Friday, 2 June 2017

Umrah (13)

Umrah 13
Pada hari bebas yang kedua, aku akur pada rutinnya. Amalan pra Subuh tetap berjalan. Aku mengambil keputusan melakukan, antaranya, solat Tasbih. Tersangat lama senggangnya solat ini tidak kulakukan. Masa dan pemusatan yang diperlukan menjadikan aku tidak teruja mendirikannya. Tetapi matlamat kehadiran di Tanah Suci, suasana yang menyelubungiku ketika itu, menjadikan ia dapat kuselesaikan dengan baik. Setengah jam kuambil untuknya.
Ada kepuasan tertuai. Terkesan ia tidak seberat yang kufikirkan selama ini. Dan pada pagi yang bening itu aku dinikmatkan lagi dengan anugerah curahan air mata selepas membaca Salawat 40. Tisu yang sedia dibawa menjadi saksi kerana lejuh meresapkan air yang mengalir di pipi dan hidung.
Sebelah pagi selepas sarapan dan berehat di bilik, aku bersama-sama dua rakan sebilik ke tingkat bawah Menara Jam Mekah untuk membeli Kad Sim 4G Virgin Mobile. Harganya SR65 ditambah SR5 caj pemasangannya. Dengan adanya perisian itu dapatlah kuhubungi keluarga. Abang Mie, Era dan D (Mieradie) mulai mendapat perutusan dan gambar kami di Mekah.
Masa yang lagi terluang kugunakan bersama-sama R untuk bersiaran mengunjungi kedai-kedai yang banyak di tingkat-tingkat bawah bangunan hotel tempat kami menginap. Tiadalah pula terlangsung kami membeli. Pun, tinjauan tentang harga dan kualiti barangan yang diperagakan memberi kami gambaran sebenarnya berbanding dengan Malaysia. Hanya, sedikit gangguan timbul kerana kami sentiasa dipelawa, kadang-kadang secara agresif oleh para petugas kedai-kedai itu, agar memasuki dan membeli barangan jualan masing-masing.
Petugas-petugas yang hampir semuanya berasal Bangladesh telah menguasai kedai-kedai. Mereka faseh menggunakan beberapa frasa dalam bahasa Melayu seperti, “lihat dulu”, “Malaysia Boleh”. Kami sentiasa cuba membenam keghairahan membeli untuk mengelakkan terperangkap di kedai-kedai berkenaan. Mereka telah biasa dengan Malaysia dan tahu pula kami warganegaranya. Namun, pengalaman melancung selama ini dan niat yang sedia tertanam ketika meninggalkan rumah mengawal nafsu kami dengan sempurna. Kunjungan ke kedai-kedai itu hanya lebih memberi maklumat sekitaran dan menjadi panduan awal menentukan stratergi sebelum kami betul-betul bersedia berbelanja kelak.
Rutin berterusan. Selepas solat Asar aku teruja untuk melakukan tawaf. Ada hadis menyatakan, itulah yang paling berfadilat berbanding dengan solat sunat atau duduk-duduk melihat-lihat Kaabah. Lalu aku turun ke dataran Kaabah melalui tangga setentang Rukun Yamani. Bersendirian, dengan pakaian jubah menjadikan tawaf lebih selesa, berbanding berpakaian ihram. Aku ‘tenggelam’ sendiri dengan aktiviti itu. Bacaan zikir mudah, seperti dalam tawaf wajib kuulangi setiap pusingan. Sambil itu doa-doa untuk kebaikan diri terlintas di minda. Kusuarakan untuk dimakbulkan-Nya. Secara sedar, dan seikhlas-ikhlasnya.
Apabila tamat aku mencari ruang untuk bersolat sunat.
Alhamdulillah, dalam kesesakan ruang di sekitar Makam Ibrahim tersedia satu ruang yang sangat selesa untuk aku menyelesaikannya. Sungguh di luar jangkaan. Tidak terbayang malah dalam igauan pun. Lalu, ketika bersujud pada rakaat kedua, selepas bacaan lazim, aku berdoa untuk kebaikan diri sekeluarga. Tiba-tiba aku menjadi sebak dan teresak-esak menggetarkan sekujur badan. Aku seakan dibiarkan bersendirian. Aku tidak diganggu walaupun berlamaan begitu. Sungguh terharu aku dihadiahi ruang yang mewah itu. Sungguh-sungguh bersyukur aku kepada-Nya kerana melonggarkan kawalan diri sehingga aku mengalirkan air mata. Ia satu pengalaman. Pertama dan manis, di dataran Kaabah.

No comments:

Post a Comment