Wednesday, 6 November 2013
"Suara Kita" Bahagian 7
Beralih kepada sajak-sajak yang berjudul “Kemerdekaan”. Merambang lagi. Kubaca hasil tangan Saufiah Abu Nawas (muka surat 941). Beliau kesal tiada kesedaran di kalangan remaja “erti kemerdekaan,/ Tidak menghargai jasa pengorbanan pahlawan,”. Maka pada Saufiah sangat penting “Dengan mengenang kembali sejarah yang telah tercipta.” Tanpa menyentuh mutunya, setakat itulah yang sesuai diteliti. Kita boleh baca contoh lain, ciptaan Duris anak Anjan (668), dan satu kalimat kupetik, “untuk kesenangan semua”. Agar sedikit panjang ulasanku, kita petik Nik Mira Izyame Alwi (798) pula. Beliau menekankan sumbangan yang perlu dalam mengisi kemerdekaan iaitu “….membela/… membina/… membantu/… menjulang/... mentafsir/…”. Sebagai karya seni, semua ini sangat perlu diperbaiki.
Jadi elok kuambil sajak teman fbku, Mohd Sabri Ibrahim (muka surat 1281). Fokusnya kepada lima perkara; “Tanah”, “Air”, “Api”, “Angin” dan “Roh”. Setiap satunya secara “(Melihat kepada Pengertian, Pengisian dan Makna)” seperti keterangan kecil judul asal. Barangkali dengan memetik dua atau beberapa kalimat di bawah setiap unsur atau aspek yang jadi tumpuan beliau sudah memadai. Jika demikian, beginilah: tentang “Tanah” (“tanah inilah peninggalan moyang/dengan janji kemerdekaan.”). Tentang “Air”, (“kesemuanya anugerah berpunca dari air,/kemerdekaan setiap yang bernyawa.”). Tentang “Api”, (“itulah keindahan dan sinar tenaga kekuatan kemerdekaan.”). Tentang “Angin”, (“angin segar inilah kemerdekaan,/setiap yang bernama kehidupan.”) dan tentang “Roh”, (“anak Adam memegang amanah sebagai khalifah ALLAH,”, “berbekalkan kelebihan dan kebijaksanaan,”, “itulah Roh Kemenangan dalam Kemerdekaanmu Malaysia.” Aku paksakan diri tidak jauh meneliti, walaupun tidak adil berhenti, kerana setiap baris berkualiti!
Maaflah kalau aku tidak dapat memuji yang lain-lain disebut awal itu, tetapi untuk temanku Sabri, ikhlas kuakui telah benar-benar berpuisi sarat erti. Seperti kataku tadi, setiap kalimat tidak merugi. Teman-teman atau pencinta nusa tidak akan walang kalau gubahan ini yang hendak kita laungkan sebagai sanjungan perdana sempena sambutan perayaan mensyukuri anugerah Ilahi tak dapat ditandingi nikmatnya ini iaitu kemerdekaan. Tanpa perlu tapisan, pilihlah sajak ini untuk majlis deklamasi. Selain indah bermutu tinggi, skopnya merangkumi inti cinta pertiwi yang indah/cantik alam semula jadi. Usaha beliau, jelas ditemani kecintaan murni kepada watan dan insan penghuninya.
Sajak seorang lagi teman fbku Zurinah Hassan, (muka surat 592-593) tidak perlu kusentuh kerana telahpun dititah sanjung sendiri oleh Raja Muda Perak, pada 6 Ogos 2009, sempena perasmian Majlis Pelancaran Karya-karya Terpilih Syed Hussein Alatas di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 6 Ogos 2009. Lihat Dewan Masyarakat, September 2009, muka surat 15). Apalah saya, lagi hendak menempeli?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment