Saturday, 22 December 2012

PuisiReaksi©


Pada 19 Disember 2012, saya pernah menulis begini kepada teman FB Siti Zaleha M. Hashim, “ Saya telah menelaah berbagai-bagai perkara sekarang ini. Khusus mengenai puisi, mana-mana puisi ciptaan teman FB saya akan “puisireaksi©kan” sewajarnya dan teman berkenaan akan diberi versi saya. Nanti akan banyaklah puisireaksi© ini. Puisireaksi© boleh berupa ulasan langsung atau satu perspektif lain teloran sajak asal. Puisireaksi© bukan asli kerana latarnya atau ilhamnya adalah dari sajak-sajak teman-teman tersohor itu. Jadi ia ‘agak’ mudah. Sangat sangat senang melakukan reaksi spontan ini dalam kesempatan terluang tatkala merujuk semula timbunan buku-buku, majalah-majalah dan lain-lain yang saya simpan puluhan tahun tetapi tidak pernah diserlahkan kepada sesiapa pun sebelum ini. ….”
 Baru selesai menikmati sajak teman FB Rogayah Hamid, “Lagu Bintang-bintang” (Sarina, Mac 1977, muka surat 128. Puisireaksi©ku begini:
            “Alam dengan cakrawala ini
            untuk dihayati dengan akal
dalam sepi malam
lagi sendirian
selalu ingin kita tafakur
bersyukur
anugerahi Ilahi melimpahi.” 

Selepas membaca sajak teman FB Rogayah Hamid, “Pesan”, Sarina, Jun 1977, muka surat 138, puisireaksi©ku begini:
            “Pesanan bijaksana
            bermatlamat selamat
dunia akhirat
            berkat untuk zuriat.

Pesanan buahnya teladan
sering sarat hikmat
wajar disandari iktibar
            membaja kebahagiaan.

Pesanan adalah amanah
digalas tabah
budi bicara berhemah
            sempurna berbalas.”
             
Saya kebetulan terjumpa sajak teman FB Zurinah Hassan, “Kebetulan”, Mastika, Februari 1976, muka surat 119. Lalu secara spontan puisireaksi©ku jadi begini:
            “Sesuatu boleh berlaku sama ada kita merancang atau tanpanya
            Kalau lantaran itu ada manfaat diraih syukurilah
            Namun kerap terjadi kenikmatan berusia fana
            Kita pun mengalaminya, kebetulan atau dirangka
            Biarkan Pencipta menguja minda kekal menjana.”   

36 tahun kemudian, selepas membaca sajak teman FB Siti Zaleha M. Hashim, “Sebuah Rumah Kaca”, MASTIKA, Julai 1976, muka surat 134, puisireaksi©ku jadi begini:

“Rumah kaca beranak-pinakan  
medan ilmu mewah pilihan
pohonlah
menerpa tawaran  
dialui berterusan
merit bukan penentu  
demi wawasan

Pilihi keutamaanmu  
menuntut atau berjuang
di luar unggul kebestarian
kerana kenyataan
lazimnya pahit tanpa bekalan  
            pelabur menagih jaminan
pulangan setimpal habuan

Walau lerai ikatan  
bebas berbaris
gegak bersorak
memekik di jalanan
biarlah berpendirian
sewira penempa zaman.”

Kepada teman FB, M. Jusoff Taib yang mencipta sajak “Tidak Berkata”, (FB beliau 16 Disember 2012) saya katakan kepadanya inilah PuisiReaksi©ku, maaflah, sekadar bersilat kata:
Kekata sekata
sukacita
Kekata tak sekata
sengketa dukacita
kata pendeta
kekata dikota
mungkir kata
cemar muka
kekata pujangga
dikira mahkota
kekata demi kekata

Jadi tatakata
baka bahasa
warisi jati diri bangsa.”

Apabila tercungkil sebuah sajak teman FB Ami Masra, “Balada Si Burung Senja” bertarikh 1988, dalam Utusan Kiblat, Ogos 1988=Zulhijjah/Muharram 1409 saya berkata: “Saya akan memperincikan lagi dalam coretan-coretan pada masa hadapan.  Sementara itu;”
Maka
Ketika berlabuh di senja
 jadi terharu
diselimuti bahagia kota
 namun tetap   rindu
mendakap desa
membelai sayang manja
di kejauhan
tidak mampu melayan dua
sama rata.

Terhadap sajak teman FB Ami Masra, “Senja dan Orang Tua Tanpa Nama” (Sarina, Oktober 1977, muka surat 123), puisireaksi©ku begini:
            “Simpati
            lumrah kehidupan
            lelagilah kini
            kecuali membuah manfaat
            sekadar simpati mencukupi
biarlah berterusan
            ia bukan tuntutan    
            simpati berdikari
tanpa kebertanggungjawaban.”

