Ini adalah kesan, reaksi dan
tanggapan saya terhadap intisari tafsiran al-Quran
setelah mendengar kuliah Subuh hari ini (genap
61 tahun) 1 Disember 2012=17 Muharram 1434 di MKT. Seperti selalu penceramahnya
ialah Ustaz Ariffin bin Ismail, Pensyarah Universiti Malaya.
Pemahaman tentang sesuatu istilah, konsep, sejarah dan
pemakaiannya dalam situasi semasa adalah penting. Bagi maksud reaksi ini, ambil
saja istilah al-Munafiqun. Dari segi
sejarah, istilah al-Munafiqun telah
ada disebut dalam al-Quran lebih 14 abad yang lalu. Apabila orang Islam mengatakannya
atau menyebut istilah ini, maka di kalangan orang Islam biasa, terlintas dalam fikiran
mereka orang yang yang berpura-pura; wajahnya, sikapnya, amalan zahirnya nampak
beriman sedangkan yang lebih benar ialah sebaliknya. Orang Munafik boleh
mengabui mata orang ramai dengan mudah dan jika berterusan orang ramai akan
terikut-ikut lalu menjadi munafik atau mengamali tingkah-laku demikian juga.
Kuliah Subuh tadi memfokus ayat-ayat
9, 10 dan 11 Surah al-Munafiqun.[1]
Rumusan ketiga-tiga ayat ini bolehlah dinyatakan begini; bahawa selagi masih
hidup, mempunyai kesempatan, ada kuasa, ada harta, ada pangkat, berbakti dan
berjasalah dengan sentiasa mengingati Allah. Mengingati Allah bukan sekadar
berzikir subhanAllah, alhamdulillah, Allahu
Akbar, bahkan jaaauh melebihi tanggapan
itu. Berbuat yang terbaik dalam semua perkara dalam konteks menggunakan apa
yang kita miliki demi memperkuat umat atau orang lain seagama dengan kita.
Konsep rezeki misalnya tidak terhad
kepada pendapatan bulanan yang diterima, upahan harian, wang ringgit, pangkat
yang disandang, ilmu yang tertanam di dada, kesihatan yang terjaga, umur yang
panjang, anak cucu sekeliling pinggang, rakan taulan yang merata. Semuanya itu,
dan lain-lain lagi adalah pelbagaian rezeki yang kita nikmati. Maka rezeki ini
hendaklah dimanfaatkan untuk diinfakkan; kepada kariah masjid, kepada
masyarakat setempat, kepada anak-anak yatim, kepada ibu-ibu tunggal beranak
ramai dan banyak lagi kumpulan sasarnya. Lagi, kalau hendak diperluas; pemimpin
masjid yang berilmu (apa sahaja ilmu berguna) manfaatkan ahli-ahli kariah
dengan ilmu itu; Bilal yang merdu suara dan menarik teknik azannya boleh
melatih remaja-remaja lain agar bila-bila masa sahaja boleh mengambil alih; m,ana-mana
ahli jemaah masjid berupa pemimpin korporat boleh membangunkan imej masjid
supaya menjadi entiti korporat yang tidak tercemar lagi gah; mereka yang
menguasai sumber-sumber boleh mengukuhkan keupayaan masjid dengan sumber-sumber
itu, dengannya masjid boleh mengisi minda warga emas lelaki dan wanita, mengislahkan
pemikiran para remaja ke jalan budaya Islamiah. Banyak lagi programnya, dan ini
akan menyusul nanti….
Nah, kalau kita tidak memahami
apakah itu tindakan-tindakan seorang yang munafik maka kita tidak terasa
melakukan kesalahan kerana kita tidak sedar dalam tanggapan berimannya kita (yang
sebenarnya tidak tepat) kita melanggar batas-batasnya. Kita tidak fikir kita telah
mengabaikan masyarakat yang kita gauli kerana
kita sudah rasa mencukupi melaksanakan rutin seorang Islam yang baik; kerana
kita sudah pergi sembahyang Subuh atau Maghrib atau Isya’ di masjid; setiap
Jumaat kita memberi sedekah dan derma secara menabung di masjid; sekali-sekala
kita hadir mendengar ceramah agama; setiap Ramadan kita tidak ketinggalan
bertarawih 8 rakaat; dan lain-lain lagi yang menjadikan kita diiktiraf sebagai muka
lazim di mata ahli-ahli kariah.
