Sajak teman fbku Rahimidin Zahari, “Mahsuri (II)”, termuat dalam kumpulan sajak “Abrar”, Persatuan Penulis Kelantan, 2011, cetakan pertama, muka surat 97, memaparkan intipati sumpah Mahsuri. Selama “tujuh keturunanmu” akan “tulah papalah” Langkawi. Ada kesedaran pula dari penyair ini tentang kesahihan cerita, ataupun, implikasi sumpah itu sendiri seperti dapat dikesan melalui, “Kebenaran adalah/hikayat sejarah/yang berliku dan/mengalir panjang”. Cerita Mahsuri, kita tahu versinya ada beberapa. Tetapi adakah peristiwa-peristiwa yang mendukunginya bersandarkan fakta-fakta, atau berbaur gubahan minda, sukar hendak dibenarkan semua. Jadi, istilah “hikayat” barangkali paling kena. Akhiran sajak ini penting juga kerana dimadahi “Langkawi akan/kembali dikenang.” Kita yang hidup sekarang boleh sendiri menilai dan mentafsirkan.
ASKAT: Ada pertelingkahan riwayat tentang Mahsuri. Tetapi yang menguasai jiwa dan pemikiran umum, suka atau sebaliknya, ialah kematiannya adalah dalam teraniaya oleh tindakan zalim akibat iri hati, dendam dan tidak teliti memeriksa, sebelum mengambil keputusan, sehingga timbul bencana keseluruh pulau. Penduduk menderita, tiada tanda sentosa menjelma, tentunya lantaran berpuaka. Lama-kelamaan, mitos (?) pun dijadikan legenda dan kekal dibicarakan dengan maksud-maksud yang jelas mengandungi makna. Tetapi pastikah kita, tempoh sumpah itu telah berlalu menunaikan niatnya, atau perkembangan Langkawi kini kerana ada inisiatif manusia perkasa yang boleh mempengaruhi suasana?
Nota: Gambar hiasan adalah karya Abd. Ghafar Bahari (Gopa) berdasarkan bahan-bahan dan imaginasi beliau. Dikatakan sebanyak 12 lakaran telah disediakan dan yang ini dipersetujui sedang editor “Dewan Masyarakat”.
No comments:
Post a Comment