SANGAT kebetulan. Selepas saya selesai memantul sajak Rahimidin Zahari di lamanku, saya tersinggah di laman tuan Sutung Umar RS dan membaca selayangnya di sana. Memang sesuatu boleh berlaku tanpa kita ketahui.
Demi nostalgia desa (yang samasekali tetap beralih rupa, bagaimanapun tidak demikian sebahagian kita menghajatinya) kurenung “Surat Rindu”, Rahimidin Zahari, dalam Dewan Siswa, Disember 1988. Barangkali terbetik di sanubarinya, “Kak” semakin selesa di perantauan belum tamat pengajian. Perutusan yang diterima membayangkan “yang kaurindu/hanya musim bunga” berbanding tiga lagi yang berlainan. Tetapi penyair mengingatkan, “Tamat pengajian nanti, Kak/pulanglah…”. “ku” penuh yakin dan harap, semua kenangan yang dilalui bersama boleh dikembalikan kerana di desa tanah tumpah darah masih ada semua, seperti sedia kala, “… menjolok duku,/ciku atau jambu…”/Berjirus di sumur sejuk/dirimbuni cempaka”. Mesra sungguh kata-kata, lembut benar nadanya. Tak mengapalah latar kehidupan desa kian berubah rupa dan suasana tradisional tiada akan bertahan lama! Demi rindu,bayangan seharusnya yang sedia kala, tanpa nila. Tetapi usia merangkak jua.
ASKAT: Hubungan persaudaraan sedarah sedaging, apalagi ketika sedang remaja, ketika masing-masing belum berkeluarga sangat erat murni tak bercuka. Bila berjauhan, seakan tiada terdaya menanti saat berjumpa semula, meriuhi suasan dengan hilai ketawa dan kesyukuran beriringan. Tentulah kerinduan lantaran perpisahan dengan rela, demi mengupayakan diri memelihara atau menjamin kebahagiaan keluarga tidaklah seberapa, berbanding habuan berganda bakal diterima. Yang demikian sudah jadi lumrah. Orang berusaha akan berjaya. Yang terutama, seseorang harus sentiasa menanamkan dalam minda bahawa apabila pertanggungjawaban diserahkan maka sepenuh daya dituntut demi mencapai kejayaan sempurna. Jangan sekali-kali dipersia. Alangkah manisnya merangkul kejayaan. Yang ini harus selalu diingat. Baharulah akan kekal sedar kita bahawa kehidupan ini sebenarnya adalah suatu anugerah yang melorongkan manusia ke hala tuju yang sentiasa haloba penambahbaikan.
No comments:
Post a Comment