Ya, masjid kita besar, berhawa
dingin, berpermaidani empuk. Makmum ada sebaris sahaja di belakang Imam. Kita tahu yang
ada di masjid ini ialah orang-orang yang 15-30 tahun menghirup udara persaraan;
tua-tua, dan sudah tidak banyak lagi kuasa untuk merubah, sudah mulai
dilupakan, tidak dikerumuni pelanggan-pelanggan, tidak boleh lagi memberi
sumbangan tenaga sukarela tulang empat kerat, sudah goyah jasmani
berlama-lamaan menyertai pelbagai aktiviti. Pendek kata sudah menurun menuju
garisan penamat, dalam kesunyian. Hakikat yang terpampang jelas, tiada
pengganti mendampingi sebaris di saf kedua. (Kata Ustaz: Apa salahnya kita hadiahkan RM10 bagi mana-mana remaja yang datang awal
ke masjid, demi mendidik? Fikirkanlah apa saja cara untuk mengatasinya! Begitu bukan
salah.)
Kalau kita percaya ada kehidupan
lain selepas kematian dan kebahagiaan hidup di alam baru yang kekal kelak bergantung
kepada kesan dari jasa bakti kerana mengingati Allah semasa di dunia ini maka
tentulah ada regret atau sesalan bercambah
dalam diri kerana sambil lewa, berkira-kira sangat untuk berkecimpung, bertindak
secara betul ketika kesempatan terbuka luas atau ketika kita diberi pilihan
menentu sendiri corak situasi di tempat kita. Bukankah ghalibnya kita akan mati
dan disolati di sini? Sewajarnya kita tidak boleh cuai sampai ditempelak; kenapa
ketika engkau berpangkat, engkau berharta, engkau sihat, engkau berilmu, engkau
berkuasa dan menguasai semuanya tiada apa yang bermakna dilakukan supaya dapat
diwarisi generasi pelapis, menjadikan mereka boleh menyambung berbakti, berjasa
dan bertaqwa mengikut kefahaman yang paling menepati?
Masjid adalah pusat mendidik
ahli-ahli kariah. Fakir, miskin, orang terlantar melihatnya sebagai tempat bergantung harap
ketika kesempitan, musafir terbela sementara melepas lelah sebelum meneruskan
perjalanan. Anak-anak sekolah dari keluarga
tidak bernasib baik datang untuk belajar kelas-kelas tuisyen percuma atau
separuh ditaja, orang ramai datang membaca buku-buku berharga menambah ilmu
pengetahuan, para mahaguru datang mencambah benih ilmu dunia akhirat, mahasiswa-mahasiswi
berseminar/berqiamullail membentuk para kader mujahid pembela masyarakat dan
institusi, dan ….
Kata Ustaz Ariffin tadi, perang
senjata tidak sebahaya perang budaya, perang fikiran oleh musuh-musuh Islam.
Benarlah kalau ditembak sebutir peluru oleh penjenayah antarabangsa pelurunya
menusuk satu badan dan matilah kesan akhirnya. Dan individu itu hilang hayatnya
berpusara dan seorang warga berkurangan dalam negara. Sebaliknya, kalau fikiran
atau minda yang ditawan lalu seseorang
menjadi pak turut ia kemudian menjadi perkakas atau alat diayah atau dakwah untuk
menambah lagi kebinasaan kepada individu-individu lain, generasinya, kaum
kerabat dan orang-orang yang boleh dipengaruhinya dan kemudian ditawannya lagi.
Di Aceh suatu dekad dahulu, di suatu kawasan penduduk
Kristian hanya lebih kurang 10 peratus.
