Sunday, 23 December 2012

Sedutan Diari 1 - Bersajak


"Ahad 12 Ogos 2007, jam 11.48 pagi.
          Sejak  menjadi ahli Lembaga Pengelola DBP mulai hujung tahun 2005, hanya sekali  LP mengadakan mesyuaratnya di luar Kuala Lumpur. Kami bertolak ke Kucing, Sarawak pada 30 Julai. Penerbangan petang berlepas  dari Lapangan Terbang KLIA pukul . Semasa tiba di Kucing hari telah gelap. Kami disambut oleh petugas  dan dibawa ke ruang menunggu VIP sementara petugas  mengurus keperluan imigresen. Dalam penerbangan yang sama ialah ahli-ahli LP yang lain iaitu Dato’ Zaleha Yusof daripada Jabatan Peguan Negara dan Dato’ Baharuddin Zainal (Baha Zain). Selepas selesai urusan pasport saya dan Dato’ Baha Zain menaiki Perdana Eksekutif milik Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak yang sama dan dibawa  menginap di Hotel Hilton. Aku diberi bilik 1018, yang bertentangan Sungai Sarawak. Di seberang sungai bangunan Dewan Undangan Negeri sedang dibina. Barangkali sudah mencapai 50% pelaksanaan.  
            Ruang Legar Hotel Hilton agak sibuk. Ada beberapa acara sedang atau akan berlangsung. Yang aku tahu jam 9 malam Dato’ Johan Jaaffar dan Dato’ Dr. Firdaus Abdullah akan  mengadakan perjumpaan dengan ahli persatuan penulis Sarawak (PERKASA). Kami ALP yang lain tidak terlibat.
            Hampir jam 10 malam aku turun ke Café untuk makan malam . Kebetulan ada di situ sedang berbincang  Prof. Dato’ Isahak Harun, ALP dan Kamarul, Timbalan Ketua Pengarah DBP. Mereka nampaknya sudah selesai makan kerana di hadapan mereka hanya cawan-cawan minum. Oleh kerana mereka sudah hampir selesai aku hanya mengambil makanan  ringan dan menyertai mereka di meja yang sama. Kamarul mohon berundur, Dato’ Isahak membangkitkan keberkesanan DBP dan aku memberi pandangan. Aku ingat menyatakan bahawa Dewan ketandusan tokoh untuk menjadi berkesan seperti dahulu. Petugas-petugas Dewan sekarang bukan tokoh dan kerananya tidak cukup berwibawa untuk memikul tanggungjawab yang lebih mencabar. 
            Mesyuarat LP bersidang  pada pukul 9 pagi di Bilik  dipengerusikan Dato’ Johan, selaku Pengerusi  ALP. Kecuali Tengku Tan Sri Pemegang Mohor Besar Raja-raja Melayu, Prof. Mahmud Zuhdi, Najib, Mimi Ismail (wakil KSU Pelajaran)  semua ALP yang lain hadir. Turut hadir ialah TKP, Pengarah  Sastera (Aizah), Pengarah  Bahasa (Noresah Baharom). Banyak perkara dibincangkan dan dalam banyak hal perbincangan adalah rancak serta kritikal. Mesyuarat berhenti untuk makan tengah hari dan disambung semula pukul 2. 30 petang dan ditangguhkan pukul 5 petang.
            Dewan Bahasa dan Pustaka, Cawangan Sarawak  mengadakan Jamuan Makan Malam meraikan rombongan LP di Kelab Golf Kucing. Majlis diserikan dengan persembahan muzik gamelan yang memainkan berbagai lagu-lagu termasuk instrumental Sangam.  Ada juga bacaan puisi dideklamasikan selain nyanyian lagu-lagu puisi. Mereka yang dijemput membaca termasuklah Dato’ Baha Zain, Zaini Ojea, mantan Pengarah  Dewan Bahasa dan  Pustaka , Cawangan Sarawak, Dato’ Johan Jaaffar dan Kamarul. Aku sendiri naik ke pentas mendeklamasikan sebuah sajak panjang karya sendiri. Aku sememangnya bersedia dengan sajak berkenaan kerana sebelum datang ke Kucing telah diminta oleh pihak urus setia mencipta sebuah sajak. Barangkali deklamasiku jadi klimaks malam itu kerana pertama, aku tak pernah dikenali sebagai penyajak, kedua  sajak itu disampaikan dengan penuh semangat, berlainan daripada sajak-sajak atau penyair-penyair lain malam itu. Ia sesuatu yang mengejutkan malam itu. Aku sendiri terasa seronok mendapat tepukan gemuruh dan ucapan tahniah termasuk daripada Dato’ Baha Zain, Dato’ Johan Jaaffar, Dato’ Termuzi, YB Fadilah AP Petrajaya yang juga ALP, dan lain-lain.  
