Aku mengenali Sutung Umar RS lebih melalui sajak-sajak bukan melalui cerpen. Tetapi kerana judulnya, “Sebuah Kenangan Sewaktu Kecil”, “Dewan Masyarakat”, Mei 1990, muka surat 52-55, aku terpesona lalu membacanya. Tekun sekali. Benarlah agakanku. Apakah agakannya? Harapku Sutung, yang sentiasa memukauku melalui puisi-puisi beliau akan begitu juga dengan ceritanya, dianyami bahasa, dicelahi falsafah hidup atau pandangan hasil pengalaman perit yang dilalui, sebelum dan selepas berhijrah.
Aku tidak ingin berpanjangan. Wajarnya kupetik sahaja, “…Dalam kembara hidupnya hari ini, dia sudah berada jauh. Dia telah lama berjalan. Dia telah meninggalkan kampung. Dia telah meninggalkan halaman. Dia telah meninggalkan sahabat handai, meninggalkan sanak saudara. Masa lalu ialah biji-biji mutiara kenangan yang bercampur antara pahit dan manis. Antara yang menyeronokkan dan yang menyedihkan. Yang menggembirakan dan yang memedihkan. Semuanya selalu sahaja terbayang dalam fikirannya tetapi berbalam-balam seperti memandang…. … Dan demikianlah ingatannya.
Aku pasti teman fbku ini sedang mengalami: “Masa depan mula samar-samar kelihatan dikotak fikirnya seperti kabus pagi pada musim padi menguning di belakang rumahnya. Dia bakal menulis buku nasibnya sendiri. Tidak ada yang dapat mempengaruhinya.”
ASKAT: Kian berusia di mayapada sering menarik minda ke halaman-halaman awal takuk-takuk kehidupan. Kenangan Sutung menyorot peristiwa-peristiwa 15 tahun lampau. Kenanganku menyata meliputi 44 tahun silam. Pun, ada persamaan. Beberapa. Lagi, aku terkenang laut, pantai, angin, ru, pulau, wau, kawan-kawan sepermainan, yang semakin hilang. Dan aku terus mengenang-ngenang ….
No comments:
Post a Comment