Agak malang kalau kita biarkan perasaan yang hadir meresapi hati hasil membaca puisi ini hilang dicelah halaman, tidak dikongsi dengan teman-teman. Seringnya demikian berlaku, apalagi ciptaan ini sudah pula sesuku abad terkambus selesa. Sedangkan ciptaan ini berharga. Ini adalah suatu rakaman tentang kejatuh-cintaan terhadap tempat menabur bakti. Perasaan yang terjadi ketika sahaja akan melangkah pergi, bakal tidak di situ lagi. Sungguh-sungguh jernih hasrat teman fbku tersohor Ahmad Sarju terus kekal lama di “pulau yang harum dengan keheningan/…/tenang yang membiru/damai yang padu.” Pulau itu miliki semua yang menjadikan kehidupan ini sungguh membahagiakan. Nampaknya beliau tidak ada pilihan untuk bertahan lama lagi kerana perlu berangkat ke destinasi lain, mengalih haluan. Terlalu benar disayanginya, sampai tidak mahu ia melihat tahap kesempurnaan pada keberadaan itu berubah daripada yang seadanya. Ini jelas dalam sajak “Keterharuan”, Dewan Masyarakat, Mac 1988, muka surat 55. Singgahlah mengharu sanubari. Janganlah terlepas peluang yang datang sesekali.
Jika diteruskan penghayatan, sesiapa kukira tidak akan terlepas ungkapan yang yang sarat dengan kelembutan, kemesraan, kemurnian melalui ungkapan yang mengulang-ulangkan “kubiarkan…”, yang digandingkan bersilihan dengan “harum sepi membungkus…”/…. langit petang tenang terbenam/…pucuk kelapa bergetar riang/ camar meredah temaram” dan alangkah kenanya bila disepuhi “malah syahdu berkembang.” Satu penamat yang agam.
ASKAT: Tiada kenakah kalau kupinjam madah orang tua-tua, “tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.” Semoga kalimat lama ini pun menggetar jiwa. Agar lagilah terkobar rasa. Memanglah letusan yang diterbitkannya tidak sama dengan suasana yang dibuaki oleh unsur-unsur pulau yang memukau itu. Hakikatnya, kenangan sentiasa datang pabila akan berpamitan. Tidak semestinya, yang ditinggalkan itu; sahabat taulan, saudara seketurunan atau pun kampung halaman, atau rantau tempat berdagang, semua ada kesannya. Kalaulah selama tempoh diberi kesempatan, kita sepenuh hati mencurahkan segalanya, dengan kejujuran tak tercalar, keikhlasan tak pudar, ketekunan tak samar sementelahan pula ditimbali kepuasan tiada tandingannya, dari ukuran peribadi pun, maka mudahlah difahami orang lain bahawa kita benar-benar telah bersatu dengan tempat itu. Keharuan, atau lebih puitis lagi, “keterharuan” sebenarnya adalah suatu anugerah yang tersangat pada.
No comments:
Post a Comment