarikh 6 Mac – 7 Julai 2011). Ada banyak binatang disebut-rangkum sekali, “singa”, “harimau”, “katak”, “ketam”, “sesumpah”, “kancil”. Ada pula tumbuh-tumbuhan, “dedalu (semalu?), diumpamakannya. Analisis watak manusia tidak salah lagi dilakukan terperinci, sebagai perbandingan amalan hidup manusia dalam melayari tantangan pergaulan, perhubugan sesama insan yang kuasanya tak sepadan, lebih-lebih lagi, yang melibatkan mereka yang berwewenang. Dengan watak-watak perbandingan sedemikian, fahamlah kita maksudnya mengertikan seakan atau serupa juga cerita-cerita zaman dahulukala, atau zaman kita kanak-kanak mulai belajar, ketika mana perangai atau watak binatang jadi cerminan sikap manusia, tamsil, teladan. Jadi dalam kehidupan itu, ada kebuasan terhadap mangsa, ada penindasan ke atas yang lemah kurang upaya, yang tiada tempat berpaut membanteras angkara. Tanpa terselindung lagi dipaparkan beliau, “…kuasa sudah buta tanpa deria”. Sungguhlah menepati huraian Zaiton, bahawa “kemanusiaan ditelan…/manusia kurang ingat mengingati/bagai orang-orang kian usang… …/orang lupa menjadi orang/yang ada segala deria rasa dan ihsan.” Agak malang demikian itu subur berterusan, lantas mencengkam sampai menggelorai perasaan di dalam dada manusia, seperti diperi nyata pada awal-awal puisi, “…kita diminta bersabar/menerima, dan sesekala berhemah mengalah”.

Penghidupan pun subur direncami kepura-puraan. Manusia bersikap tidak serupa dengan yang sebenarnya tertanam dalam sanubari demi mengaut faedah segera walaupun bukan bertatasusila, “…bak sesumpah/mengaburi pandangan,”. Yang menjadi persoalan temanku ialah reaksi individu-individu, dan “kita” juga. Untuk sedikit menjelaskan inti tumpuan karyawan, kuceduki ibarat tersembul dalam kalimat tersulam. Ya, bergantung kepada latar belakang pendidikan dan pengalaman seseorang, terpantullah cara melawan, memberontak atau tidak sehaluan, iaitu melalui sikap “…si kancil/bijaksana, budiman memanfaat minda”. Di saat yang lain, “adakalanya bagai menikus/takut bisa terkaman, takut bingit ngauman”.

ASKAT: Penghidupan, tanpa penafian lagi, suatu cabaran yang menggetirkan. Salah satu sebabnya ialah individu tidak mampu menghadapi tekanan, tidak berdaya menongkah arus deras melemahkan perjalanan seusia pernafasan. Tetapi ketenteraman hidup, alangkah muram, semakin suram jika kita sebagai individu, tidak dilengkapi “kuasa” memutuskan atau mempengaruhi keadaan. Bahkan, yang malangnya seseorang termasuk dalam bahagian majoriti, seerti golongan bawahan. Bukan semua orang boleh mengharungi kegulatan yang timbul daripada kezaliman atau salahguna kuasa, bahkan juga budibicara. Tentangan berupa cetusan paduan ikhtiar dari suatu kelompok atau kumpulan teraniaya tentunya tidak sama kerana seringnya lebih berkesan berbanding dengan yang dilakukan secara bersendirian. Tetapi aku suka kepada potensi masa hadapan; individu harus bertindak dengan kebijaksanaan yang menumpaskan kezaliman berleluasa. Biarlah penghidupan menyerlahkan harapan. Untuk semua orang.

Sajak Rudi Mahmood, “Catatan Musim Kemarau”

Daripada beberapa teman yang menyapa di lembaran pustaka, kupilih tanpa prasangka, yang sedang semasa dan menggema di maya, Rudi Mahmood dengan sajak menggodanya, “Catatan Musim Kemarau”, Dewan Sastera, Julai 1980, muka surat 40. Aku menyusun jari memohon restu campur kemaafan, hanya untuk menyalin sebagai ingatan; “sekali lagi kalau adapun/puisi juga yang kering/serapah apapun/puisi juga yang kering/lalang sebenarnya bukan basah.” Boleh saja kalau mahu kugantikan yang setara dari kalimat-kalimat yang ada. Tetapi, ‘kan ini telah pada!

ASKAT: Ini suatu puisi yang berturap kecantikan bertompok-tompok, namun sekali gus merata, dan ia terang tak bergantung pemerian atau penghuraian berjela. Demikianlah jua intipatinya. Kuteguk semuanya. Ia menyira, secorak yang lazim kuladeni. Inilah sajak. Biarkan apapun maksud di sebalik kata-kata pencipta, di sini di sana, awal mula akhir sudahnya. Jika kukuh tabir erti, kelabu yang membelai, ulang berulang, sebegitulah seharusnya. Singgahan biarkan lama, tanda karya tiada alang kepalang dirona, bak kata asal ada! Aku tidak akan menyelak lagi. Kendati terhenti, lagi-lagi mendamba, agar kembali. Akan kucari lagi sambil menyendiri, dari hari ke hari.

Rudi Mahmood, “Perkahwinan Malam Pemujaan/Hari-hari Yang Menyepi”,

Dalam mencipta masing-masing karyawan ada gaya dan ada keistimewaannya. Teman fbku yang prolifik masa kini di maya, Rudi Mahmood, ada menatah karya yang mendamba nostalgia lewat puisi cinta, “Perkahwinan Malam Pemujaan/Hari-hari Yang Menyepi”, Dewan Sastera, September 1979, muka surat 18. Kalau ‘rasa’ yang mahu dijelirakan, telahlah terjelira di minda, terbentuk menjadi pengalaman yang menyeronokkan, dari suatu pengamatan, sesingkat kesempatan. Perlukah dipersoal kefahaman menyeluruh atau asalkan terkesan walau tidak mendalam? Seharusnya mencukupi, begitu atau begini! Yang pasti, ada keterharuan bangkit, bukan pula sedikit. Biarlah kupilih, “wahai di tengah sentuhan begini/…/…/…/biarkan rawana itu tertidur berahi di tengah pemujaan kita.” Oh! kesihan Rawana diperlaku ‘kurang ajar’ sedangkan ia raja besar, titahnya berdegar-degar. Rangkap akhir pula, semua sekali, “Kukatakan rindumu sita/sebesar susu dara malam minggu/aku yang bangkit memujamu/dari balik dinding duka/dari sekian cinta malam itu.” Waduh! begitu terlampau sentuhannya.

ASKAT: Cinta (ataukah nafsu?) yang bersegi tiga, antara dua yang berkuasa dengan satu jiwa lagi yang terpaksa memberi, menghapus berahi. Ada persengketaan, pengorbanan perlu terjadi. Ada ‘sayembara’ beradu sakti, demi menguji hak mempunyai. Dari bukunya, “Hikayat Seri Rama”, Sita Dewi seakan ‘piala’ yang harus direbut melalui pertandingan seadilnya, lagi telus ditonton rakyat, hamba sahaya ‘yang tiada terpemenaï itu...’ Empat puluh pokok lontar mesti dipanah terus melepasi semuanya. Rawana dengan “anak panah yang bernama (A)suranama” dan Seri Rama dengan “anak panahnya yang bernama gendewanya Naga Pertala”. Ada prestasi yang tidak sama, berbeza nyata kesaktian antara kedua-duanya. Rawana hanya melepasi 38 sahaja sedangkan wira hikayat berjaya; “keempat-puluhnya terus dipanah oleh Seri Rama.”/ “Maka Maharisyi Kala pun segera naik ke atas maligai anaknya. Maka kata Maharisyi Kala, “Hai anakku, Sita Dewi! segeralah anakku turun dari atas maligai pergilah pegang tangan suamimu yang bernama Seri Rama itu.” (Lihat “Kesusasteraan Melayu Rampai-rampai III Cherita Hindu dan Jawa”, Longmans, 1958, cetakan pertama, muka surat 19-24). Munasabahlah kemudian kalau Rudi menjudulkan lagu puja beliau setaranya.

