Begitu lama ‘notebook’ ini ku simpan apabila yang baru digunakan. Dalam menyelongkar fail-fail di dalamnya ku terjumpa sebahagian catatan peribadi, yang kadang-kadang ku lakukan bila timbul semangat. Walaupun agak panjang, ku siarkan di sini untuk teman-teman FB lebih mengenali, jika sudi. Catatan ini sangat mentah dan tidak disunting langsung. Catatan seperti ini sedang ku kumpulkan untuk digunakan menulis biografi, insyaAllah.
"13 Ogos 2008, Alor Setar, Kedah, Holiday Villa, 8.03 malam.
Selepas selesai temuduga aku diajak wakil jabatan yang menganggotai panel temuduga makan tengah hari. Aku menumpang menaiki kereta beliau ke Mee Abu makan pasembur. Gerai ini dikatakan popular di Alor Setar. Bolehlah! Dia kemudian membawa ku ke Anak Bukit, melalui istana Sultan, mini Putrajaya ke arah lapangan terbang. Di situ ada gerai berhimpit rumah menjual ‘pisang sorong’. Ini telah wujud sejak dia kecil. Ini satu-satunya yang ada dan menjadi tumpuan ramai. Sebungkus dia hadiahkan untuk ku setelah tiba semula di hotel. Pisang sorong ini ku kecapi dalam bilik ku nombor 1807 dan terbukti ‘best’.
Kelmarin, semasa di lobi hotel, ketika sedang bercakap dengan Dato' Wira Hashim yang kebetulan datang untuk urusannya sendiri di hotel itu, aku terserempak pula dengan Dato' Wan Mustama Wan Hayat, yang baru selesai 'check-in' sebaik tiba dari lapangan terbang. Beliau adalah teman lama, sedarjah semasa belajar dalam Tingkatan Enam di Sekolah Alam Syah pada tahun 1969 dan 1970. Lama benar aku tidak berjumpa beliau selepas tamat pengajian di Universiti Malaya dahulu hujung 1973 atau awal tahun 1974. Masing-masing memilih kerjaya. Beliau memasuki perkhidmatan pendidikan dan ‘hilang’ tanpa khabar berita. Empat lima tahun lalu sahaja ku dengari berita tentangnya melalui media massa ketika beliau ditempatkan di Institut Aminuddin Baki, mungkin sebagai Timbalan atau Pengarahnya. Kemudian ku dengar beliau menjawat jawatan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru. Dalam satu mesyuarat di JPA, semasa aku menyandang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, beliau hadir mewakili Kementerian Pelajaran. Sungguhpun kami duduk hampir betul-betul setentang, aku tidak perasan beliau yang bersongkok sehinggalah mesyuarat selesai apabila beliau datang menyapa dan ku mengambil sedikit masa untuk merenung untuk mencam beliau. Kami kemudian berbual ringkas di pejabat ku. Kebetulan, dalam komputerku ada gambar kelas 6SASA3 dan, atas permohonan, ku emelkan kepada pc beliau. Semasa beliau mengikuti kursus Pengurusan Tertinggi Untuk Pegawai-pegawai JUSA C di INTAN, Bukit Kiara pada pertengahan tahun 2007 selama 3 minggu kami lebih kerap berjumpa kerana aku menjadi salah seorang Panel Penilai kursus tersebut. Dalam sesi-sesi perbincangan kumpulan, pembentangan projek dan pengucapan awam aku hadir menilai setiap peserta kursus, termasuk kawan ku ini.
Tidak lama selepas kursus berakhir beliau bersara, mungkin bulan September 2007. Ketika mempelawa beliau ke majlis perkahwinan anak perempuanku pada 24 November 2007, yang ku adakan di Bangunan Puspanita, Putrajaya, beliau tidak dapat hadir kerana beliau juga mengadakan majlis perkahwinan anak perempuan beliau di rumah beliau di Kuantan. Baharulah di Holiday Villa ini kami berjumpa semula. Katanya, selepas bersara lebih kurang 6 bulan, kini beliau dilantik menjadi ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran untuk tempoh 3 tahun, mungkin bermula pada Julai 2008. Tadi, pukul 5.30 petang kami berbual-bual di tepi jalan Tunku Ibrahim sambil makan buah dokong yang baru ku beli di Pekan Rabu, selepas makan laksa di salah satu gerai di situ. Beliau masih tinggal di Kuantan. Mesyuarat Suruhanjaya Pelajaran adalah dua minggu sekali.
Wan bertanya khabar tentang kawan kami, merupakan kawan akrab ku, yang juga sedarjah dengan kami di SAS , Mohd Yusuff Hj Muhammad. Aku memberitahu, semasa mengendalikan urusan temuduga Pegawai Latihan Vokasional hujung bulan Julai baru lalu aku berjumpa beliau bersama seorang lagi kawan sekelas ku semasa di Sekolah Nasiruddin Syah dahulu, pelajar terbaik Tingkatan Lima, Dr. Che Mohd Sefai, bekas Pensyarah Maktab Perguruan Batu Rakit, Kuala Terengganu. Kami bertiga adalah rakan sedarjah dari tahun 1965 hingga 1968. Sefai, melanjutkan pelajar ke Tingkatan Enam dalam jurusan sains di Kolej Islam, Petaling Jaya. Beliau melanjutkan pengajian di UKM dan memasuki perkhidmatan perguruan sampai bersara pada tahun 2007. Mohd. Yusuf adalah kawan yang bersama-sama dengan ku meninggalkan Besut ke Sekolah Alam Syah. Selepas bersara dia menyambung tugas sebagai pensyarah di KUSZA (bertukar nama Universiti Darul Iman) secara kontrak.
Wan akan selesai menemuduga bakal-bakal guru esok dan berlepas ke Kuala Lumpur sebelah malam. Aku pula akan bertolak pulang jam 3.20 petang esok selepas 3 hari menemuduga calon-calon untuk jawatan Penolong Pegawai Tadbir di sini. Kami berpisah, apabila beliau menerima panggilan telefon dari kawannya, mungkin untuk makan malam. Aku menolak bila diajak pergi bersama."
No comments:
Post a Comment