Kini sudah jadi 40 peratus. Bilangan gereja sudah melebihi masjid,
merata tempat dibina, benar-benar dirancang untuk menyaingi. Jadi, bayangkan jika
orang yang kalah mindanya ini, adalah orang-orang
kita; jika ia adalah pemimpin besar, pemimpin sederhana, pemimpin kecil,
pemimpin sekolah, pemimpin, kelas, pemimpin masjid, pemimpin kariah, pendek
kata ketua pada tahap masing-masing, apakah kemusnahan budaya dan keagamaan
yang boleh mereka lakukan?
Ustaz mencetuskan, tidak bolehkah diselaraskan? Bijakkah semua
NGO berebut-rebut bertumpu ke Palestin, sedangkan kita pun mempunyai masalah-masalah
besar seperti kehakisan budaya ke arah kemusnahan tanpa kita mempunyai benteng atau
merangka strategi pertahanan yang kukuh?
Maka adakah sekarang kita tahu
munafik ada dalam sejarah awal Islam ketika Nabi Muhammad masih hidup. Munafik
ada pada zaman Khulafa al-Rasyidin, zaman Kekhalifahan Umayyah, Kekhalifahan Abbasiah,
Empayar Othmaniah, zaman nasionaliah, dan masih kekal ada pada zaman kita kini iaitu zaman globaliah.
Saya mahu kita mengatasi, kalau boleh, secara menyeluruh,
tidak mengapalah juga secara berperingkat-peringkat, secara berkelompok-kelompok,
secara berindividualan, secara negeriah,
secara berdaerah, secara lokaliah,
secara kariah, selaras dengan keupayaan sendiri masing-masing, dengan pendekatan
paling praktikal. Barangkali boleh kita sebagai orang biasa, orang bawah
memulakan dengan menerima pendekatan dari bawah juga. Biarkan latar-latar yang
lain itu (di atas dari kita) iaitu di peringkat kita tidak ada kuasa, tidak ada
pangkat, tidak punya pengikut, kita tidak dikenali, terserah kepada orang lain mengendalikannya.
Dengan cara begini, jika di tempat lain tidak berlaku perubahan positif di jajahan kita tetap berkembang maju.
Jadi, katalah kita berkuasa atau bermukim di satu kariah
kita buatlah pelan strategik kariah supaya fahaman kita yang baharu tentang
konsep munafik menyerlahkan imej baru di sekeliling kita, penuh dengan wajah
orang-orang solehah atau sedang berubah menepati ajaran Rasullullah s.a.w.
Pelan Takwa Kariah akan menjadi bahan
penulisan yang akan datang, insya-Allah.
[1] Saya baca Rachmat Taufiq Hidayat, Khazanah Istilah al-Quran, Penerbit Mizan, Bandung, 1989,
dinyatakan istilah Munafiqun dan Munafiqin terdapat dalam banyak surah dan
ayat dalam Al-Quran seperti surah-surah 9 (Al-Tawbah) ayat-ayat 64, 67, 101; 33
(Al-Ahzab) ayat-ayat 12, 60; 57 (Al-Hadid) ayat 13 (bagi Munafiqun) dan 4 (Al-Nisa’) ayat-ayat 61,88, 138, 140, 142, 145; 9
(Al-Tawbah) ayat-ayat 67, 68, 73; 29 (Al-Ankabut) ayat 11; 33 (Al-Ahzab)
ayat-ayat 1, 24, 48, 73; 63 (Al-Munafiqun) 1, 7, 8; (bagi Munafiqin). Dikatakannya,
“artinya orang-orang nifaq, yakni
orang-orang yang melahirkan sesuatu yang berbeda dengan keyakinan yang
sebenarnya atau orang yang pura-pura beriman padahal sebenarnya kufr.” (lihat muka surat 106). Kebetulan
tidak lama berlalu, Sikap dan Peribadi Orang-orang
Munafiqin menjadi tajuk rencana Guru Muda dalam majalah Pengasuh bilangan 331, Julai 1961=Safar
1381. Guru Muda mengulas Surah Al-Baqarah
ayat-ayat 11 – 16. Sungguhpun telah lama ditulis pemerian dalam rencana itu
masih kemas dan ayat-ayat yang dirujuk di atas saling melengkapi.
No comments:
Post a Comment