Wan A. Rafar, “Menjelang Tengahmalam ini”

Saya memang mengharapkan diketemui ciptaan teman yang lama tak tersua dalam lebuh terokaanku masih belum berkesudahan ini. Maka, apabila sajak penyair terkenal Wan A. Rafar (WanRafar Ishak), “Menjelang Tengahmalam ini”, muncul dalam Dewan Sastera, Mei 1979, muka surat 47, saya menghela nafas lega.

Yang paling menonjol dalam sejambak olahan ini ialah perulangan “segala-galanya akan beres/menjelang tengahmalam ini” yang yang seragam, mengambil 20 baris berbanding 29 baris kalimat tidak seragam yang bakinya, yang menyentuh semua perkara yang akan terberes apabila masa yang dijangkakan (“tengahmalam”) tiba. Perulangan itu bukan tidak perlu. Kehadirannya memperkuat penyampaian pokok masalah atau persoalan yang dirangkumi sajak ini. Kalau dideklamasikan di pentas, berhadapan dengan khalayak, ketiadaan dua kalimat yang diulang-ulang itu, tentulah akan memerosotkan kesannya. Ada saktinya kalimat-kalimat itu sama ada di pangkal, di mana-mana, hinggalah di hujung pun.

Terbentang jelas, banyak sekali yang akan selesai apabila waktu menepati. Tentu berbahagia golongan yang terbabit, masing-masingnya. Isu-isu, ada yang besar (“krisis beras negara krisis minyak dunia”, “… kemalangan/jalanraya dan pencemaran alam”, “rumah-rumah pangsa buat kelas rendah”, dan lain-lain) dan tak kurang pula yang relatif kecil-kecil (“sebuah lagu buat setiap puisi”, “satu mimpi buat satu tidur” dan lain-lain lagi). Aku pula suka Wan memasukkan juga “surat cinta paling panjang/buat semua yang bercinta”. Terasa lucu yang seni meresap sanubari. Dan yang paling kena, menghebatkan gubahan, apabila sampai masa yang dijadualkan, “sebuah sepi buatku/seorang aku buatmu!” Itulah kalimat-kalimat yang mengakhiri. Penutup ini seakan mengakuri satu tragedi terjadi, menimpa sang diri penyair, betapa kerdilnya ia, betapa demikian hakikat wajar diterima oleh “mu”, beliau itu seadanya. Tak syak lagi, takdirlah yang mewarnai kehidupannya. Tiada kekesalan menerima takdir itu, dalam kecerahan dari semua penyelesaian yang tergambar, satu persatunya. Kedua-dua itu, serentak terjadi, pihak yang lain-lain dan pihak penyair.

ASKAT: Kehidupan sentiasa menyerlahkan persoalan atau masalah; kepada semua orang. Hanya, ada yang boleh menghadapi dan menyelesaikan dan ada pula tidak berupaya mengatasi. Ada jalan keluar boleh dicari sendiri dan banyaklah pula yang perlu mendapat bantuan pihak yang berwibawa, berautoriti. Kegawatan yang silih berganti, mencabar kebijaksanaan manusiawi, mengangkat darjat mereka menjadi lebih tinggi atau menggagalkan sebahagian lagi, terperosok sendirian, terutama yang tidak memiliki inisiatif, sentiasa bergantung harap di luar diri. Tetapi adalah jarang semua hasrat boleh terjadi, penyelesaian diperolehi sampai memberi puas hati, semua sekali, bersekali. Yang lazim benar-benar terjadi, persoalan-persoalan besar-besar tidak terurai simpulan ikatan, penyelesaian tidak berlaku seperti yang dirancang. Jadi tetap kekallah janji-janji, berlarutan membangkitkan pertelingkahan dan huru-hara sampai bergenerasi. Itulah sebab aku sehati dengan Wan, dalam kesemuanya yang terselesai, masih ada pihak lain, dan dalam hal ini, diri sendiri, tidak berubah. Menjalani penghidupan melangkahi denai destinasi dengan kerelaan, pasrah kepada Ilahi.

Sajak Ahmad Sarju, “Sungai di Perut Kota”

Lalu dilewati jua, sajak teman fbku Ahmad Sarju, “Sungai di Perut Kota”, Dewan Sastera, Jun 1977, muka surat 14. Inilah gubahan yang merakamkan kemerosotan tamadun orang-orang yang mengejar pembangunan, barangkali fizikal, samasekali tidak seimbang, membuta dlm terang. Dan, dalam proses itu, alam sudah hampir dimusnahkan, tiada lagi berseri memberi erti. Barangkali mereka fikir merekalah generasi terakhir sekali.

Setiap baris puisi sarat dengan makna, bermaksud keruntuhan dan keterbiaran, ketak-endahan. Ambil sahajalah kalimat-kalimat : “mengusung tompok-tompok derita”, “dengan lapisan kehidupan yang telah reput”, “sisa-sisa kehidupan yang hanyut…”, “mereka terus mengisi dengan segala kotoran”. Sungai itu telah “kuning lesu”, “jimbam lesu”. Sungguh azab sungai itu menyerap kejahilan penghidupan warganya, tentunya yang telah lupa mereka ada tanggungjawab memakmurkannya dan mewariskannya.

ASKAT: Kadang-kadang kita hairan mengapa wujud perbezaan kecantikan antara sungai di negara maju dengan negara yang hendak maju. Kalau pada tahun 2020 keadaan sungai seperti yang ada sekarang atau kian merosot maka usaha-usaha selama ini hendak menjadi negara maju hanyalah sekadar kempen mengabui minda atau persepsi orang-orang yang tidak pernah mengambil iktibar sepenuh hati. Kita tahu dua buah negeri telah berani mendabik dewan mengaku tahap kemajuannya tetapi kita tahu juga sungai-sungainya tetap menjijikkan. Di sini, dahulu dan kini, warwaran sudahlah lumrah. Dan kita memang handal dalam bidang ini. Personaliti saling berganti, seakan yang baru membawa pembaharuan dalam berlainan acuan. Hakikat tidak pernah menjadi panduan. Sedang yang sebenar dikehendaki ialah kesan positif. Bukan dari satu segi, tetapi semuanya. Dan inilah tidak terbukti, jika pun sungailah jadi kayu ukurannya.

Sajak Zurinah Hassan, “Bendahara, Tuah dan Jebat, Aku Selalu Bertanya”

Rupa-rupanya bukan mustahil kita belajar memahami suatu epik melalui satu puisi, yang kalian ganda pendeknya. Bukan juga selalu kita dibantu merumuskan puisi oleh kalimat-kalimat karyawan sendiri, di hujungnya. Puisi penyair besar, teman fbku Zurinah Hassan, “Bendahara, Tuah dan Jebat, Aku Selalu Bertanya”, Dewan Budaya, Ogos 1988, muka surat 28-29” menyerlahkan permasalahan tragedi bangsa yang sudah berkurun tiada pernah diperiksa semuktamadnya. Hebatnya ciptaan ini kerana perspektif atau kekusutan suatu dilema yang dipercerahkan melalui beberapa kalimat padatnya yang memandu minda.

