Sajak teman fbku, Azmi Yusoff, “Pengabdi Alam”, Sarina,
Februari 1977, muka surat 43 ditatapi. Hanya satu perutusan jelas menyata,
iaitu kegigihan menghadapi cabaran hidup berbekalkan pengalaman pahit setelah
menemui kegagalan pada peringkat awal (“rebah terguling”). Memang anak muda itu
bangun semula. Tetapi aku sedikit terganggu apabila, redahan jalanan hidup yang
menyusuli dilakukan “… dengan angkuh” sehingga “menjadi abdi alam yang rela”.
ASKAT: Telah 37 tahun berlalu, mengambil kira realiti
semasa, prinsip hidup itu barangkali masih sesuai dalam melangkahi ranjau abad
baru yang yang tidak sedia menyedekahi keselesaan atau kenikmatan kepada
pengemis atau penadah habuan selagi ia tidak membuktikan kegigihan dan
kesanggupan bertarung dan berkorban setanding seorang perwira waja. Semoga,
pengabdian di dunia melorongkan anak muda itu kemudian menuju pula ke alam satu
lagi, yang baqa, yang menuntut ia melengkapi diri dengan bekalan yang disyarati
di sana.
Nota: Lihat juga antologi “Dua Alam”, muka surat 18,
memuatkan sajak yang sama.
Salah satu sebab saya baca sajak ialah kerana kebolehannya
menterpingakanku; oleh susunan kata-kata yang membina kalimat sedang serentak
itu terselit juga isu yang terasa nyata tetapi, ya, tidak pasti, bahkan
mencetus tanggapan berasosiasi peribadi, sendirilah memahami. Beberapa teman
fbku ada bakat ini, seorang daripadanya ialah Sutung Umar RS. Telitikan sajak
beliau, “Puisi Tentang Suatu Petang”, Mastika, Ogos 1984, muka surat 114. Latar
alam yang disimbah ke kanvas bahasa bersimpul erti adalah luas dan lantaran itu
aku tersedar kembali sebenarnya sedang menghirup udara buana yang membentang,
seakan tiada hadnya. Begitu, hakikatnya kehidupan yang kita nafasi penuh
diunsuri ‘tak semuanya indah-indah belaka’, kecamukan, pertentangan, hitam
putih, bukan satu dimensi, seperti kalimat “…. melupakan penat”, “.. lelah”, “
…keberanian terpendam jauh”, dan “nikmat dan sakit sekali gus”. Kesan yang
ditinggalkan oleh sajak ini, keterasaan bahawa diri pernah juga mengalami
pengalaman pengarang, sebahagian disebutnya, “… ketawakan nostalgia/dan
kebodohan yang telah lalu.”
ASKAT: Sudi-sudikanlah, ketika langit memuntahkan cecairnya
dan minda pun menuntut perahan bermakna, berbanding tanpanya.
Lama sudah tidak terserempak karya temanku. Sajak beliau
“Kisah Kehidupan Seorang Lelaki”, Sarina, April 1977, muka surat 123 tiba-tiba
muncul. Sekitar tahun-tahun itu, penghijrahan sering diusulkan kepada seseorang
lepasan sekolah menengah yang memiliki kelayakan ‘serba salah’ demi memperbaiki
situasi semasa ke arah yang lebih baik, berbanding dengan penghidupan di desa
sendiri. Dalam konteks sajak teman fbku, M Jusoff Taib ini, kesukaran
penghidupan kampung (“tenang tenteram di sini penyalibmu”) mencetuskan semangat
atau menjadi penyebb pemuda berhijrah ke kota. Pemuda itu, meninggalkan “bajak
tua’’, “ladang kering”, “berputus kasih” dengan harapan meraih habuan menuju
kebahagiaan. Di medan baru itu sedarlah ia bahawa “…perjuangan/tak habis…”. Ada
tekad dinyatakan terang-terangan, mengakhiri sajak, “Inilah hambaMu di bumi
cabaran”.
ASKAT: Tahun 1970-an dan dekad-dekad yang menyusuli, adalah
tahun-tahun perjuangan. Keterbelakangan kaum pribumi adalah merata, di desa dan
juga di kota. Tanpa bekalan ilmu di dada, pengongsi kota bermula dengan
menjawati “buruh”. Dengan pengalaman yang pahit maung dan menggetirkan perasaan
pendatang kota mendewasakan diri dan jika bertuah badan, gigih berjuang,
pantang berundur walaupun diasak halangan sepanjang jalan boleh bernafas
sekadar terlepas dari kecundangan, mendapat rezeki sekadar mengelak kematian.
Hakikatnya, kejayaan adalah cerita yang jarang-jarang, kerana ilmu pengetahuan
atau pelajaran tinggilah lebih menjamin kejayaan bagi merealisasikan “… sebuah
bangunan/penuh angkuh menonjol ke langit”. Generasi dahulu, telah mengalaminya.
Semoga generasi baru tidak sengsara mengulangi cerita lara, tanpa bekalan
sepada-padanya.
No comments:
Post a Comment