            Aku sebenarnya terangsang  oleh syor Dato’ Baha Zain supaya sajak tersebut dihantar untuk siaran Dewan Sastera. Aku memberitahu beliau sajak itu masih perlu diperbaiki. Majlis Makan Malam itu tidak dihadiri Prof. Dato’ Isahak.  Dia mendapat tahu peristiwa deklamasi ku dan memohon satu salinan sajak semasa rombongan ALP mengadakan lawatan  ke DBP, Cawangan Sarawak. Versi 1, sajak itu ku berikan kepada beliau. Semasa berada semula di bilik hotel aku perbaiki sajak itu hingga menjadi Versi 2.
Masa penerbangan pulang ke KLIA aku dan Dato’ Isahak Harun kebetulan sama. Kami berkongsi kereta yang sama dari Hotel Hilton ke Lapangan Terbang Kucing untuk berlepas pulang. Dalam perjalanan kami sempat berbincang tentang sajak tersebut, tentang Sejarah Melayu, tentang projek ku sendiri untuk menulis skim perkerajaan zaman kesultanan Melayu berdasarkan bahan yang ku peroleh daripada buku Sejarah Melayu itu. Beliau juga memaklumkan bahawa Prof. Muhammad Haji Salleh sedang menterjemahkan Sejarah Melayu ke bahasa Inggeris. Aku pun terangsang sekali lagi dengan pujiannya terhadap sajak versi 1 yang telah dibacanya.
Pemergian ke Lapangan Terbang jam pukul 2 petang diiringi sama oleh Hajijah seorang pegawai di DBP, Sarawak. Semasa di ruang menunggu VIP sajak Versi 2 ku serahkan kepada Hajijah kerana beliau bercadang  untuk menerbitkannya dalam Utusan Borneo hari Jumaat yang akan  datang. Sungguhpun aku berhasrat untuk mengemukakan kepada Dewan Sastera, kerana petugas Dewan Bahasa dan Pustaka, ibu pejabat  sendiri meminta sajak itu, terpaksa ku batalkan.
Sekembali ke Kuala Lumpur, Pembantu Khas ku memberi tahu, Faikha daripada urus setia LP DBP   meminta sajak di Sarawak itu untuk diterbitkan. Aku sebenarnya telah dihubungi  Hajijah bahawa sajak “Bahasa Meniti Abad” telah pun terbit pada Isnin, 6 Ogos dalam Utusan Borneo. Beliau menghantar satu salinan fotokopi akhbar itu untuk tatapanku. Beliau minta juga nomor MyKad dan memberi tahu akan menghantar honorarium, tak banyak katanya, RM50.00. Aku tidak berharap sama sekali honorarium itu. Namun sangat bermakna peristiwa ini kerana itulah sajak pertama ku yang diterbitkan untuk tatapan awam. Sebagai seorang pencipta sajak, peristiwa itu memberi kepuasan yang agak unik.
            Dalam beberapa hari aku usahakan sebuah sajak ganti untuk diterbitkan di Kuala Lumpur, khususnya penerbitan Dewan. Lalu pada Jumaat, 10 Ogos, sajak “Pusara Bahasa” selesai ku gubah dan seterusnya ku hantarkan kepada Faikha. Dalam emel kepada beliau, ku maklumkan bahawa sajak itu asalnya bertajuk  Bahasa Melayu Hilang di Dunia” (Selamat Tinggal Bahasa Ku). Beliau menjawab  pada hari yang sama, memberi rangsangan dan pujian di samping  berjanji mengemukakan sajak tersebut kepada bahagian majalah untuk tindakan mereka selanjutnya."   

No comments:

Post a Comment