Perhatikan. Kepada Bendahara, ditanyakan, “mengapa kau tidak berani/membiarkan seorang raja/terhukum oleh kekhilafannya?” Kepada Tuah, ia lebih ditempelak, dengan “… kau sepatutnya …” dan diadili dengan penghakiman bahawa Tuah sebenarnya “…berakhir dengan ketakutan” dan dikatakan juga “… memiliki/tipu helah yang keji”. Sebaliknya Jebat telah dipuji bertindak betul, “berani memberontak” tetapi sangat dikesali “…lupa untuk berwaspada” sehingga hilang Taming Sari. Selepas itu, pertanyaan menyusuli satu persatu. Semuanya mengandaikan bahawa jika apa yang tidak berlaku pada abad ke-15 dahulu itu sebaliknya berlaku, “apakah yang akan terjadi kepada kita hari ini?”

ASKAT: Saya memilih merungkai simpulan. Memahami logik penghujahan, kalau yang “sepatutnya” benar-benar berlaku, maka raja akan kecundang di tangan hulubalang garang, dan Jebatlah menjadi raja kerana dialah ketua. (Tetapi adakah calon-calon untuk dilantik menyandang jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Pertahanan dan semua-muanya dari kalangan rakyat jelata sekalian?) Bendahara mungkin dipecat juga kerana tidak amanah mendukung etika perjanjian purba; Tuah mati dalam usia tua, tidak dikenang lama, kecuali sekadar seorang pesara zaman beraja, atau boleh juga, dilantik semula menjadi panglima mempertahankan Melaka dari serangan musuh-musuhnya. Tuah tetap seorang pekerja yang lebih berfungsi melaksana, tidak serupa negarawan berwibawa. Jika yang berlaku dahulu tidak berlaku bahkan adalah sebaliknya, Melaka muncul sebagai negara yang diperintah berasaskan “kebenaran”, “kasih sayang”, “sanjungan”. Rakyat jelata harus mendukungnya kerana begitulah yang dikehendaki masa kini. Tetapi zaman itu adalah zaman beraja, ada perlembagaannya, para penjawat akur demi mendukungnya. Jadi pertanyaan lain mungkin lebih bermakna; kenapakah Jebat tidak menubuhkan ketumbukan, memberi satu alternatif menggantikan suatu bentuk pemerintahan kepada corak yang berlainan dengan prinsip-prinsip yang diperjuang bersendirian itu? Saya kira Jebat agak terkedepan, kurang berfikir panjang demi menjaminkan kejayaan perjuangannya.

Maka kekusutan atau permasalahan akan terus berpanjangan. Kesimpulan masih tak terleraikan.

Nota: Ilustrasi oleh Sabri Yunus.

Wednesday 6 November 2013

Sutung Umar RS, “Puisi Awal Tahun”

Barangkali belum terlambat kalau ingin menjadikan sebab kenapa sajak ini jadi bahan memberi pendapat. Kudahului dengan suatu pantulan asasi yakni, dalam keadaan-keadaan tertentu mentafsir puisi tidak semudah membaca ilmu tinggi. Walau berkali-kali belum lagi pasti apa yang dinukilkan boleh difahami. Karyawan membina kalimat dan rangkap untuk maksud khusus sedang kita kabur minda dan memilih untuk mentafsir ikut naluri sendiri. Tiada silapnya pula pendekatan berhati-hati. Dan, tiada orang boleh memaksa kita untuk sejiwa sehati dengan orang lain. Asalkan kita ada hujah-hujah mendalam, mereka harus faham.

Penikmatan sajak boleh dilakukan dengan berbagai cara. Kali ini kupilih rangkap tertentu, sebahagian yang kusenangi, lagi tidak terlalu peribadi. Seluruhnya agak panjang, sukar dilakukan, sedang akupun dalam hambatan-hambatan. Jadi, inilah, “segalanya pasti bermula/tidak ada waktu untuk menanti/perjalanan/pengembaraan/sedekat jarak pun/bermula dengan langkah” dan rangkap akhir, “tidak ada yang lain/kemenangan atau kekalahan/kitalah yang menentukan/semalam, hari ini atau esok.” Kalau inginkan yang lengkap bacalah, ciptaan teman fbku yang matang, Sutung Umar RS, “Puisi Awal Tahun” (atau a.s.k.), Dewan Masyarakat, Januari 1990, muka surat 55.

ASKAT: Awal Muharram yang sudah kita langkahi, menandakan kita sudah lebih mengalami berbanding dengan akhir Zulhijjah yang menjelang lebih dahulu. Dalam mengejar cita-cita, usaha gigih adalah wajib demi penyempurnaannya. Terlalu sering disebut “rezeki tidak datang bergolek”, atau “kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”. Kefahaman tentang ini adalah pokok, dan yang menyusuli hendaklah satu perencanaan yang teliti, berterusan sehingga berjaya. Begitu mudah, begitu tidak dapat disangkal kerana ia suatu fakta alami.

Rahimidin Zahari, “Nadiah Rindukan Tekukur”

Karyawan prolifik kita, Rahimidin Zahari bertandang lagi di mindaku dalam rupa “Nadiah Rindukan Tekukur”, Dewan Masyarakat, Disember 1989, muka surat 54. Dua rangkap sajak ini merakamkan perasaan seorang anak yang kehilangan kemerduan nyanyian tekukur yang tidak lagi kedengaran di sekitaran. Tiada lain sebabnya kecuali di mamah pembangunan. Hiruplah getaran rasa anak ini dan gaulkanlah dengan kenangan teman-teman sendiri. Semoga kesannya mengusik benak dan tahulah kita, usia kita kian meningkat. Tiada boleh lagi kita menahannya.

ASKAT: Kalau hendak dikira-kirakan, sudah banyak gambaran dalam kenanganku pun tiada lagi. Hampir di serata tempat dahulunya bercambah. Kalau ambil contoh di kampungku yang jauh di mata, tiada lagi nelayan ke laut menggunakan perahu layar, tiada lagi pukat tangkul, hilang sudah terendak atas kepala, lesap pun pelandan tempat menjemur pukat ikan, tiada lagi permainan masa kecil seperti bola katok keliling pokok-pokok kelapa, gelap-cerah, petik mata, bedil buluh peleting, main motobot papan di alur ketika musim banjir, mencari kulat di hutan, mengutip telor penyu di pantai, dan senaraikanlah. Banyak lagi. Perubahan harus berlaku. Berterusan. Kita yang pernah mengalami bertuah dapat menyimpan kenangan. Lagilah kalau berupa ingatan manis.

Semuanya ini, termasuk yang tidak kusebut, tidak menjadi suatu bual bicara pun bagi anak-anakku. Dan itu tidak pun menjadi suatu isu besar. Demikianlah perubahan dunia. Pengalaman antara generasi tidak sama dan kerana itu penghayatan dan keperasaan dua generasi atau yang terkemudian tidaklah kita boleh anggap pada tahap yang sama. Tetapi masih benar kata-kata “patah tumbuh hilang berganti” namun yang menyusuli dalam banyak hal hendaknya muncul lebih baik demi kesempurnaan peradaban manusia.

