Banyak sekali aku membeli buku dalam jangkamasa hampir seminggu kebelakangan ini. Ya, benar. Begitu juga, merata-luas tinjauanku mengenai tajuk-tajuk buku di toko buku berunsur ilmu, buku-buku lama dan baru, semuanya bermutu. Tersedarlahselalu dan tahulah betapa sedikit ilmuku, betapa sempit liputan bacaanku, betapa melukutnya aku berbanding dengan ribuan karyawan yang lain, yang buku-buku mereka kupegang tilik, kubelek-belek, kubeli atau baca tema perbicaraannya, sebahagian dengan asyik terlupa waktu berlalu. Memanglah tidak semua buku jadi kubeli, memikirkan tempat penyimpanannya yang sudah tiada tersedia lagi, muatan saku pun mempengaruhi. Sentiasalah aku ini memikirkan sudah banyak sekali kuhimpunkan pelbagai bahan bacaan, dengan ingatan untuk kubaca bila masa lapang datang menjelang! Kemudian jadi karyawan …. ahai malang!
Dalam keadaan begini melintas sajak teman fbku, Rahimidin Zahari, “Doa Puisi Si Fakir”, Dewan Sastera, Januari 2004, muka surat 37. Anak kampung ini telah mulai menghargai dunia kebukuan kerana berhasil mengaut faedah yang terang; mindanya terbuka menerawang, hasil pembacaan, yang diakui sendiri belum sangat boleh dibanggakan (sungguhpun “…beribu buku/yang kubuka dan tekuni”). Tetapi kita tahu penyajak ini bersyukur benar dengan pendedahan yang nampaknya tiada akan berkesudahan, bahkan bakal bertambah lagi. Melalui penguasaan bahasa, Arab dan Inggeris, bertambah luas alam maya ini akan diterokai. Kini dia sudah mengenali Iqbal, Arabi, Usman, Baha, Latiff, Muhammad, Sapardi, Goenawan Jalaludin Rumi, Ibn Khaldun, Frost, Neruda, Paz, Marquez, Brodsky , Walcott, Oe dan Gao Xinjian. Ada kata-kata Rahimidin, “Aku harus keluar dari serkup kampungku:/bintang memang di angkasa/dan aku ingin menjadi salah satu/daripada bintang itu,” Pengetahuan yang digali melalui pembacaan itu telah membantunya berkarya. Pun demikian, beliau merendah diri, mengetahui di mana tempat sebenar berdiri, seperti katanya, “aku hanya setitik dakwat/terjatuh di lembaran kertas”. Penyajak ini sudah sampai ke titik persinggahan yang belum muktamad kerana ia tertanya-tanya, “Ke mana harus kupergi kini/kalau tidak berpaling ke kampungku.” Tanpa diberi jawapan pun, arah tuju sudah pasti tidak merugikan beliau. Pastilah destinasinya jauh dari lingkaran “serkup” yang masih banyak melindungi orang lain.
ASKAT: Dari salah sebuah buku yang kubeli tadi kubaca profil seorang penulisnya. Beliau, kebetulan, kukenali, telah bersara seadanya. Tiba-tiba, pada usia 67 tahun (2006), dia menulis tiga buah buku dalam setahun dan bekerjasama menyelenggarakan sebuah buku lagi (2011). Boleh jadi, ada tulisan lain dihasilkan beliau, di luar pengetahuanku. Mungkin, sudah bertambah buku-buku beliau, kerana kesihatan beliau kelihatan tidak terganggu. Bagaimanakah aku?
No comments:
Post a Comment