Kepada Ami saya notakan: Simpati itulah saya reaksikan!

Terhadap sajak teman FB Rogayah Hamid, Perasaan, Sarina, Januari 1977, muka surat 134, puisireaksi©ku begini:
“Perasaan yang dilayan
Tidaklah memudharatkan
Asal masa terus terluang
Biarkan sampai ghaib terbang
Perasaan yang disayang jangan ketepikan
Nanti merajuk ikhtiarnya panjang.”

Dari sajak teman FB Ahmad Sarju, “Bila Daun Telah Rapuh” Utusan Kiblat, Jun 1973, muka surat 31, saya pantulkan puisiraksi© begini:
            Sesiapa tetiba
            bisa hilang
sendirian
solat yang ramai mengiringi
walau sewajah syahdu
sekadar fardhu
kerana ketakwaan sebelum kembali
memberati neraca timbangan akhirat  
            sanya bebelang berjaluran
            hiasan dunia fana
kerana ukuran di alam baqa
gubalan Maha Sempurna.
  (Nota: Versi ringkas dan spontan)

Saya akan menjadi jurucakap majlis pertunangan beberapa hari sahaja lagi. Ketika membelek-belek Dewan  Masyarakat, Februari 1965, terbaca “Sireh Pinang” (muka surat 47), dipetik “Dimulakan hajat setinggi gunung/dimulakan dengan pantun pusaka/sehalus rambut sejernih kaca/tersisip makna dalam nan agung”.  Besar kemungkinan saya tidak akan bermadah/berpantun.
Bersantun dalam bicara
Perkenalkan rombongan jejaka
Mempersatu hajat dua sebaya
Berkongsi hidup seumpama kita   
Perkenan restui semudah jadi.

PuisiReaksi©ku selepas menatap sajak teman FB Ahmad Sarju, “Ke Kuatan” [sic], Dewan  Sastra, Januari 1971, muka surat 31:
            “Segalanya benar;
            dari tekad
dari gerak
dari karya
dari anugerah
dari kesohoran
dari dulu
kini
ia terbukti.

Tekad yang didakap
dibajai butir jerih
keringat membanjir
ilmu yang mantap
berkat tajam fikir
kelestarian daya cipta
dewasalah tokoh penyair  
menimbuni khazanah
budaya tanahair
bertuah.”

Ku coretkan laju PuisiReaksi©ku selepas membaca sajak teman FB Azmi Yusoff, “Di Pesisir Pantai Ini”, Malaysia Dalam Puisi, muka surat 66. Sajak ini asalnya tersiar dalam Watan, 30 Oktober 1977: 

Dinihari di pantai berperahu berlayar ke laut menduga lautan purba menimba nyawa
Pagi di pantai mengamati  mentari muncul di paras laut kian terik pancaran
Tengahari di pantai tiupan angin laju melambailah nyiur dan ru memusikkan lagu nelayanku
Petang di pantai kembali timba rezeki pelihara isteri anak sekolah tetiba berhenti
Petang di pantai para isteri menunggu manja suami seadanya ran naungi kepala
Senja di pantai menyirat pukat sepakat di pelandan berjajar panjang riang sekampungan
Malam di pantai menuding bintang di malam gelita masing-masing merasa
Malam di pantai asyikkan bulan purnama, pulau-pulau pun nyata ceria suasana
Tengah malam di pantai pemuda merindu tanpa ratu terbelenggu
Setiap kali ke pantai ada kewajipan menghayati pusingan kehidupan
Pantai adalah padang permainan ku
Butir pasirnya ku kira sekian sekian bereribu
Sedang laut adalah kawah pengalaman sarat nasihat
Memberiku tekad mengalih haluan hidup, sayangnya  bukan di pantaiku.

Zurinah Hassan menulis “Pantai Seribu Tafsiran”, Dewan  Masyarakat, Julai 1967. Lihat juga antologi Tanah Airku, DBP, (edisi kedua), 2005, muka surat 172-173. PuisiReaksi©ku begini:
            Laut yang berkirun usia
            Di sisi pantai bermesra
            Sekali-sekala mendurja memupus baka
            Demikian pun
Manusia masih berderu-deru
            Menggali khazanah
            Sepadan kemampuan
atau berkunjung mentafakur hikmah penciptaan
           
Pantai yang diwarnai musim-musim
Tiada setara membahagi rezeki
Kerana sesiapa boleh meraih laba memukat derita
Melalui akal fikir tahap usaha
Laut dan pantai tempat sujud kesaujanaan kuasa
Di bawah naungan tempurung langit yang berubah warna
Di pantainya jejejak raksasa pun tenggelam disapu debu
Nanti digeganti seusia manusia.

No comments:

Post a Comment