Nota: Alangkah seronoknya, di sini, tidaklah sesekali malah setiap hari, senandung tekukur, murai, gembala kerbau dan lain-lain, bahkan ayam jantan jiran pun, masih semerdu seperti aku kecil dulu.

Malim Ghozali Pk, “Kureguk Semua Derita Ke Dalam Nafasku”



Sahabat lamaku, orang sastera yang semakin semerbak kesohorannya, Malim Ghozali Pk, menelan rela angkara, seperti nyata lewat “Kureguk Semua Derita Ke Dalam Nafasku”, Dewan Budaya, November 1987, muka surat 38. Untuk membayangkan keluasan kerangka tragedi, bayangkanlah, “ … gadis genit di perkebunan dan ranjang di bahunya/ada malang di perutnya.” Kalau mahu dibaca menjangkau lapisan kedua, arahkanlah ke usaha-usaha pembangunan menuju Wawasan. Lalu, “tak usahlah menuangkan simpati di warung-warung kopi.”

ASKAT: Tetapi aku lebih bersimpati kerana terlantar mereka di sula pemangsa. Apakan tidak? Yang menderita, kita mahu mereka dibela. Tiadalah lagi sengsara menghantui; para penderita dan simpatisannya. Begitu kewajaran tata susila. Tetapi benarlah, dalam membanteras penderitaan, kita perlukan kekuatan – boleh jadi berupa semangat juang, jasmani jantan, ilmu selautan, kebendaan berlimpahan, dukungan berakar tunjang, strategi serba-sebi rapi, tanpa henti, tak berundur menyisi di tepi, pengorbanan murni, doa wali dan tawakal Ilahi. Aku tahu sahabatku memilih penyerahan sebagai penyelesaiannya. Tentulah dia lebih tahu. Dialah yang mengukur tahap penindasan. Dialah, yang menyaksikan penganiayaan. Dialah mengkaji kekejaman. Dialah juga, yang ada bersama-sama mengalami suasana. Yang demikian melayakkan dia merumuskan pendekatan. Mereka yang lain tiada wibawa setara. Tetapi, adakah hidup ini seperti pernah kita dengar, “untuk derita” kerana tak berupaya? Kerana itu kita pun berlagulah dalam kesedihan yang kentara. Selama-lamanya.

Sutung Umar RS, “Apabila Malam Dingin Itu Tiba”

Aku hanya memilih sebahagian kalimat “… berulang masalah dan perhitungan” dari sekian banyak perkataan lain yang mendukung sajak teman fbku Sutung Umar RS, “Apabila Malam Dingin Itu Tiba”. Dan aku suka pula dengan kalimat penutupnya, “dengan seribu tanya”. Barangkali tiada orang menyalahkanku berhenti, bersunyi-sunyi pada noktah ini. Tidak menyelak teka-teki. Memanglah kalau mahu, kita boleh menumpu kepada setiap patah-patah kata seperti, “malam”, “dingin” sampai terhenti kita pada frasa “seribu tanya”. Tapi, kita diberi pilihan!

ASKAT: Walau seakan terkunyi mulut, tetapi hati tetap mentelaah sebati. Biarkanlah. Cubalah berlainan sedikit mendekati. Yang ini, aku mahu dihayati melalui liuk-lintuk susunan kata-kata. Lebih dari itu memanglah perlu, tetapi keterluangan waktu haruslah tidak terganggu. Syarat demikian hanya perlu kalau survival kita bergantung satu-satu kepada pembongkaran lengkap niat penyairnya. Tetapi penikmatan puisi tidak seharusnya begini. Tidak semestinya total. Boleh sesipi. Tiada dilembagakan agar menyeluruh samasekali. Tiada paksaan dalam alam persajakan manusiawi.

Sajak boleh menerbitkan satu tafsiran. Semua orang tidak bertelingkah pula. Seia. Baha Zain ada juga pernah berkata, sebuah sajak boleh juga menimbulkan 10 tafsiran (lihat “Puisi dan Pahlawan”, Dewan Masyarakat, Jun 1988, muka surat 2). Maknanya setiap pentafsir berbeza-beza tanggapan tentang intipatinya. Aku percaya para pembaca lebih sekata, tidak sangat sedia meramas minda, kerana hambatan masing-masing. Aku percaya kesekataan demikian itu benar kalau kesan yang ditinggalkan dari bacaan sajak adalah suatu kepuasan atau kesenangan lantaran terusik benteng dan lubuk jiwanya. Tak mengapalah, kalau kesan itu masih berlatarbelakangkan pengalaman sendiri-sendiri, peribadi-peribadi atau para pembaca yang berlainan.

Ahmad Sarju, “Keterharuan”

Agak malang kalau kita biarkan perasaan yang hadir meresapi hati hasil membaca puisi ini hilang dicelah halaman, tidak dikongsi dengan teman-teman. Seringnya demikian berlaku, apalagi ciptaan ini sudah pula sesuku abad terkambus selesa. Sedangkan ciptaan ini berharga. Ini adalah suatu rakaman tentang kejatuh-cintaan terhadap tempat menabur bakti. Perasaan yang terjadi ketika sahaja akan melangkah pergi, bakal tidak di situ lagi. Sungguh-sungguh jernih hasrat teman fbku tersohor Ahmad Sarju terus kekal lama di “pulau yang harum dengan keheningan/…/tenang yang membiru/damai yang padu.” Pulau itu miliki semua yang menjadikan kehidupan ini sungguh membahagiakan. Nampaknya beliau tidak ada pilihan untuk bertahan lama lagi kerana perlu berangkat ke destinasi lain, mengalih haluan. Terlalu benar disayanginya, sampai tidak mahu ia melihat tahap kesempurnaan pada keberadaan itu berubah daripada yang seadanya. Ini jelas dalam sajak “Keterharuan”, Dewan Masyarakat, Mac 1988, muka surat 55. Singgahlah mengharu sanubari. Janganlah terlepas peluang yang datang sesekali.

Jika diteruskan penghayatan, sesiapa kukira tidak akan terlepas ungkapan yang yang sarat dengan kelembutan, kemesraan, kemurnian melalui ungkapan yang mengulang-ulangkan “kubiarkan…”, yang digandingkan bersilihan dengan “harum sepi membungkus…”/…. langit petang tenang terbenam/…pucuk kelapa bergetar riang/ camar meredah temaram” dan alangkah kenanya bila disepuhi “malah syahdu berkembang.” Satu penamat yang agam.

ASKAT: Tiada kenakah kalau kupinjam madah orang tua-tua, “tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.” Semoga kalimat lama ini pun menggetar jiwa. Agar lagilah terkobar rasa. Memanglah letusan yang diterbitkannya tidak sama dengan suasana yang dibuaki oleh unsur-unsur pulau yang memukau itu. Hakikatnya, kenangan sentiasa datang pabila akan berpamitan. Tidak semestinya, yang ditinggalkan itu; sahabat taulan, saudara seketurunan atau pun kampung halaman, atau rantau tempat berdagang, semua ada kesannya. Kalaulah selama tempoh diberi kesempatan, kita sepenuh hati mencurahkan segalanya, dengan kejujuran tak tercalar, keikhlasan tak pudar, ketekunan tak samar sementelahan pula ditimbali kepuasan tiada tandingannya, dari ukuran peribadi pun, maka mudahlah difahami orang lain bahawa kita benar-benar telah bersatu dengan tempat itu. Keharuan, atau lebih puitis lagi, “keterharuan” sebenarnya adalah suatu anugerah yang tersangat pada.

Azmi Yusoff, “Di Bawah Pohon Barakah”

Mengambil berkat hari Jumaat! 

Tidak perlu aku menghuraikan. Semuanya adalah sebutan lazim. Bagi kita yang sering menonton TV, mendengar radio, hadir mengerumuni taman-taman syurga, atau membaca sendiri warisan ulama dan cendekia, menggali pusaka dan mengkaji kepustakaan sezaman, tidaklah terkejut dilontarkan dengannya – “barakah”, “ukhuah”, “tazkirah”, “hidayah”, “takwa”, “tarbiah”, “kalimah”, “mujahadah”, dan “iman”. Semuanya ada, berderetan dalam puisi teman fbku, Azmi Yusoff, “Di Bawah Pohon Barakah”, SOLUSI, Mei 2013, muka surat 55. Jadi, ambil sahajalah “tarbiah”, yang maknanya tentu menyeluruh membaiki diri dalam serba-serbi agar terhasil matlamat terciptanya manusia di bumi. Dan kalau kita pilih “mujahadah” maksudnya sangat positif merangkumi kesungguhan untuk beroleh kebaikan selaras kehendak Ilahi. Pemahaman ke atas semua menjurus kita lebih mengabdi diri kepadaNya . Namun, sebelum melampaui, aku harus mengakui tidak pun mengaji, bukan ahli dalam aspek-aspek yang menyentuh istilah-istilah ini tetapi meyakini pentafsirannya boleh diperdalamkan lagi.
Dalam bahasa yang lebih akrab dengan diri pun, bahasa ibunda, terkandung dalam puisi ini kata-kata seperti “… rimbun/teduh memayungi…”, “pupuk”, “baja”, “cinta”, “hati”, “suci”, “akar” dan lain-lain. Tiada kata yang terlebih dimasukkan. Dalam kecukupan demikian, gubahan yang sedia ada menerbitkan makna yang berganda. Tanpa pun seseorang mencungkil teliti, intipatinya menjelma sendiri. Mengalir bergilir-gilir. Ini suatu keistimewaan, kerana dalam banyak hal, kata-kata yang berlebihan belum tentu menghasilkan makna serupa panjang atau memercikkan kesan yang lebih mendalam.

ASKAT: Puisi-puisi begini (teringat ruang “Puisi Hidayah”, “Ungkapan Suci” dalam majalah Utusan Kiblat), sekian banyak diungkap tetapi kerana ternyata malap sejurus itu lesap, seakan suatu pembaziran; dan paling-paling lebihnya sekadar dianggap mengisi ruang sementara sambil berharap muncul mantap atau meningkat, lebih berseni dan berisi dalam puisi-puisi yang menyusuli. Dalam aspek ini, kukira sudah pun jauh kita terlajak kurang bijak bersajak, kerana keupayaan setakat ini belum lagi terbukti, belum berprestasi seunggul tanda aras sejati. Sedikit yang sedia ada wajarlah ditambah lagi dengan tekad yang bersungguh-sungguh, tidak asal jadi.

Salmiah Ismail, “Pada Senja Ini”

Teman fbku, Salmiah Ismail menyanyikan suatu hakikat melalui “Pada Senja Ini”, Dewan Masyarakat, Januari 1988, muka surat 55. Dikhabarkan jelas supaya kita sedar bahawa umur manusia tidak tersekat pendakiannya, tidak boleh ditahan pertambahannya seperti juga penggantian siang oleh malam, seperti perubahan cahaya senja ke “kelam/dan suram”. Yang sahihnya, penjelmaan demi penjelmaan itu seerti penambahan usia, “membina hari-hari baru”. Tanpa perlu merinci, adillah jika kita sama-sama mengulangi rangkap akhir: “ada kepuasan lain/pada siang yang lain/ada kenangan lain/pada malam yang lain”. Aku kira inilah ketidakserupaan yang sentiasa. Kecetekan, keremajaan/kematangan, dan kelaziman-kelaziman lain, yang tidak asing kepada semua manusia walaupun tidak sama sehalus-halusnya.

ASKAT: Sesuatu yang biasa, sering berlaku bukan pula tidak perlu kita renungi. Putaran peristiwa siang, malam, senja, larut malam, dinihari, bukan tiada mengandungi makna. Orang Islam lagilah tidak seharusnya lupa bahawa fenomena ini membuktikan kekuasaan Allah Yang Esa. Itu memang nyata. Bukan boleh dinafikan walaupun kejahilan mungkin mengabui mata dan minda. Ada hikmahnya. Dari kejadian yang demikianlah manusia akan menjadi lebih bijaksana, dengan syarat ia memberi perhatian dan belajar memahami sambil membekali diri dengan ilmu yang berguna, yang dituntut sahaja, lalu dimanfaatkan secara menyumbang bakti terhadap sanak saudara, manusia dan masyarakat tempat mereka bergaul beramal tanpa berangkara. Tentulah dengan pendedahan yang berterusan, dalam kelainan tetap seiringan, dipandu oleh kematangan yang semarak subur dari semasa ke semasa. Nanti akan tiba kita di matlamat. Unggul berwibawa menghadapiNya.

“Surat Rindu”, Rahimidin Zahari,

SANGAT kebetulan. Selepas saya selesai memantul sajak Rahimidin Zahari di lamanku, saya tersinggah di laman tuan Sutung Umar RS dan membaca selayangnya di sana. Memang sesuatu boleh berlaku tanpa kita ketahui. 

Demi nostalgia desa (yang samasekali tetap beralih rupa, bagaimanapun tidak demikian sebahagian kita menghajatinya) kurenung “Surat Rindu”, Rahimidin Zahari, dalam Dewan Siswa, Disember 1988. Barangkali terbetik di sanubarinya, “Kak” semakin selesa di perantauan belum tamat pengajian. Perutusan yang diterima membayangkan “yang kaurindu/hanya musim bunga” berbanding tiga lagi yang berlainan. Tetapi penyair mengingatkan, “Tamat pengajian nanti, Kak/pulanglah…”. “ku” penuh yakin dan harap, semua kenangan yang dilalui bersama boleh dikembalikan kerana di desa tanah tumpah darah masih ada semua, seperti sedia kala, “… menjolok duku,/ciku atau jambu…”/Berjirus di sumur sejuk/dirimbuni cempaka”. Mesra sungguh kata-kata, lembut benar nadanya. Tak mengapalah latar kehidupan desa kian berubah rupa dan suasana tradisional tiada akan bertahan lama! Demi rindu,bayangan seharusnya yang sedia kala, tanpa nila. Tetapi usia merangkak jua.

ASKAT: Hubungan persaudaraan sedarah sedaging, apalagi ketika sedang remaja, ketika masing-masing belum berkeluarga sangat erat murni tak bercuka. Bila berjauhan, seakan tiada terdaya menanti saat berjumpa semula, meriuhi suasan dengan hilai ketawa dan kesyukuran beriringan. Tentulah kerinduan lantaran perpisahan dengan rela, demi mengupayakan diri memelihara atau menjamin kebahagiaan keluarga tidaklah seberapa, berbanding habuan berganda bakal diterima. Yang demikian sudah jadi lumrah. Orang berusaha akan berjaya. Yang terutama, seseorang harus sentiasa menanamkan dalam minda bahawa apabila pertanggungjawaban diserahkan maka sepenuh daya dituntut demi mencapai kejayaan sempurna. Jangan sekali-kali dipersia. Alangkah manisnya merangkul kejayaan. Yang ini harus selalu diingat. Baharulah akan kekal sedar kita bahawa kehidupan ini sebenarnya adalah suatu anugerah yang melorongkan manusia ke hala tuju yang sentiasa haloba penambahbaikan.

Ahmad Sarju, “Langkah Pusaka”

Saya tidak hendak bersejarah-sejarahan (sejarah?) sangat, terutama tentang Tuah dan Jebat. Dari dulu sampai sekarang belum lagi ada rumusan muktamad. Berpihak sebelah mana, atau kedua-duanya? Demikian tak mencapai matlamat. Atau, bolehkahtepuk dada tanya selera? Hari ini, yang aku jadi kembali terharu lebih kerana tiba-tiba ketemu sajak awal-awal dulu teman fbku tersohor Ahmad Sarju, “Langkah Pusaka”, SANTAJIWA, bil 4, tahun 1965, muka surat 79. Dengan alasanku dipangkal itu, marilah terus menumpu: “Ya mungkin, mungkin ini pusaka mereka/keris di pinggang berselempang semangat/bagai Jebat, ya kita tentang ketidakadilan/Semoga hidup Melayu bisa bangun dengan keberanian.” Aku sudah beleki halaman-halaman empat buku kumpulan sajak beliau, ‘aneh’ tidak bersua dimana-mana puisi ini. Rumusku tentu yang tertinggal salah satu!

ASKAT: Persoalan Tuah-Jebat adalah persoalan wira bangsa. Budaya kebangsaan telah dipengaruhi pendirian mereka. Tentulah semua mengetahui kita ada “Pingat Hang Tuah”, Stadium Hang Tuah, Stadium Hang Jebat, jalan-jalan, nama-nama ruang persidangan/seminar, jurnal ilmiah, filem, sandiwara, puisi, dan lain-lain. Maknanya ada pengiktirafan, berbauran sanjungan, penghormatan dan yang bertentangan. Sampai bila persoalan ini tidak akan berhenti diteliti lapisan generasi; kecuali ada seseorang nekad mencipta semula suatu hikayat yang boleh semua orang sama sepakat tidak lagi akan berdebat kerana suatu hakikat, wajar diterima taat kerana bermanfaat seluruh rakyat.

Nota: Untuk mengiringi, saya pilih ilustrasi daripada buku kecil di bawah Siri Warisan Kita, karangan Rubaidin Siwar, “Hang Tuah”, Longman, 1980, cetakan pertama, muka surat 37. Malangnya nama illustrator tidak disebut.

Cerpen Sutung Umar RS, “Sebuah Kenangan Sewaktu Kecil”

Aku mengenali Sutung Umar RS lebih melalui sajak-sajak bukan melalui cerpen. Tetapi kerana judulnya, “Sebuah Kenangan Sewaktu Kecil”, “Dewan Masyarakat”, Mei 1990, muka surat 52-55, aku terpesona lalu membacanya. Tekun sekali. Benarlah agakanku. Apakah agakannya? Harapku Sutung, yang sentiasa memukauku melalui puisi-puisi beliau akan begitu juga dengan ceritanya, dianyami bahasa, dicelahi falsafah hidup atau pandangan hasil pengalaman perit yang dilalui, sebelum dan selepas berhijrah.

Aku tidak ingin berpanjangan. Wajarnya kupetik sahaja, “…Dalam kembara hidupnya hari ini, dia sudah berada jauh. Dia telah lama berjalan. Dia telah meninggalkan kampung. Dia telah meninggalkan halaman. Dia telah meninggalkan sahabat handai, meninggalkan sanak saudara. Masa lalu ialah biji-biji mutiara kenangan yang bercampur antara pahit dan manis. Antara yang menyeronokkan dan yang menyedihkan. Yang menggembirakan dan yang memedihkan. Semuanya selalu sahaja terbayang dalam fikirannya tetapi berbalam-balam seperti memandang…. … Dan demikianlah ingatannya.

Aku pasti teman fbku ini sedang mengalami: “Masa depan mula samar-samar kelihatan dikotak fikirnya seperti kabus pagi pada musim padi menguning di belakang rumahnya. Dia bakal menulis buku nasibnya sendiri. Tidak ada yang dapat mempengaruhinya.”

ASKAT: Kian berusia di mayapada sering menarik minda ke halaman-halaman awal takuk-takuk kehidupan. Kenangan Sutung menyorot peristiwa-peristiwa 15 tahun lampau. Kenanganku menyata meliputi 44 tahun silam. Pun, ada persamaan. Beberapa. Lagi, aku terkenang laut, pantai, angin, ru, pulau, wau, kawan-kawan sepermainan, yang semakin hilang. Dan aku terus mengenang-ngenang ….

Rahimidin Zahari, “Mahsuri (II)”

Sajak teman fbku Rahimidin Zahari, “Mahsuri (II)”, termuat dalam kumpulan sajak “Abrar”, Persatuan Penulis Kelantan, 2011, cetakan pertama, muka surat 97, memaparkan intipati sumpah Mahsuri. Selama “tujuh keturunanmu” akan “tulah papalah” Langkawi. Ada kesedaran pula dari penyair ini tentang kesahihan cerita, ataupun, implikasi sumpah itu sendiri seperti dapat dikesan melalui, “Kebenaran adalah/hikayat sejarah/yang berliku dan/mengalir panjang”. Cerita Mahsuri, kita tahu versinya ada beberapa. Tetapi adakah peristiwa-peristiwa yang mendukunginya bersandarkan fakta-fakta, atau berbaur gubahan minda, sukar hendak dibenarkan semua. Jadi, istilah “hikayat” barangkali paling kena. Akhiran sajak ini penting juga kerana dimadahi “Langkawi akan/kembali dikenang.” Kita yang hidup sekarang boleh sendiri menilai dan mentafsirkan.

ASKAT: Ada pertelingkahan riwayat tentang Mahsuri. Tetapi yang menguasai jiwa dan pemikiran umum, suka atau sebaliknya, ialah kematiannya adalah dalam teraniaya oleh tindakan zalim akibat iri hati, dendam dan tidak teliti memeriksa, sebelum mengambil keputusan, sehingga timbul bencana keseluruh pulau. Penduduk menderita, tiada tanda sentosa menjelma, tentunya lantaran berpuaka. Lama-kelamaan, mitos (?) pun dijadikan legenda dan kekal dibicarakan dengan maksud-maksud yang jelas mengandungi makna. Tetapi pastikah kita, tempoh sumpah itu telah berlalu menunaikan niatnya, atau perkembangan Langkawi kini kerana ada inisiatif manusia perkasa yang boleh mempengaruhi suasana?

Nota: Gambar hiasan adalah karya Abd. Ghafar Bahari (Gopa) berdasarkan bahan-bahan dan imaginasi beliau. Dikatakan sebanyak 12 lakaran telah disediakan dan yang ini dipersetujui sedang editor “Dewan Masyarakat”.

Rahimidin Zahari, “Doa Puisi Si Fakir”

Banyak sekali aku membeli buku dalam jangkamasa hampir seminggu kebelakangan ini. Ya, benar. Begitu juga, merata-luas tinjauanku mengenai tajuk-tajuk buku di toko buku berunsur ilmu, buku-buku lama dan baru, semuanya bermutu. Tersedarlahselalu dan tahulah betapa sedikit ilmuku, betapa sempit liputan bacaanku, betapa melukutnya aku berbanding dengan ribuan karyawan yang lain, yang buku-buku mereka kupegang tilik, kubelek-belek, kubeli atau baca tema perbicaraannya, sebahagian dengan asyik terlupa waktu berlalu. Memanglah tidak semua buku jadi kubeli, memikirkan tempat penyimpanannya yang sudah tiada tersedia lagi, muatan saku pun mempengaruhi. Sentiasalah aku ini memikirkan sudah banyak sekali kuhimpunkan pelbagai bahan bacaan, dengan ingatan untuk kubaca bila masa lapang datang menjelang! Kemudian jadi karyawan …. ahai malang!

Dalam keadaan begini melintas sajak teman fbku, Rahimidin Zahari, “Doa Puisi Si Fakir”, Dewan Sastera, Januari 2004, muka surat 37. Anak kampung ini telah mulai menghargai dunia kebukuan kerana berhasil mengaut faedah yang terang; mindanya terbuka menerawang, hasil pembacaan, yang diakui sendiri belum sangat boleh dibanggakan (sungguhpun “…beribu buku/yang kubuka dan tekuni”). Tetapi kita tahu penyajak ini bersyukur benar dengan pendedahan yang nampaknya tiada akan berkesudahan, bahkan bakal bertambah lagi. Melalui penguasaan bahasa, Arab dan Inggeris, bertambah luas alam maya ini akan diterokai. Kini dia sudah mengenali Iqbal, Arabi, Usman, Baha, Latiff, Muhammad, Sapardi, Goenawan Jalaludin Rumi, Ibn Khaldun, Frost, Neruda, Paz, Marquez, Brodsky , Walcott, Oe dan Gao Xinjian. Ada kata-kata Rahimidin, “Aku harus keluar dari serkup kampungku:/bintang memang di angkasa/dan aku ingin menjadi salah satu/daripada bintang itu,” Pengetahuan yang digali melalui pembacaan itu telah membantunya berkarya. Pun demikian, beliau merendah diri, mengetahui di mana tempat sebenar berdiri, seperti katanya, “aku hanya setitik dakwat/terjatuh di lembaran kertas”. Penyajak ini sudah sampai ke titik persinggahan yang belum muktamad kerana ia tertanya-tanya, “Ke mana harus kupergi kini/kalau tidak berpaling ke kampungku.” Tanpa diberi jawapan pun, arah tuju sudah pasti tidak merugikan beliau. Pastilah destinasinya jauh dari lingkaran “serkup” yang masih banyak melindungi orang lain.

ASKAT: Dari salah sebuah buku yang kubeli tadi kubaca profil seorang penulisnya. Beliau, kebetulan, kukenali, telah bersara seadanya. Tiba-tiba, pada usia 67 tahun (2006), dia menulis tiga buah buku dalam setahun dan bekerjasama menyelenggarakan sebuah buku lagi (2011). Boleh jadi, ada tulisan lain dihasilkan beliau, di luar pengetahuanku. Mungkin, sudah bertambah buku-buku beliau, kerana kesihatan beliau kelihatan tidak terganggu. Bagaimanakah aku?

"Suara Kita" Bahagian 7



Beralih kepada sajak-sajak yang berjudul “Kemerdekaan”. Merambang lagi. Kubaca hasil tangan Saufiah Abu Nawas (muka surat 941). Beliau kesal tiada kesedaran di kalangan remaja “erti kemerdekaan,/ Tidak menghargai jasa pengorbanan pahlawan,”. Maka pada Saufiah sangat penting “Dengan mengenang kembali sejarah yang telah tercipta.” Tanpa menyentuh mutunya, setakat itulah yang sesuai diteliti. Kita boleh baca contoh lain, ciptaan Duris anak Anjan (668), dan satu kalimat kupetik, “untuk kesenangan semua”. Agar sedikit panjang ulasanku, kita petik Nik Mira Izyame Alwi (798) pula. Beliau menekankan sumbangan yang perlu dalam mengisi kemerdekaan iaitu “….membela/… membina/… membantu/… menjulang/... mentafsir/…”. Sebagai karya seni, semua ini sangat perlu diperbaiki.

Jadi elok kuambil sajak teman fbku, Mohd Sabri Ibrahim (muka surat 1281). Fokusnya kepada lima perkara; “Tanah”, “Air”, “Api”, “Angin” dan “Roh”. Setiap satunya secara “(Melihat kepada Pengertian, Pengisian dan Makna)” seperti keterangan kecil judul asal. Barangkali dengan memetik dua atau beberapa kalimat di bawah setiap unsur atau aspek yang jadi tumpuan beliau sudah memadai. Jika demikian, beginilah: tentang “Tanah” (“tanah inilah peninggalan moyang/dengan janji kemerdekaan.”). Tentang “Air”, (“kesemuanya anugerah berpunca dari air,/kemerdekaan setiap yang bernyawa.”). Tentang “Api”, (“itulah keindahan dan sinar tenaga kekuatan kemerdekaan.”). Tentang “Angin”, (“angin segar inilah kemerdekaan,/setiap yang bernama kehidupan.”) dan tentang “Roh”, (“anak Adam memegang amanah sebagai khalifah ALLAH,”, “berbekalkan kelebihan dan kebijaksanaan,”, “itulah Roh Kemenangan dalam Kemerdekaanmu Malaysia.” Aku paksakan diri tidak jauh meneliti, walaupun tidak adil berhenti, kerana setiap baris berkualiti!

Maaflah kalau aku tidak dapat memuji yang lain-lain disebut awal itu, tetapi untuk temanku Sabri, ikhlas kuakui telah benar-benar berpuisi sarat erti. Seperti kataku tadi, setiap kalimat tidak merugi. Teman-teman atau pencinta nusa tidak akan walang kalau gubahan ini yang hendak kita laungkan sebagai sanjungan perdana sempena sambutan perayaan mensyukuri anugerah Ilahi tak dapat ditandingi nikmatnya ini iaitu kemerdekaan. Tanpa perlu tapisan, pilihlah sajak ini untuk majlis deklamasi. Selain indah bermutu tinggi, skopnya merangkumi inti cinta pertiwi yang indah/cantik alam semula jadi. Usaha beliau, jelas ditemani kecintaan murni kepada watan dan insan penghuninya.

Sajak seorang lagi teman fbku Zurinah Hassan, (muka surat 592-593) tidak perlu kusentuh kerana telahpun dititah sanjung sendiri oleh Raja Muda Perak, pada 6 Ogos 2009, sempena perasmian Majlis Pelancaran Karya-karya Terpilih Syed Hussein Alatas di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 6 Ogos 2009. Lihat Dewan Masyarakat, September 2009, muka surat 15). Apalah saya, lagi hendak menempeli?

"Suara Kita" Bahagian 6



Bayangkan sejauh mana berbeza, kalau katalah, 22 orang bercakap tentang perkara atau tajuk yang sama. Bolehkah berbuat begitu tanpa mengulang-ulang sebahagian atau menimbulkan pertindihan fakta atau pandangan? Bidang kesusasteraan pun tidak asing menghadapi persoalan. Baiklah kita teruskan. 

Saya ambil secara rambang sajak Mawarni “MERDEKA” (muka surat 1332). Yang diutamakan beliau ialah perlunya diingatkan bahawa 31 Ogos itu wujud dan tarikh itu tidak serupa dengan tarikh-tarikh yang lain. Sekiranya tidak disambut akan merugikan, tentulah negara dan rakyat jelata. Jadi, “asal ada majlis pun jadi/kerana masih tak mengerti.” Ada benarnya kebimbangan Mawarni. Selepas kita mencapai usia matang, 56 tahun, sudahpun ada pandangan generasi lama bahawa generasi baru tidak menghayati perjuangan nenek moyang untuk menjadikan generasi pelapis hidup sentosa. Di atas asas-asas apakah merdeka dicapai dan berdasarkan apa pula negara diuruskan? Jadi, melalui sambutan dan keraian, tidak semestinya besar-besaran, bolehlah diatur program supaya rakyat yang jutaan mengerti dan boleh memberi sumbangan setanding dengan pengorbanan para pejuang, bahkan lebih cemerlang, pada masa sekarang atau akan datang.

Ambillah satu sajak lagi, katakan karya A.A. Halim (muka surat 984) yang mempersoalkan, “Tetapi siapa sebenar merdeka?!/siapa yang isi kemerdekaan?!”. Nampaknya diakui Halim, rakyat telah menikmati habuan kemerdekaan “rakyat hidup aman bahagia”. Dengan menimbulkan pertanyaan tanpa jawapan, beliau telah mengingatkan kita bahawa kemerdekaan bukanlah suatu perkara yang boleh dipermudahkan. Harganya mahal untuk dilupakan, usang dan lesap hilang. Kemerdekaan adalah hak membuat keputusan sendiri, dalam semua hal, sama ada melibatkan perkara-perkara besar atau kecil. Boleh juga kemerdekaan itu menjurus seseorang mengeluarkan pandangan atau pendapat tanpa tertakluk kepada pandangan orang lain. Tidaklah sentiasa perlu mengangguk takut diketuk lantaran tidak sepasukan. Tentulah dengan menyedari batas-batas perundangan negara.

Negara harus bergerak maju ke depan. Dalam zaman kesejagatan seba-serbi (orang kini suka sebut globalisasi), semua orang boleh datang mengongsi negara ini, boleh gali harta tersembunyi yang memang berlambak belum diurus-jadi lebih bererti. Maknanya bukan rakyat (katakan perbadanan multinasional, pendatang, jiran sewilayah, pun boleh memainkan peranan, menjadi pesaing tegar bakal menguasai. Jadi, kalau rakyat tidak prihatin, tidak segera bertindak menjaga hak, mereka akan jadi penonton, atau paling-paling, pekerja-pekerja yang terperas lantas sukar lagi akan bingkas, lalu lemas. Cerita-cerita lama, zaman sebelum dan awal kemerdekaan akan berulang. Pak Kaduk, itek di air, ayam di kepuk padi dan seumpamanya menjadi klise ‘sakti’. Kerana tidak mati-mati tetapi menjadi mainan para pengutip kesempatan, bermuka talam banyak kepura-puraan. Seringkali menghantui peribumi yang ketinggalan.

"Suara Kita" Bahagian 5



Dari segi judul, didapati sebanyak 331 sajak berjudul yang secara langsung menggunakan perkataan sama ada “Merdeka” atau “Kemerdekaan” dengan kelainan dari segi judul penuhnya. Namun, ada pula judul-judul lengkap sajak-sajak dalam antologi ini serupa walaupun sajak-sajak itu adalah karya penyair-penyair yang berlainan. Sebagai contoh, 22 sajak yang berjudul “Merdeka” terdiri daripada karya-karya Merdeka Ahmad (muka surat 51), Baha Zain (muka surat 166), Rizi S.S. (muka surat 474), Saudah bt Mat Lazim (muka surat 514-515), Asrudin Abdul Jabar (muka surat 647-648), Halim Tarmizi (muka surat 685), Hireman Abdul Ghani (muka surat 699), Muna anak Lakat (muka surat 787-788), Noor Hidayah binti Mohd Yasin (muka surat 813), Noorisu Ismail (muka surat 821), Nur Sakinah Asmadey (muka surat 890), Nur Uzma Misbahul Munir (muka surat 891), Rusilawati Idris (muka surat 931), A. A. Halim (muka surat 984), Adinaduana (muka surat 1003), Hani IKM (muka surat 1050), Rizan Uda (muka surat 1166), Siti Khariah Mohd Zubir (muka surat 1218), Syed Harman Shah Syed Osman (muka surat 1237-1238), Tarmidzi Hashim (muka surat 1241), Zamzarinah Misnan (muka surat 1271), dan Mawarni (muka surat 1332).

Bagi yang berjudul “Kemerdekaan” berjumlah 10 sajak iaitu karya Harussani Hj. Zakaria (muka surat 33-34), Nahmar Jamil (364) , Zurinah Hassan (592-593) , Che Norazila Che Ali (662), Duris anak Anjan (668), Nik Mira Izyame Alwi (798), Nor Azila Mat Jaafar (826-827), Saufiah Abu Nawas (941), Zaharah Ghazali (1252) dan M. Sabri Ibrahim (muka surat 1276). Sajak Mohd Sabri Ibrahim sedikit lain judulnya kerana ditambah dalam kurungan dengan “(Melihat kepada Pengertian, Pengisian dan Makna).”

"Suara Kita" Bahagian 4


Sajak pertama termuat dalam antologi ini berjudul “Pohon” karya ABDUL RAHMAN ABBAS bermula di muka surat 2-4 dan sajak terakhir, yang ke-1000, “Rinduku Pada Malaysia” karya Zaleha Ismaon termuat di muka surat 1346. Dengan menolak 10-14 halaman pemisah kategori atau kelompok penyajak maka bermakna 1300 muka surat dipakai bagi menampung 1000 sajak. Kalau diambil purata maka setiap sajak menggunakan 1.30 halaman. Sajak yang terpendek ialah karya Ismail Restu, “31 OGOS, 1957” sepenuhnya disalin:

 “Engkau tarikh keramat/kami terlepas daripada belenggu/akan kami kenang sampai bila-bila.”.

Sajak terpanjang berdasarkan bilangan halaman yang diambil ialah, “Kehidupan Orang Melayu Sebelum dan Selepas Merdeka” karya ASHAARI MUHAMMAD (muka surat 22-26) dan “Di atas Runtuhan Kota Melaka” karya HAMKA (muka surat 608-612). (Sajak hamka ini ada juga termuat dalam Ahmad Kamal Abdullah, “MengenangMu Puisi-puisi Melayu Berunsur Islam 1933-1986, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989, cetakan pertama, (diselenggarakan bersama Mohd Hanafi Ibrahim), muka surat 9-14. Tercatat tarikh penciptaannya di Melaka pada 25 Ogos 2603 dalam Semangat Asia, September 1943. Ada juga rencana dalam Dewan Siswa November 1981, muka surat 4-5).  
 
Di kalangan penyair, dua sajak yang agak panjang ialah karya A. Samad Said, “Mutiara Kemerdekaan” (muka surat 70-73) dan Baha Zain, berjudul “Sungai Ingatan” (muka surat 167-170) Dua sajak yang hendak kusebut sedikit ialah “Merdeka” karya ASRUDIN ABDUL JABAR. Sajak ini, selain kalimatnya “Dulu, kini dan selamanya …” tiada menggunakan kata-kata lain kecuali tarikh-tarikh kemerdekaan 1957 dan diikuti perkataan “1958” berturutan sehingga “2013”. Sebuah lagi sajak elok disebut kerana ia menjadi judul antologi mega ini, “Suara Kita”, karya ABDULLAH JUSOH, di muka surat 1001.